Sunday, February 17, 2008

17/02/2008: Ayah berubah setelah naik pangkat


MASIH ingatkah lagi kisah yang dipaparkan pada 27 Januari lalu berjudul Cabaran membesarkan anak angkat luahan rasa Nurshima?.


Kisahnya mengenai beliau yang kasihan dengan penderitaan ibunya kerana membesarkan seorang anak angkat yang tidak bertimbang rasa apatah lagi membalas budi.



Cerita beliau menarik perhatian Dr. Z seorang Ph.D ekonomi dan seorang penulis buku terkenal. Beliau terpanggil meluahkan perasaannya dalam e-mel kepada penulis. Katanya, dia tersentuh hati dengan kisah anak angkat yang dipaparkan itu, kerana dirinya juga anak angkat.


‘‘Selama lebih 15 tahun saya mengikuti hampir setiap kisah dan masalah yang dipaparkan dalam DCCK (Di celah-celah kehidupan). Tetapi hanya baru kini saya bercadang untuk menulis kepada ruangan ini. Kerana saya rasa betul-betul terasa dan ingin memberi pandangan mengikut pengalaman saya sendiri.


‘‘Saya amat tertarik dengan kisah tersebut, ia amat memilukan hati, kerana saya juga anak angkat, tetapi saya ditatang macam minyak yang penuh. Keluarga yang membesarkan saya amat sayangkan saya walaupun mereka tahu asal usul keturunan saya dari bangsa lain tidak sebangsa dengan mereka.



‘‘Namun saya dilayan dengan baik seperti anak mereka yang lain. Saya jadi perajuk juga kerana mendengar hasutan dan perli dari orang luar yang irihati dengan saya, kerana saya dijaga dengan baik. Itu mengikut cerita jiran-jiran ketika itu.


‘‘Sejak kecil, saya sudah tahu taraf saya sebagai anak angkat. Bukan dari mulut mereka tetapi jiran-jiran dan saudara-mara sebelah mak yang suka mengungkit perihal saya. Hidup saya tertekan semasa kecil bukan kerana mak abah atau kakak dan abang angkat, tetapi kerana saudara-mara yang kurang senang dengan limpahan kasih sayang dan wang ringgit yang dilaburkan kepada saya.


‘‘Saya rasa bertuah kerana kebetulan saya dipelihara oleh orang yang sangat sayang dan sukakan kanak-kanak. Ditakdirkan setelah mengambil saya, rezeki keluarga bertambah baik, itu mengikut seorang datuk di kampung saya itu.


‘‘Mungkin tekanan dari jiran itu membuatkan saya menjadi rajin belajar kerana mahu keluar dari kampung. Alhamdulillah berkat kesabaran saya berusaha dan galakan dari abah, saya berjaya ke menara gading, sehingga ke luar negara.


‘‘Ujian menimpa saya, abah meninggal dunia ketika saya baru setahun di AS. Perasaan saya amat terharu kerana tidak dapat berbakti pada abah. Tapi saya kuatkan semangat belajar lebih kuat untuk membela nasib mak. Mak memang saya jaga sebaik mungkin. Oleh kerana mak tidak suka duduk di bandar, jadi dia duduk dengan kakak, anaknya sendiri di kampung.


‘‘Saya pastikan balik kampung setiap bulan bukan untuk beri wang, kerana mak tidak mahu wang saya. Tetapi saya mahu mencium di segenap raut mukanya yang bujur sirih dan kurus itu. Betul kata ustazah, cuimlah ibu sementara ada. Ibu meninggal dunia enam tahun lalu. Tapi saya puas membelainya dengan penuh kasih sayang.


‘‘Saya bersyukur menjadi anak angkat kepada keluarga yang sayangkan anak-anak. Kakak juga yang jaga semua anak-anak saya masa kecil dan kami gembira, bukan tidak ada hasad dengki orang luar atau dari keluarga kakak, tapi itu semua saya tolak tepi kerana anak-anak sayangkan kakak dan mereka panggil mak.



‘‘Saya adalah ibu mereka, tapi kata mereka, mak menjaga mereka semasa kecil. Kakak tidak benarkan saya ambil pembantu rumah. Tujuan saya ceritakan pengalaman saya ini supaya pembaca tidak takut untuk mengambil anak angkat.


‘‘Lagipun terdapat kalangan anak-anak kandung yang mengabaikan ibu bapa mereka. Jadi setiap anak itu berlainan dan Allah menduga umatnya sebagai penghapus dosa kita yang lalu,’’ demikian cerita Dr. Z.


