Sunday, May 4, 2008

04/05/2008: Menantu dibenci anak 'dicuri'

SEJAK kecil, saya takut kalau dapat ibu atau berayah tiri. Mungkin kerana cerita-cerita negatif saya dengar dan yang diceritakan kawan-kawan ataupun saudara-mara terdekat. Terutama setelah ibu bercerai.

“Namun kami lima beradik tidak menghadapi masalah tersebut, kerana ibu tak kahwin sehinggalah kami bersekolah. Dan masalah mempunyai ayah tiri tidak menghantui hidup kami kerana tiga orang daripada kami berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama. Ibu pula setelah berkahwin sentiasa menyibukkan diri dalam perniagaan dan suami barunya sentiasa ada di sisinya membantu. Kerana ibu memang pandai buat bisnes.



“Namun setelah usia meningkat remaja, fikiran sentiasa terganggu kerana bimbang dan takut bakal mendapat ibu mertua tak sehaluan. Inilah antara cerita yang sering berlegar di kalangan pelajar perempuan yang dah masuk tingkatan empat dan lima ketika masing-masing sibuk mencari pasangan, “ demikian cerita Natasha ketika kami berbual di telefon setelah saya membaca e-mel yang dikirimkannya.

Saya beberapa kali cuba menghubungi Natasha, tetapi gagal kerana kesibukannya. Cuma minggu lalu barulah beliau menghubungi penulis. Tambahan pula sebelum ini fikirannya sering terganggu setelah berlaku perang besar dengan suaminya. Katanya, hingga kini luka di tanggannya belum sembuh akibat pukulan suaminya.

“Saya selalu mengikuti ruangan DCCK ini dan tertarik untuk menceritakan pengalaman pahit saya, bukan untuk membuka pekung di dada, tetapi untuk meringankan sedikit masalah di dada dan yang sentiasa membelenggu kehidupan sejak mula kahwin lima tahun lalu.

“Sepanjang perkahwinan saya, hubungan dengan suami terutama keluarga dan ibu mertua saya tak pernah baik, sentiasa bersengketa, mereka tidak pernah sukakan saya apalagi menerima saya sebagai menantu. Selain itu mereka sentiasa memberikan pelbagai syarat kalau saya mahu diterima masuk dalam keluarga mereka.

“Semua syarat saya cuba ikut dan patuh kepada arahan dan syaratnya, tetapi semakin saya menunduk semakin sakit, kepala saya mereka cuba pijak-pijak khususnya ibu mertua saya. Saya sedar saya bukanlah menantu pilihan kerana suami saya telah bertunang sebelum kami berkahwin. Itulah yang menjadi punca kemarahan mertua saya ketika kami nikah dahulu.

“Sebenarnya tunang suami saya pun tak mahu berkahwin dengan suami saya. Dia pun tidak suka ditunangkan, tetapi terpaksa mengikut kehendak keluarga. Ketika saya tanya pendiriannya, dia mengucapkan terima kasih kerana mahu berkahwin dengan tunangnya sebab dia juga ada pilihan lain.

“Namun keputusan kami untuk bernikah tetap mendapat tentangan mertua saya, kerana dia masih mahu bermenantukan gadis plihannya. Dalam pada itu suami saya tak berani membantah, sebab dia terlalu menghormati, kalau putih kata ibunya, dia akan kata putih, walaupun hitam. Tetapi entah macam mana suami saya berani juga untuk bernikah dengan saya.

“Ketika nikah, suami saya Neezam datang dengan ibunya tanpa membawa satu sen pun. Mujurlah kawan-kawan serta keluarga memberi sokongan, akhirnya kami nikah juga. Nak jadikan cerita sebelum tarikh pernikahan kami, pelbagai peristiwa aneh berlaku dalam keluarga saya, sebagai contoh, emak saya sering pengsan tanpa sebab. Perniagaannya merosot dan rosak serta merta. Dan rumah kami sering diganggu dengan perkara yang tidak baik. Tetapi kami tidak faham apakah puncanya.

“Setelah mendapat anak pertama, saya kira tentulah perkahwinan saya bahagia tetapi mendung terus melanda. Setelah anak saya berusia 5 bulan, Neezam mencadangkan membawa saya balik ke kampung, katanya mungkin ibunya telah berubah. Malangnya ibunya tetap tidak menerima kedatangan saya sebaliknya meminta saya menghulurkan anak saya untuk dilihat di depan pintu rumah.

“Saya hulurkan anak saya kepadanya dan saya duduk diluar rumah menunggu. Setelah setengah jam Neezam mengajak saya balik dan meminta saya tinggalkan anak saya kepada ibunya.

Kata Neezam selepas dia menjaga anak kami tentu dia boleh terima saya. Saya membantah, tetapi Neezam berkeras mengajak saya pulang.

“Setelah puas memujuk barulah saya setuju melepaskan dengan hati yang berat. Namun beberapa bulan kemudian hubungan saya dengan mertua tetap tidak baik. Kerana sayangkan anak, saya pindah bekerja dekat rumahnya, dengan harapan dapat melihat anak saya, tetapi beliau tidak mengizinkan. Hati siapa yang tidak sakit. Kita dibenci tetapi anak kita diambil. Berkali-kali saya memujuk suami mengambil anak kami tetapi Neezam tidak berani menolak permintaan ibunya.

“Anak kedua saya pun sama, kali ini dia benarkan saya tinggal dirumahnya hingga bersalin, tetapi dia ada tujuan lain, selepas melahirkan, saya disuruh pulang dan anak disuruh tinggalkan dengan ibunya.

“Keluarga saya selalu menegur saya setiap kali saya mengadu tentang keluarga mertua. Mereka mendakwa apa yang berlaku kerana kesilapan saya. Hanya Allah yang tahu hati dan perasaan saya. Kerana tidak mahu bergaduh dengan suami dan mertua, saya mengalah lagi, lagi pun mertua saya memberi syarat tinggalkan anak jika mahu berbaik dengannya. Tetapi hasilnya tetap sama, dia tetap bencikan saya.

“Ramai kawan mengatakan saya bodoh kerana sanggup berpisah dengan anak demi menjaga hati orang lain. Orang luar tidak tahu masalah saya. Ada juga yang mendakwa saya menjual anak kepada mertua.

“Sebenarnya saya terpaksa bersabar kerana suami panas baran. Saya mesti ikut setiap kata-katanya. Menurutnya apa yang dilakukan demi menjaga hati ibunya. Dia tak mahu jadi anak derhaka. Tetapi macam mana dengan hati saya? Kerana anak juga, saya sering bertengkar dengan suami. Sudahlah saya tidak disukai, datang ke rumahnya juga ditegah tanpa kebenarannya. Bila anak saya yang tua berusia 3 tahun saya cuba menghubunginya dengan telefon tetapi tidak diizinkan oleh mertua saya.

“Walaupun saya bekerja, tetapi bila balik ke rumah, saya kesunyian, suami jarang balik ke rumah, kerjanya tak kira siang malam. Jadi siapa boleh sabar duduk di rumah sendirian. Untuk mengelakkan sunyi, saya sering kerja lebih masa. Tapi sampai bila. Akhirnya saya minta izin Neezam pindah rumah duduk dengan kawan-kawan. Neezam pula tak izinkan, ibu mertua saya masuk campur memburuk-burukkan saya.

“Dari mula berbincang hinggalah ke sepak terajang saya terima setiap kali saya beritahu ingin bertemu anak saya. Akhirnya saya hilang kewarasan apabila mertua campur tangan. Itulah pertama kali saya bersikap kurang ajar dengan orang tua.

“Pergaduhan ini berakhir dengan saya mengambil keputusan berpindah. Saya rela bercerai jika itu keputusan Neezam. Dan ketika orang meraikan Hari Kekasih, kami berada di kamar Mahkamah Syariah untuk bercerai. Neezam terpaksa membuat keputusan tersebut kerana itu adalah kehendak ibunya. Begitulah kuatnya hubungan pertalian darah antara mereka. Saya umpama daki di kulit. Air mata saya menitik ketika talak dijatuhkan.

“Hati siapa tak sedih, saya banyak berkorban untuk ibunya, tetapi diceraikan. Saya juga bukan setakat kehilangan anak, tetapi turut dibebani hutang untuk ibu Neezam membeli tanah. Simpanan saya juga habis untuk membeli rumah baru ibunya.

“Neezam tak ada simpanan, gaji pun tak seberapa. Setiap kali ibunya ingin beli tanah, Neezam akan pinjam duit saya. Janjinya lepas ini tentu ibunya suka saya tetapi mana ibunya percaya, kerana Neezam tidak pernah bercerita duit itu dipinjam.

“Neezam cuma lulusan tingkatan lima sedangkan saya ada diploma. Ibunya memang gila kumpul harta. Oleh kerana Neezam tak ada duit sayalah mangsa. Sebab itu saya sedih bila diceraikan kerana saya kena pikul hutang emaknya.

“Setelah tiga minggu bercerai, Neezam rujuk saya semula. Saya sedar Neezam masih sayangkan saya, tetapi dia tidak berani membantah kehendak ibunya. Neezam berjanji dia akan sehidup semati dengan saya, tetapi tidak pernah betul.

“Neezam memang penyayang namun sikapnya buruk tidak pernah jujur, penipu dan pembohong sering menghantui hidup saya. Sikap ini juga ditambah dengan panas barannya dan suka memukul.

“Kata Neezam syarat kami rujuk, saya tidak boleh memberitahu ibunya, biar ibunya tahu yang kami sudah bercerai. Neezam juga sering berlakon meminjam anak-anak kami untuk saya. Alasan Neezam konon membawa anaknya keluar makan angin atau berjalan-jalan. Bila Neezam minta nak bawa anaknya keluar semuanya tak jadi masalah, sebab pada sangkaan ibunya kami sudah becerai. Inilah cara saya berpeluang melihat anak saya. Begitulah kedudukan saya sebagai ibu yang terpaksa berbohong untuk melihat anak sendiri.

“Paling menyakitkan hati, mertua saya sering memburuk-burukkan saya kepada Neezam melalui telefon, dia tak tahu saya mendengar setiap perbualannya, kerana Neezam membuka speaker. Kadang-kadang saya menangis.

“Kadang-kadang tu bila rasa rindu pada anak-anak, saya bercadang tidak mahu memulangkan anak-anak kepada mertua, tetapi Neezam tidak benarkan. Keadaan inilah membuatkan kami sering bertengkar.

“Bila bertengkar, Neezam tidak akan balik ke rumah beberapa hari, dan saya menjadi lebih sunyi. Bila saya telefon dia mendakwa pergi kerja. Bila saya fikirkan kalau bercerai lagi saya tidak akan berpeluang bertemu dengan anak saya.

“Walaupun Neezam mendakwa kerana tugas, tetapi saya sering mencurigainya. Kerana saya pernah terjumpa bukti dia buat hubungan dengan beberapa orang wanita lain. Sekali lagi jiwa saya tertekan. Jika diikutkan hati memang saya ingin perpisahan kali kedua tapi banyak sebab mengapa saya tidak mahu bercerai.

“Pertama saya kehilangan anak-anak, kedua saya terpaksa membayar hutang untuk mertua sedangkan saya tidak memiliki satu apa pun daripada pinjaman saya itu, semuanya untuk mertua termasuk beberapa keping tanah dan rumah baru.

“Seperkara lagi yang merungsingkan fikiran ialah cara mereka mendidik anak-anak dengan kasar, akibatnya anak-anak saya menjadi kasar, bengis dan melawan, setiap kehendanya mesti dituruti, jika tidak mereka akan memberontak, menghempas badan, berguling di lantai, walaupun mereka baru berusia 4 tahun dan setahun.

“Saya ingin bertindak kasar merampas anak-anak saya tetapi bila memikirkan peristiwa-peristiwa aneh yang pernah berlaku kepada keluarga kami ketika saya ingin berkahwin dengan Neezam, saya jadi takut. Namun rasa rindu saya kepada mereka sering menjadi-jadi.

