KALAU biasanya ruangan ini menyiarkan kisah suami isteri, tetapi minggu ini agak berlainan sedikit iaitu tentang kisah seorang anak bernama Nordin yang melahirkan rasa kesalnya kerana tidak melayan ayahnya dengan baik hinggalah ayahnya meninggal dunia. Bila ayah sudah tiada barulah timbul rasa kekesalan yang teramat sangat.
Keadaan menjadi lebih gawat apabila apa yang tidak disukai dilakukan oleh ayahnya semasa hayatnya dahulu, kini dia pula melakukan perkara yang sama. Katanya, jelas ini pembalasan Allah kepadanya kerana dosanya kepada ayahnya dahulu.
Benar orang berkata, zaman ini pembalasan Allah tidak menunggu selepas kita mati, tetapi pembalasan berlaku semasa kita masih hidup lagi supaya kita berasa lebih bersalah, lebih berdosa di samping mengingatkan kita kepada kebesaran Allah.
Untuk mengetahui cerita Nordin lebih lanjut lagi ikuti kisah beliau di bawah ini.
“Rasa-rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Maal Hijrah dan semoga ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) terus bertahan dengan paparan yang menarik dan yang lebih penting ia dapat menjadi teladan kepada semua pembaca.
“Sudah lama saya hendak menulis ke ruangan ini, tetapi asyik dengan sifat bertangguh, yang dah menjadi satu budaya masyarakat Malaysia (lihatlah saja proses penukaran Mykad – orang Malaysia memang suka buat kerja last minute). Dan lihatlah padahnya.
“Saya sudah mengikuti ruangan ini agak lama dan sering tersentuh dengan luahan rasa yang dipaparkan. Contohnya seperti paparan kisah rampas suami orang. Tetapi untuk memberi nasihat, rasa-rasanya saya belum layak lagi kerana belum berpengalaman dan masih bujang walaupun umur dekat 30 tahun.
“Tapi rasa-rasanya untuk berkongsi pendapat yang saya lihat dari perspektif luaran, insya-Allah saya rasa sedikit sebanyak saya tahu kenapa benda-benda ini sering berlaku dalam masyarakat kita. Semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
“Apa yang pasti, kita perlu menyelesaikannya dengan cara yang paling rasional agar segala keputusan yang kita buat tidak menimbulkan kesulitan di kemudian hari. Saya rasa dalam perkara berkaitan keharmonian rumah tangga, kedua-dua pihak, suami dan isteri mesti saling lengkap-melengkapi dan jujur dalam membentuk keluarga harmoni.
“Terlalu banyak dugaan dan cabaran perlu ditempuhi. Salah memilih haluan, pasti kerukunan rumah tangga dilanda badai dan taufan. Dalam dunia serba mencabar ini, teknologi moden sering digunakan untuk tujuan yang ‘kurang’ murni. Contohnya laman sembang di Internet. Jika disalahgunakan, akan menjadi medium berlaku mungkar dalam hubungan suami isteri. Lihat berapa ramai suami dan isteri yang mencari keseronokan dan mencari teman untuk tujuan mereka tersendiri.
“Mereka menjadikan Internet medium mencari hiburan atau memasang perangkap, bila hubungan dah akrab mudahlah berlaku pertelingkahan dalam rumah tangga sendiri. Bila rumah tangga porak peranda orang ketiga dipersalahkan. Nafsu selalunya tak memilih mangsa. Baik perempuan atau lelaki, sama sahaja. Itu belum masuk lagi bab SMS. Cinta sms yang mengasyikkan boleh membawa kemungkaran dan keruntuhan keluarga.
“Tetapi apa yang saya nak kongsi cerita ini jauh berbeza. Ia perkara yang sering berlaku dan untuk menyedarkan diri sendiri saya rasa tidak salah kalau saya kongsi sedikit kekesalan saya yang tidak dapat untuk ditebus kembali.
