Sunday, March 30, 2008

30/03/2008: “Poligami manisnya 1, masalahnya 9’

KISAH minggu lalu berjudul ‘Hanya lelaki pilihan boleh berpoligami” mengundang pandangan yang pelbagai, tidak seperti diharapkan Nurhazira.


Rata-rata pembaca yang menghantar e-mel menasihatkan Nurhazira meletakkan dirinya di tempat isteri pertama, ketika itu baru dia dapat merasakan betapa peritnya hati, sakitnya jiwa bila diri tidak disayangi oleh suami.



Azah yang mengakui isu poligami tidak ada kesudahan. Beliau tidak menentang poligami tetapi selalu menasihatkan suami, rakan-rakan lelaki supaya membetulkan keluarga dahulu dengan memberikan didikan dan ilmu agama.

‘‘Untuk pengetahuan Nurhazira kesalahan suami anda ialah berkahwin secara rahsia, ketua tidak membentuk isteri pertama jadi isteri solehah (mengikut cerita anda). Kegagalan rumah tangga terletak di bahu suami dan isteri. Suami memainkan peranan membentuk isteri. Jika isteri tidak dididik maka si suami tadi bukan suami pilihan.


‘‘Zaman ini sukar dicari lelaki yang betul-betul layak berpoligami, kalau sekadar ada harta dan ilmu belum tentu bahagia dan berjaya, yang penting seseorang itu perlu berlandaskan Islam sebagai cara hidup.



‘‘Sekiranya saya Nurhazira, saya tidak akan kahwini lelaki yang tidak dapat membentuk isteri pertamanya. Kerana kita bukan bahan ujikaji. Kalau perkahwinan pertama gagal, belum tentu yang kedua bahagia. Jangan musnahkan hidup kita hanya kerana lelaki, tidak berbaloi,’’ kata Azah.


Maria dalam e-melnya berkata dia layak memberi pandangan kerana dia juga mengalami kehidupan sedemikian.


‘‘Hanya suami berpoligami layak beri pandangan, kerana dia ada ramai isteri. Dia lebih tahu tahap kebaikan dan keburukan isteri-isterinya. Namun suami mesti tahu apakah dia telah jalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Apa rasional dia bernikah lagi? Adakah dia faham maksud poligami dari sudut Islam? Kerana kealpaan suami akan mengakibatkan timbul isu negatif tentang poligami.


‘‘Hanya segelintir suami faham dari sudut Islam. Kebanyakannya nak test market, sebab pengaruh kawan yang berpoligami, tanpa mendalami masalah yang akan wujud, kemampuan nafkah zahir batin, keadilan pelbagai aspek, jadi adakah dia layak sebagai nakhoda mengemudi kapal-kapalnya?


‘‘Saya bercakap berdasarkan pengalaman, tak perlulah beritahu saya ini isteri pertama, kedua atau seterusnya, tapi saya ingin membuka mata isteri-isteri yang bermadu, kita jangan terlalu percaya kepada apa yang diceritakan oleh suami tentang madu kita, jangan menuduh tanpa mengetahui kebenaran keburukan madu kita.


‘‘Kita juga perlu fikir dan renungi mungkin suami kita yang jadi dalang dalam permusuhan antara kita. Fikirkan mengapa alim ulama jarang berpoligami? Sebabnya dia tahu hukum hakam, dan takut dilaknati Allah kerana kegagalannya berlaku adil. Lagi pun mereka faham dan berfikir apakah dia cukup sempurna sebagai ketua keluarga dan suami. Bukan seperti kebanyakan lelaki, kahwin dulu baru fikir,’’, kata Maria.


Namun minggu ini saya bawakan pengalaman pahit Puan Mazimah gara-gara suami yang hidup tidak keharuan hingga hampir menghancurkan rumah tangga apabila digoda. Beliau juga saya temui di KL Sentral di tengah-tengah kota Isnin lalu.


Kata Mazimah, sejak mula kahwin dia faham perangai suaminya panas baran, pantas tangan dan cepat mengamuk, tetapi semua itu boleh diatasi, sehinggalah fikirannya terganggu apabila anak-anak jadi mangsa penangan suaminya.


