‘‘MEMBACA kisah yang dipaparkan minggu lepas berjudul ‘‘Suami lupa diri kerana melayan janda’’ terasa macam sama dengan nasib yang sedang saya alami. Entah mengapa agaknya ramai suami sekarang suka sangat melayan isteri dan janda orang daripada melayan isteri sendiri.
‘‘Saya rasa diri saya tak ada kurangnya, dengan janda yang suami saya layan itu, kami sama-sama bekerja agaknya pendapatan saya lebih lagi. Kalau dia nak rebutkan suami saya itu kaya macam Datuk-Datuk atau usahawan tak pula.
‘‘Malah suami saya cuma pekerja biasa, kakitangan kerajaan aja, pangkatnya pun tak tinggi mana, tapi entah mengapa suami saya suka sangat melayan dan menanggung janda orang dengan memberi makan minum untuk anak-anaknya, sedangkan kami anak-beranak terbiar dan dipinggirkan. Kadangkala saya pelik mengapa keadaan seperti ini boleh berlaku dalam hidup saya,’’ demikian cerita Puan Juriyah ketika saya menghubungi beliau dan berbual setelah membaca kisah hidupnya yang di e-melkan kepada saya baru-baru ini.
‘‘Sebenarnya saya dah letih, dah penat nak kejar suami. Semakin saya kejar, dia semakin jauh lari meninggalkan saya. Semakin saya layan dia dengan baik, semakin dia mencari wanita lain, semakin saya sayang, dia lebih mencintai orang lain.
‘‘Saya dah letih kejar suami saya. Letih! Agaknya saya patut berhenti sekarang, biarlah dia lari mengejar kebahagiaan hidup sendiri, mungkin itu lebih baik untuknya. Kerana padanya, saya dan anak-anak sudah tidak berguna lagi.
‘‘Dulu memang saya terlalu sayangkan suami saya, tetapi kini saya masih tunggu suami saya dan melayannya hanya kerana saya kesiankan anak-anak ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak baik antara kami.
‘‘Kerana itu saya cuba pertahankan perkahwinan ini. Saya pujuk diri saya sendiri dan saya pujuk suami di samping mengingatkan dia bahawa sikap dan perbuatannya itu bukan sahaja salah, tetapi berdosa besar. Tapi macam biasalah suami bukan nak dengar cakap saya. Lagi saya tegur dia, lagi dia tak balik rumah terus.
‘‘Ketika membaca banyak kisah yang dipaparkan dalam DCCK ini timbul keinsafan dalam diri saya, kenapa banyak sangat kisah yang memaparkan penderitaan isteri dan anak-anak yang diabaikan oleh suami. Mengapa kaum lelaki kini suka menganiaya dan mengabaikan tanggungjawabnya, apakah mereka lupa bahawa mereka akan disoal di akhirat kelak?
‘‘Siapakah yang patut dipersalahkan? Dalam kes saya, apakah salah ibu bapanya kerana kurang memberi kesedaran dan didikan kepada anak lelaki mereka tentang pendidikan agama serta tanggungjawab- nya terhadap keluarga apbila berkahwin nanti? Apakah ibu bapa kurang memberi nasihat kepada anak mereka bahawa apa yang mereka lakukan akan dihakimkan di akhirat kelak?
‘‘Macam suami saya, ilmu pengetahuan dalam alam rumah tangga serta tanggung- jawabnya sebagai suami dan ketua keluarga amat dangkal. Agaknya lelaki sebaya suami saya yang golongan warga emas tidak diberikan ilmu berumah tangga ketika berkahwin dulu. Sebenarnya berkahwin bukanlah untuk suka-suka atau kerana nafsu tetapi melaksanakan tuntutan keperluan menyambung zuriat secara halal mengikut Islam. Tidak keterlaluan kalau saya katakan lelaki Islam di negara ini semestinya belajar mengawal hawa nafsu mereka.
‘‘Malangnya kini ramai sangat lelaki yang asyik dan leka dibuai mimpi, mereka lebih gemar memburu wanita untuk melayan ego mereka hingga tidak langsung mengambil tahu masalah keluarga. Bagaimanakah caranya untuk menyedarkan lelaki jenis ini? Patutkah jabatan agama Islam negeri-negeri turun padang, kerana jika tidak lama-kelamaan ia boleh melunturkan institusi keluarga umat Islam di negara ini
‘‘Macam suami saya dan kebanyakan suami lain, mereka asyik melaungkan poligami tetapi tidak langsung berusaha bagaimana menjadi suami mithali dan penuh rasa tanggungjawab kepada rumah tangga, sebelum meneroka alam poligami yang banyak menyeksa isteri. Kerana itu ramai berpendapat suami negara ini berpoligami hanya mengikut hawa nafsu syaitan mereka.