“Bila memikirkan masalah ini saya jadi tertekan. Saya tak tahu sampai bila harus bersabar, dan apakah ini suratan takdir.

“Saya pernah terfikir untuk mencari pekerjaan dan berhijrah ke luar negara, mungkin itu boleh menghapuskan rasa rindu saya pada anak-anak. Tetapi malangnya sampai sekarang saya masih belum mendapat kerja tersebut.” demikian cerita Natasha.

Hidup dalam dunia ini banyak ragamnya, ada yang sayangkan menantu dan anak-anak setiap bulan buat kenduri untuk menghimpunkan mereka, ada juga yang suka minta duit anak menantu untuk peribadi. Dan macam-macam lagi cerita aneh yang tidak pernah kita fikirkan sebenarnya wujud dalam hidup ini. Namun tak perlulah kita buat pinjaman bank untuk gembirakan orang lain. Kerana ada orang semakin dimanja semakin mengada-ngada.


Read more!

Sunday, April 6, 2008

06/04/2008: Isteri tak tamak, suami tak bijak

ISU poligami memang panas. Walaupun sudah sebulan pelbagai pandangan diberikan, namum masih ramai mahu menceritakan pengalaman pahit mereka supaya gadis-gadis yang ingin menjadi isteri kedua dan seterusnya lebih berhati-hati.


Ingatan turut diberikan kepada ayah juga suami bahawa berkahwin lebih dari satu membawa banyak masalah kerana melibatkan banyak hati yang sengsara kerananya, bukan setakat isteri, tetapi masa depan anak-anak perlu diutamakan.



Puan Siti dalam e-melnya berkata, kalau diteliti dan ditanya kepada kebanyakan kaum wanita, mereka tidak menentang poligami, tetapi isu yang lebih besar yang perlu diberikan perhatian ialah nasib anak-anak yang ibu mereka dipoligamikan.


‘‘Sebagai ketua keluarga dan ayah, mereka mestilah berpandangan jauh, mesti tahu apa yang patut dilakukan jika mahu berpoligami, dan risikonya. Mereka mesti memikirkan, poligami bertujuan lain untuk membela kaum wanita khususnya balu di samping meneruskan kebajikan dan tanggungjawabnya kepada keluarga.


‘‘Sebagai suami, mereka mesti bertanggungjawab pada isteri-isterinya, menghormati dan melindungi mereka dan paling utama besarkan anak-anak menjadi manusia berguna kepada bangsa, agama dan negara, bukan untuk keseronokan diri.


‘‘Tetapi sayang sekali kebanyakan kes poligami berlaku sebaliknya, poligami menjadi masalah sosial pula menyimpang terus dari natijah asalnya. Malah menjadi punca anak-anak terbiar, jadi mat rempit, menghisap dadah, seks bebas, rosak akhlak. Inilah yang amat ditakuti oleh ramai kaum wanita dan membantah suami mereka berpoligami.


‘‘Semasa saya belajar di luar negara dahulu dan setelah bekerja beberapa tahun di sana, saya bergaul dengan ramai orang bukan Islam, mereka memberi komen negatif tentang poligami terutama bila bercakap tentang masalah anak-anak mangsa poligami. Ini amat memalukan. Puncanya mereka nak kahwin ikut sunah nabi, tetapi tak ikut cara nabi kita lakukan,’’ kata Siti.


Anita dalam e-melnya pula menyorot kisah minggu lalu berjudul ‘Poligami manisnya cuma 1, masalahnya 9,’ katanya, tindakan Zul suami Azimah seperti orang terencat akal, kerana dia gemar memukul anak-anak tanpa memikirkan keselamatan mereka, apa yang dilakukan semua mengikut perasaan marah apabila kehendaknya terlarang.


‘‘Saya tak dapat bayangkan ada ayah yang amat kejam. Sedarkah dia tindakannya itu akan diwarisi oleh anaknya? Namun sikap Azimah sungguh terpuji. Inilah nasib wanita ketika dijaga ibu dan ayah dia ditatang seperti minyak yang penuh, apabila amanah berpindah tangan kepada suami, hidupnya bertukar corak. Inilah antara episod ngeri yang ditakuti oleh kebanyakan wanita. Bahagia yang diharap derita yang datang.


‘‘Saya berharap rumah tangga yang bakal saya bina tidak lama lagi, jauh dari musibah ini. Kerana alam bercinta berbeza dengan keadaan setelah berkahwin. Namun ruangan DCCK ini banyak membantu saya membuka minda dalam menghadapi kehidupan mendatang,’’ itu harapan tinggi Anita dan beliau mendoakan agar Azimah melindungi anak-anaknya.


Sementara itu minggu ini saya paparkan pengalaman pahit Puan Masriani yang dihambat derita apabila suaminya sering bercinta dan ingin berpoligami. Untuk mengetahui lebih lanjut ikuti kisah beliau melalui e-mel yang dihantarkannya.


‘‘Saya ibu kepada lima orang anak. Sudah berkahwin lebih 13 tahun. Tujuan saya menulis ini kerana ingin melahirkan rasa kecewa dan sakit hati apabila membaca DCCK cerita Lina yang mendakwa ramai isteri tamak tak benarkan suami kahwin lagi. Lina harus sedar hanya isteri yang faham perangai sebenar suami mereka, ibunya sendiri apa lagi wanita lain tidak tahu siapa lelaki itu hanya setelah dia berkahwin.


‘‘Masa bercinta memanglah kentut pun tak berbunyi, semua simpan, tapi lepas kahwin kentut pun dia main lepas ikut suka. Waktu itu semua perangai dan tabiatnya yang sebenar akan keluar, kita boleh lihat siapa suami kita luar dalam, gelojohnya hinggakan suaranya yang tak keluar waktu bercinta, kita boleh dengar sebatu ketika menjerit. Inilah hakikat yang ramai gadis yang gilakan suami orang tak tahu.


‘‘Saya sukakan suami saya Osman atas dasar cinta tetapi saya tak pasti suami saya meminang saya atas dasar apa, adakah kerana terpaksa atau cinta juga, kerana sejak berkahwin suami saya tak habis-habis gila bercinta. Saya betul-betul tak faham apa lagi yang dia tak puas hati. Nak anak, dah ada lima. Nak anak lelaki atau perempuan semua ada, nak kata tak layan nafsu seksnya, saya tak pernah membantah bila-bila aja.


‘‘Nak makan minum semua terhidang atas meja. Cakap aja nak makan apa semua saya masak ikut selera dia. Saya pun kerja juga, tapi tak kisah penat atau sakit, saya tetap akan layan suami dengan sebaik mungkin. Semua wanita mahu jadi isteri solehah dan ikhlas. Tapi kalau dah cuba buat yang terbaik pun dia tetap dengan perangai lama, isteri mana tak sakit hati, jiwa dan raga.


“Sejak mengandung anak pertama dia masih berhubungan dengan makwe lama, berjanji nak kahwin lagi. Bila makwenya tahu dia dah kawin, makwe dia cabut. Ketika saya mengandung anak kedua dia bercinta sakan lagi dengan makwe baru pula.


‘‘Cakap ke mana dia tak bawa makwenya makan angin. Ke utara, ke selatan, ke laut dan daratan semua dia redah. Tak puas berjalan berasmara dana dan bercengkerama pula dalam kereta. Kerana kita sedang hamil semuanya kita terpaksa telan, barulah kita tahu inilah perangai suami. Waktu bercinta jangan nasihat, semua dia tolak tepi. Baru kita nak mula cakap dia dah jerkah, terus jalan tinggalkan kita.


‘‘Ketika mengandungkan anak ketiga dan keempat saja saya lihat dia nampak baik sikit. Sebab jarang keluar malam, entahlah kalau dia bercinta di pejabat aja tak tahulah pula. Itu pun cuma tiga tahun dia nampak baik. Ketika saya dalam pantang anak kelima dia buat hal lagi, bercinta dengan tutor dia masa belajar di Bangi dulu.


‘‘Ini lagi pelik bin ajaib saya fikirkan kalau orang jadi kaunselor tentang psikologi tentulah sebanyak sedikit dia boleh nasihatkan orang, mana yang baik dan mana yang buruk. Bukan dia sendiri turut campur tangan dan buat hal dengan suami orang sampai hancurkan rumah tangga orang. Ini betul ke?


‘‘Biasanya orang yang ambil course psikologi dan kaunseling, boleh bantu selesaikan masalah orang. Tapi tutor suami saya ni jadi penambah masalah. Dia gila sakan bercinta dengan Osman, walaupun dia tahu Osman ini suami orang dan ada lima anak. Osman pula, bila pantunnya bersahut, mulalah tak sedar diri, sebab bercinta ini sudah jadi darah dagingnya sejak kami mula kahwin.


‘‘Mula-mula si Osman hantar SMS kononnya sebagai anak murid dia nak tanya itu ini kepada tutornya. Jawab sekali, Osman tanya lagi, si tutor jawab. Kalau mulanya soalan pendek, melarat soalan panjang, dan tepuk tangan pun berbunyi.


‘‘Mulalah Osman jadi macam bebudak buat soalan bodoh, macam mula bercinta, ‘dah makan ke belum?’ ‘tengah buat apa tu? ‘tengah hari tadi makan dengan siapa? lauk apa? Makan kat mana? sedap ke?’ Yang si tutor tu pun melayan bukan main syok maklum umur dah lanjut tak ada pakwa agaknya dan mungkin sebelum ini tak ada orang nak hantar SMS dengan dia kut, bila dapat SMS mulalah jadi tak tentu hala.


‘‘Dan kalau dia tak layan tentu Osman tak berani nak cuba nasib. Lagipun kalau dia jujur dan kenal Osman dah kahwin tentu dia tak layan. Dan tentu kisah cinta mereka tak berpanjangan. Ini dia pun sama naik miang, suami kita dah tentu sememangnya miang bertambah-tambahlah miang rebungnya.


‘‘Terjaga pukul 2 atau 3 pagi Osman hantar SMS juga. Mulalah tanya soalan bodoh ‘Tidur dengan sapa? ‘Tak sejuk ke, I boleh temankan?’ ‘Tak kesiankan I ke?’ Si kaunselor tu jadi tak sedar diri, tak fikir ke suami orang ni ada isteri nak dilayan, ada anak nak jaga? Dia balas SMS juga. Nama aja belajar tinggi-tinggi tapi tak guna otak.


‘‘Orang lelaki bila menggoda biasalah kalau SMS guna ayat alim-alim kucing ‘jangan lupa solat sebelum tidur’ ‘Nak tidur baca ayat itu ayat ini.’ Padahal dia sendiri solat seminggu sekali, hari Jumaat aja. Kadang-kadang tu kalau azan kat tv dia tukar channel lain, tak mahu dengar azan, apa lagi nak dengar ceramah agama, mengaji ke dia tak minat. Tapi kalau bab nasihat kat kekasih kalah ustaz Hassan Din.


‘‘Kadang tu saya nasihatkan kat dia jangan hanya nasihatkan orang solat, sendiri solat pun tak penuh. Kadang tu seminggu sekali pun susah. Dia marahkan saya, suruh saya jaga kubur sendiri. Agaknya bila si kaunselor tu dapat nasihat Osman kalahkan ustaz Hassan Din mulalah fikirkan Osman ni teramatlah alimnya. Mulalah tergila-gilakan dia konon dialah lelaki yang boleh membimbingnya dunia akhirat. Mulalah bangga dapat kekasih alim. Sebenarnya cik kaunselor, hanya isteri yang tahu perangainya. Isteri tahu pekung, kurap, panau dan kudis buta di badan suaminya. Emak sendiri pun tak tahu. Tapi sikapnya terhadap isteri dan anak-anak hanya Allah yang tahu.


