JIKA kisah poligami yang dipaparkan mendapat sambutan hangat dari kaum lelaki, tetapi pengalaman Zek seperti disiarkan minggu lalu yang kesal kerana gagal berpoligami, sambutan yang diterima tidaklah hebat. Sebaliknya pandangan banyak datang dari kaum wanita saja. Demikian lumrah hidup manusia.
Ramai menghantar e-mel mendakwa pengakuan Zek sukar diterima oleh kaum lelaki, kerana mana ada lelaki mahu mengaku kalah. Sepatutnya mereka fikirkan dan mendalami pengalaman Zek supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama. Namun minggu ini saya paparkan sebuah kisah yang cukup menarik.
“Bertahun-tahun lamanya saya mengikuti ruangan DCCK ini, saya baca sekadar mengisi masa lapang. Sambil baca saya bertanya diri sendiri, adakah cerita ini benar ataupun rekaan, rasa-rasanya tak mungkin berlaku dalam masyarakat kita. Tak mungkin!
“Ada masanya ketika membaca DCCK saya anggap ia mungkin berlaku di kalangan golongan tertentu saja. Tidak pernah terfikir, suatu hari nanti, kisah yang saya baca ini akan singgah ke dalam rumah tangga saya. Kerana kehidupan kami aman damai, saya bukan jenis nak kahwin dua, kaki pukul atau tidak bertanggungjawab. Kadang-kadang tu saya mencebik kisah yang dipaparkan kerana tidak percaya wujudnya kisah yang dipaparkan.
“Tapi akhir tahun lalu baru saya sedar dan saya percaya kisah yang langsung tak masuk akal itu sebenarnya telah berlaku dalam hidup saya tanpa disedari,’’ demikian cerita Mokhtar ketika kami berbual setelah membaca e-melnya yang panjang lebar. Selain ceritanya, gaya penulisan beliau cukup menarik dibaca.
“Selama tiga dekad rumah tangga kami berdiri teguh, bertiangkan cinta, berdinding kasih berbumbungkan sayang. Perwatakan isteri saya, Salimah yang tak pernah marah, lemah lembut dan penyayang membuatkan rumah tangga kami begitu aman tenteram.
“Percaya atau tidak, selama tiga puluh tahun, kami tak pernah berkelahi mahupun bertengkar. Kalau adapun perselisihan faham, kami cuma tidak bertegur sapa untuk seketika sahaja, setelah hilang rasa marah, kami kembali mesra.
“Dari mula-mula berkenalan hingga berumah tangga seterusnya menimang anak dan kini bercucu, hubungan kami cukup harmonis. Kalau masa mula-mula kahwin dulu, bila berjalan kami berpegang tangan, sampai kini pun pun masih begitu.
“Rumah tangga kami diserikan dengan lima orang cahaya mata dan dua orang cucu. Tiga orang telah pun tamat pengajian di IPTA dan mempunyai kerjaya. Yang keempat masih menuntut dalam tahun akhir, yang bongsu pun sama.
“Sejak bersara dua tahun lalu, saya menjadi ‘pembantu rumah’ sepenuh masa. Kerana pegangan hidup saya ‘kalau orang lain boleh buat kenapa aku tak boleh’ membuatkan saya sentiasa sibuk, sehingga anak-anak menggelar saya ‘jack of all trade’. Dari matahari terbit hingga terbenam ada saja kerja saya buat. Dari menyiapkan sarapan untuk isteri dan anak-anak hingga mencuci, menggosok baju, memasak untuk makan tengah hari dan malam, bertukang, menyenggara kereta dan motosikal, membaiki alatan elektrik, atau apa aja kerja yang membuatkan hari-hari saya cepat berlalu.
“Alhamdulillah, kerana badan tidak pernah diulit kemalasan, kesihatan saya cukup sempurna. Isteri saya lima tahun lebih muda dan masih bekerja di jabatan kerajaan di KL. Saban pagi sebelum meninggalkan rumah, dia akan mencium tangan saya dan saya pula membekalkan ciuman kasih di kedua-dua belah pipi. Bila balik kami akan makan bersama. Di meja makan dia cuma perlu menyuap hidangan ke mulut sahaja kerana semua sudah terhidang. Begitulah dengan pakaian kerjanya, dia hanya perlu menyarung ke badan kerana semuanya siap dibasuh dan digosok.