‘‘Zul memang cepat berang walaupun masalah remeh temeh dan bila kehendaknya tidak dipatuhi. Selama lebih 17 tahun kahwin, saya sentiasa sabar dan berusaha kurangkan marahnya sama ada di tempat kerja, dengan kawan-kawan atau di rumah. Dia akan cepat naik angin kalau lauk terasa garam, air terlalu manis, terpanas atau keadaan rumah bersepah. Dia akan melenting, memekik dan menghumban apa sahaja, apa lagi bila anak menangis. Jadi saya berusaha mengawal keadaan.



‘‘Kalau dia cakap salah jangan dibantah, apa lagi kalau dibetulkan dia cepat angin. Pernah dia tinggalkan saya di kedai bersama dua anak yang masih kecil dan terus balik ke rumah, semata-mata kerana terpintas cakapnya. Pandai-pandai sayalah kalau nak balik. Waktu itu memang susah dapat teksi, saya terpaksa menunggu sejam lebih dalam keadaan panas dan anak-anak kelaparan.


‘‘Pernah juga dia tinggalkan salah seorang anak kami di kedai semata-mata kerana dia minta belikan pensil dan pembaris yang hilang. Setelah tiga jam anak kami yang berusia 9 tahun ditinggalkan di kedai itu, barulah dia telefon saya suruh pergi ambil.


‘‘Dalam ketakutan dan terkejut yang teramat saya tak sedar menangis sambil mencari anak ke hulu ke hilir dan di dalam kedai. Saya hampir pengsan kerana sedih. Setengah jam kemudian baru nampak anak saya berlari mendapatkan saya dalam ketakutan. Sebab dia tak pernah keluar rumah sendirian, tak tahu jalan balik dan kedai itu jauh dari rumah kami, bas pun tak ada.


‘‘Selepas menghantar anak balik saya cuba tenangkan dia, malamnya dia demam panas kerana takut. Tapi Zul tak ambil pusing. Hubungannya dengan anak-anak tak mesra langsung. Tak pernah berbual, kecuali kalau dia marahkan mereka. Dia tak peduli masa, siang atau malam, bila naik angin semua orang kena marah, anak-anak sentiasa dalam ketakutan.


‘‘Sebenarnya perangai barannya sejak kecil. Bukan kami anak beranak saja kena marah. Adik-beradiknya pun tak sukakan dia. Zul tak pernah pedulikan mereka. Dia cuma pentingkan dirinya saja, hinggakan adik-beradiknya tak suka ke rumah kami.


‘‘Itulah juga perangainya di pejabat, semua orang tahu, dia tak suka di bantah, apa lagi ditegur, dia fikir dia betul.


‘‘Perangai barannya buat saya kesiankan anak-anak, kerana takutkan ayah mereka, apa lagi kalau pelajaran mereka merosot, bukan setakat anak-anak kena marah, saya pun kena tengking, kerana tidak ajar mereka. Bila saya kata tak ada masa kerana perlu masak, berkemas rumah selepas balik pejabat, dia tak peduli. Sedangkan dia balik pejabat hanya tengok tv, baca paper dan tunggu makan malam.


‘‘Perangai barannya tak menentu, pernah ketika kami diajak berkelah, dia tak berkenan tengok pakaian salah seorang anak kami, dan si anak pula sukakan pakaian tersebut, kerana tak dengar cakapnya, dia terus batalkan rancangan berkelah. Begitulah perangainya tak suka bertolak ansur.


‘‘Pernah juga dia tinggalkan seorang anak kami sendirian di rumah untuk pergi bercuti puncanya kerana anak kami lambat balik dari kelas tambahan.



‘‘Selain panas baran Zul juga amat kedekut kalau ke kedai. Waktu nak bayar dia keluar dulu. Tapi nak makan yang best-best. Itulah perangainya, punyalah kedekut.