‘‘Suami saya nak cakap terima kasih, apa lagi sayang kat saya memang payah. Tetapi kalau dengan kekasih bila kita baca SMS kalau tak sebut, ‘ayang, yang, I love u, miss u, muarhhh! tak sah. Sedih hancur berkecai hati saya bila saya baca SMS Osman. Dia tak peduli langsung kita baca ke tidak, telinganya dah tebal, tak makan nasihat langsung.


‘‘Kita dalam pantang pun dia tak peduli. Anak-anak perhatikan kelakuannya. Bila kita tegur dia dok telefon di ruang tamu, dia lari telefon dalam bilik. Waktu itu kita tak boleh minta tolong apa pun dia buat pekak badak, pandai-pandailah nak hidup dan nak jaga diri. Kalau ikutkan hati boleh cepat mati, tapi fikirkan anak-anak yang masih kecil kita sabar, tapi kesabaran ada hadnya


‘‘Osman ni kalau nak kata mampu dari segi kewangan memang tak ada. Saya yang tolong bantu membereskan urusan rumah dan anak-anak. Kalau tak bekerja tak tahulah ke mana kami nak minta sedekah. Sebab orang takkan nak tolong sebab saya ada suami, bukan ibu tunggal. Tapi suami kita tak fikir itu semua.


‘‘Masa mula-mula kahwin memang hidup kami susah, pernah cuma ada RM10 dalam tangan. Nak makan apa? Nak tunggu gaji lima hari lagi. Terpaksalah makan malam lima hari berselang-seli makan nasi lauk telur mata lembu dengan kicap, telur dadar, sambal telur, telur masak kicap, sup telur. Sebab telur aja yang murah.


‘‘Tapi waktu itu semuanya ok, dia suruh kita sabar tunggu gaji. Bila dapat gaji dia tak sedar diri, tak tahu berjimat. Sekarang lagi teruk, bila gaji naik sikit dan berduit mulalah tak sedar diri. Lagak macam orang berduit, dia tak menghargai pengorbanan saya turut membesarkan anak-anak. Dia lupa tanggungjawab kerana saya membantu. Macam ni nak kahwin dua?


‘‘Orang lelaki cuma bab kahwin nak ikut sunah nabi, ajaran nabi tak ikut, sembahyang tak penuh, jadi imam pada isteri tak tahu. Bimbing anak tak pernah. Bagi nafkah keluarga tak pernah cukup. Yang dia tahu berdosa besar isteri tegah suami kahwin lagi. Sakitnya hati...


‘‘Kepada gadis-gadis yang bercinta dengan suami orang, lupakanlah mimpi-mimpi indah anda. Jangan percaya cakap mereka, suami kami pandai jual temberang. Silap hari bulan, anda pula terpaksa tanggung dia dan makan minum kami anak-beranak. Bukan tak bagi suami kahwin lagi, tapi tak mahu anda dianiaya,’’ demikian nasihat Masriani.


Kata seorang teman, dia hairan mengapa suami yang berpendapatan tak seberapa nak berpoligami, tetapi yang kaya rela menceraikan isterinya untuk beristeri muda. Mereka bukan tidak mampu berpoligami, tetapi mengapa sanggup ceraikan isterinya? Fikirkanlah.

Read more!

Sunday, March 30, 2008

30/03/2008: “Poligami manisnya 1, masalahnya 9’

KISAH minggu lalu berjudul ‘Hanya lelaki pilihan boleh berpoligami” mengundang pandangan yang pelbagai, tidak seperti diharapkan Nurhazira.


Rata-rata pembaca yang menghantar e-mel menasihatkan Nurhazira meletakkan dirinya di tempat isteri pertama, ketika itu baru dia dapat merasakan betapa peritnya hati, sakitnya jiwa bila diri tidak disayangi oleh suami.



Azah yang mengakui isu poligami tidak ada kesudahan. Beliau tidak menentang poligami tetapi selalu menasihatkan suami, rakan-rakan lelaki supaya membetulkan keluarga dahulu dengan memberikan didikan dan ilmu agama.

‘‘Untuk pengetahuan Nurhazira kesalahan suami anda ialah berkahwin secara rahsia, ketua tidak membentuk isteri pertama jadi isteri solehah (mengikut cerita anda). Kegagalan rumah tangga terletak di bahu suami dan isteri. Suami memainkan peranan membentuk isteri. Jika isteri tidak dididik maka si suami tadi bukan suami pilihan.


‘‘Zaman ini sukar dicari lelaki yang betul-betul layak berpoligami, kalau sekadar ada harta dan ilmu belum tentu bahagia dan berjaya, yang penting seseorang itu perlu berlandaskan Islam sebagai cara hidup.



‘‘Sekiranya saya Nurhazira, saya tidak akan kahwini lelaki yang tidak dapat membentuk isteri pertamanya. Kerana kita bukan bahan ujikaji. Kalau perkahwinan pertama gagal, belum tentu yang kedua bahagia. Jangan musnahkan hidup kita hanya kerana lelaki, tidak berbaloi,’’ kata Azah.


Maria dalam e-melnya berkata dia layak memberi pandangan kerana dia juga mengalami kehidupan sedemikian.


‘‘Hanya suami berpoligami layak beri pandangan, kerana dia ada ramai isteri. Dia lebih tahu tahap kebaikan dan keburukan isteri-isterinya. Namun suami mesti tahu apakah dia telah jalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Apa rasional dia bernikah lagi? Adakah dia faham maksud poligami dari sudut Islam? Kerana kealpaan suami akan mengakibatkan timbul isu negatif tentang poligami.


‘‘Hanya segelintir suami faham dari sudut Islam. Kebanyakannya nak test market, sebab pengaruh kawan yang berpoligami, tanpa mendalami masalah yang akan wujud, kemampuan nafkah zahir batin, keadilan pelbagai aspek, jadi adakah dia layak sebagai nakhoda mengemudi kapal-kapalnya?


‘‘Saya bercakap berdasarkan pengalaman, tak perlulah beritahu saya ini isteri pertama, kedua atau seterusnya, tapi saya ingin membuka mata isteri-isteri yang bermadu, kita jangan terlalu percaya kepada apa yang diceritakan oleh suami tentang madu kita, jangan menuduh tanpa mengetahui kebenaran keburukan madu kita.


‘‘Kita juga perlu fikir dan renungi mungkin suami kita yang jadi dalang dalam permusuhan antara kita. Fikirkan mengapa alim ulama jarang berpoligami? Sebabnya dia tahu hukum hakam, dan takut dilaknati Allah kerana kegagalannya berlaku adil. Lagi pun mereka faham dan berfikir apakah dia cukup sempurna sebagai ketua keluarga dan suami. Bukan seperti kebanyakan lelaki, kahwin dulu baru fikir,’’, kata Maria.


Namun minggu ini saya bawakan pengalaman pahit Puan Mazimah gara-gara suami yang hidup tidak keharuan hingga hampir menghancurkan rumah tangga apabila digoda. Beliau juga saya temui di KL Sentral di tengah-tengah kota Isnin lalu.


Kata Mazimah, sejak mula kahwin dia faham perangai suaminya panas baran, pantas tangan dan cepat mengamuk, tetapi semua itu boleh diatasi, sehinggalah fikirannya terganggu apabila anak-anak jadi mangsa penangan suaminya.


‘‘Zul memang cepat berang walaupun masalah remeh temeh dan bila kehendaknya tidak dipatuhi. Selama lebih 17 tahun kahwin, saya sentiasa sabar dan berusaha kurangkan marahnya sama ada di tempat kerja, dengan kawan-kawan atau di rumah. Dia akan cepat naik angin kalau lauk terasa garam, air terlalu manis, terpanas atau keadaan rumah bersepah. Dia akan melenting, memekik dan menghumban apa sahaja, apa lagi bila anak menangis. Jadi saya berusaha mengawal keadaan.



‘‘Kalau dia cakap salah jangan dibantah, apa lagi kalau dibetulkan dia cepat angin. Pernah dia tinggalkan saya di kedai bersama dua anak yang masih kecil dan terus balik ke rumah, semata-mata kerana terpintas cakapnya. Pandai-pandai sayalah kalau nak balik. Waktu itu memang susah dapat teksi, saya terpaksa menunggu sejam lebih dalam keadaan panas dan anak-anak kelaparan.


‘‘Pernah juga dia tinggalkan salah seorang anak kami di kedai semata-mata kerana dia minta belikan pensil dan pembaris yang hilang. Setelah tiga jam anak kami yang berusia 9 tahun ditinggalkan di kedai itu, barulah dia telefon saya suruh pergi ambil.


‘‘Dalam ketakutan dan terkejut yang teramat saya tak sedar menangis sambil mencari anak ke hulu ke hilir dan di dalam kedai. Saya hampir pengsan kerana sedih. Setengah jam kemudian baru nampak anak saya berlari mendapatkan saya dalam ketakutan. Sebab dia tak pernah keluar rumah sendirian, tak tahu jalan balik dan kedai itu jauh dari rumah kami, bas pun tak ada.


‘‘Selepas menghantar anak balik saya cuba tenangkan dia, malamnya dia demam panas kerana takut. Tapi Zul tak ambil pusing. Hubungannya dengan anak-anak tak mesra langsung. Tak pernah berbual, kecuali kalau dia marahkan mereka. Dia tak peduli masa, siang atau malam, bila naik angin semua orang kena marah, anak-anak sentiasa dalam ketakutan.


‘‘Sebenarnya perangai barannya sejak kecil. Bukan kami anak beranak saja kena marah. Adik-beradiknya pun tak sukakan dia. Zul tak pernah pedulikan mereka. Dia cuma pentingkan dirinya saja, hinggakan adik-beradiknya tak suka ke rumah kami.


‘‘Itulah juga perangainya di pejabat, semua orang tahu, dia tak suka di bantah, apa lagi ditegur, dia fikir dia betul.


‘‘Perangai barannya buat saya kesiankan anak-anak, kerana takutkan ayah mereka, apa lagi kalau pelajaran mereka merosot, bukan setakat anak-anak kena marah, saya pun kena tengking, kerana tidak ajar mereka. Bila saya kata tak ada masa kerana perlu masak, berkemas rumah selepas balik pejabat, dia tak peduli. Sedangkan dia balik pejabat hanya tengok tv, baca paper dan tunggu makan malam.


‘‘Perangai barannya tak menentu, pernah ketika kami diajak berkelah, dia tak berkenan tengok pakaian salah seorang anak kami, dan si anak pula sukakan pakaian tersebut, kerana tak dengar cakapnya, dia terus batalkan rancangan berkelah. Begitulah perangainya tak suka bertolak ansur.


‘‘Pernah juga dia tinggalkan seorang anak kami sendirian di rumah untuk pergi bercuti puncanya kerana anak kami lambat balik dari kelas tambahan.



‘‘Selain panas baran Zul juga amat kedekut kalau ke kedai. Waktu nak bayar dia keluar dulu. Tapi nak makan yang best-best. Itulah perangainya, punyalah kedekut.


‘‘Keadaan semakin teruk kira-kira tiga tahun lalu. Mulanya saya tak tahu, hinggalah saya ternampak SMS bunga-bunga cinta dan ucapan kasih sayang. Tapi saya diamkan kerana takut dia angin. Hinggalah setahun lalu dia berubah sikap suka keluar malam, dan sering terima SMS. Saya mula syak tapi tak berani tanya.


‘‘Satu hari saya buka SMS dari telefon dan letakkan atas pangkuannya sambil saya kata sampai hati dia bercinta dan nak kahwin lagi, sedangkan saya terlalu banyak bersabar dengan panas barannya. Tapi dia tak peduli. Jawab pun tidak, dia buat selamba.


‘‘Dalam diam saya siasat siapa gadis yang menggodanya. Setelah rahsia terbongkar saya jumpa gadis itu dan bertanya apakah dia benar-benar nak kahwin dengan Zul, dia mengaku, dia tahu perangai panas baran Zul, katanya itu bukan masalah besar, dia boleh atasi. Dari perwatakan dan cara bercakap dia memang sombong, ego dan perangainya sama dengan Zul. Kawan-kawannya juga bercerita yang sama.


