Sunday, May 13, 2007

13/05/2007: Isteri curang, suami enggan cerai

MACAM tak percaya apabila membaca e-mel Ruzmi. Betul ke atau rekaan? Sebab jika minggu lalu bertajuk ‘Suami saya gilakan isteri orang’ kali ini kisahnya terbalik, isteri orang gilakan suami orang.


Tetapi saya tetap membalas e-melnya dan meminta beliau menghubungi saya. Ruzmi bercerita di telefon tetapi akhirnya kami berjumpa di restoran untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut, mengapa perkara seperti ini boleh terjadi.



Kami bercerita panjang di restoran petang itu. Kata, Ruzmi, dia tidak merancang untuk menduakan isterinya, apa lagi membuat hubungan sulit dengan isteri orang. “Saya tahu dosa pahala, tetapi semua itu datang tanpa diundang segalanya bermula dengan berkawan, nak tolong kawan, lepas tu timbul rasa kesian, simpati dan ingin menjadi pengubat hati yang terluka. Dan saya sedar saya telah menjadi mangsa kepada dosa yang saya lakukan.’’


Namun untuk mengetahui lebih lanjut kisah Ruzmi, ikuti cerita beliau di bawah ini untuk menjadi teladan kepada kita supaya menjauhi perkara yang datangnya tanpa diduga. Kerana ada kala kita berniat baik tetapi orang lain mengambil kesempatan.


‘‘Saya kenal Hanan semasa dia masih bersekolah lagi, kebetulan ketika itu saya baru berpindah kerja di negerinya. Perkenalan kami melalui kakitangan lain, sebab dia terlalu muda, beza umur kami kira-kira 13 tahun. Waktu itu dia selalu lintas pejabat saya waktu balik sekolah dan membeli makanan di gerai depan pejabat kami.



“Perkenalan berterusan sehinggalah dia berhenti tingkatan lima, sambung tingkatan enam dan bekerja. Perkenalan kami macam biasa, bila dia nampak saya, dia tegur tanya khabar. Kerana dia lebih rapat dengan kakitangan lain di pejabat kami.


“Saya tak ambil pusing fasal dia kerana dia budak sekolah, sedangkan ketika itu saya baru sahaja berkahwin belum pun ada anak. Hidup saya bahagia. Dan isteri ikut saya sama. Kerana baik, kami diundang ke majlis perkahwinannya. Dan perhubungan kami berakhir bila saya dipanggil balik ke HQ (ibu pejabat) setahun kemudian.


“Balik KL hidup kami lebih bahagia bila dikurniakan anak. Dan saya lupa terus dengan Hanan kerana kesibuhan tugas masing-masing. Tiba-tiba pada tahun 2002 kami bertemu semula kerana dia sering ke KL kerana urusan kerja.


“Dia mencari saya, maklum dia belum biasa di KL. Tak ada orang yang dia kenal dan dia tak berani sendirian di KL untuk tiga atau empat hari saja. Jadi saya tempat dia bertanya. Saya tak pergi sendiri malah ditemani isteri, tunggu dia di Puduraya atau di stesen kereta api. Saya tolong dia ikhlas sejak itu sehingga dua tahun lamanya.


“Sekali dua datang dia tak ceritakan masalahnya, semua baik, tetapi lepas dua tahun dia mula bercerita sikit-sikit. Katanya, dia sedih dan kecewa kerana rumah tangganya sedang bergolak. Suaminya buat hubungan sulit dengan wanita lain. Dia cuma dapat tahu pada peringkat akhir.


“Katanya, tidak tahan dengan kerenah suaminya, yang sering bertukar teman wanita dia minta cerai, tetapi suaminya enggan menceraikannya. Lepas bersemuka, suaminya berubah, tapi buat hal lagi. Maklum tengah mabuk asmara.


“Katanya, suaminya bukan saja tidak balik ke rumah berhari-hari kerana tinggal bersama kekasihnya. Malah lebih dahsyat lagi suami sering membawa kekasihnya tidur di rumah ketika Hanan bekerja di luar daerah. Kejadian ini diadukan oleh jirannya. Anak-anak dihantar balik ke rumah ibunya setiap kali Hanan kerja luar.


“Kerana tertekan dengan perangai suami, Hanan mengadu kepada orang tua dan mentuanya. Terjadilah pergaduhan dan masing-masing tuduh-menuduh. Tetapi campur tangan kedua pihak masih tidak dapat selesaikan masalah.


