Sunday, August 6, 2006

06/08/2006 : Banyak sebab isteri tinggalkan suami

JIKA minggu lepas ruangan ini membicarakan masalah saudara baru dan minggu sebelumnya tentang tindakan tegas seorang anak yang sanggup berhenti sekolah untuk membela maruah keluarganya, minggu ini kita kembali membicarakan isu dalam rumah tangga.


Saya membawakan isu ini setelah membaca e-mel kiriman Syafina yang tertarik dengan pengalaman pahit yang dilalui oleh Eliana dan Norazlina yang kisahnya pernah dipaparkan sebulan lalu. Katanya dia ingin berkongsi pengalaman kerana nasib mereka serupa, dan inilah masalah yang terpaksa dihadapi oleh wanita bergelar isteri.



Kepada gadis-gadis yang belum berkahwin janganlah fikir bahawa perkahwinan itu adalah sesuatu yang menggembirakan dan menyelamatkan diri mereka daripada masalah yang sedang dihadapi, sebaliknya kalau nasib tidak baik, di situlah bermulanya segala masalah yang terpaksa dipikul mungkin hingga ke akhir hayat.


Kepada mereka yang tidak suka memikul masalah, tindakan untuk melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan itu juga merupakan masalah besar yang terpaksa ditempuhi, apa lagi jika mereka mempunyai anak-anak yang masih kecil.


Dalam e-mel pendek yang dikirimkannya, Syafina berkata walaupun senasib dengan Eliana dan Norazlina, tetapi berbeza dalam tindakan, dia nekad untuk menarik diri keluar daripada masalah, kerana dia tidak suka menipu dirinya sendiri.



Kerana kurang memahami apa yang dimaksudkan, penulis menghubungi Syafina, dan satu petang Syafina melahirkan hasratnya untuk berjumpa dengan penulis pada malamnya. Kebetulan beliau datang ke Kuala Lumpur atas urusan visa dan kerana tugas yang memerlukan dia bertugas ke luar negara.


Ketika memulakan perbualan di sebuah restoran, Syafina memberitahu, sebenarnya dia berasa sukar untuk menceritakan masalahnya, kerana dia tahu tidak akan ada orang yang faham, kecuali mereka yang mengalami masalah seperti dilaluinya.


“Suami saya bukan kaki pukul, kaki perempuan, suka berjudi atau sebagainya, tetapi sikapnya kadang kala membuat anda hilang akal untuk berbicara. Kalau ada masalah kita tidak boleh membisu atau lari daripada masalah, tetapi itulah yang dilakukannya, suka berbohong. Jadi sebagai isteri saya tak boleh berdiam diri. Jika terus begini boleh hilang akal dan mendorong saya terkeluar agama Islam.


“Saya berpendapat perkahwinan ini seumpama satu perjudian, ada kalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah, tidak ada siapa yang mahu kalah atau gagal dalam perkahwinan, tetapi kalau sudah berusaha tetapi masih gagal juga maka kita sebagai hamba Allah terpaksa menyerah kembali kepadaNya.


“Saya mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Saya berkelulusan ijazah dari luar negara sementara suami saya Zain tidak, tetapi bukan itu alasan saya minta cerai atau sudah tidak sealiran pendapat dengannya.


“Pada permulaan perkahwinan semuanya berjalan dengan baik. Kalau ada sedikit sebanyak masalah saya cuba mengatasinya dan bersabar, kerana menghormati suami saya mengharapkan dan meminta Zain mengatasinya sendiri, kerana saya mahu dia menjadi ketua keluarga yang bertanggung jawab dan harapan keluarganya nanti.


“Tetapi berlainan sekali dengan Zain, dia suka ambil mudah sambil mengharap masalah itu boleh selesai sendiri. Saya tidak menghina dia kerana taraf pendidikan yang berbeza, kerana ramai lelaki seperti dia masih boleh hidup aman, mereka boleh mengurus keluarga dengan baik.


“Malangnya Zain tidak boleh diharapkan. Dia tidak mahu menghadapi masalah, tidak pandai berfikir, malah suka berbohong. Beberapa kali saya mengajak berbincang tentang satu-satu masalah tetapi dia bingkas bangun menonton TV, mengelak daripada berbincang dan cuba mengatasi masalah. Dia melepaskan semua masalah untuk saya selesaikan, saya bukan ketua keluarga. Bila ditegur dia akan menyindir saya.