‘‘Sejak rahsianya terbongkar, kelakuan Zul bertambah ganas, dia bukan saja pukul anak-anak, tapi sanggup lempar benda-benda hingga mencederakan mereka. Dia jadi ganas bila rajin mengajar anak-anak. Katanya tak payah tuisyen. Tujuannya supaya dia tak payah keluar duit tuisyen.


‘‘Waktu mengajar kalau tak mendebuk dan tak memukul anak-anak, dia tak puas hati. Pernah kepala anak saya kena lapan jahitan dibaling fail tebal dan tajam, bukan itu saja ada yang tak boleh berjalan tegak bila tulang belakang terkehel kerana dipukul. Doktor yang merawat nasihatkan saya buat laporan polis, tapi risikonya Zul akan kena buang kerja dan kena penjara.


‘‘Waktu dia pukul anak-anak saya tak boleh tegur, nanti dia pukul lebih teruk.


‘‘Saya pernah tanya Zul betul ke dia nak kahwin lagi? Kalau dia kahwin lagi dan boleh berubah jadi ayah dan suami yang baik, kahwinlah. Tetapi setelah dihasut oleh gadis tersebut dan keganasannya terhadap anak-anak menjadi-jadi, saya suruh dia fikir semula apakah ada kebahagian jika dia kahwin lagi?


‘‘Dia pernah junjung al-Quran depan saya menafikan dia bercinta dan nak kahwin, bukan sekali dua dia nafikan, tetapi dalam diam dia teruskan hubungan. Dia sanggup ikut gadis tu bertugas out station, sanggup pergi jogging, pergi jim setiap hujung minggu semata-mata untuk bersama, pada saya dia bagi alasan nak jaga kesihatan.



‘‘Cerita Zul pada kawan rapatnya, dia nak kahwin dengan gadis itu sebab gadis tu bergaji besar, sama taraf dengannya. Lagi pun dia perlukan duit sebab pelaburan saham yang dibuatnya rugi dan bisnes dengan kawannya hancur.


‘‘Pada saya inilah padahnya, dengan anak isteri, adik beradik sendiri dia kedekut, apa lagi nak bantu, asyik kata tak ada duit sedangkan dia simpan banyak duit. Allah dah kata rezeki yang diberi-Nya adalah untuk keluarga selain bersedekah. Akibatnya semua duit simpanan lesap sekelip mata.


‘‘Bila tak ada duit, dia minta pada saya. Kalau tak bagi, dia akan mengamuk.


‘‘Kerana asyik bercinta tak ada keputusan bila nak kahwin, akhirnya saya telefon ayah kekasihnya minta mereka desak anaknya kahwin segera, sebab saya tak mahu Zul memukul anak bila fikirannya terganggu. Tapi bila balik Zul mengamuk, saya hampir makan penumbuknya.


‘‘Kerana bimbangkan keselamatan kami dan atas nasihat dan kebenaran mahkamah syariah dan doktor yang takut anak-anak jadi mangsa, saya pindah ke rumah saudara saya. Lepas sebulan atas nasihat mahkamah juga saya kembali ke rumah bila keadaan sudah reda. Waktu saya balik Zul tak ambil pusing, malah dia tanya saya buat apa balik. Lelaki memang besar egonya. Tetapi selepas beberapa hari dia buat drama lagi beritahu saya, dia tak berhajat kahwin lagi.


‘‘Katanya apa yang dilakukannya hanya kerana dia suka bila ada wanita lain sayangkan dia. Saya tanya dia apakah saya tak sayangkan dia? Katanya nikmat bercinta lain. Kahwin tu bermasalah. Katanya, orang kata kahwin dua ni seronoknya cuma 1, masalahnya ada 9, jadi buat apa susahkan diri. Dia memang tak nak kahwin lagi.


‘‘Sejak itu hingga kini katanya dah lebih setahun dia dah putuskan hubungan, tapi gadis itu tak pernah jemu. Dia terus menggoda Zul. Maklum umur dekat 40 tahun. Terdesak agaknya. Hantar SMS setiap hari. Lebih dua tahun gadis tu menggodanya, dia tak layan, tapi lelaki ni dalam diam, dia curi-curi makan juga. Tapi bila tanya katanya dia tak minat nak kahwin,’’ demikian cerita Mazimah tentang pengalaman pahitnya.


Memang sakit hati kalau suami panas baran dan pantas tangan, tambah mendidih darah dalam pada bengis itu dia nak kahwin lagi. Tapi tak salah suami juga kalau si gadis bersedia jadi nombor dua. Terdesak kot? Tapi ingat jangan pikul biawak hidup, nanti merana diri.

Read more!

Sunday, March 23, 2008

23/03/2008: Hanya lelaki pilihan boleh berpoligami?

‘‘SAYA amat tersentuh dengan isu poligami yang dibentangkan beberapa minggu lalu, terutama oleh Farra Emelia, kerana saya terlibat kahwin suami orang. Saya rasa pandangan yang saya luahkan ini mungkin satu dalam seratus, tetapi mungkin boleh mengubah persepsi masyarakat kita terhadap wanita yang bergelar isteri kedua,’’ demikian kata Nurhazira ketika penulis menemuinya di sebuah restoran di KL Sentral baru-baru ini. Sebelum itu beliau menghantar e-mel dan penulis berbesar hati kerana Nurhazira sudi berkongsi pengalamannya, setelah mendapat keizinan suami.



‘‘Sebenarnya saya tak takut kalau puan siarkan nama betul saya, sebab saya berada di tempat yang benar. Banyak sebab mengapa saya tertarik untuk jadi isteri kedua, selain lelaki bujang yang rata-rata tak minat berkahwin dan tidak bertanggungjawab.



‘‘Secara jujur saya rasa tidak ada seorang gadis pun di dunia ini mengimpikan berkahwin dengan suami orang apalagi berkongsi kasih. Saya juga tidak impikan begitu. Tapi, kalau memang begitu takdir kita apa daya saya menolak ketentuan-Nya.


‘‘Seperti gadis lain saya juga teringin berkahwin berpinang, beradat, bersanding dan diraikan oleh sanak saudara dan rakan taulan, tetapi apakan daya. Kalau kahwin suami orang kita tidak akan berasa semua itu, kecualilah seorang dua yang bertuah dipinang bakal madu. Saya tidak begitu.


‘‘Perkenalan kami secara tidak langsung di rumah kawan. Kebetulan Suhaimi peramah, suka berjenaka dan mudah bergaul telah tertarik dengan perwatakan saya, begitu juga saya cepat mesra dengannya.



‘‘Perkenalan kami berakhir dengan beberapa kali perjumpaan dan seterusnya Suhaimi melahirkan hasrat untuk menjadikan saya isterinya. Dia beritahu sudah berkahwin dan punyai tiga orang anak. Dia tidak memburukkan isterinya, malah berkata dia ingin berkahwin kerana antara kami ada keserasian, dan saya senang dengan tindak tanduk serta kejujurannya.


‘‘Namun memang pada mulanya saya menolak, kerana saya belum bersedia berkahwin terutama dengan suami orang, tetapi setelah saya mendapat petunjuk dan saya rasakan dialah jodoh yang terbaik, saya terima dengan kesyukuran.


‘‘Memang benar sebelum ini bukan saya tak ada teman lelaki yang masih bujang tapi, tak ada yang boleh dijadikan suami. Mereka layak digelar kawan sahaja.


‘‘Bukan maksud saya menidakkan bahawa di luar sana tidak ada lelaki bujang yang baik tapi mungkin saya tidak bernasib baik kerana tidak bertemu mereka. Kenapa saya memilih suami saya sekarang walaupun saya tahu dia suami orang, adalah kerana kejujuran, sifatnya yang bertanggungjawab, berbudi bahasa dan yang penting pegangan agama yang kuat.


‘‘Saya masih ingat kali pertama bertemu, dia dengan jujur mengaku sudah ada anak dan isteri. Saya tidak kisah kerana ketika itu kami sekadar berkawan dan dia merupakan salah seorang dari kawan saya. Jadi waktu itu dia tak masuk dalam buku saya pun.


‘‘Tetapi beberapa bulan sebelum itu saya putus cinta. Dan kali pertama saya keluar makan bersamanya saya sudah dapat rasakan keserasian antara kami. Kami berbual dan berjenaka seolah-olah kami sudah terlalu lama kenal.


‘‘Selang dua tiga hari, dia menyatakan dia menyukai saya. Mulanya saya agak ragu-ragu juga kerana dia suami orang, tapi dia tidak memaksa saya menerimanya, sebaliknya memberi saya ruang untuk mengenali dan menilai dirinya.


‘‘Sepanjang berkawan, tak pernah sekalipun dia memburukkan isterinya. Dia ceritakan pada saya semuanya yang baik-baik. Malah selalu memuji isteri dan anak-anaknya. Setiap hari sekurang-kurangnya dua kali dia akan call isterinya, kerana isterinya di utara tanah air sedangkan dia bekerja di KL. Hujung minggu baru balik.


‘‘Dia cukup menyayangi anak dan isterinya. Tidak pernah sekalipun saya lihat dia bercakap kasar dengan mereka. Cakapnya cukup lemah lembut dan penuh kasih sayang. Saya kagum dengan caranya, walaupun ketika itu kami sedang bercinta, tetapi hati dan cintanya tetap pada anak isterinya malah saya lihat semakin hari semakin dalam kasihnya pada keluarga.



‘‘Tidak seperti kebanyakan lelaki, kalau dah dapat kekasih baru, anak isteri diabaikan. Kerana sifat seperti inilah saya berani menerima lamarannya, walaupun saya sedar masyarakat tidak dapat menerima isteri kedua.


‘‘Suhaimi datang ke kampung bertemu ibu untuk melamar. Alhamdulillah ibu tidak membantah kerana ibu lihat kejujurannya, tetapi sayangnya kami tidak boleh berkahwin di kampung kerana undang-undang yang sedia ada. Dan atas permintaan Suhaimi yang mahu merahsiakan perkahwinan kami. Dia mahu beritahu isterinya satu hari nanti apabila isterinya boleh terima hasratnya berkahwin lagi.


‘‘Dua tahun lepas kami berkahwin di Yala, secara yang sah, di pejabat yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bukan melalui sindikit. Walaupun kami cuba rahsiakan, tetapi kawan suami saya membocorkannya, setelah setahun kami berkahwin.


‘‘Satu hari tanpa kami sedari madu saya Kak Sara bersama ibu dan kakaknya mengekori kami sampai ke rumah ketika pulang dari pejabat. Bila kami hendak masuk ke rumah, Kak Sara terus menerkam Suhaimi dan menamparnya. Ibu dan kakak Kak Sara memaki hamun sambil menuduh saya bomohkan Suhaimi supaya gilakan saya.


‘‘Mereka tuduh saya anak Orang Asli kerana saya orang Pahang. Kata mereka, ilmu Orang Asli yang buatkan Suhaimi gila dan kahwin dengan saya. Walaupun saya cuba nafikan tapi mereka terus menuduh dan menyerang, sambil memaki hamun.


‘‘Walaupun saya tak bertudung tapi saya tak pandai pasal bomoh. Suhaimi tahu sebab saya sentiasa bersamanya masa bila pula saya jumpa bomoh. Saya juga tidak pernah ganggu hidupnya, sebab itu lebih setahun kahwin Kak Sara tak tahu. Suami saya juga pulang ke kampung isterinya setiap minggu, hantar wang, kadang tu bila isterinya telefon minta duit lebih suami saya minta pergi masukkan duit ke bank. Pernah juga bila dia tak sempat ke bank, saya beri duit saya. Saya pastikan Suhaimi bertanggungjawab kepada keluarganya, saya tak mahu mereka bercerai-berai.


