Sunday, September 10, 2006

10/09/2006 : “Saya diceraikan kerana kawan baik”

BARU-BARU ini penulis berpeluang mendengar ucapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Antara lain yang cukup menarik apabila beliau bercerita tentang temannya seorang VIP dalam satu acara sukan. Isteri VIP suka benar setiap kali suaminya menang dia terlompat-lompat sambil memeluk suaminya.


Kerana terlalu gembira banyak kalilah isteri VIP ini memeluk suaminya di tengah padang. Habis bersukan beliau menegur datin ini, “Amboi sayang betul datin pada suami ya,?’’. Maka dijawab oleh datin itu, “His tentulah, kalau tidak nanti ditinggalkannya kita siapa yang mahukan kita lagi?’’.



“Dari jawapan datin bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kebanyakan isteri bukan cinta sangat, atau kasih atau sayang sangat kat suami mereka, sebenarnya mereka bimbang kalau mereka kena tinggal (cerai) tak ada siapa mahukan mereka lagi.


“Pada pandangan saya, yang penting dalam rumah tangga ialah perasaan kasihan suami terhadap isteri, perasaan ini mesti tertanam dalam jiwa setiap suami bukan kasih, bukan sayang dan bukan cinta. Bila perasaan kasihan ada, mereka tidak akan bertindak membuat perkara tidak baik.


“Tetapi sayangnya orang perempuan ini (isteri) mereka marah sangat kalau kita kata kita kasihan pada mereka, mereka kata mereka bukan anak kucing yang perlu dikasihani. Sebenarnya mereka lupa kalau kita mengadap Allah dan memohon kepada Allah kita akan menyebut ‘Ya Allah kasihanilah aku ini!’ Jadi jelas perkataan kasihan ini penting dalam kehidupan rumah tangga,’’ demikian kata Adnan.



Kenyataan beliau ini diakui oleh Puan Haslina ketika kami berbual di telefon setelah saya membaca e-melnya. Katanya, suaminya langsung tidak mengasihani bukan sahaja dirinya tetapi juga anak-anak.


``Dia sanggup menghilangkan diri selama dua tahun kerana ingin kahwin lagi. Kisah ini memang pelik tetapi itulah yang saya rasai penderitaannya sehingga kini,’’ katanya memulakan cerita.


“Siapa tak sayangkan suami, dan siapa yang tak sayangkan kawan baik, tetapi apabila mereka berdua meruntuh dan menghancurkan hidup kita, rasanya lukanya amat parah dan begitu sukar untuk sembuh. Begitulah pedihnya penderitaan yang saya tanggung apabila suami dirampas kawan baik yang kita anggap seperti adik kandung, kitalah tempat dia mengadu.


“Dulu suami saya Razman seorang anggota beruniform, setelah tamat perkhidmatan dia menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Melalui kawan baik saya Azimah dia mula berkenalan dengan perniagaan MLM yang Azimah usahakan. Mulai dari itulah mereka menjadi rapat.


“Saya berkawan dengan Azimah sebab dia ada suami dan saya langsung tidak cemburu kerana mereka sama-sama berusaha mencari rezeki yang halal. Perkenalan kami bermula kerana dia adalah jiran kami dan menghantar dua orang anaknya supaya saya jaga.


“Kerana katanya dia sibuk dengan perniagaannya dan selalu ke hulu ke hilir, saya diamanahkan untuk menjaga anaknya yang masih kecil. Tiga orang lagi anaknya dengan suaminya yang terdahulu sudah besar dan pandai menguruskan diri sendiri untuk ke sekolah dan setelah balik ke rumah. Pendek kata anak Azimah memang ramai.


“Keuntuhan rumah tangga saya terasa teruk pedihnya kerana suami dirampas oleh kawan baik. Pada saya hanya mereka yang sama nasibnya seperti saya akan dapat merasakan sakit dan pedihnya luka di hati ini.


“Apa yang amat saya kesalkan, saya percayakan dia sepenuh hati, saya izin dan rela dia keluar dengan suami saya atas urusan perniagaan, tetapi saya langsung tidak menduga kepercayaan saya dikhianati. Saya dah anggap Azimah macam adik sendiri begitulah ikhlasnya saya, dia keluar dengan suami saya, saya di rumah menjaga anaknya bukan sebulan dua, tapi tiga tahun.


