E-MEL Fadlyana pada 23 Disember tahun lalu yang menceritakan pengalaman pahit kehidupannya membuat saya tidak membuang masa menghubungi beliau.
Dan pada hari dan waktu yang ditentukan kami berjumpa di sebuah restoran makanan segera tidak jauh dari pejabatnya. Katanya, masalah yang dilaluinya kalau semakin difikirkan semakin menyeksa jiwa.
“Dah lama saya ingin curahkan isi hati ini, tetapi malu. Macam-macam perasaan bercampur baur. Maklum kahwin belum pun lima tahun dah ada masalah. Kalau diceritakan mungkin tak ada orang nak percaya.
‘‘Tetapi setelah membaca kisah hidup Penyu Power 11 November dan NorElyna 16 Disember lalu membuatkan saya berani menghantar e-mel untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca DCCK yang prihatin ini. Sebelum ini saya pernah mencuba tetapi saya tak ada kekuatan dan semangat.
“Kami mungkin senasib tetapi masalah saja yang berlainan. Kalau Penyu Power berkahwin atas pilihan sendiri pun tak bahagia dan NorElyna pula atas pilihan orang tua pun gagal, saya lagi teruk. Tak pernah mengecap kebahagiaan, sebab kebahagiaan yang sepatutnya suami berikan pada saya tetapi diberi kepada orang lain.
“Umur saya belum pun 30 tahun, seorang kakitangan kerajaan di KL, baru berkahwin empat tahun lalu. Tetapi telah menempuh pelbagai masalah. Kalau Penyu Power kata isterinya sejuk, NorElyna kata suaminya macam air batu, dan saya tak tahulah apa kelas suami saya Badri ini, mungkin dah terbakar kut, sebab dia lebih teruk kerana bernafsu kepada kakak ipar sendiri. Pelikkan tapi benar! Hinggakan dia gagal menjadi suami dan ayah yang baik serta gagal memberi nafkah zahir batin kepada saya isterinya.
“Ceritanya begini, biras saya ini, Kak Sham namanya berkahwin dengan Johar abang Badri, ada lima anak, dua dah berkahwin, dah bercucu dan ada masih bersekolah. Tetapi dia ditinggalkan setelah Johar kahwin lagi. Mereka tak bercerai. Jadi Badrilah tempat dia mengadu kerana adik-beradik Badri yang lain tak pedulikan dia.
“Nak jadikan cerita, sebelum kahwin Badri menumpang di rumah Johar. Sementara saya berkenalan dengan Badri melalui teman-teman pejabat. Sebab mereka tengok saya pendiam sangat tak berkawan, jadi Badrilah paling sesuai untuk saya.
“Malam pertama Badri gagal menjalankan tangggungjawab sebagai suami. Tapi esok hari pagi-pagi lagi Kak Sham dah tanya macam mana tentang malam pertama saya. Terus terang dia tanya ‘dah pecah ke tak?’’ Kalau Kak Mona di tempat saya, mesti akak terfikir apa soalan bodoh dan apa makna pertanyaan Kak Sham ni.
“Sebenarnya dari malam pertama lagi biras dah mula menggula-gulakan Badri supaya tak bersama saya. Tapi bodohnya saya tak dapat meneka tingkah laku dan matlamat sebenar Kak Sham. Fikirkan dia baik.
“Tapi sebodoh-bodoh saya, tentu terfikir juga mengapa sampai dua bulan suami dok diam aja, tak sentuh pun. Lepas beberapa bulan kita pun bertanya pada kakak kita, dia carikan ubat. Barulah okey. Waktu itu baru tahu rupa-rupanya ada orang yang nak kenakan saya, tetapi saya tak terfikir langsung siapa orangnya. Mungkin benar mungkin juga tak betul. Lagipun saya bukan percaya sangat pada bomoh. Tetapi lepas berubat ada perubahan, tentu saya jadi percaya.
“Selepas itu bermulalah masalah dalam hidup saya. Badri orang berniaga, dan dia dibantu oleh Kak Sham. Namun saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, kerana perbezaan umur mereka, Badri, 37, dan Kak Sham dah lebih 50 tahun, lagipun hubungan mereka rapat sebab ada kaitan persaudaraan. Tetapi bangkai gajah sekalipun kalau ditutup lama-lama berbau juga.
“Mereka pergi kerja sama-sama. Bila kami berpindah setelah berkahwin, Kak Sham ikut pindah dekat kawasan rumah kami supaya senang Badri jemput dan hantar Kak Sham dari rumah ke tempat kerja. Sedangkan saya kena naik bas atau tumpang kawan. Alasan Badri dia terpaksa keluar pagi kalau hantar saya takut jalan jam.