“Bukan masalah kami sahaja, malah masalah adik-beradik dan ibunya juga dia ambil ringan, mengharapkan saya berfikir Bila saya tanyakan sudahkah dia bertindak, dia kata sudah, sedangkan tidak.



“Di samping itu minat kami juga berbeza. Lagi satu perangai Zain, dia suka menyindir saya, hingga sampai ke tahap menghina, kalau sekali dua tak apa juga, ini kalau dah selalu tentu menyakitkan hati.


“Kalau saya ceritakan lagi banyak masalah, saya kira pembaca tidak akan faham, tetapi itulah kenyataannya selepas dua tahun berkahwin dan mempunyai anak, saya merasakan antara kami sudah tidak sesuai lagi. Tetapi sebagai orang Islam dan berpendidikan agama, saya tetap bersabar mengharapkan dia berubah. Tetapi harapan tinggal harapan, sampai ke peringkat amat teruk yang sukar digambarkan lagi.


“Ketika itulah saya mula memikirkan untuk berpisah dengan Zain, tetapi saya sedar dia tidak akan melepaskan saya dengan mudah. Pada masa yang sama saya kesiankan anak saya yang akan kehilangan ayahnya nanti. Dan saya bertekad untuk bertahan lagi, semuanya kerana saya mahu anak saya bahagia.


“Tetapi seperti yang dikatakan tadi semakin lama bertahan, semakin kuat gangguan emosi dalam diri. Lebih menakutkan saya, gangguan emosi ini menjadi semakin hebat, hingga membuatkan saya tersedar bahawa agama saya juga mula terancam.


“Kerana dididik dengan asas agama yang kuat, saya sedar bahawa kehidupan saya sudah sampai ke satu persimpangan yang mana saya mesti membuat keputusan ke arah mana yang hendak saya tuju dan demi menjaga agama saya.


“Seorang Mukmin yang baik perlu menjaga agamanya dan mencintai agamanya lebih daripada segala-galanya, hatta lebih daripada mencintai anaknya sendiri. Kerana di akhirat nanti, dia seorang sahaja yang akan menghadap Allah dan anak tidak akan dapat menolongnya walau sedikit pun tanpa izin Allah.


“Sejak itu saya mula beristikharah kepada Allah dan berbincang dengan teman-teman yang boleh dipercayai agamanya. Setelah beberapa lama, Allah mengilhamkan kepada saya keputusan yang sungguh nekad.


“Saya percaya keputusan yang akan saya buat memang tidak akan disukai oleh semua orang mahupun saudara mara sendiri, kerana mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, mereka tidak tahu apa dalam hati saya, sebab mereka melihat dari luar, tidak merasa dan melihat dalam hati kami.


“Saya juga yakin setelah memohon petunjuk Allah berkali-kali dan mendapat jawapan yang sama, maka saya pasti itulah keputusan yang akan saya ikut dan tidak akan menoleh ke belakang, saya yakin dengan gerak hati yang ditetapkan Allah s.w.t.



“Berbekalkan keputusan itu, saya kuatkan semangat pergi menemui peguam syarie untuk failkan permohonan talak, dan saya bersedia menghadapi segala kemungkinan semata-mata kerana ingin menyelamatkan agama saya. Saya sudah bersabar selama empat tahun.


“Saya tidak boleh lagi berpura-pura melayan suami sedangkan hati dan perasaan saya membayangkan orang lain. Tetapi pembaca jangan keliru, saya tidak ada kekasih lain, cuma saya tidak boleh bersama Zain kalau tidak membayangkan orang lain, kerana sampai pada satu peringkat saya amat membencinya yang teramat sangat.


“Akibat daripada tindakan saya itu saya terpaksa keluar dari rumah, walaupun rumah itu saya beli dengan titik peluh sendiri, dan menyewa di rumah lain. Kereta saya juga Zain rampas. Segala-gala dalam rumah saya itu terpaksa saya tinggalkan. Zain menjadi terlalu marah bila saya memfailkan talak. Dan gangguan emosi saya menjadi lebih teruk setiap kali saya mendengar dia pulang ke rumah, saya ketakutan. Saya tidak rela bersama dia lagi hingga satu peringkat saya merasakan saya dirogol.