Minggu ini kita paparkan juga rintihan seorang anak bernama Ashira tentang hidupnya yang hambar setelah ayahnya naik pangkat dan bergaji besar. Dalam e-melnya, Ashira berkata, dia tidak pasti sama ada ceritanya diterima untuk mengisi ruangan DCCK yang amat diminatinya, kerana biasanya ruangan ini memberi laluan kepada kaum wanita, sedangkan dia hanyalah anak gadis belasan tahun.


‘‘Sebenarnya saya bukan kecil lagi, sudah 16 tahun. Tetapi pengalaman pahit yang saya lalui sejak tiga tahun lalu amat menyakitkan. Tambah terharu apabila saya lihat wajah ibu sentiasa susah hati, termenung dan wajahnya penuh penderitaan.


‘‘Kalau saya sendiri dan adik-adik amat tertekan dengan sikap, perangai dan perubahan diri ayah apa lagi ibu, tentu beliau lebih susah hati. Tetapi ibu tabah mengharungi babak hitam dalam kehidupannya.


‘‘Dulu hidup kami tidak seperti ini. Dulu ayah amat penyayang, suka bergurau, bermain, melancong, berjalan ke tempat-tempat permainan dan pantai, tetapi sejak akhir-akhir ini sikap ayah banyak berubah. Bermula dengan suka balik malam, menyepi diri dan lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah.


‘‘Dulu saya tak tahu mana silapnya, kini setelah semakin dewasa saya faham mengapa hubungan ayah dengan kami jadi hambar dan tidak bermakna lagi.


‘‘Dulu ayah senang diajak berbual, menonton wayang ataupun TV, tetapi setelah ayah naik pangkat dan bertukar ke negeri lain, ayah sudah banyak berubah. Ayah seolah-olah sudah jadi orang asing dalam kehidupan kami.


‘‘Apabila kawan-kawan bercerita tentang ayah, mereka suka berbual dan bertanyakan pelajaran mereka, saya terdiam, kerana ayah saya tidak peduli langsung pelajaran kami. Hinggakan report card ibu yang tanda tangan. Jangankan bertanya nombor berapa saya dapat dalam kelas, melihat buku dan report card pun dia tak mahu. Semua ayah serahkan pada ibu uruskan.



‘‘Saya benar-benar rindukan ayah saya dulu, yang suka berbual, bertanya khabar dan menegur saya kalau tidak dapat markah memuaskan, begitu juga dengan adik- adik. Kini sama ada ayah balik ke rumah atau tidak sudah menjadi perkara biasa dalam hidup kami. Kadang-kadang saya rasa macam tidak mempunyai ayah.


‘‘Kawan-kawan saya terkejut bila saya katakan saya sudah beberapa tahun tidak pernah makan semeja dengan ayah, menonton TV apa lagi untuk mencurahkan masalah tentang pelajaran. Sebab ayah lebih banyak tidak ada di rumah, kalau balik pun melihat wajahnya pun kami jadi takut.


‘‘Jadi ibulah tempat kami berbual, berbincang, mencurahkan perasaan, bertanya benda-benda yang kami tak faham, kerana ibu tidak bekerja sentiasa ada di rumah. Namun bukan selalu kami boleh berbual, kami terpaksa melihat keadaan sekitar kalau ibu tidak menangis dan tidak sedih.


‘‘Biasanya ibu menangis dan sedih apabila kena tengking dan dimarah ayah.


‘‘Saya tak faham mengapa ayah sering marah-marah dan bertengkar dengan ibu. Kadangkala kerana hal kecil sekalipun tetapi ayah boleh menengking ibu dengan kuat sambil meluahkan perkataan yang tidak manis kepada ibu di hadapan kami. Ayah langsung tidak menghargai penat lelah ibu menguruskan rumah tangga dan menjaga kami. Pada ayah ibu semuanya bodoh, tak reti dan tidak mendengar katanya.


‘‘Perkataan yang diluahkan ayah pada ibu amat mengaibkan terutama apabila kami mendengarnya. Saya tahu ibu malu, hatinya amat terguris tetapi ibu tidak berani bertindak kecuali melawan kata-katanya, kerana ibu tahu dia tidak mempunyai apa-apa pun jika ditakdirkan dicerai ataupun ditinggalkan oleh ayah.