‘‘Sebab saya juga adalah anak mangsa ayah tidak bertanggungjawab dan sering berganti isteri, tetapi kebajikan anak-anak tidak dipedulikan. Malah dua adik-beradik saya dilarikan, seorang dihantar kepada nenek di kampung sementara yang kecil ayah beri kepada isterinya yang tak ada anak. Hingga hari ini kami tak berjumpa, malah mereka tidak mengaku kami adik-beradik sebab ibu bukan orang kaya.


‘‘Sejak berkahwin saya sentiasa beralah dengan madu. Suhaimi memang lebihkan Kak Sara. Tapi saya sedar kerana saya nombor dua. Tetapi sejak diserang hidup saya yang aman bertukar huru-hara. Saya dituduh mengguna bomoh. Pantang dia demam, atau anak-anak sakit gatal-gatal mahupun kakinya sengal dia tuduh saya buat ilmu. Mulalah maki saya kerana bela hantu, bela jin boragas, dan pelesit. Apalah saya tahu benda-benda itu. Bela arnab okeylah.


‘‘Dia juga tuduh saya bagi suami makan benda-benda kotor, sebab itu dia jadi bodoh ikut cakap saya. Sebenarnya Suhaimi rajin ke dapur, kami masak bersama, jadi masa bila nak bubuh benda-benda kotor tu. Kerana dia tuduh saya ilmukan Suhaimi jugalah Kak Sara mula asingkan dirinya dan menyuruh Suhaimi tidur di luar. Dia tak mahu layan langsung selagi saya tidak diceraikan, itu syaratnya kalau mahu berbaik semula.



‘‘Tak cukup itu dia sebarkan fitnah yang sama kepada saudara mara suami saya, dan kawan-kawan kami. Ada kalangan mereka yang percaya dan termakan hasutan turut menggesa suami saya ceraikan saya.


‘‘Tetapi taktik menghasut dan membenci saya kepada keluarga suami, ibu bapa dan adik-beradik serta saudara-mara suami saya semuanya tidak menjadi, sebaliknya lepas beberapa bulan mereka mula menyukai saya, setelah mengenali siapa saya yang amat berbeza dengan Kak Sara yang tak suka bergaul dengan keluarga suami saya. Pendek kata, semua hasutan dan tuduhannya berpatah balik memburukkannya.


‘‘Namun Kak Sara tetap tidak berpuas hati, akhirnya dia mendesak Suhaimi menceraikannya. Tetapi saya nasihatkan Suhaimi jangan ceraikan Kak Sara demi anak-anaknya, saya tak mahu anak-anak jadi mangsa seperti nasib saya semasa kecil dahulu.


‘‘Setahu saya keluarga Kak Sara memang kaki bomoh, sikit-sikit tilik bomoh, mereka memang taksub dengan bomoh. Hinggakan belalang padang masuk rumah pun dia tuduh saya hantar pelesit. Benda tahyul itu dia simpan tunjuk kepada suami saya bila balik nanti. Kalau dah selalu sangat didesak akhirnya termasuk juga pada akalnya.


‘‘Satu hari balik dari rumah Kak Sara, Suhaimi tanya saya betul ke saya ada bomohkan Kak Sara? Terkejut saya. Hati kecil saya benar-benar terguris, berjaya juga Kak Sara menghasut. Untuk puaskan hatinya, dia ajak saya jumpa seorang ustaz. Saya setuju. Bila sah saya memang bersih tak ada bela hantu, setan, jin boragas, hantu raya dan sebagainya, barulah dia puas hati.


‘‘Sebenarnya Kak Sara sakit hati sebab keluarga suami saya boleh terima saya dengan baik. Dia memang tak tahu bawa diri bila berada di kampung suaminya. Bapa mentua juga suka bila saya balik kampung. Kadang-kadang mereka menceritakan mereka tak sukakan kelakuan Kak Sara.


‘‘Berbalik pada soal duit belanja, walaupun Kak Sara dapat lebih tetapi selalu mengadu tak cukup. Sebenarnya duitnya banyak dibelanjakan untuk jumpa bomoh.


‘‘Dia juga suka kompelin konon perhiasan rumahnya tak cukup, tak selesa nak tinggal, tetapi ipar saya yang pernah ke rumahnya beritahu, rumah Kak Sara banglo besar peralatan dalam rumahnya macam hotel, lengkap segalanya. Malangnya dia tak bersyukur. Sedangkan saya cuma duduk menyewa rumah flat. Tapi saya bersyukur inilah rumah saya dan saya amat bahagia kini.


‘‘Kalau dulu Kak Sara sering mendesak saya diceraikan, tetapi hidup saya semakin bahagia, sebaliknya hubungannya dengan Suhaimi semakin renggang, bukan kerana bomoh dan ilmu hitam, tetapi atas desakan dan perbuatannya sendiri yang sering minta cerai dan halau suami tidur di ruang tamu setiap kali suami balik ke rumah, kerana alasannya dia rasa jijik dan geli tidur dengan suaminya, selagi tidak ceraikan saya.



‘‘Saya ingin tanya salah siapa kalau satu hari suami bencikan Kak Sara? Semua ini berlaku kerana perbuatannya yang sering menjerkah, mengutuk dan menghalau suami. Kadang tu suami saya terpaksa telefon Kak Sara dahulu sama ada dia boleh balik minggu itu atau tidak, kerana pernah berlaku suami tidur di hotel kerana Kak Sara tak mahu buka gate. Alasannya dia tidak dengar bunyi kereta dan panggilan suami.


‘‘Tujuan saya memaparkan kisah hidup ini supaya masyarakat tahu bukan semua isteri kedua itu jahat dan menganiaya isteri pertama. Sebaliknya mereka yang menyusahkan diri, menyeksa suami dan menganiaya isteri kedua. Maaf kalau saya katakan ada kalanya isteri kedua itu lebih baik, penyabar dan baik hati melebihi isteri pertama, tetapi mereka dilabel perampas suami orang.


‘‘Bukan semua lelaki Allah kurniakan dia boleh beristeri lebih daripada satu. Mungkin Allah ingin menguji lelaki itu sama ada boleh adil atau Dia ingin menduga sejauh mana kesabaran isteri melayan kerenah suami. Mungkin juga ujian bagi isteri kedua macam saya sama ada boleh bertolak ansur dan belajar berkongsi. Dan supaya Kak Sara tahu menghargai serta melayan suami sebaiknya, bukan menggelarkannya macam monyet,’’ demikian cerita Nurhazira.


Kini terpulanglah kepada anda membuat keputusan apakah benar, bukan semua lelaki berpeluang menjadi pilihan Allah beristeri lebih daripada satu dan apakah sebabnya. Bolehkah dia berlaku adil, atau menerima balasan di akhirat kelak?


Read more!

Sunday, March 9, 2008

09/03/2008: Dicerai, kekasih enggan bermadu

ISU poligami memang hangat. Banyak pandangan diterima, ada yang setuju, ramai tidak tentang kisah minggu lalu Poligami gagal kerana suami lemah. Salah satu pandangan datang daripada Puan Mazmah. Dalam e-melnya, beliau berkata, banyak lelaki yang nak kahwin lebih dari satu hanya kerana ikutkan hawa nafsu.



‘‘Cuba tengok ulama terkenal di seluruh negara. Berapa kerat yang berpoligami. Kenapa? Kerana mereka tahu agama, takut nak pikul beban di akhirat. Mereka tahu buruk baiknya. Poligami bukan perkara remeh, bukan boleh diambil mudah mesti fikir berpuluh kali kalau nak kahwin lebih. Ini soal amanah dan tanggungjawab.


‘‘Kepada anak-anak gadis yang menganggap isteri tamak kerana tak izinkan suami kahwin lagi, hentikanlah! Ramai isteri tak suka poligami sebab mereka faham sangat siapa suami mereka, ekonominya, kemampuannya dan kelakuannya yang sebenar.



‘‘Kepada Haniza yang menyeru kaum wanita memahami ajaran Islam, saya setuju, dan dia juga patut suruh kaum lelaki juga mendalami Islam. Kerana lelaki itu pemimpin keluarga, dia boleh menjadi contoh yang baik dan buruk kepada keluarga.


‘‘Biasanya suami yang beriman tidak akan mengurat gadis-gadis apa lagi isteri orang, kerana dia tahu status dirinya. Anak dara pun takkan mengorat lelaki yang beriman. Ramai suami suka menggoda ini bukan kaki masjid! Betul tak? Dan cuba lihat kenapa isteri kedua amat cemburukan suami mereka bila tiada di hadapan mata. Sebab dia tahu perangai suaminya dengan dia dulu di belakang isteri pertama,’’ kata Mazmah.



Lis dalam e-melnya pula berpendapat hanya isteri yang faham siapa suami mereka sebenar. Kalau dengan isteri dan anak-anak punyalah kedekut, tapi kalau dengan perempuan lain, dia macam santa claus. Dengan isteri dia bukan setakat kedekut duit, tapi kedekut kasih sayang, tenaga malah nak bercakap mesra dengan keluarga pun dia kedekut. Sebab itu ramai isteri yang lebih rela minta cerai daripada dimadukan.


‘‘Sebab semasa satu isteri pun suaminya kedekut dalam segala hal, apa lagi setelah kahwin dua. Jadi daripada berdosa bergaduh tak cukup duit, lebih baik minta nafkah setelah bercerai, itu lebih mudah. Tetapi si suami yang tak mampu tahu, kalau bercerai dia kena bagi nafkah anak-anak. Jadi gajinya berapa yang tinggal. Kerana itu dia tak mahu ceraikan isteri, supaya dia boleh kontrol duitnya, pasal anak-anak pandai-pandailah isteri nak bagi makan. Kalau tak ada duit mereka punya pasal.


‘‘Kalau ada yang komen lebih baik bermadu daripada jadi anak dara tua atau janda, anda fikirlah masak-masak. Kalau nak kahwin juga good luck, tapi ingat hidup ini macam roda. Kepada isteri yang rela bercerai, bulatkan tekad dan niat menjaga anak-anak. Banyak rahmatnya. Mana tahu hidup anda lebih bahagia setelah bercerai,’’ demikian nasihat Lis.


Lina pula menambah, dulu dia benci isu poligami, tetapi setelah lama mengharungi hidup dan banyak membaca serta mengkaji dia lebih terbuka kini.


‘‘Semua makhluk milik Allah, bukan milik isteri seorang hingga tidak boleh dikongsi. Bila mati semuanya jadi tanah. Jika Allah benarkan lelaki berpoligami mengapa isteri menentang? Wahai isteri gunakanlah akal jangan ikutkan kata hati. Allah mengetahui kerana Allah yang menjadikan kita. Namun suami mesti telus, jangan ambil kesempatan atas isu ini,’’ demikian cerita Lina.


Sementara itu isu hangat poligami membawa penulis bertemu Puan Haslinda di sebuah restoran di ibu kota. Katanya, dia hairan, banyak pandangan bahawa isteri pertama tamak dan menentang poligami sebaliknya orang ketigalah yang menghasut suami menceraikan isterinya.


‘‘Saya tak bohong, saya bercakap dari pengalaman. Saya diceraikan walaupun saya izinkan suami berpoligami. Semuanya kerana kekasihnya tak mahu bermadu, dia mahu ambil suami kita menjadi miliknya.


‘‘Saya dan Kay berkahwin atas dasar suka sama suka lebih 10 tahun lalu. Walaupun waktu itu kedudukan pendapatan, pendidikan dan pangkat saya lebih tinggi, tetapi itu bukan halangan untuk kami berkahwin. Kami sama-sama ikhlas sambil mengharapkan masa depan lebih baik.



‘‘Atas dorongan saya dan minatnya, dia berhenti kerja kemudiannya menyertai perkhidmatan kerajaan berpakaian seragam. Katanya, dia memang suka kerja tu. Walaupun gajinya jauh lebih rendah daripada saya, tetapi saya beri dia semangat kalau rajin, satu hari nanti dia boleh naik pangkat juga. Berkat kesabaran, pangkatnya naik dan hidup kami harmoni dan ceria selalu.