“Tiga puluh tahun merupakan satu perjalanan hidup yang panjang. Kalau diibaratkan sebuah pelayaran, bahtera kasih kami sentiasa belayar di lautan yang tenang, tanpa badai tanpa gelora hinggalah kira-kira setahun yang lalu.
“Mulanya saya menganggap lingkaran pelangi yang terbentuk tidak akan membuat laut bergelora. Malah ketika awan kelabu mula berarak, anggapan saya juga tidak berbeza. Begitulah yakinnya saya sehinggalah Salmiah minta izin mengikut rombongan ke Pulau Pangkor yang dikendalikan oleh rakan-rakan sepejabat.
“Tanpa berfikir panjang saya izinkan dan menghantarnya ke tempat menunggu bas. Lazimnya bila berjauhan, sms darinya penuh romantis dengan luahan rasa ‘I miss you’. Tapi kali ini SMS yang diterima hambar dan kaku. Terdetik di hati, “kenapa dia tak rasa kesepian seperti kebiasaan bila berjauhan?
“Selang dua bulan kemudian, jabatannya mengadakan hari keluarga di sebuah pulau lain di selatan tanah air. Saya merestuinya walaupun naluri saya ingin menghalang. Selama dua hari satu malam sms yang saya terima hanya sekadar memberitahu, ‘dah sampai’, dan ‘esok balik pukul satu, tunggu tempat biasa’. Tawar, hambar dan kosong.
“Deria saya yang sudah tiga dekad mengenali hati budi isteri mengatakan ada sesuatu yang tak kena. Apakah sesuatu itu? Walaupun saya bukan seorang yang cemburu, tetapi rasa kasih dan sayang tertanya-tanya dalam hati saya, mengapa ya?
“Lebih dua tahun lalu, jabatan tempat isteri saya bekerja menerima seorang staf lelaki berusia hampir 30 tahun. Sebelum ini tak ada staf lelaki. Mungkin kerana ‘kejutan budaya’ agaknya, lelaki ini menjadi rebutan ramai wanita di jabatannya, tak kira yang masih bujang ataupun sudah berkahwin. Mulanya keakraban mereka tidak lebih dari rakan sekerja. Lama-kelamaaan semuanya berubah.
“Lebih setahun nama staf lelaki ini saban hari bermain di hati Salimah. Saya teringat ungkapan orang bahari ‘hati terkenang mulut tersebut’. Namun saya berharap nama itu akan hilang jua bersama hari-hari yang berlalu. Rupa-rupanya hidup ini tidak cukup dengan mengharap saja. Dari ungkapan ‘hati terkenang mulut tersebut’ bertukar pula ‘hati terkenang sms melayang.’ Saban hari bila balik kerja, sms keluar masuk bertalu-talu hinggalah ke ucapan selamat malam. Gelagat Salimah tak ubah seperti watak lelaki tua dalam drama ‘Cinta Sms’ yang disiarkan di saluran TV beberapa tahun lalu.
“Suatu hari, saya tertanya diri sendiri, kenapa banyak sangat berkomunikasi di luar pejabat, kenapa dah masuk ke rumah pun masih menyebut nama anak muda yang sebaya dengan anak kami? Kenapa hendak pergi jemputan pengantin bersama suami pun harus hantar sms beritahu ke mana tujuan? Kerana terasa ada sesuatu yang tidak normal, saya tanya tentang keanehan ketara sejak akhir-
akhir ini. “Abang jangan fikir yang bukan-bukan. Itu kan kawan sekerja,” jawapannya cuba meyakinkan. Bila saya bertanya lagi, “kenapa bersms dengan kawan lelaki sahaja, kan ramai lagi kawan perempuan sepejabat,” soalan yang membuat lidahnya kelu untuk menjawab.
“Hari berlalu minggu berganti namun ‘penyakit misteri’ Salimah tidak juga ada tanda pulih. Bila dia di rumah, saya terasa kejauhan walaupun jasad berdekatan. Sebagai suami, saya dapat membaca gelora rasa yang terlukis di raut wajahnya. Tetapi saya cuba bersabar, dengan membawa Salimah berbulan madu untuk sekian kalinya, ke selatan tanah air. Mengapa ke kota ini? Sebabnya di sinilah kami mula bertemu hingga terbina istana harmonis hingga kekal ke hari ini.
