KISAH yang dipaparkan minggu lalu berjudul ‘Isteri bergaji besar kulikan suami’ memang mendapat sambutan pembaca bukan sahaja mereka memberi nasihat melalui e-mel, malah dalam laman web dcckmona banyak nasihat diberikan.
Penulis telah menghantar pandangan pembaca kepada Naziman dan menurutnya dia mengikuti pandangan pembaca melalui laman web. Tetapi katanya, untuk bercerai sesuatu yang belum dapat difikirkan.
Namun beliau berharap segalanya akan berubah kepada kebaikan. Doanya kepada isterinya Jun supaya ditiupkan rasa kasih sayang dan banyakkan kefahaman dalam dirinya demi membina rumah tangga yang lebih baik pada masa akan datang.
Katanya lagi, sehingga ini hatinya amat lega setelah mencurahkan segala apa yang terbuku walaupun isterinya tidak berubah dalam sekelip mata, tetapi doanya kepada Allah supaya keinsafan akan segera tertanam di jiwanya.
Kita lupakan sementara kisah Naziman bersama isterinya. Minggu ini kita baca pula satu kisah yang biasa kita dengar dan lihat kelakuan sesetengah suami yang lupa diri apabila duit penuh di kocek, rumah tangga seolah-olah tidak diperlukan lagi.
Puan Nuranura dalam e-melnya, mengharapkan penulis menghubunginya kerana katanya, dia tidak begitu pandai menulis mungkin dengan berbual dia boleh bercerita dengan panjang lebar lagi.
Ketika berbual, beliau bertanya mengapakah suami cepat berubah atau beralih kasih? Adakah dia sudah jemu dengan isteri dan anak-anaknya, atau sudah tidak ada perasaan kasih sayang apa lagi cinta terhadap isterinya lagi?
Rasa-rasanya memang payah untuk menjawab soalan tersebut, melainkan Nuranura sendiri lebih faham duduk perkara. Kerana beliau sendiri yang merasakannya, lebih tahu bila perubahan suaminya berlaku, dan sejak bila beliau menyedarinya.
Begitu juga dengan ubatnya. Hanya Nuranura yang lebih faham dan lebih tahu apakah ada sebarang jenis ubat yang lebih mujarab untuk ditelan atau membiarkan diri mati beragan, menahan penderitaan.
‘‘Saya suka membaca ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) kerana banyak pengalaman dapat kita kutip, tetapi saya tidak pernah termimpi suami akan melakukan perkara yang sama seperti apa yang saya baca dalam ruangan ini. Kerana suami saya, Alias begitu baik, menyayangi keluarga, solat tak pernah tinggal dan bertanggungjawab. Malah dia ambil tahu apa yang berlaku dalam rumah.
‘‘Tetapi perubahannya bermula bila dia berkawan dengan seorang kontraktor, kawan lamanya yang dia sering bantu ketika khidmatnya diperlukan.
‘‘Sejak itu saya dapati rezekinya agak murah. Katanya, dia banyak tolong kerja yang banyak tak siap diselesaikan di pejabat kawannya. Tambahan pula kawannya kekurangan kakitangan, kalau adapun, antaranya kurang berpengalaman dan tidak cekap. Sebab itu dia tolong.
‘‘Katanya, kawannya pernah ambil pekerja, tetapi pekerja itu terlalu banyak tak tahu daripada tahu, tak boleh berdikari, jadi daripada membazirkan wang dan kerja tak siap, lebih baik ambil Alias, pasti kerjanya cepat beres dan boleh dipercayai.
‘‘Sebenarnya bukan sahaja membantu kawannya bekerja di pejabat pada waktu petang hingga malam, malah aktivitinya melarat sampai ke kelab-kelab malam, pub, karaoke dan entah apa-apa tempat lagi.
‘‘Memang saya akui rezeki Alias untuk keluarga bertambah tetapi saya tak sanggup dengan kegiatannya yang tidak berfaedah itu turut menular. Boleh saya katakan di sinilah bermulanya kegiatan liar dan maksiat suami saya.
‘‘Tak perlu saya ceritakan kegiatannya, kerana saya tak nampak, tetapi cukuplah saya katakan, di sinilah bermulanya dugaan hidup saya kerana percayakan suami.