‘‘Kita melihat banyak kes Mahkamah Syariah melibatkan pemberian nafkah dan perebutan anak-anak. Akibatnya jiwa anak- anak terseksa dan menderita hingga membantutkan pembesaran mereka serta mengalami gangguan mental. Akhirnya mereka terlibat dengan penagihan dadah, bermasalah di sekolah, jadi mat rempit, vandalisme dan sebagainya. Semuanya kerana banyak ayah yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.
‘‘Macam suami saya, dia saya kategorikan sebagai penggoda dan pemburu wanita, nama aja bertugas dalam pasukan keamanan tetapi tidak tahu bagaimana menjadi ketua keluarga yang baik. Usia bukan sahaja dah dekat nak pencen tetapi perangai tak pernah berubah dari mula berkahwin hingga kini, suka memikat wanita, tak kira anak gadis, isteri orang apa lagi janda semua diburu dan digoda.
‘‘Kerana tugasnya sentiasa mendampingi masyarakat, dia ambil kesempatan jika bertemu wanita yang menghadapi masalah dalam rumah tangga ataupun ketandusan kasih sayang suami. Dia akan memulakan taktik dengan menunjukkan simpati yang berlebihan kemudian mulalah menghulurkan bantuan wang ringgit.
‘‘Kalau ada isteri orang atau gadis yang cepat sedar dengan perbuatan suami saya mereka akan cepat tarik diri. Tetapi ramai yang tergoda kerana kejahilan sendiri hingga berlakunya maksiat berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya.
‘‘Suami saya bekerja dalam pasukan keselamatan yang tidak memerlukan dia memakai pakaian seragam jadi mudahlah melepaskan diri dari tugas. Dia boleh berkeliaran dengan alasan membanteras jenayah, tetapi sebenarnya dia menggunakan waktu bertugas menemani kekasihnya.
‘‘Bertahun-tahun saya tertipu dan diperbodohkan, bekerja tujuh hari seminggu hingga tidak ada waktu bersama keluarga apa lagi untuk bercuti bersama anak-anak, sepanjang hidupnya di luar rumah alasannya bekerja tak kira siang atau malam.
‘‘Lebih teruk lagi dia tidak pernah berpuasa apa lagi ke surau mahupun masjid untuk sembahyang fardu, Jumaat mahupun solat tarawih, dan sudah menjadi kebiasaan dia jarang balik ke rumah berbuka puasa kerana ke rumah kekasihnya.
‘‘Dah lama saya sabar dengan harapan satu hari nanti dia berubah. Tapi sebaliknya dia akan bertukar kekasih, paling lama dua tahun lepas tu cari kekasih baru, tetapi kali ini dia terjebak dalam perangkap perempuan degil lagi ganas yang dia sendiri tidak berjaya melepaskan diri.
‘‘Hubungan mereka bukan rahsia lagi, suami saya tidak dapat merahsiakan baik dengan saya mahupun anak-anak semua dah tau. Tetapi kerana amat sayangkan keluarga ini saya berusaha membetulkan keadaan. Saya lupakan derita seketika, saya jumpa janda anak tiga ini minta dia putuskan hubungan. Tetapi dia menyalahkan suami saya kerana gilakan dia.
‘‘Suami saya kata, dia tanggung janda ini kerana kesian ditinggalkan tanpa nafkah. Katanya, Nabi Muhammad pun kahwin janda jadi apa salah dia kahwin janda tu. Akhirnya saya kata, kahwinlah segera. Tetapi sampai hari ini mereka tidak kahwin, sebaliknya terus bergelumang dosa.
‘‘Janda itu juga saya pujuk supaya kahwin dengan suami saya segera, tetapi dia mengelak. Katanya, suami saya tidak akan melayan dan menanggung dia lagi kalau mereka nikah. Jadi lebih baik dia tak nikah hanya menyusahkan hidupnya yang terpaksa menanggung suami saya yang sudah tua tu. Tapi suami saya tak sedar diri.