‘‘Ibu pernah berkata, dia terpaksa bersabar kerana ibu tidak bekerja, kerana kalau bercerai-berai, apa akan jadi kepada kami yang perlukan makan, pakai dan maha penting pelajaran. Kata ibu, kami perlu belajar rajin-rajin dan bekerja supaya jangan jadi seperti ibu yang hidup terpaksa bergantung kepada ayah.


‘‘Saya faham ayah kini sudah berpangkat tinggi dan bergaji besar, namun itu tidak bermakna ayah boleh memandang rendah pada ibu, isterinya yang satu ketika dulu disayangi. Saya yakin semua perubahan yang berlaku dalam diri ayah kini adalah kerana kedudukan ekonominya yang semakin baik, ayah jadi seorang yang sombong dan bongkak, ego dan tidak sedarkan diri dan asal usulnya.


‘‘Bagi saya, ibulah ayah, ibulah yang melaksanakan tanggungjawab dalam rumah kami. Walaupun hatinya terluka, tetapi ibu cuba menceriakan wajahnya apabila bertemu orang. Tetapi saya tahu hatinya terluka parah. Orang luar melihat kami keluarga bahagia, namun hakikatnya rumah kami cuma elok di luar, tetapi di dalamnya sudah bersarang hancur dimakan anai-anai.



‘‘Saya kesal dengan sikap ayah yang sering menengking ibu tak kira hari dan masa. Setiap kali peristiwa itu berlaku, ia segera terlekat di fikiran saya dan sukar untuk dikikis buang hingga sering mengganggu penumpuan saya terhadap pelajaran.


‘‘Bila teringatkan peristiwa dan setiap patah perkataan yang ayah luahkan kepada ibu, air mata saya tidak berhenti-henti mengalir macam sungai tak berhenti. Hinggakan masa saya menulis e-mel ini pun saya menangis. Saya bimbang tentang masa depan ibu dan kami empat beradik. Saya takut fikirkan sesuatu yang buruk terjadi ke mana kami akan pergi, ibu tidak bekerja.


‘‘Saya hairan sungguh mengapa ayah sanggup ‘menutup matanya’ daripada melihat kami! Kalaupun ayah tidak suka berbual dan bertanya perkembangan pelajaran saya, ayah masih boleh berbual dan bertanya tentang pelajaran adik-adik yang masih kecil yang sudah pasti mahukan belaian ayah.


‘‘Apabil ayah ada di rumah, kami berempat beradik bagaikan orang asing ataupun tetamu yang tidak diundang dan tidak disukainya. Ayah langsung tidak mahu berbual, malah kalau adik-adik bergaduh ayah akan segera menengking mereka, dan sudah pasti ibu turut kena maki hamun dan ditengking tak memasal.


‘‘Tugas ayah setiap bulan cuma beri wang kepada ibu. Cukup atau tidak itu urusan ibu. Tak boleh tambah, pandai-pandai ibulah mencukupkan mana-mana yang kurang. Ayah tak mahu ambil tahu langsung.


‘‘Kini jiwa saya amat tertekan. Saya tidak tahu ke mana nak mengadu. Saya ingin berbicara dengan ibu, tapi saya tak sanggup melihat air matanya. Saya mahukan ayah berubah seperti dulu. Sudah lebih tiga tahun ayah begini, saya bosan.


‘‘Benar kata kawan-kawan saya, apabila ayah kita berpangkat, mereka jadi mudah lupa. Hanya bila dalam kesusahan, barulah mereka mengingati Allah.


‘‘Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang saya ada, tetapi saya mahukan ayah saya semula. Dan saya sedar di luar sana mungkin lebih ramai lagi anak yang senasib dengan saya. Apa yang saya mampu lakukan hanya berdoa supaya ayah kembali berubah. Kalau ayah terbaca luahan hati saya ini bukan niat saya memalukan atau memburukkan ayah, tapi saya mahu ayah ingat kami anak-anak yang dahagakan kasih sayang ayah. Kami rindukan ayah,’’ demikian luahan hati Ashira yang rindukan ayahnya yang telah berubah setelah naik pangkat dan bergaji besar.


Benar kata Ashira, bukan ramai lagi anak lain senasib dengannya. Wahai ayah ke mana hilangnya kasih sayang? Rezeki dari Allah bukan hak milik anda seorang. Tetapi jadi milik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah. Sayangilah anak-anak semasa mereka memerlukan.


Jangan kesal apabila anak-anak tidak mengenali ayahnya, atau apabila anak-anak terdorong kepada perbuatan yang tidak baik. Kerana bahangnya akan turut terpalit dan memburukkan nama ayahnya sekali.

Read more!