‘‘Kepercayaan yang selama ini saya berikan kepada Alias disalahgunakan. Pada mulanya memang saya tak sedar perubahannya hinggalah penyakit ini sudah merebak jadi kudis dan nanah. Saya mendapat bukti Alias telah membuat hubungan dengan GRO yang bermula di pub dan kelab malam melarat hingga ke hotel-hotel.
‘‘Kawan Alias juga sering menjamu teman dan rakan seperniagaan di hotel-hotel dan aktiviti mereka tidak habis di situ aja, malah sering kali melarat ke pusat karaoke. Bila ke tempat seperti itu sudah tentu mereka memerlukan teman dan GROlah mereka langgan untuk rakan-rakan yang diraikan.
‘‘Malangnya Alias bukan jenis lelaki yang kenal siapa itu perempuan. Pada lelaki baik seperti Alias, dia fikirkan semua wanita baik, dia tidak tahu tentang taktik wanita GRO yang suka memerangkap lelaki untuk kesenangan hidupnya.
‘‘Menjadikan keadaan lebih gawat Alias yang tidak kenal taktik wanita ini terus terpikat dengan kecantikan serta keseksian GRO. Walaupun ketika itu dia dah ligat dengan aktiviti malamnya dan begitu rapat dengan kawannya itu, tetapi saya langsung tidak dapat menghidu kegiatan busuknya.
‘‘Yalah siapa nak sangka di rumah Alias baik, pijak semut pun tak mati. Ditambah pula hari minggu dia tidak pernah keluar rumah. Konon pengakuannya pada saya hari minggu adalah hari dia nak berehat bersama anak isteri. Orang lain tak boleh kacau kecuali hal tertentu dan penting saja, selain itu dia tidak akan layan.
‘‘Rupa-rupanya malam-malam hari dia keluar rumah mencari hiburan, konon kata nak tolong kawan, tetapi jumpa GRO. Hubungan rapatnya dengan kawannya itu membawa dia berpindah dari satu kelab hingga ke satu kelab atau pusat-pusat karaoke. Bila dah banyak jumpa GRO tentulah ada seorang yang berjaya memikat hatinya, dan dia tidak berdaya nak lepaskan diri.
‘‘Dari situlah dia mula ke rumah GRO yang seorang ini, orang Malaysia Timur bukan Islam. Lelaki bila bersama wanita akan ada seekor lagi di tengahnya yang suka menghasut maka jadilah maksiat.
‘‘Sejak dia kerap keluar malam dan mula rapat dengan karaoke dan GRO ini, saya tidak pernah sedar perubahannya, sebab dia amat baik dan langsung tidak menunjukkan perubahan mencurigakan. Tetapi sesekali saya pernah terima panggilan telefon tetapi tidak pernah dapat bercakap. Bila dijawab telefon dimatikan.
‘‘Tetapi entah macam mana dengan kuasa Allah yang kesiankan saya yang amat jujur ini, satu hari saya terjumpa seutas rantai dalam kereta Alias, saya tak tahulah sama ada disengajakan diletakkan di situ untuk saya lihat atau jatuh secara tak sengaja.
‘‘Ternyata rantai itu bukan milik saya. Bila saya tanya Alias pastilah jawapannya dia pun tak tahu, mungkin juga milik isteri kawan yang menumpang keretanya. Tetapi naluri saya mula rasa tidak tenteram. Saya mula mengesyaki sesuatu. Tambahan pula saya sering menerima panggilan telefon yang tidak berjawab membuatkan rasa syak saya bertambah menjadi-jadi.
‘‘Akhirnya kerana rasa ingin tahu, saya telefon nombor tersebut, dijawab oleh seorang wanita dia terus terang memberitahu kenal Alias dan mengaku dia ada hubungan. Rasa lemah anggota tubuh badan, kerana saya tak menduga Alias boleh hancurkan kepercayaan saya kepadanya.
‘‘Masa tu Allah saja yang tahu perasaan dan kesayuan hati saya. Tambahan pula waktu itu saya sedang hamil. Setengah hari saya menangis sampai tak boleh buat kerja, dan saya ambil keputusan balik ke rumah tak payah tunggu dia lagi. Saya rasa waktu itu diri saya hampir mati, kerana saya tak menduga Alias seorang suami yang teramat baik dan penyayang boleh melakukan maksiat sampai begitu sekali.