“Saya yang langsung tak syak apa-apa ni ikut aja, lagipun Kak Sham nampak baik. Dekat setahun kahwin saya hamil, saya terpaksa pergi check up sendiri, naik bas ke atau teksi semua buat sendiri. Sedih juga.
“Bila saya minta Badri hantar ke klinik, dia kata sibuk kesian nanti Kak Sham buat kerja sendiri. Macam kat tempat kerja dia tu dia dua orang sahaja yang bekerja. Lagipun Badri bos, takkan tak boleh keluar sekejap!
“Ketika saya mengidam nak makan makanan kesukaan saya, dia kata saya mengada-ngada. Kalau nak makan juga cari dan beli sendiri. Kata Badri, mengikut kata Kak Sham jangan layan sangat nafsu orang hamil nanti semua benda dia nak.
“Itu bab mengandung, kalau saya ajak jalan-jalan dia kata nanti tanya Kak Sham, kalau Kak Sham mahu, saya boleh ikut, begitu juga kalau saya teringin makan kat luar Badri mesti ajak Kak Sham. Apa lagi kalau shopping, Kak Sham jadi pengiring kami. Pendek kata, tak pernah kami jalan berdua macam pasangan lain. Kalau tidak, tak merasalah saya dapat berjalan dengan Badri.
“Lebih teruk kalau saya ajak Badri beli barang keperluan dapur, sama ada ke kedai atau kompleks beli-belah, waktu nak bayar di kaunter, Badri akan keluar dulu, sebab tak mahu bayar. Saya kena bayar. Tetapi kalau Kak Sham ikut sama, Badri akan bayar untuk Kak Sham dan terpaksa bayar barang saya.
“Tapi kalau saya minta Badri belikan barang keperluan dapur dia kata, dia tak makan kat rumah, jadi saya yang makan sayalah beli. Perbuatan seperti inilah yang membuatkan syak saya menjadi-jadi. Bila tanya kenapa ajak Kak Sham ikut sama, dia kata kesian tak ada orang ajak dia jalan. Bila tanya kenapa bayarkan barangan makan Kak Sham katanya kesian dia tak ada duit.
“Saya kata, Kak Sham ada gaji, anak-anaknya tiga orang dah bekerja, dua tinggal dengannya, tentulah mereka boleh bantu emaknya beli makanan untuk mereka, tapi Badri membela katanya gaji mereka kecil.
“Hinggakan pernah satu ketika anak Kak Sham nak bersalin, Badri sanggup tidur di hospital bersama Kak Sham alasannya kesian, sedangkan suami anak Kak Sham tidur di rumah. Apa dah jadi ni?
“Oleh kerana saya tak mahu Kak Sham ikut kami, Badri tak mahu ajak saya berjalan lagi. Alasannya banyak kerja tak ada cuti, mana boleh tauke kata tak ada cuti, Sabtu Ahad kan cuti. Ajak jalan ke KLCC atau ke Port Dickson pun dia tak mahu alasannya penat. Tapi sebenarnya dia marah sebab Kak Sham tak boleh ikut sama.
“Lepas pantang saya balik KL, Badri ajak Kak Sham tidur di rumah takut bayi kecil kami menangis, maklum berubah rumah. Saya akur. Tapi bila saya terjaga tengah malam, saya tengok Kak Sham tidur di ruang tamu dengan Badri sedangkan saya dibiarkan tidur dalam bilik dengan anak. Terkejut beruk saya. Bila tanya Badri kenapa tak tidur dalam bilik katanya panas. Kak Sham pun bagi alasan sama, sedangkan awalnya dia tidur di bilik lain. Badri marah saya tanya, katanya saya cemburu.
“Tekaan saya diperkuatkan lagi dengan aduan jiran yang memberitahu Badri selalu bawa Kak Sham bermalam di rumah kami. Bila saya tanya alasannya nak tolong bersihkan rumah. Badri marah bila saya kata perbuatannya buat jiran tak selesa. Badri kata saya lebih percayakan jiran. Saya kata tentulah, sebab kita hidup berjiran, lagipun bukan seorang dua yang bercakap.
“Namun sejak peristiwa itu Kak Sham tak datang ke rumah kami lagi. Tapi mereka tetap pergi kerja bersama, bila saya tanya kenapa tak suruh anaknya hantar sebab mereka pun ada kereta. Katanya anaknya masuk kerja 9 pagi. Hai takkan hantar emak pun tak boleh. Kalau tidak pun mereka keluar pukul 8 pagi takut jam. Jadi apa salah hantar emaknya dan ambil bila balik kerja waktu petang.