“Dulu, sewaktu saya masih belajar, awal 20-an, ketika Allahyarham ayah saya masih hidup, saya sering berselisih pendapat dengannya. Kalau boleh saya tak mahu dibayanginya. Nak disamakan rupa pun saya mengelak. Bukan benci. Tetapi entah kenapa saya kurang berinteraksi dengan ayah bila semakin membesar.
“Saya malu jika kawan-kawan saya tahu itu ayah saya. Kalau jumpa dia di pekan, saya akan cuba mengelak. Saya benci perangainya suka duduk di kedai kopi.
“Padahal, semasa kecil dan berusia belasan tahun, saya rapat dengan ayah. Bila dia balik dari pasar bawa balik sotong, udang dan ikan, kami sama-sama menyiangnya. Ayah ajar saya bagaimana nak siang semua benda tersebut sehinggalah saya jadi mahir.
“Apabila usia meningkat remaja, hubungan semakin renggang. Saya bersalah kerana menjauhkan diri daripada ayah. Saya rasa banyak perkara yang saya telah lakukan mengecilkan hati ayah. Walaupun saya anak kebanggaannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA, tapi saya jugalah yang memusnahkan harapan dan impiannya.
“Kini hampir lapan tahun ayah meninggalkan saya, dan setelah saya tahu asam garam dalam kehidupan barulah saya mengerti perbuatannya selama ini. Apa yang saya marah dan amat benci dia lakukan suatu waktu dulu, saya pula yang lakukan sekarang.
“Dulu semasa emak sakit kuat, nak beli ubat pun ayah minta duit emak. Ketika itu saya marah dan memberontak. Pada fikiran saya, ketua keluarga kenalah mencari duit untuk semua keperluan anak isterinya tambah-tambah waktu isterinya sakit.
“Malangnya pagi tadi dan beberapa kali sebelumnya, emak menyuruh saya beli ubat di farmasi menggunakan duit emak. Buat sekian kalinya peristiwa yang menjadikan saya membenci ayah dahulu, kini saya melakukannya. Saya amat kesal dan bersalah.
“Kenapa ini harus berlaku kepada saya? Barulah saya sedar, hidup tak seperti yang kita fikirkan. Barulah saya tahu, ketika ayah tiada duit beli ubat dan jalan terakhir dia minta pada isterinya. Allahuakbar, Maha Berkuasa Allah, Dia menunjukkan kesalahan dan pembalasan kepada saya semasa saya masih hidup lagi.
“Masalahnya saya hutang kad kredit yang banyak, andainya tidak berhutang pasti hidup saya dan emak lebih mewah lagi. Tapi kerana belenggu hutang, hendak beli ubat untuk emak pun saya berkira. Berbeza dengan ayah walaupun dia tidak ada duit tetapi dia tidak berhutang. Kalaulah ayah ada, pasti dia mencemikkan muka kepada saya.
“Dulu semasa ayah menderita sakit kanser leher, dia selalu duduk atas kerusi malas dalam gelap di luar bilik saya. Bila saya keluar bilik, pasti saya terserempak dengannya. Dan saya tidak berbuat apa-apa tatkala itu untuk meredakan kesakitannya. Rupa-rupanya perlakuan saya itu dikhabarkan kepada emak.
“Kata ayah, saya sedikit pun tak nak menyapu atau menyentuh lehernya yang sedang membengkak ketika itu. Rupa-
rupanya dia perlukan sentuhan kasih sayang seorang anak. Kenapalah saya buta ketika itu?
“Kini setelah dia pergi saya amat cemburu bila tengok anak-anak keluar dengan ayah mereka. Makan bersama sekeluarga. Saya tidak dapat mengecapi semua itu. Sebab saya menjauhkan diri daripada ayah, kerana pemikiran saya yang cetek ketika itu. Banyak lagi perkara bodoh saya lakukan semasa hayatnya yang menyakitkan hati ayah membuat dia menjeruk rasa. Walaupun dia tidak pernah mengalirkan air mata, tapi ketika itu bagi saya, saya amat suka mencari kemarahannya.