‘‘Keadaan semakin teruk kira-kira tiga tahun lalu. Mulanya saya tak tahu, hinggalah saya ternampak SMS bunga-bunga cinta dan ucapan kasih sayang. Tapi saya diamkan kerana takut dia angin. Hinggalah setahun lalu dia berubah sikap suka keluar malam, dan sering terima SMS. Saya mula syak tapi tak berani tanya.


‘‘Satu hari saya buka SMS dari telefon dan letakkan atas pangkuannya sambil saya kata sampai hati dia bercinta dan nak kahwin lagi, sedangkan saya terlalu banyak bersabar dengan panas barannya. Tapi dia tak peduli. Jawab pun tidak, dia buat selamba.


‘‘Dalam diam saya siasat siapa gadis yang menggodanya. Setelah rahsia terbongkar saya jumpa gadis itu dan bertanya apakah dia benar-benar nak kahwin dengan Zul, dia mengaku, dia tahu perangai panas baran Zul, katanya itu bukan masalah besar, dia boleh atasi. Dari perwatakan dan cara bercakap dia memang sombong, ego dan perangainya sama dengan Zul. Kawan-kawannya juga bercerita yang sama.


‘‘Sejak rahsianya terbongkar, kelakuan Zul bertambah ganas, dia bukan saja pukul anak-anak, tapi sanggup lempar benda-benda hingga mencederakan mereka. Dia jadi ganas bila rajin mengajar anak-anak. Katanya tak payah tuisyen. Tujuannya supaya dia tak payah keluar duit tuisyen.


‘‘Waktu mengajar kalau tak mendebuk dan tak memukul anak-anak, dia tak puas hati. Pernah kepala anak saya kena lapan jahitan dibaling fail tebal dan tajam, bukan itu saja ada yang tak boleh berjalan tegak bila tulang belakang terkehel kerana dipukul. Doktor yang merawat nasihatkan saya buat laporan polis, tapi risikonya Zul akan kena buang kerja dan kena penjara.


‘‘Waktu dia pukul anak-anak saya tak boleh tegur, nanti dia pukul lebih teruk.


‘‘Saya pernah tanya Zul betul ke dia nak kahwin lagi? Kalau dia kahwin lagi dan boleh berubah jadi ayah dan suami yang baik, kahwinlah. Tetapi setelah dihasut oleh gadis tersebut dan keganasannya terhadap anak-anak menjadi-jadi, saya suruh dia fikir semula apakah ada kebahagian jika dia kahwin lagi?


‘‘Dia pernah junjung al-Quran depan saya menafikan dia bercinta dan nak kahwin, bukan sekali dua dia nafikan, tetapi dalam diam dia teruskan hubungan. Dia sanggup ikut gadis tu bertugas out station, sanggup pergi jogging, pergi jim setiap hujung minggu semata-mata untuk bersama, pada saya dia bagi alasan nak jaga kesihatan.



‘‘Cerita Zul pada kawan rapatnya, dia nak kahwin dengan gadis itu sebab gadis tu bergaji besar, sama taraf dengannya. Lagi pun dia perlukan duit sebab pelaburan saham yang dibuatnya rugi dan bisnes dengan kawannya hancur.


‘‘Pada saya inilah padahnya, dengan anak isteri, adik beradik sendiri dia kedekut, apa lagi nak bantu, asyik kata tak ada duit sedangkan dia simpan banyak duit. Allah dah kata rezeki yang diberi-Nya adalah untuk keluarga selain bersedekah. Akibatnya semua duit simpanan lesap sekelip mata.


‘‘Bila tak ada duit, dia minta pada saya. Kalau tak bagi, dia akan mengamuk.


‘‘Kerana asyik bercinta tak ada keputusan bila nak kahwin, akhirnya saya telefon ayah kekasihnya minta mereka desak anaknya kahwin segera, sebab saya tak mahu Zul memukul anak bila fikirannya terganggu. Tapi bila balik Zul mengamuk, saya hampir makan penumbuknya.