‘‘Kerana masa dan wangnya yang terbatas dia tidak ada masa untuk menziarahi ibunya yang sudah tua, perbelanjaan makan minum kami diberi cuma kalau dia ada duit lebih, jika tidak langsung tak merasa.
‘‘Sudah bertahun saya menguruskan hidup anak-anak dan belanja sekolah hingga belanja anak kahwin dulu pun saya uruskan, tak kiralah meminjam dan sebagainya. Dia lepas tangan. Semakin diminta duit semakin dia tidak mahu pulang ke rumah dengan alasan bekerja tujuh hari semingu.
‘‘Sebenarnya saya tidak pernah terima wang perbelanjaan bulanan daripada suami dan saya tidak tahu pendapatan bulanannya. Dia akan mengamuk kalau saya tanya gaji bulanannya. Lagi pelik semakin tinggi pangkatnya semakin dia lepas tangan.
‘‘KPN pernah berucap kepada isteri-isteri di Sabah dan Sarawak, agar menggalakkan suami yang kuat ponteng supaya rajin pergi kerja, tetapi banyak kes anggota macam suami saya, kerja tujuh hari seminggu, siang malam tak balik rumah, manalah kami tahu dia ponteng kerja. Sebenarnya kami tak boleh awasi mereka, pegawai merekalah yang tahu dan boleh ambil tindakan.
‘‘Macam saya pergi kerja pukul 8 pagi 6 petang baru balik. Saya tak jumpa dia sebab tak tahu bila dia balik dan bila dia keluar, dia cuma tinggalkan kesan kalau balik ke rumah misalnya ada cawan dan pakaian dalam ditinggalkan untuk dibasuh. Sekali sekala bertemu, itu pun ketika dia sedang tidur.
‘‘Bertahun-tahun keadaan ini berlaku, pernah saya tak bersama suami selama dua tiga tahun. Bayangkanlah! Dia cuma melayan dan kesiankan janda dan isteri orang sedangkan isterinya ditinggalkan. Beginilah hidup saya lebih 20 tahun berkahwin. Kerana itu anak tak ramai.
‘‘Oleh kerana dia tak lekat di rumah pernah anak saya balik sekolah terlibat dalam kemalangan, dia tak tahu, nak cari, telefonnya tutup. Lepas sehari baru dia ke hospital. Begitu juga ketika saya terjatuh dan pengsan, dah keluar hospital pun dia tak tahu. Sedih, macam tak ada suami.
“Saya pernah mengadu kepada ketua jabatannya dan minta beliau menasihatinya, tetapi suami saya tidak mahu terima nasihat daripada siapa jua. Akhirnya pegawai itu menasihatkan saya mengadu ke pejabat agama atau ke pejabat disiplin.
‘‘Pada kesempatan ini saya ingin mencadangkan supaya jabatan tempat suami saya bekerja mengadakan kursus wajib menghadapi hari-hari bersara untuk kakitangannya supaya mereka ini tahu sedikit sebanyak agama, ingatkan Allah dan bertanggungjawab kepada keluarga. Bila dah pencen wang sagu hati yang dapat tak seberapa gunakanlah sebaiknya.
‘‘Macam suami saya bukan sahaja dekat dua tahun nak pencen malah cucu pun dah ada, tapi tak sedar diri masih bergelumang dengan dosa. Janda itu bukan nak kahwin dengannya, tetapi menunggu duit sagu hati yang bakal dikikisnya sebelum meninggalkan dia kemudian setelah duitnya habis.
‘‘Bila saya suruh mereka kahwin katanya, dia tak mahu jadi perempuan bodoh macam saya. Tetapi walau macam mana saya ceritakan pada suami, dia tak akan percaya,’’ demikian cerita Juriyah panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya sepanjang perkahwinannya yang tidak bahagia itu.
Kini katanya, dia pun dah belajar kering hati. Kalau suaminya sakit lagi biarlah janda tu merawatnya. Kerana dia tahu dia takkan merasa duit sagu hati suaminya apalagi kasih sayangnya. Jadi biarlah dia kahwin mungkin itu yang baik baginya.
Kadangkala manusianya macam bayang-bayang, semakin dikejar semakin dia jauh. Jadi tunggulah masanya bila bayang-bayang itu mengejar anda pula. Waktu itu baru kita tahu nilai diri sendiri. Wahai wanita belajarlah menilai harga diri sendiri.