“Jadi bila berpeluang ke KL, Hanan mencari saya dan beberapa kali berjumpa dia mencurahkan masalahnya yang selama ini bersarang di hati. Saya tempat dia mengadu. Saya nasihatkan dia supaya bertukar kerja agar kekal di negerinya dan tidak tinggalkan suami.



“Tapi Hanan beri pelbagai alasan. Dia tetap sering ke KL untuk membeli pakaian anak-anak, pakaian sendiri dan benda-benda lain yang menurutnya boleh dijual di tempatnya dengan harga lebih mahal. Dan mulalah episod baru dalam hidupnya aktif berniaga. Bila dah seronok berniaga dia sering turun KL dapatkan bekalan.


“Mulanya saya tak suka dengar masalahnya, tetapi timbul rasa kesian. Jadi mahu tak mahu saya terpaksa pasang telinga. Entah macam mana setelah dua tahun dia turun naik KL dia mula hantar SMS berbau cinta. Mulanya saya terkejut sebab pertama perbezaan umur kami, kedua masing-masing sudah berkeluarga, ketiga mengapa dia berani nak bercinta dengan saya.


“Dia beri pelbagai alasan mengapa dia sayangkan saya. Dia juga mencabar saya sebagai lelaki, takkan tidak ada hati terhadapnya. SMS yang dihantar mengganggu hidup saya, saya jadi takut, sebab tak biasa buat benda macam tu. Saya tak puji diri baik, sebab saya manusia, bukan malaikat.


“Lagipun saya bukan jenis lelaki suka berkawan, suka berlibur dengan kawan-kawan. Hidup saya cuma di pejabat dan di rumah, tak keluar malam kecuali dengan isteri dan anak-anak. Ketika saya ambil dia di stesen bas atau kereta api, saya tak pernah ke biliknya, saya turunkan dia di hotel dan balik itu saja.


“Tetapi dia goda saya dengan SMS. Akhirnya saya kecundang. Sejak itu hubungan kami bertukar dari kawan karib kepada kekasih. Kami tidak boleh dipisahkan, kami mula menjinakkan kasih sayang. Setiap hari kami curahkan rasa rindu dan cinta. Saya tenggelam dan khayal dalam dunia baru yang tak pernah saya tempuhi selama ini.


“Tetapi saya tidak pernah cuba ambil kesempatan dari hubungan itu kerana dia isteri orang. Tetapi entah macam mana semuanya bertukar bila dia ajak saya temankan ke Tioman. Dia suruh saya datang setelah dia habis kursus.


“Bila saya enggan, dia mencabar. Entah macam mana saya jadi pak turut. Ketika itulah segala-galanya terjadi. Bohong kalau saya katakan saya baik sangat. Saya lelaki normal. Dan hubungan kami berterusan setiap kali dia ke KL ataupun saya ke daerah berdekatan di negerinya.


“Sejak itu kami terlalu memerlukan antara satu sama lain, saling rindu-merindui. Akhirnya kami mengatur banyak perjumpaan melepaskan rasa rindu. Namun saya tetap sayang dan mencintai isteri dan dua anak saya yang semakin dewasa.


“Sebagai orang yang tak pernah melakukan hubungan terlarang seperti ini, setiap hari hidup saya dihantui rasa bersalah dan berdosa. Saya tidak dapat menjalankan kerja dengan baik seperti dulu, prestasi menurun, fikiran berserabut, badan semakin kurus dan sentiasa takut. Bukan takutkan isteri, tapi bimbang rumah tangga saya hancur kerana Hanan. Lagipun saya dah berumur sampai bila harus begini.



“Saya sering berfikir apa yang Hanan mahukan daripada saya. Saya bukan orang kaya, bukan muda, tak handsome sangat, bukan bisness juta-juta, saya orang biasa. Tapi saya tidak sanggup pikul dosa, saya mesti bertanggungjawab atas apa yang saya lakukan. Saya sering ingatkan Hanan bahawa kita tidak boleh berjumpa selalu, tak baik, berdosa, tetapi Hanan tidak pernah takut. Dia akan kata,“ah pedulikan!’’


“Tapi saya tak boleh ikut rentak dan kata hatinya. Malangnya saya sering kalah bila berdepan dengannya. Beberapa kali saya cuba meminggirkan diri, tetapi gagal, tarikan Hanan terlalu kuat. Namun saya sering ingatkan dia bahawa saya mesti berjumpa dengan suaminya untuk membuat perhitungan. Saya mahu kami kahwin, tak boleh teruskan perbuatan terlarang ini. Tapi Hanan tak pernah serius.