“Saya tidak pernah mencurigai Azimah membuat hubungan dengan Razman, kerana dia juga ada suami, takkan dia sanggup berlaku curang. Dan itu adalah suaminya yang kedua. Katanya, dia sayangkan suaminya. Satu hari Azimah beritahu dia nak pindah ke tempat lain.



“Tidak semena-mena dua bulan kemudian Razman tak pulang ke rumah, hilang tanpa berita. Kerana bimbangkan keselamatannya saya buat aduan polis. Saya siarkan gambarnya dalam akhbar setelah seminggu tak balik. Saya tanyakan pada kawan-kawan, mereka juga tak pernah nampak suami saya dalam tempoh tersebut.


“Risaunya hati tak boleh nak cakap, saya fikirkan yang buruk aja, kena rompak ke, kena bunuh ke dan macam-macam lagi. Tapi tak sampai dua bulan kemudian ada jiran beritahu, suami saya ditemui bersama Azimah. Terkejut saya. Bila saya tanya Azimah dia nafikan malah mendakwa dia tak tahu di mana Razman.


“Berapa lama Azimah boleh berbohong sedangkan ramai jiran lain mendakwa dia tahu hubungan mereka berdua. Saya cuba hubungi Razman tapi tak dapat. Saat saya tahu hubungan cinta mereka, hidup saya terasa tidak berguna lagi, kalau ikutkan hati mahu saya meraung dan menjerit setiap hari melepaskan terbuku di hati. Kadang tu saya rasa lebih baik mati, kalau tidak fikirkan Allah dan anak-anak mahu saya terjun Sungai Pahang.


“Setiap hari saya menangis, saya tidak bekerja, macam mana nak bagi makan pakai dan sekolah anak-anak, simpanan pun tak banyak. Saya tak sangka Razman tergamak berlaku curang dengan kawan baik saya yang masih lagi bersuami. Mana muka nak letak bila orang kata Razman dan Azimah berzina kerana ketika itu suaminya belum menceraikannya lagi. Kejadian ini berlaku dua tahun lalu.


“Kadang-kadang saya hampir separuh gila, kerana saya ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang berita apa lagi perbalahan mahupun pergaduhan. Pada saya siang dan malam tidak ada bezanya, saya tak makan kerana langsung tidak merasa lapar. Bila saya cuba menelan nasi, kerongkong saya terasa tersumbat.


“Akhirnya saya merayu Razman pulang melalui akhbar, tetapi hatinya sekeras batu. Kerana saya tidak ada duit, anak-anak nak makan, saya ambil keputusan pulang ke kampung. Mujur mak ayah saya masih ada, merekalah tempat saya mengadu.


“Walaupun ayah orang susah, dia tidak biarkan saya dan anak-anak mati kelaparan. Ketika itu saya sudah tidak punya apa-apa lagi, barang kemas habis saya jual buat belanja makan. Di kampung saya cuba juga mencari kerja tetapi bukan mudah kena pergi ke bandar nak berulang dari kampung memang payah. Tapi saya teruskan.


“Beberapa bulan kemudian saya dengar mereka berkahwin setelah Azimah bercerai tebus talak dari suaminya dengan sebuah kereta dan wang tunai RM10,000.


“Kini setelah dua tahun, awal tahun ini saya diceraikan secara sah di Mahkamah Syariah di Pantai Timur di kampung asalnya. Tapi sampai sekarang saya tak melihat surat cerai itu, tidak dikirimkan. Dia sengaja menceraikan saya di sana, kerana dia tahu saya tak mampu ke sana apa lagi untuk membuat apa juga tuntutan nafkah, mutaah dan harta sepencarian yang memaksa saya turun naik mahkamah berpuluh-puluh kali, jadi bila saya tak buat tuntutan, selamatlah dia daripada memberi nafkah.



“Saya memang tak berduit, semangat pun jatuh merudum. Mengapa dia hendak seksa saya sedangkan rumah kami dulu berdekatan. Dia boleh ceraikan saya di sini aja, mengapa di Pantai Timur. Untuk ke Mahkamah Syariah di sana saya terpaksa sediakan paling kurang RM300. Nak ambil surat cerai kena bayar RM70, tambang bas pergi balik RM40. Itu belum masuk lagi belanja minum dan penginapan kerana saya tak ada saudara mara di sana.