‘‘Tetapi biasanya orang lelaki bila dah berduit, hati mudah berubah. Selama 10 tahun berkahwin, cuma lapan tahun kami cukup bahagia. Masuk tahun kelapan saya mula nampak perubahannya, dah mula bawa cerita ramai kawan menyindirnya kenapa tak punya anak lagi.


‘‘Sebenarnya dulu lagi setelah empat tahun berkahwin saya dah kata padanya, kita perlu buat sesuatu supaya dapat anak, katanya, itu tak penting, jumpa doktor memang dia tak suka, katanya rezeki Allah yang bagi. Tetapi sebagai wanita, jiwa tetap terusik bila dia bercerita pasal anak.


‘‘Pernah satu ketika saya beritahu dia kalau ditakdirkan masih tak dapat anak, saya rela dia kahwin lagi jika itu kehendaknya. Tetapi dia mendakwa saya merapu. Tapi naluri manusia tak boleh ditutup. Semakin hari semakin banyak dia menipu. Selalu kerja luar, balik malam. Alasannya banyak kerja, banyak kes nak diselesaikan.


‘‘Tapi yang buruk tu mana nak sorok, akan terbongkar juga. Mula-mula saya terpandang gambar perempuan dalam telefonnya, lepas tu message yang berbunyi lemah longlai. Bila saya tanya, katanya, saja kawan-kawan mengusik nak uji kesabarannya, kerana kawannya cemburu tengok kami hidup bahagia, selalu berbincang dan berpakat tentang apa juga benda yang hendak dilakukan. Saya fikirkan apa yang dikatanya itu betul. Kay memang suami yang baik, tak banyak soal dan tak banyak kerenah. Apa yang dilakukan adalah untuk kebahagiaan saya dunia dan akhirat.


‘‘Kerana kebaikan, kejujuran, sikap bertimbang rasa dan seorang yang berpegang kuat kepada agama jugalah saya pilih Kay. Dia memang lain dari kebanyakan lelaki yang sering tinggalkan sembahyang.


‘‘Malangnya, kerana kebaikannya membuat ramai wanita terpikat. Tetapi Kay layan. Saya memang percayakan dia walau ke mana dia pergi. Saya tak perlu telefon dan bertanya di mana dia dan apa dia buat. Sebab saya tahu dia memang jujur kepada saya.


‘‘Akhirnya masuk tahun kesembilan perkahwinan, saya dapat tahu Kay sedang mabuk bercinta dengan seorang anak dara tua satu pejabat dengannya. Saya tanya, benarkah dia berhajat nak kahwin lagi, tetapi Kay tetap menafikan. Katanya, wanita itu satu pejabat dan mereka hanya teman sepejabat. Saya katakan lagi kalau nak kahwin pun beritahu saya secara jujur.


‘‘Agaknya godaan asmara terlalu kuat dari wanita tersebut akhirnya beberapa bulan kemudian Kay mengaku dia memang ada hajat nak kahwin lagi. Walaupun pahit saya terpaksa telan. Tetapi dengan syarat Kay mesti kenalkan kami biar saya tahu hati budinya, sebab kami akan bermadu. Kay setuju. Dan kami bertemu enam mata pada hari yang ditetapkan oleh Kay dan dipersetujui oleh kekasih bernama Hanim.



‘‘Saya kata pada Hanim, saya sanggup dimadukan maka dia pun mestilah sanggup bermadu dan berkongsi suami. Bila dah berkongsi suami mestilah berkongsi segala-galanya, jangan cuba mengatasi hak orang lain. Saya rela bermadu kerana saya terlalu sayangkan Kay. Dan terimalah Kay seadanya. Keluarganya bukan orang kaya dan tolong jangan minta lebih yang mana nanti akan merosakkan masa depannya.


‘‘Hanim langsung tak bercakap, dia cuma makan, minum dan mendengar saja, walaupun panjang soalan yang saya tanya tapi cuma satu jawapannya. Kadang tu dia diam aja. Tetapi dari raut wajahnya, tidak menampakkan kesediaannya menerima saya sebagai madu, apa lagi tersenyum, mukanya memang garang dan masam mencuka.


‘‘Sepatutnya muka saya yang masam, garang dan marah sebab dia nak kongsi suami saya, tetapi berlainan dengan Hanim, dia pulak yang lebih garang dan bencikan saya.


‘‘Dalam pertemuan itu juga saya katakan, saya akan pergi meminangnya dan hadir di majlis perkahwinan mereka. Hanim diam lagi. Tetapi syarat saya kalau nak bertunang dan kahwin pun tunggu selepas kami berdua balik dari umrah. Hanim diam juga.


‘‘Sebulan kemudian kami ke Mekah. Dua bulan, empat bulan lepas tu saya tanya lagi Kay bila nak pergi meminang. Tapi Kay diam. Rupa-rupanya sejak pertemuan itu Hanim membuat keputusan, dia tidak mahu bermadu, sebaliknya mahu saya diceraikan.


‘‘Hari berlalu begitu cepat, dan hubungan saya dengan Kay mula renggang, tidak ada manis, ketawa gembira. Kay banyak habiskan masa di rumah Hanim, hinggakan Hari Raya, dia nak berkubang di rumah Hanim. Dia lebih betah tinggal bersama Hanim. Malah setiap pagi Kay akan ambil dia di rumah untuk sama-sama ke pejabat.


‘‘Lebih setahun mereka buat hubungan, saya gesa mereka cepat kahwin, kerana saya tak mahu Kay bergelumang dengan dosa. Tetapi kata Kay, Hanim belum sedia. Tapi hubungan mereka macam suami isteri.


‘‘Satu hari Kay beritahu saya dia kerja out station empat hari. Saya diam sebab sebelum ini pun dia selalu out station tapi sebenarnya dia makan angin dengan Hanim. Saya syak kali ini pun sama. Sebelum pergi Kay peluk cium saya begitu erat, memang luar biasa perangainya. Pagi Jumaat dia telefon bertanya khabar. Oleh kerana saya tengah meeting, saya katakan akan telefon sekejap lagi. Kay diam.


‘‘Habis meeting pukul12 saya telefon Kay, katanya, dia cuma tanya khabar. Pukul 2.30 petang saya terima surat saman saya fikirkan untuk pejabat, tetapi katanya khas untuk saya. Alangkah terkejutnya bila saya buka surat itu dari peguam yang diarahkan oleh Kay meminta saya ke Mahkamah Syariah pada hari Isnin untuk proses perceraian.



‘‘Saya hampir pengsan, saya telefon Kay tetapi telefonnya ditutup tiga hari lamanya. Saya jumpa Kay hari Isnin untuk diceraikan di mahkamah dengan alasan saya isteri yang ingkar kepada suami. Saya cuba bercakap dengan hakim tetapi tak dibenarkan. Kata hakim, kuasa cerai di tangan suami.


‘‘Kemudian saya berjumpa pegawai atasan Kay. Saya ambil peguam sambil memohon diadakan rundingan sulukh, tetapi ditolak, kerana Kay tidak mahu berunding. Dia cuma mahu ceraikan saya. Saya kata pada Kay, saya sedia bermadu, tetapi mengapa diceraikan. Kata Kay, Hanim tak mahu bermadu.


‘‘Walaupun peristiwa ini sudah berlaku lebih dua tahun lalu, tetapi kesannya menghiris jantung hati. Lihatlah perangai sesetengah wanita, sanggup lihat wanita lain menderita dan diceraikan asalkan dia tidak dimadukan. Jadi bukan isteri pertama tamak, isteri kedua lebih teruk. Namun kesalahan juga terletak di bahu Kay kerana dia tidak tegas dan lemah menguruskan isterinya, kerana takutkan Hanim.


‘‘Benar seperti tajuk DCCK minggu lepas. Sebab itu ramai isteri pertama tidak mahu dimadukan, kerana mereka tahu kekurangan dan kelemahan zahir batin, tetapi juga keadilan menggembirakan isteri-isterinya.


‘‘Teringat saya peristiwa semasa dalam edah barulah Kay berani datang ke rumah secara sembunyi berjumpa saya, bertanya khabar kerana dia rindukan saya dan dia takutkan Hanim,’’ demikian cerita Haslinda kenapa dia diceraikan walaupun dia izinkan suaminya berpoligami. Malangnya sampai kini mereka belum ada anak lagi.


Itu dia secebis kisah benar nasib wanita diceraikan walaupun dia izinkan suami berpoligami. Agaknya kalau tak izinkan mereka akan kahwin lari kerana dia takut isteri pertama. Kalau isteri pertama berlembut maka cacing pun naik ke mata.

Read more!

Sunday, February 17, 2008

17/02/2008: Ayah berubah setelah naik pangkat


MASIH ingatkah lagi kisah yang dipaparkan pada 27 Januari lalu berjudul Cabaran membesarkan anak angkat luahan rasa Nurshima?.


Kisahnya mengenai beliau yang kasihan dengan penderitaan ibunya kerana membesarkan seorang anak angkat yang tidak bertimbang rasa apatah lagi membalas budi.



Cerita beliau menarik perhatian Dr. Z seorang Ph.D ekonomi dan seorang penulis buku terkenal. Beliau terpanggil meluahkan perasaannya dalam e-mel kepada penulis. Katanya, dia tersentuh hati dengan kisah anak angkat yang dipaparkan itu, kerana dirinya juga anak angkat.


‘‘Selama lebih 15 tahun saya mengikuti hampir setiap kisah dan masalah yang dipaparkan dalam DCCK (Di celah-celah kehidupan). Tetapi hanya baru kini saya bercadang untuk menulis kepada ruangan ini. Kerana saya rasa betul-betul terasa dan ingin memberi pandangan mengikut pengalaman saya sendiri.


‘‘Saya amat tertarik dengan kisah tersebut, ia amat memilukan hati, kerana saya juga anak angkat, tetapi saya ditatang macam minyak yang penuh. Keluarga yang membesarkan saya amat sayangkan saya walaupun mereka tahu asal usul keturunan saya dari bangsa lain tidak sebangsa dengan mereka.



‘‘Namun saya dilayan dengan baik seperti anak mereka yang lain. Saya jadi perajuk juga kerana mendengar hasutan dan perli dari orang luar yang irihati dengan saya, kerana saya dijaga dengan baik. Itu mengikut cerita jiran-jiran ketika itu.


‘‘Sejak kecil, saya sudah tahu taraf saya sebagai anak angkat. Bukan dari mulut mereka tetapi jiran-jiran dan saudara-mara sebelah mak yang suka mengungkit perihal saya. Hidup saya tertekan semasa kecil bukan kerana mak abah atau kakak dan abang angkat, tetapi kerana saudara-mara yang kurang senang dengan limpahan kasih sayang dan wang ringgit yang dilaburkan kepada saya.


‘‘Saya rasa bertuah kerana kebetulan saya dipelihara oleh orang yang sangat sayang dan sukakan kanak-kanak. Ditakdirkan setelah mengambil saya, rezeki keluarga bertambah baik, itu mengikut seorang datuk di kampung saya itu.


‘‘Mungkin tekanan dari jiran itu membuatkan saya menjadi rajin belajar kerana mahu keluar dari kampung. Alhamdulillah berkat kesabaran saya berusaha dan galakan dari abah, saya berjaya ke menara gading, sehingga ke luar negara.


‘‘Ujian menimpa saya, abah meninggal dunia ketika saya baru setahun di AS. Perasaan saya amat terharu kerana tidak dapat berbakti pada abah. Tapi saya kuatkan semangat belajar lebih kuat untuk membela nasib mak. Mak memang saya jaga sebaik mungkin. Oleh kerana mak tidak suka duduk di bandar, jadi dia duduk dengan kakak, anaknya sendiri di kampung.