“Kini saya bukan sahaja merinduinya, malah menyesal, dan saya harap saya dapat tebus kekesalan saya dengan menjadi anak yang baik kepada emak. Saya tidak mahu menyesal kali kedua. Sering
kali saya melawan kata-kata emak, mendengus bila ada benda yang tidak kena, tetapi saya cepat sedar.
“Pengalaman lalu banyak menjadi pengajaran. Seboleh mungkin saya akan menjaga emak sebagai ganti bagaimana ayah menjaga emak dahulu. Walaupun kekesalan masih terbuku di hati, apakan daya, saya juga manusia.
“Kepada anda semua yang masih ada ibu dan ayah ambil iktibar dari pengalaman pahit saya. Pertama hormati dan sayangilah kedua-dua ibu bapa selagi mereka ada. Kita tidak akan dapat ibu dan ayah lagi setelah mereka meninggal dunia. Kalau masa boleh diputar semula, pasti saya akan jaga kebajikan mereka walaupun ketika itu saya mentah.
“Kedua, jangan suka berhutang. Elakkan penggunaan kad kredit. Saya mengaku, saya tersalah pilih jalan dan kini dalam proses untuk melangsaikan hutang-hutang bank. Ketiga, jangan cepat menghukum ibu bapa kita bila sesuatu yang berlaku itu tidak kena dengan pandangan kita. Cuba fikir secara positif kerana ada sebab yang memaksa mereka berbuat demikian. Bila kita menjadi dan berfikir sepertinya sahaja barulah kita tahu kenapa atau bagaimana ia berlaku.
“Seperti saya, dah lambat, baru dapat tahu kenapa ayah saya meminta duit hendak beli ubat, bila perkara yang sama berlaku kepada diri saya. Sesungguhnya, beruntunglah mereka yang masih mempunyai ibu dan ayah. Jangan sia-siakan mereka kerana tanpa mereka, anda tidak akan membesar seperti anda hari ini. Jasa mereka terlalu besar untuk kita kira apa lagi untuk membalasnya. Tiada apa yang dapat kita persembahkan untuk membalas budi ibu dan ayah yang selama ini berkorban diri membesarkan kita dengan sepenuh kasih sayang.
“Apa yang saya boleh lakukan ketika ini hanyalah sentiasa mengingati ayah. Berbuat baik dengan rakan-rakan ayah saya, menggembirakan hati ibu saya dan banyak perkara lagi yang saya rasa dapat saya tumpukan untuk mengingati ayah dan sebagai tanda penyesalan yang telah saya lakukan selama ini.
“Tulisan tangan ayah yang terakhir masih saya simpan lagi. Tulisan daripada dak-
wat berwarna merah. Tulisannya dengan tangan terketar-ketar kerana hendak menyatakan sesuatu kepada saya seminggu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Kerana pada ketika itu, dia sudah tidak boleh bersuara lagi. Hanya isyarat tangan menjadi penghubung interaksinya dengan ibu dan anak-anaknya.
“Hingga ini perasaan kesal terus tertanam dalam jiwa saya, saya kesal kerana tidak mendekati, menyayangi, berbual-bual dan menyentuhnya ketika dia amat memerlukan saya. Namun kini hanya Al-Fatihah yang sentiasa saya sampaikan untuk roh ayah di samping menyesali diri ini.”
Demikian cerita Nordin tentang pengalaman pahitnya menyingkirkan ayahnya dahulu semata-mata kerana ayah meminta wang daripada emaknya. Kini perkara yang dibenci dilakukan oleh ayahnya, dilakukannya bila dia tidak ada duit. Sama seperti ayahnya dulu. Lihatlah pembalasan Allah, hukuman-Nya kita pikul semasa di dunia lagi.
Jadi janganlah suka mengutuk orang, apa lagi menganiaya orang lain. Doa orang teraniaya tidak ada hijab. Tunggu sahajalah pembalasannya semasa kita masih hidup lagi, tak perlu tunggu di akhirat.