‘‘Kerana bimbangkan keselamatan kami dan atas nasihat dan kebenaran mahkamah syariah dan doktor yang takut anak-anak jadi mangsa, saya pindah ke rumah saudara saya. Lepas sebulan atas nasihat mahkamah juga saya kembali ke rumah bila keadaan sudah reda. Waktu saya balik Zul tak ambil pusing, malah dia tanya saya buat apa balik. Lelaki memang besar egonya. Tetapi selepas beberapa hari dia buat drama lagi beritahu saya, dia tak berhajat kahwin lagi.


‘‘Katanya apa yang dilakukannya hanya kerana dia suka bila ada wanita lain sayangkan dia. Saya tanya dia apakah saya tak sayangkan dia? Katanya nikmat bercinta lain. Kahwin tu bermasalah. Katanya, orang kata kahwin dua ni seronoknya cuma 1, masalahnya ada 9, jadi buat apa susahkan diri. Dia memang tak nak kahwin lagi.


‘‘Sejak itu hingga kini katanya dah lebih setahun dia dah putuskan hubungan, tapi gadis itu tak pernah jemu. Dia terus menggoda Zul. Maklum umur dekat 40 tahun. Terdesak agaknya. Hantar SMS setiap hari. Lebih dua tahun gadis tu menggodanya, dia tak layan, tapi lelaki ni dalam diam, dia curi-curi makan juga. Tapi bila tanya katanya dia tak minat nak kahwin,’’ demikian cerita Mazimah tentang pengalaman pahitnya.


Memang sakit hati kalau suami panas baran dan pantas tangan, tambah mendidih darah dalam pada bengis itu dia nak kahwin lagi. Tapi tak salah suami juga kalau si gadis bersedia jadi nombor dua. Terdesak kot? Tapi ingat jangan pikul biawak hidup, nanti merana diri.

Read more!

Sunday, March 23, 2008

23/03/2008: Hanya lelaki pilihan boleh berpoligami?

‘‘SAYA amat tersentuh dengan isu poligami yang dibentangkan beberapa minggu lalu, terutama oleh Farra Emelia, kerana saya terlibat kahwin suami orang. Saya rasa pandangan yang saya luahkan ini mungkin satu dalam seratus, tetapi mungkin boleh mengubah persepsi masyarakat kita terhadap wanita yang bergelar isteri kedua,’’ demikian kata Nurhazira ketika penulis menemuinya di sebuah restoran di KL Sentral baru-baru ini. Sebelum itu beliau menghantar e-mel dan penulis berbesar hati kerana Nurhazira sudi berkongsi pengalamannya, setelah mendapat keizinan suami.



‘‘Sebenarnya saya tak takut kalau puan siarkan nama betul saya, sebab saya berada di tempat yang benar. Banyak sebab mengapa saya tertarik untuk jadi isteri kedua, selain lelaki bujang yang rata-rata tak minat berkahwin dan tidak bertanggungjawab.



‘‘Secara jujur saya rasa tidak ada seorang gadis pun di dunia ini mengimpikan berkahwin dengan suami orang apalagi berkongsi kasih. Saya juga tidak impikan begitu. Tapi, kalau memang begitu takdir kita apa daya saya menolak ketentuan-Nya.


‘‘Seperti gadis lain saya juga teringin berkahwin berpinang, beradat, bersanding dan diraikan oleh sanak saudara dan rakan taulan, tetapi apakan daya. Kalau kahwin suami orang kita tidak akan berasa semua itu, kecualilah seorang dua yang bertuah dipinang bakal madu. Saya tidak begitu.


‘‘Perkenalan kami secara tidak langsung di rumah kawan. Kebetulan Suhaimi peramah, suka berjenaka dan mudah bergaul telah tertarik dengan perwatakan saya, begitu juga saya cepat mesra dengannya.



‘‘Perkenalan kami berakhir dengan beberapa kali perjumpaan dan seterusnya Suhaimi melahirkan hasrat untuk menjadikan saya isterinya. Dia beritahu sudah berkahwin dan punyai tiga orang anak. Dia tidak memburukkan isterinya, malah berkata dia ingin berkahwin kerana antara kami ada keserasian, dan saya senang dengan tindak tanduk serta kejujurannya.