‘‘Saya pastikan balik kampung setiap bulan bukan untuk beri wang, kerana mak tidak mahu wang saya. Tetapi saya mahu mencium di segenap raut mukanya yang bujur sirih dan kurus itu. Betul kata ustazah, cuimlah ibu sementara ada. Ibu meninggal dunia enam tahun lalu. Tapi saya puas membelainya dengan penuh kasih sayang.


‘‘Saya bersyukur menjadi anak angkat kepada keluarga yang sayangkan anak-anak. Kakak juga yang jaga semua anak-anak saya masa kecil dan kami gembira, bukan tidak ada hasad dengki orang luar atau dari keluarga kakak, tapi itu semua saya tolak tepi kerana anak-anak sayangkan kakak dan mereka panggil mak.



‘‘Saya adalah ibu mereka, tapi kata mereka, mak menjaga mereka semasa kecil. Kakak tidak benarkan saya ambil pembantu rumah. Tujuan saya ceritakan pengalaman saya ini supaya pembaca tidak takut untuk mengambil anak angkat.


‘‘Lagipun terdapat kalangan anak-anak kandung yang mengabaikan ibu bapa mereka. Jadi setiap anak itu berlainan dan Allah menduga umatnya sebagai penghapus dosa kita yang lalu,’’ demikian cerita Dr. Z.


Minggu ini kita paparkan juga rintihan seorang anak bernama Ashira tentang hidupnya yang hambar setelah ayahnya naik pangkat dan bergaji besar. Dalam e-melnya, Ashira berkata, dia tidak pasti sama ada ceritanya diterima untuk mengisi ruangan DCCK yang amat diminatinya, kerana biasanya ruangan ini memberi laluan kepada kaum wanita, sedangkan dia hanyalah anak gadis belasan tahun.


‘‘Sebenarnya saya bukan kecil lagi, sudah 16 tahun. Tetapi pengalaman pahit yang saya lalui sejak tiga tahun lalu amat menyakitkan. Tambah terharu apabila saya lihat wajah ibu sentiasa susah hati, termenung dan wajahnya penuh penderitaan.


‘‘Kalau saya sendiri dan adik-adik amat tertekan dengan sikap, perangai dan perubahan diri ayah apa lagi ibu, tentu beliau lebih susah hati. Tetapi ibu tabah mengharungi babak hitam dalam kehidupannya.


‘‘Dulu hidup kami tidak seperti ini. Dulu ayah amat penyayang, suka bergurau, bermain, melancong, berjalan ke tempat-tempat permainan dan pantai, tetapi sejak akhir-akhir ini sikap ayah banyak berubah. Bermula dengan suka balik malam, menyepi diri dan lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah.


‘‘Dulu saya tak tahu mana silapnya, kini setelah semakin dewasa saya faham mengapa hubungan ayah dengan kami jadi hambar dan tidak bermakna lagi.


‘‘Dulu ayah senang diajak berbual, menonton wayang ataupun TV, tetapi setelah ayah naik pangkat dan bertukar ke negeri lain, ayah sudah banyak berubah. Ayah seolah-olah sudah jadi orang asing dalam kehidupan kami.


‘‘Apabila kawan-kawan bercerita tentang ayah, mereka suka berbual dan bertanyakan pelajaran mereka, saya terdiam, kerana ayah saya tidak peduli langsung pelajaran kami. Hinggakan report card ibu yang tanda tangan. Jangankan bertanya nombor berapa saya dapat dalam kelas, melihat buku dan report card pun dia tak mahu. Semua ayah serahkan pada ibu uruskan.



‘‘Saya benar-benar rindukan ayah saya dulu, yang suka berbual, bertanya khabar dan menegur saya kalau tidak dapat markah memuaskan, begitu juga dengan adik- adik. Kini sama ada ayah balik ke rumah atau tidak sudah menjadi perkara biasa dalam hidup kami. Kadang-kadang saya rasa macam tidak mempunyai ayah.


‘‘Kawan-kawan saya terkejut bila saya katakan saya sudah beberapa tahun tidak pernah makan semeja dengan ayah, menonton TV apa lagi untuk mencurahkan masalah tentang pelajaran. Sebab ayah lebih banyak tidak ada di rumah, kalau balik pun melihat wajahnya pun kami jadi takut.


‘‘Jadi ibulah tempat kami berbual, berbincang, mencurahkan perasaan, bertanya benda-benda yang kami tak faham, kerana ibu tidak bekerja sentiasa ada di rumah. Namun bukan selalu kami boleh berbual, kami terpaksa melihat keadaan sekitar kalau ibu tidak menangis dan tidak sedih.


‘‘Biasanya ibu menangis dan sedih apabila kena tengking dan dimarah ayah.


‘‘Saya tak faham mengapa ayah sering marah-marah dan bertengkar dengan ibu. Kadangkala kerana hal kecil sekalipun tetapi ayah boleh menengking ibu dengan kuat sambil meluahkan perkataan yang tidak manis kepada ibu di hadapan kami. Ayah langsung tidak menghargai penat lelah ibu menguruskan rumah tangga dan menjaga kami. Pada ayah ibu semuanya bodoh, tak reti dan tidak mendengar katanya.


‘‘Perkataan yang diluahkan ayah pada ibu amat mengaibkan terutama apabila kami mendengarnya. Saya tahu ibu malu, hatinya amat terguris tetapi ibu tidak berani bertindak kecuali melawan kata-katanya, kerana ibu tahu dia tidak mempunyai apa-apa pun jika ditakdirkan dicerai ataupun ditinggalkan oleh ayah.


‘‘Ibu pernah berkata, dia terpaksa bersabar kerana ibu tidak bekerja, kerana kalau bercerai-berai, apa akan jadi kepada kami yang perlukan makan, pakai dan maha penting pelajaran. Kata ibu, kami perlu belajar rajin-rajin dan bekerja supaya jangan jadi seperti ibu yang hidup terpaksa bergantung kepada ayah.


‘‘Saya faham ayah kini sudah berpangkat tinggi dan bergaji besar, namun itu tidak bermakna ayah boleh memandang rendah pada ibu, isterinya yang satu ketika dulu disayangi. Saya yakin semua perubahan yang berlaku dalam diri ayah kini adalah kerana kedudukan ekonominya yang semakin baik, ayah jadi seorang yang sombong dan bongkak, ego dan tidak sedarkan diri dan asal usulnya.


‘‘Bagi saya, ibulah ayah, ibulah yang melaksanakan tanggungjawab dalam rumah kami. Walaupun hatinya terluka, tetapi ibu cuba menceriakan wajahnya apabila bertemu orang. Tetapi saya tahu hatinya terluka parah. Orang luar melihat kami keluarga bahagia, namun hakikatnya rumah kami cuma elok di luar, tetapi di dalamnya sudah bersarang hancur dimakan anai-anai.



‘‘Saya kesal dengan sikap ayah yang sering menengking ibu tak kira hari dan masa. Setiap kali peristiwa itu berlaku, ia segera terlekat di fikiran saya dan sukar untuk dikikis buang hingga sering mengganggu penumpuan saya terhadap pelajaran.


‘‘Bila teringatkan peristiwa dan setiap patah perkataan yang ayah luahkan kepada ibu, air mata saya tidak berhenti-henti mengalir macam sungai tak berhenti. Hinggakan masa saya menulis e-mel ini pun saya menangis. Saya bimbang tentang masa depan ibu dan kami empat beradik. Saya takut fikirkan sesuatu yang buruk terjadi ke mana kami akan pergi, ibu tidak bekerja.


‘‘Saya hairan sungguh mengapa ayah sanggup ‘menutup matanya’ daripada melihat kami! Kalaupun ayah tidak suka berbual dan bertanya perkembangan pelajaran saya, ayah masih boleh berbual dan bertanya tentang pelajaran adik-adik yang masih kecil yang sudah pasti mahukan belaian ayah.


‘‘Apabil ayah ada di rumah, kami berempat beradik bagaikan orang asing ataupun tetamu yang tidak diundang dan tidak disukainya. Ayah langsung tidak mahu berbual, malah kalau adik-adik bergaduh ayah akan segera menengking mereka, dan sudah pasti ibu turut kena maki hamun dan ditengking tak memasal.


‘‘Tugas ayah setiap bulan cuma beri wang kepada ibu. Cukup atau tidak itu urusan ibu. Tak boleh tambah, pandai-pandai ibulah mencukupkan mana-mana yang kurang. Ayah tak mahu ambil tahu langsung.


‘‘Kini jiwa saya amat tertekan. Saya tidak tahu ke mana nak mengadu. Saya ingin berbicara dengan ibu, tapi saya tak sanggup melihat air matanya. Saya mahukan ayah berubah seperti dulu. Sudah lebih tiga tahun ayah begini, saya bosan.


‘‘Benar kata kawan-kawan saya, apabila ayah kita berpangkat, mereka jadi mudah lupa. Hanya bila dalam kesusahan, barulah mereka mengingati Allah.


‘‘Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang saya ada, tetapi saya mahukan ayah saya semula. Dan saya sedar di luar sana mungkin lebih ramai lagi anak yang senasib dengan saya. Apa yang saya mampu lakukan hanya berdoa supaya ayah kembali berubah. Kalau ayah terbaca luahan hati saya ini bukan niat saya memalukan atau memburukkan ayah, tapi saya mahu ayah ingat kami anak-anak yang dahagakan kasih sayang ayah. Kami rindukan ayah,’’ demikian luahan hati Ashira yang rindukan ayahnya yang telah berubah setelah naik pangkat dan bergaji besar.


Benar kata Ashira, bukan ramai lagi anak lain senasib dengannya. Wahai ayah ke mana hilangnya kasih sayang? Rezeki dari Allah bukan hak milik anda seorang. Tetapi jadi milik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah. Sayangilah anak-anak semasa mereka memerlukan.


Jangan kesal apabila anak-anak tidak mengenali ayahnya, atau apabila anak-anak terdorong kepada perbuatan yang tidak baik. Kerana bahangnya akan turut terpalit dan memburukkan nama ayahnya sekali.

Read more!

Sunday, January 13, 2008

13/01/2008: “Saya umpama bermadu dengan biras”

E-MEL Fadlyana pada 23 Disember tahun lalu yang menceritakan pengalaman pahit kehidupannya membuat saya tidak membuang masa menghubungi beliau.


Dan pada hari dan waktu yang ditentukan kami berjumpa di sebuah restoran makanan segera tidak jauh dari pejabatnya. Katanya, masalah yang dilaluinya kalau semakin difikirkan semakin menyeksa jiwa.



“Dah lama saya ingin curahkan isi hati ini, tetapi malu. Macam-macam perasaan bercampur baur. Maklum kahwin belum pun lima tahun dah ada masalah. Kalau diceritakan mungkin tak ada orang nak percaya.


‘‘Tetapi setelah membaca kisah hidup Penyu Power 11 November dan NorElyna 16 Disember lalu membuatkan saya berani menghantar e-mel untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca DCCK yang prihatin ini. Sebelum ini saya pernah mencuba tetapi saya tak ada kekuatan dan semangat.


“Kami mungkin senasib tetapi masalah saja yang berlainan. Kalau Penyu Power berkahwin atas pilihan sendiri pun tak bahagia dan NorElyna pula atas pilihan orang tua pun gagal, saya lagi teruk. Tak pernah mengecap kebahagiaan, sebab kebahagiaan yang sepatutnya suami berikan pada saya tetapi diberi kepada orang lain.



“Umur saya belum pun 30 tahun, seorang kakitangan kerajaan di KL, baru berkahwin empat tahun lalu. Tetapi telah menempuh pelbagai masalah. Kalau Penyu Power kata isterinya sejuk, NorElyna kata suaminya macam air batu, dan saya tak tahulah apa kelas suami saya Badri ini, mungkin dah terbakar kut, sebab dia lebih teruk kerana bernafsu kepada kakak ipar sendiri. Pelikkan tapi benar! Hinggakan dia gagal menjadi suami dan ayah yang baik serta gagal memberi nafkah zahir batin kepada saya isterinya.