“Kalau dia ayah yang bertanggungjawab, berilah nafkah untuk anak-anak supaya mereka boleh hidup dan boleh belajar, mengapa mesti seksa hidup kami. Inilah kemelut dalam hidup saya sekarang, saya bukan orang senang yang dapat menyenangkan hati anak anak sepenuhnya.


“Kini ujian yang baru saya tempuhi, anak sulung saya yang sedang belajar di IPTA dilanda tekanan perasaan. Dia tak dapat menerima kenyataan ayahnya menceraikan saya dan hidupnya penuh dengan kesusahan. Ibu mana yang tak sedih, hajat nak tengok anak berjaya dalam pelajaran kini hampir terkandas.


“Dia sudah tidak tau solat, lupa katanya, tubuhnya semakin kurus melidi, kadang kadang bercakap seorang diri, kadang-kala marah. Bayangkan betapa hancur hati saya kerana anak yang tidak berdosa terpaksa menanggung beban perasaan yang begitu hebat. Kejamnya Azimah dan Razman menganiaya kami anak beranak.


“Saya rasa, ujian ketika suami tinggalkan dulu memang berat tetapi ujian anak berubah watak begini rasanya lebih berat. Sukar untuk saya terima perubahan yang mengejutkan itu. Razman langsung tidak ambil tahu hidup anak-anak. Dia langsung tak menjenguk...


“Sejak anak saya terganggu jiwanya, saya terpaksa menjaganya sepenuh masa, bawa berubat cara kampung supaya semangatnya pulih di samping berjumpa pakar psikiatri. Dan pelajarannya pun terpaksa tertunda.


“Namun dengan izin Allah, anak saya kini semakin pulih walaupun belum seratus peratus. Doktor menasihatkan saya kalau anak saya ingin sambung belajar nanti, saya mesti ikut dia atau tinggal berdekatan dengannya. Bermakna saya kena pindah ke Kedah. Tapi bagaimana dengan anak saya yang masih belajar, apakah saya perlu bawa sama, dan lebih penting saya terpaksa berhenti kerja, jika ini terpaksa saya lakukan macam mana kami nak makan dan bayar sewa rumah nanti bila saya tak bekerja.


“Duduk di tempat baru belum tentu saya boleh dapat kerja dengan mudah, banyak wang terpaksa disediakan, sedangkan saya memang tak berduit.


“Memang sukar bagi saya membuat keputusan, ditelan mati emak, diluah mati bapa, anak- anak perlukan saya, saya tak boleh berpisah dari mereka. Apa lagi anak bongsu pun memerlukan perhatian. Lebih hebat lagi saya perlu sediakan wang yang banyak jika saya kena pindah demi kesihatan dan pelajaran anak sulung saya.



“Apa yang saya ceritakan ini adalah sebagai panduan kepada kaum wanita bukan tujuan menghasut. Berhati-hatilah kalau berkawan, bukan semua kawan ikhlas, ada yang suka mengambil kesempatan daripada kebaikan dan keikhlasan kita, mereka mempunyai hasrat dan niat tertentu untuk diri mereka.


“Kepada kaum bapa pula kalaupun anda ingin berkahwin lagi janganlah aniaya isteri atau bekas isteri anda. Jangan sekali-kali abaikan makan minum dan pelajaran anak-anak, mereka tidak kuat semangat dan emosi untuk menerima perpisahan kedua ibu bapa mereka.


“Kepada isteri baru pula nasihati suami anda supaya jangan lupa atau abaikan anak-anak yang terdahulu. Hidup anda tidak akan senang kalau suami anda abaikan anak-anaknya. Ingat balasan Allah. Janganlah perpisahan suami isteri menjadi dendam kerana yang teraniaya adalah anak-anak pewaris bangsa dan agama kita pada masa depan,’’ demikian nasihat Haslina yang hampir hancur hidupnya kerana penganiayaan bekas suami.


Benar seperti kata Haslina, percerian biasanya menjadi dendam antara bekas suami isteri yang akhirnya anak-anak menjadi mangsa, hidup tidak tentu hala. Sebaiknya jagalah kebajikan anak-anak dari segi makan pakai dan pembelajaran mereka. Kegagalan mereka menjadi manusia berguna dan berjaya dalam hidup adalah kegagalan anda sebagai ayah mendidik dan membesarkan mereka

Read more!