“Akhirnya setelah berfikir sekian lama tentang buruk baiknya, saya pun membuat keputusan pada pertemuan kami akhir hujung tahun lalu. Saya cadangkan kepada Hanan supaya kami nikah. Tapi kata Hanan, suaminya tidak akan ceraikan dia.


“Alasannya dulu ketika suaminya ada hubungan dengan wanita lain dia pernah minta cerai, tetapi suaminya tidak mahu. Sebab itu dia amat membenci suaminya. Hubungan mereka bukan macam suami isteri lagi. Saya beritahu Hanan saya terpaksa buat pengakuan kepada suaminya, saya mesti minta ampun dan ceritakan apa yang telah saya lakukan pada isterinya.


“Kalau Hanan diceraikan saya bersedia ambil dia menjadi isteri dan menanggung risiko dengan keluarga saya sendiri nanti. Saya sedar isteri saya tentu membantu. Tetapi saya terpaksa pikul beban ini, saya tak mahu tanggung dosa sampai mati.


“Pengakuan saya kepada suami Hanan bermula dengan sepucuk surat diikuti dengan panggilan telefon meminta dia baca surat tersebut. Hanan dan suaminya bergaduh besar. Suami Hanan beritahu ketika saya telefon dia esoknya.


“Saya pasti tentu Hanan diceraikan, pasti suaminya marah. Tetapi meleset. Mereka sebaliknya maaf-memaafkan terutama suami Hanan. Mungkin dia insaf sebab dia juga berkelakuan macam tu dulu.


“Kini saya sedar Hanan tidak diceraikan sebab suaminya tidak ada pekerjaan tetap, hidupnya bergantung pada Hanan terutama dari segi kewangan. Segala perbelanjaan makan minum keluarga termasuk ansuran rumah, kereta, perbelanjaan sekolah anak-anak semuanya tanggungan Hanan, hinggakan masalah mentua pun Hanan yang bantu. Sebab itu dia sanggup tutup mata atas ketelanjuran isterinya itu.



“Namun kalau dia diceraikan, saya sedia berkahwin dengan Hanan. Tetapi lepas pengakuan itu, mereka tidak bercerai. Sejak itu hingga kini Hanan tidak hubungi saya, saya hairan mengapa sampai begini, paling tidak beritahu apa berlaku, kerana saya sedia bertanggungjawab. Tetapi hingga kini segala-galanya senyap sunyi.


“Benar kata Hanan dulu, suaminya tidak akan menceraikannya. Namun saya tidak kesal membuat pengakuan sebaliknya dada saya terasa lapang, walaupun ketika saya buat pengakuan dan meminta ampun daripada suami Hanan dahulu dia memaki hamun saya dan tidak mahu ampunkan dosa saya sampai mati. Namun saya lega, saya sudah minta ampun. Kalau dia tidak mahu ampunkan saya terserah.


“Kini setelah beberapa bulan berlalu, setelah saya ingatkan kembali peristiwa lama kami, saya sedar dan saya dapat membuat kesimpulan bahawa cerita Hanan tentang suaminya tidaklah sebesar dan sehebat mana berbanding kekuatan nafsunya sendiri.


“Hanan mencari kasih sayang yang dia tidak dapat daripada suaminya, dia mahukan layanan, belaian tetapi suaminya mencari yang lain. Saya dapat rasakan tentang layanannya kepada saya di ranjang terlalu agresif. Dan dia tidak ada perasaan takut apa lagi rasa malu. Dia mahukan layanan daripada dua orang lelaki untuk memenuhi seleranya yang amat besar itu. Itulah Hanan sebenarnya mungkin kerana itu dia keberatan bercerai dan berkahwin dengan saya,’’ demikian cerita Ruzmi yang terperangkap bercinta dengan isteri orang.


Ketika berbual kata Ruzmi, dia tidak terfikir apa lagi merancang berkahwin dua ataupun membuat hubungan sulit, segalanya berlaku tanpa dirancang. Namun kini katanya dia bersyukur segalanya telah selesai. Hatinya sudah aman.


Katanya dulu setiap kali dia menjawab panggilan telefon daripada Hanan badannya menggigil dan dia akan menurut hajatnya, kerana dia tidak berdaya melepaskan diri. Dia tidak kuat untuk berkata tidak, ataupun tidak boleh. Kini dia gembira dia sudah boleh melupakan Hanan.


Sesudah kita baca kisah ini kita mungkin terfikir apa nak jadi kalau ditakdirkan hidup seperti ini berlaku dalam keluarga kita? Akan berlaku kedua pihak menyalahkan sesama sendiri. Bak kata bidalan orang tua, “kuali kata kawah hitam.’’

Read more!