“Ceritanya begini, biras saya ini, Kak Sham namanya berkahwin dengan Johar abang Badri, ada lima anak, dua dah berkahwin, dah bercucu dan ada masih bersekolah. Tetapi dia ditinggalkan setelah Johar kahwin lagi. Mereka tak bercerai. Jadi Badrilah tempat dia mengadu kerana adik-beradik Badri yang lain tak pedulikan dia.


“Nak jadikan cerita, sebelum kahwin Badri menumpang di rumah Johar. Sementara saya berkenalan dengan Badri melalui teman-teman pejabat. Sebab mereka tengok saya pendiam sangat tak berkawan, jadi Badrilah paling sesuai untuk saya.


“Malam pertama Badri gagal menjalankan tangggungjawab sebagai suami. Tapi esok hari pagi-pagi lagi Kak Sham dah tanya macam mana tentang malam pertama saya. Terus terang dia tanya ‘dah pecah ke tak?’’ Kalau Kak Mona di tempat saya, mesti akak terfikir apa soalan bodoh dan apa makna pertanyaan Kak Sham ni.


“Sebenarnya dari malam pertama lagi biras dah mula menggula-gulakan Badri supaya tak bersama saya. Tapi bodohnya saya tak dapat meneka tingkah laku dan matlamat sebenar Kak Sham. Fikirkan dia baik.


“Tapi sebodoh-bodoh saya, tentu terfikir juga mengapa sampai dua bulan suami dok diam aja, tak sentuh pun. Lepas beberapa bulan kita pun bertanya pada kakak kita, dia carikan ubat. Barulah okey. Waktu itu baru tahu rupa-rupanya ada orang yang nak kenakan saya, tetapi saya tak terfikir langsung siapa orangnya. Mungkin benar mungkin juga tak betul. Lagipun saya bukan percaya sangat pada bomoh. Tetapi lepas berubat ada perubahan, tentu saya jadi percaya.


“Selepas itu bermulalah masalah dalam hidup saya. Badri orang berniaga, dan dia dibantu oleh Kak Sham. Namun saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, kerana perbezaan umur mereka, Badri, 37, dan Kak Sham dah lebih 50 tahun, lagipun hubungan mereka rapat sebab ada kaitan persaudaraan. Tetapi bangkai gajah sekalipun kalau ditutup lama-lama berbau juga.


“Mereka pergi kerja sama-sama. Bila kami berpindah setelah berkahwin, Kak Sham ikut pindah dekat kawasan rumah kami supaya senang Badri jemput dan hantar Kak Sham dari rumah ke tempat kerja. Sedangkan saya kena naik bas atau tumpang kawan. Alasan Badri dia terpaksa keluar pagi kalau hantar saya takut jalan jam.


“Saya yang langsung tak syak apa-apa ni ikut aja, lagipun Kak Sham nampak baik. Dekat setahun kahwin saya hamil, saya terpaksa pergi check up sendiri, naik bas ke atau teksi semua buat sendiri. Sedih juga.



“Bila saya minta Badri hantar ke klinik, dia kata sibuk kesian nanti Kak Sham buat kerja sendiri. Macam kat tempat kerja dia tu dia dua orang sahaja yang bekerja. Lagipun Badri bos, takkan tak boleh keluar sekejap!


“Ketika saya mengidam nak makan makanan kesukaan saya, dia kata saya mengada-ngada. Kalau nak makan juga cari dan beli sendiri. Kata Badri, mengikut kata Kak Sham jangan layan sangat nafsu orang hamil nanti semua benda dia nak.


“Itu bab mengandung, kalau saya ajak jalan-jalan dia kata nanti tanya Kak Sham, kalau Kak Sham mahu, saya boleh ikut, begitu juga kalau saya teringin makan kat luar Badri mesti ajak Kak Sham. Apa lagi kalau shopping, Kak Sham jadi pengiring kami. Pendek kata, tak pernah kami jalan berdua macam pasangan lain. Kalau tidak, tak merasalah saya dapat berjalan dengan Badri.


“Lebih teruk kalau saya ajak Badri beli barang keperluan dapur, sama ada ke kedai atau kompleks beli-belah, waktu nak bayar di kaunter, Badri akan keluar dulu, sebab tak mahu bayar. Saya kena bayar. Tetapi kalau Kak Sham ikut sama, Badri akan bayar untuk Kak Sham dan terpaksa bayar barang saya.


“Tapi kalau saya minta Badri belikan barang keperluan dapur dia kata, dia tak makan kat rumah, jadi saya yang makan sayalah beli. Perbuatan seperti inilah yang membuatkan syak saya menjadi-jadi. Bila tanya kenapa ajak Kak Sham ikut sama, dia kata kesian tak ada orang ajak dia jalan. Bila tanya kenapa bayarkan barangan makan Kak Sham katanya kesian dia tak ada duit.


“Saya kata, Kak Sham ada gaji, anak-anaknya tiga orang dah bekerja, dua tinggal dengannya, tentulah mereka boleh bantu emaknya beli makanan untuk mereka, tapi Badri membela katanya gaji mereka kecil.


“Hinggakan pernah satu ketika anak Kak Sham nak bersalin, Badri sanggup tidur di hospital bersama Kak Sham alasannya kesian, sedangkan suami anak Kak Sham tidur di rumah. Apa dah jadi ni?


“Oleh kerana saya tak mahu Kak Sham ikut kami, Badri tak mahu ajak saya berjalan lagi. Alasannya banyak kerja tak ada cuti, mana boleh tauke kata tak ada cuti, Sabtu Ahad kan cuti. Ajak jalan ke KLCC atau ke Port Dickson pun dia tak mahu alasannya penat. Tapi sebenarnya dia marah sebab Kak Sham tak boleh ikut sama.



“Lepas pantang saya balik KL, Badri ajak Kak Sham tidur di rumah takut bayi kecil kami menangis, maklum berubah rumah. Saya akur. Tapi bila saya terjaga tengah malam, saya tengok Kak Sham tidur di ruang tamu dengan Badri sedangkan saya dibiarkan tidur dalam bilik dengan anak. Terkejut beruk saya. Bila tanya Badri kenapa tak tidur dalam bilik katanya panas. Kak Sham pun bagi alasan sama, sedangkan awalnya dia tidur di bilik lain. Badri marah saya tanya, katanya saya cemburu.


“Tekaan saya diperkuatkan lagi dengan aduan jiran yang memberitahu Badri selalu bawa Kak Sham bermalam di rumah kami. Bila saya tanya alasannya nak tolong bersihkan rumah. Badri marah bila saya kata perbuatannya buat jiran tak selesa. Badri kata saya lebih percayakan jiran. Saya kata tentulah, sebab kita hidup berjiran, lagipun bukan seorang dua yang bercakap.


“Namun sejak peristiwa itu Kak Sham tak datang ke rumah kami lagi. Tapi mereka tetap pergi kerja bersama, bila saya tanya kenapa tak suruh anaknya hantar sebab mereka pun ada kereta. Katanya anaknya masuk kerja 9 pagi. Hai takkan hantar emak pun tak boleh. Kalau tidak pun mereka keluar pukul 8 pagi takut jam. Jadi apa salah hantar emaknya dan ambil bila balik kerja waktu petang.


“Masalah Badri bukan saja tak mahu hantar saya ke pejabat, ke klinik dan balik kampung saya setahun sekali pada Hari Raya saja, malah nak jawab telefon saya pun dia tak mahu sebab Kak Sham ada sebelahnya. Alasannya sibuk.


“Lebih menyakitkan hati bila saya nak balik kampung Badri larang, katanya buat habiskan duit dia aja, sebab bila balik saya naik kapal terbang dia terpaksa bayar tambang untuk anak. Bukan tambang saya. Itu pun dia berkira. Dan dia tak akan hantar atau ambil saya di airport, dia suruh pergi naik teksi sendiri.


“Setahun sekali balik beraya ke kampung saya, dia tidur dua malam, lepas tu dia balik ke rumah emaknya, tak ajak saya pun, katanya saya boleh balik bila suka. Tapi sebenarnya dia nak ke kampung Kak Sham dan mereka balik KL bersama. Sepanjang empat tahun kami berkahwin itulah alasannya setiap tahun.


“Kadang tu bila duduk termenung saya fikir sendirian mengapa Badri jadi macam ni, saya isterinya dibuat macam orang luar, kakak ipar dilayan macam isteri. Hinggakan mak mentua saya pun ikut cakap Kak Sham, kalau datang KL dia tak dibenarkan bermalam di rumah saya, mesti tidur rumah Kak Sham.


“Layanan Badri kepada Kak Sham sudah melampau, sudahlah makan minumnya dan pakaian dibelikan, rumah sewanya pun Badri yang bayar. Lebih teruk Badri tidak mahu makan masakan saya, dia beri seribu alasan untuk tidak makan. Sebagai contoh, hujung minggu dia bangun lewat terus jumpa kawan, konon ada hal. Tapi sebenarnya dia ke rumah Kak Sham makan tengah hari dah malam baru balik. Hari kerja pastilah dari pagi sampai malam makan bersama Kak Sham. Balik rumah untuk tidur.


“Oleh kerana dia tak makan kat rumah sebab tu dia tak belikan barang makan untuk kami. Kalau saya minta duit dia kata duit gaji saya tu nak buat apa? Dia sediakan rumah untuk saya tinggal sudah cukup baik.



“Bab makan, nak kata saya tak pandai masak, takkan kawan-kawan pejabat suruh saya masak untuk majlis tertentu. Mereka puji masakan saya sedap. Cuma Badri saja takut nak makan makanan masakan saya. Kalau makan di rumah dia akan bawa makanan yang dibekalkan oleh Kak Sham. Siapa tak sakit hati.


“Badri memang pinggirkan saya zahir dan batin. Dia terlalu kedekut dan berkira dengan saya untuk berbelanja. Bila saya tanya kenapa dia bayarkan sewa rumah Kak Sham katanya kesian dia tak ada duit, sedangkan anak-anaknya bekerja tinggal di rumah tu takkan tak mampu bayar sewa rumah dan beli barang makan.


“Kalau balik kampung Hari Raya Kak Sham tak ikut sama tak sah. Saya tanya kenapa tak ikut anak-anaknya, dia marah kerana banyak soal. Kalau mak saya datang ke rumah kami, Badri mulalah tunjuk baik. Dia akan hantar dan jemput saya pergi balik ke pejabat. Boleh pulak Kak Sham pergi kerja sendiri. Tapi bila mak saya balik aja, saya terpaksa pergi dan balik sendiri. Alasannya menyusahkan dia kerana trafik jam. Sebenarnya bukan jauh pun dari rumah saya ke pejabat. Tapi dia tak mahu hantar saya dia lebih suka pergi ke rumah Kak Sham. Patut ke?


“Nampaknya kami hanya tinggal sebumbung tapi tak ada kemesraan. Setiap hari balik rumah pukul 8 malam, rehat sekejap lepas tu terus tidur. Sebab itu dia lakukan hubungan suami isteri sebulan atau dua bulan sekali. Alasannya penat,’’ demikian cerita Fadlyana tentang pengalaman pahitnya seumpama bermadu dengan biras.


Johar suami Kak Sham tak pernah balik sejak kahwin lain. Tapi Kak Sham tak peduli, malah dia suka sebab hidupnya lebih mewah bersama Badri.


Aduh! Kes macam ini pun ada. Memang parah. Kata Fadlyana, rumah tangganya kini umpama retak menanti belah, nama saja bersuami, tetapi macam tak ada. Kini dia tak mahu fikirkan pasal Badri dan Kak Sham, lantaklah. Mereka dah tua sepatutnya tahu dosa pahala. Malangnya ramai yang tua terlupa syurga dan neraka.

Read more!