“Di kota ini, saya bawanya menyusuri lorong-lorong memori, jalan yang pernah kami lalui 31 tahun lalu di mana dia memegang erat tangan ini sambil mendendangkan irama ‘ku ingin selalu di sampingmu’. Saya ingin dia mengimbau kembali detik-detik indah alam percintaan dahulu dengan harapan dia sedar bahawa kiranya terlerai ikatan ini, detik indah begitu pasti menyeksakan.
“Harapan untuk melihatnya pulih tidak ada, akhirnya terkeluar kata-kata sinis untuk mengingatkannya, antaranya, “bila balik kerja, jangan lupa bawa balik hatinya sekali,’’ “keluarkan nama abang dari geran rumah kerana kalau abang mati nanti taklah sukar berurusan,” tapi dia masih hayal dalam alamnya.
“Kata orang hati marah melakukan, hati hiba membawa jauh,’’ terasa benar diri ini tidak dihargai langsung. Saya hairan kenapa Salimah yang ketinggiannya 157sm dengan berat badan lebihi 90 kilogram boleh perasan dirinya masih muda, masih menarik dan berhak menaruh perasaan terhadap jejaka yang jauh lebih muda darinya. Hendak dikatakan sunyi, tidak mungkin kerana saya bukan jenis suami yang suka merewang, atau kaki warung kopi. Pada saya, rumahku adalah syurgaku.
“Tak cukup layanan pun tak mungkin, hujung minggu setelah solat subuh, saya sediakan ‘breakfast in bed’. Layanan batin pun okey. Sebab dengan ketinggian 181 sentimeter dan berat badan 77 kilogram, saya mampu menukar rentak dari pelari jarak sederhana hingga maraton. Saya pastikan dia terkulai sebelum saya tamatkan larian. Jadi apa kurangnya saya?
“Setelah hilang punca, saya pasrah memohon petunjuk Ilahi. Dalam sujud solat hajat, saya memohon diberi petunjuk untuk merungkai kemelut ini. Seminggu berselang sedang mencuci kereta isteri, tiba-tiba saya terpanggil masuk ke rumah ada bunyi SMS, Salimah nyenyak tertidur. Biasanya saya tak teringin membaca SMS di telefonnya, tapi hari itu entah kenapa hati saya teringin membacanya.
“Berderau darah, lemah anggota bila terbaca nama pengirim SMS. “Aii dah bercucu pun masih nak bercengkerama dengan SMS? Selesai mencuci kereta, saya panggil Salimah dan meminta penjelasan. Alasannya lelaki itu cuma kawan biasa.
“Saya dah tekad kalau ditakdirkan berpisah jua, saya reda. Tersedar kesilapannya dia cuma menangis sambil memohon seribu kemaafahan.
“Perasaan Salimah beralun bila diusik teman sekerja. Dan lelaki ini pandai mencuit hatinya hingga dia yakin ada lelaki meminatinya. Bila terluang, dia akan menyediakan minuman dan bersembang waktu rehat sampai waktu kerja.
“Di Pangkor, dia bertukar-tukar SMS hingga larut malam, dalam perjalanan balik, mereka duduk berdua-duaan. Salimah bangga dapat menarik perhatian jejaka itu dan menewaskan rakan lain.
“Begitulah perasannya Salimah. Saya tak sangka Salimah sanggup memberi ruang di hatinya untuk insan lain. Bolehkah perasaan yang mekar hampir setahun boleh dilupakan sekelip mata?
“Begitulah kisah yang melanda hidup saya. Di mana silap saya? Adakah kerana terlalu percaya hingga tidak pernah wujud rasa cemburu di hati menjadi punca atau terlebih tatang dan terlebih belai?’’ Bila ditanya, jawapan Salimah,“ Abang tak ada cacat celanya, abang lebih dari suami mithali…” Tapi dengan apa yang terjadi bolehkah dipercayai?’’ Demikian cerita Mokhtar tentang kehangatan cintanya yang semakin pudar.
Inilah hidup. Banyak perkara yang tidak disangka boleh terjadi. Apa yang dilihat baik, rupa-rupanya topeng sementara yang baik disangka sebaliknya.