“Masalah Badri bukan saja tak mahu hantar saya ke pejabat, ke klinik dan balik kampung saya setahun sekali pada Hari Raya saja, malah nak jawab telefon saya pun dia tak mahu sebab Kak Sham ada sebelahnya. Alasannya sibuk.
“Lebih menyakitkan hati bila saya nak balik kampung Badri larang, katanya buat habiskan duit dia aja, sebab bila balik saya naik kapal terbang dia terpaksa bayar tambang untuk anak. Bukan tambang saya. Itu pun dia berkira. Dan dia tak akan hantar atau ambil saya di airport, dia suruh pergi naik teksi sendiri.
“Setahun sekali balik beraya ke kampung saya, dia tidur dua malam, lepas tu dia balik ke rumah emaknya, tak ajak saya pun, katanya saya boleh balik bila suka. Tapi sebenarnya dia nak ke kampung Kak Sham dan mereka balik KL bersama. Sepanjang empat tahun kami berkahwin itulah alasannya setiap tahun.
“Kadang tu bila duduk termenung saya fikir sendirian mengapa Badri jadi macam ni, saya isterinya dibuat macam orang luar, kakak ipar dilayan macam isteri. Hinggakan mak mentua saya pun ikut cakap Kak Sham, kalau datang KL dia tak dibenarkan bermalam di rumah saya, mesti tidur rumah Kak Sham.
“Layanan Badri kepada Kak Sham sudah melampau, sudahlah makan minumnya dan pakaian dibelikan, rumah sewanya pun Badri yang bayar. Lebih teruk Badri tidak mahu makan masakan saya, dia beri seribu alasan untuk tidak makan. Sebagai contoh, hujung minggu dia bangun lewat terus jumpa kawan, konon ada hal. Tapi sebenarnya dia ke rumah Kak Sham makan tengah hari dah malam baru balik. Hari kerja pastilah dari pagi sampai malam makan bersama Kak Sham. Balik rumah untuk tidur.
“Oleh kerana dia tak makan kat rumah sebab tu dia tak belikan barang makan untuk kami. Kalau saya minta duit dia kata duit gaji saya tu nak buat apa? Dia sediakan rumah untuk saya tinggal sudah cukup baik.
“Bab makan, nak kata saya tak pandai masak, takkan kawan-kawan pejabat suruh saya masak untuk majlis tertentu. Mereka puji masakan saya sedap. Cuma Badri saja takut nak makan makanan masakan saya. Kalau makan di rumah dia akan bawa makanan yang dibekalkan oleh Kak Sham. Siapa tak sakit hati.
“Badri memang pinggirkan saya zahir dan batin. Dia terlalu kedekut dan berkira dengan saya untuk berbelanja. Bila saya tanya kenapa dia bayarkan sewa rumah Kak Sham katanya kesian dia tak ada duit, sedangkan anak-anaknya bekerja tinggal di rumah tu takkan tak mampu bayar sewa rumah dan beli barang makan.
“Kalau balik kampung Hari Raya Kak Sham tak ikut sama tak sah. Saya tanya kenapa tak ikut anak-anaknya, dia marah kerana banyak soal. Kalau mak saya datang ke rumah kami, Badri mulalah tunjuk baik. Dia akan hantar dan jemput saya pergi balik ke pejabat. Boleh pulak Kak Sham pergi kerja sendiri. Tapi bila mak saya balik aja, saya terpaksa pergi dan balik sendiri. Alasannya menyusahkan dia kerana trafik jam. Sebenarnya bukan jauh pun dari rumah saya ke pejabat. Tapi dia tak mahu hantar saya dia lebih suka pergi ke rumah Kak Sham. Patut ke?
“Nampaknya kami hanya tinggal sebumbung tapi tak ada kemesraan. Setiap hari balik rumah pukul 8 malam, rehat sekejap lepas tu terus tidur. Sebab itu dia lakukan hubungan suami isteri sebulan atau dua bulan sekali. Alasannya penat,’’ demikian cerita Fadlyana tentang pengalaman pahitnya seumpama bermadu dengan biras.
Johar suami Kak Sham tak pernah balik sejak kahwin lain. Tapi Kak Sham tak peduli, malah dia suka sebab hidupnya lebih mewah bersama Badri.
Aduh! Kes macam ini pun ada. Memang parah. Kata Fadlyana, rumah tangganya kini umpama retak menanti belah, nama saja bersuami, tetapi macam tak ada. Kini dia tak mahu fikirkan pasal Badri dan Kak Sham, lantaklah. Mereka dah tua sepatutnya tahu dosa pahala. Malangnya ramai yang tua terlupa syurga dan neraka.