“Akibat memfailkan talak, kereta dirampas dan terpaksa keluar rumah, saya terpaksa beli kereta lain, walaupun kereta lama saya sudah habis ansuran bulanannya. Semuanya terpaksa ditinggalkan kerana saya tidak tertahan dengan tindakan Zain.


“Memang banyak masalah berlaku selepas itu, gangguan emosi menjadi tidak menentu. Bebanan kewangan semakin berat kerana terpaksa membayar ansuran rumah yang dibeli di samping membayar sewa rumah baru, selain ansuran kereta.


“Gangguan emosi menjadi lebih teruk kerana sewaktu pulang ke rumah mengambil pakaian, saya lihat gambar saya berbogel sedang mandi dibesarkan dan diletakkan di ruang tamu. Sikapnya sungguh menjijikkan dan saya tidak boleh bersabar.


“Masalah itu semua masih boleh saya atasi hinggalah keadaan menjadi lebih teruk bila Zain merampas anak saya secara tipu helah dan berbohong. Sikap menipu itulah tabiatnya yang amat saya benci. Selama tujuh bulan saya merana tidak dapat berjumpa dengan anak saya. Dia dilarikan ke tempat lain. Saya tidak dibenarkan berjumpa dengan anak saya walaupun sekali.


“Sebagai ibu siapa boleh tahan berpisah dengan anak. Tapi itulah yang Zain lakukan untuk menambah gangguan emosi saya, sedangkan dalam waktu yang sama saya terpaksa bekerja untuk menyara hidup.


“Namun saya kuatkan semangat dan terus berusaha mendapatkan anak saya semula yang ketika itu baru berusia empat tahun. Setelah gagal memujuk rayu dan simpati darinya saya terpaksa memohon bantuan peguam.



“Akhirnya saya mendapat surat kuasa khas dari mahkamah untuk mendapatkan semula anak saya. Tetapi gagal, pelbagai surat tambahan diperlukan termasuk oleh pihak polis yang terlalu banyak prosedur.


“Akhirnya kerana sudah tidak tertahan lagi, berbekalkan surat kuasa yang ada, saya ambil semula anak saya daripada jagaan orang lain. Kini saya berjaya dan saya dalam proses memohon talak.


“Kepada kaum wanita yang senasib, saya ingin menasihatkan anda supaya kuatkan semangat dan mohon pertolongan Allah. Dan ketahuilah bahawa kekuatan itu akan datang dengan pertolongan Allah jua. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk menjaga lima elemen penting dalam diri kita iaitu agama, harta, nyawa, jiwa dan maruah kita.


“Alasan sesetengah wanita mempertahankan perkahwinan demi kebaikan anak-anak itu mungkin masih boleh diterima selagi tidak memudarat diri kita terhadap lima elemen yang disebutkan tadi. Jika memudaratkan dan sampai ke tahap kritikal, wajib kita bertindak untuk menyelamatkan diri.


“Namun setelah kita berusaha dan mencuba untuk berbuat yang terbaik, barulah kita berserah dan bertawakal kepada Allah s.w.t.


“Sebab itu semasa anak saya dilarikan saya memohon supaya Allah memelihara dan melindungi anak saya. Segala kesedihan yang saya tanggung saya telan semuanya kerana saya yakin itu boleh menjadi penebus kepada dosa-dosa saya,’’ demikian cerita Syafina. Harapannya kepada Eliana dan Norazlina, berusahalah untuk kebaikan sendiri dan memohon petunjuk dan kekuatan daripada Allah dalam apa juga tindakan.


Memang tepat hanya Allah tempat kita memohon petunjuk, kekuatan dan pertolongan dalam menghadapi apa juga masalah. Allah tidak mensia-siakan umatnya dan memohonlah dengan hati yang jujur dan ikhlas lambat laun akan termakbul juga. Waktu itu anda akan dapat merasakan kekuasaan dan kebesaran Allah.

Read more!