‘‘Bila Alias tiba di rumah setelah berehat saya terus bertanya dan minta penjelasan sejujurnya. Saya tak mahu dia berbohong. Setelah berfikir panjang, Alias mengaku ada hubungan dengan wanita tersebut.
‘‘Menggigil tubuh saya, kerana saya tak sangka orang yang tak pernah tinggal solat boleh buat macam tu. Seminggu lamanya dia tak keluar malam, tapi lepas tu dia pergi balik sebab tak tahan diganggu dengan panggilan-panggilan telefon dari wanita tersebut. Bukan Alias sahaja, saya pun kena maki hamun dan dicarutnya.
‘‘Kerana tak suka bergaduh, saya tukar nombor telefon, tetapi dia dapat tahu juga. Pendek kata, saya tak boleh lari dari maki hamunnya. Saya minta Alias putuskan hubungannya kerana saya tak tahan dengan suasana dalam rumah tangga kami ketika itu sudah tidak aman tenteram lagi. Kami sering berbalah.
‘‘Dalam beberapa bulan saja anak-anak turut menyedari masalah kami, hidup mereka turut tidak tenang, tidak ada gembira seperti dahulu. Akhirnya satu hari setelah hampir setahun bertahan, Alias meminta saya benarkannya untuk berkahwin dengan wanita tersebut. Dia memberitahu saya dia akan memujuk wanita tersebut masuk Islam dahulu sebelum berkahwin.
‘‘Permintaan Alias ini dapat saya rasakan semacam hendak menyeksa batin saya. Sudah hilang semua kasih sayangnya kepada saya dan anak-anak. Dan sejak saya tahu tentang hubungannya dengan wanita tersebut dia tidak menyorok lagi malah beritahu saya terus-terang bahawa dia akan ke rumah GRO itu setiap kali keluar malam.
‘‘Kerana saya masih sayangkan Alias dan anak-anak, kepada Allah saya memohon supaya diberikan petunjuk apa patut saya lakukan untuk mempertahankan rumah tangga ini. Setelah beberapa bulan berdoa walaupun Alias masih mengunjungi dan melancong keluar negara dengan GRO tersebut, akhirnya satu hari Alias memberitahu bahawa dia kesal GRO tersebut tidak mahu masuk Islam.
‘‘Sejak itu Alias jarang-jarang ke rumah GRO itu kecuali berhubung melalui telefon. Walaupun saya gembira dengan perubahan itu, tetapi saya bimbang itu hanya sementara. Saya tak tahu apa sebab sebenarnya mereka mula renggang tetapi saya yakin mungkin doa saya telah Allah makbulkan. Apa yang sangat saya kesalkan bagaimana Alias seorang yang rajin solat, tahu selok- belok agama, puasa tak pernah tinggal pada bulan Ramadan boleh terjebak.
‘‘Kata Alias kepada saya satu hari, dia tak tahan dengan sikap GRO tersebut yang suka mendesak kalau pergi makan angin mesti membawa keluarganya bersama. Dia mahu jadi isterinya tetapi tak mahu masuk Islam. Mungkin banyak perkara lain yang terjadi, tetapi Alias tidak menceritakan semuanya. Kini walaupun Alias nampak hampir pulih, tetapi selama lebih dua tahun saya rasakan hidup saya seperti hampir hancur kerana gangguan GRO tersebut.
‘‘Tujuan saya menceritakan masalah saya ini adalah untuk mengingatkan pembaca wanita semua, janganlah percayakan suami seratus peratus walau baik macam mana sekalipun. Macam Alias kerana terlalu baik dia mudah tertipu dengan godaan wanita, sedangkan dia tidak pernah tinggal solat. Saya cukup hairan macam mana dia boleh jatuh tersungkur kepada wanita jenis itu,’’ demikian cerita Nuranura.
Masalah hidup yang dihadapinya memang perit, ialah siapa sangka orang yang begitu baik pun boleh terjebak. Sebab itu jauhilah tempat-tempat yang menyerupai maksiat, kerana kalau sudah terperangkap anda mungkin tidak boleh mengira sepuluh jari lagi.