‘‘Namun memang pada mulanya saya menolak, kerana saya belum bersedia berkahwin terutama dengan suami orang, tetapi setelah saya mendapat petunjuk dan saya rasakan dialah jodoh yang terbaik, saya terima dengan kesyukuran.


‘‘Memang benar sebelum ini bukan saya tak ada teman lelaki yang masih bujang tapi, tak ada yang boleh dijadikan suami. Mereka layak digelar kawan sahaja.


‘‘Bukan maksud saya menidakkan bahawa di luar sana tidak ada lelaki bujang yang baik tapi mungkin saya tidak bernasib baik kerana tidak bertemu mereka. Kenapa saya memilih suami saya sekarang walaupun saya tahu dia suami orang, adalah kerana kejujuran, sifatnya yang bertanggungjawab, berbudi bahasa dan yang penting pegangan agama yang kuat.


‘‘Saya masih ingat kali pertama bertemu, dia dengan jujur mengaku sudah ada anak dan isteri. Saya tidak kisah kerana ketika itu kami sekadar berkawan dan dia merupakan salah seorang dari kawan saya. Jadi waktu itu dia tak masuk dalam buku saya pun.


‘‘Tetapi beberapa bulan sebelum itu saya putus cinta. Dan kali pertama saya keluar makan bersamanya saya sudah dapat rasakan keserasian antara kami. Kami berbual dan berjenaka seolah-olah kami sudah terlalu lama kenal.


‘‘Selang dua tiga hari, dia menyatakan dia menyukai saya. Mulanya saya agak ragu-ragu juga kerana dia suami orang, tapi dia tidak memaksa saya menerimanya, sebaliknya memberi saya ruang untuk mengenali dan menilai dirinya.


‘‘Sepanjang berkawan, tak pernah sekalipun dia memburukkan isterinya. Dia ceritakan pada saya semuanya yang baik-baik. Malah selalu memuji isteri dan anak-anaknya. Setiap hari sekurang-kurangnya dua kali dia akan call isterinya, kerana isterinya di utara tanah air sedangkan dia bekerja di KL. Hujung minggu baru balik.


‘‘Dia cukup menyayangi anak dan isterinya. Tidak pernah sekalipun saya lihat dia bercakap kasar dengan mereka. Cakapnya cukup lemah lembut dan penuh kasih sayang. Saya kagum dengan caranya, walaupun ketika itu kami sedang bercinta, tetapi hati dan cintanya tetap pada anak isterinya malah saya lihat semakin hari semakin dalam kasihnya pada keluarga.



‘‘Tidak seperti kebanyakan lelaki, kalau dah dapat kekasih baru, anak isteri diabaikan. Kerana sifat seperti inilah saya berani menerima lamarannya, walaupun saya sedar masyarakat tidak dapat menerima isteri kedua.


‘‘Suhaimi datang ke kampung bertemu ibu untuk melamar. Alhamdulillah ibu tidak membantah kerana ibu lihat kejujurannya, tetapi sayangnya kami tidak boleh berkahwin di kampung kerana undang-undang yang sedia ada. Dan atas permintaan Suhaimi yang mahu merahsiakan perkahwinan kami. Dia mahu beritahu isterinya satu hari nanti apabila isterinya boleh terima hasratnya berkahwin lagi.


‘‘Dua tahun lepas kami berkahwin di Yala, secara yang sah, di pejabat yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bukan melalui sindikit. Walaupun kami cuba rahsiakan, tetapi kawan suami saya membocorkannya, setelah setahun kami berkahwin.


‘‘Satu hari tanpa kami sedari madu saya Kak Sara bersama ibu dan kakaknya mengekori kami sampai ke rumah ketika pulang dari pejabat. Bila kami hendak masuk ke rumah, Kak Sara terus menerkam Suhaimi dan menamparnya. Ibu dan kakak Kak Sara memaki hamun sambil menuduh saya bomohkan Suhaimi supaya gilakan saya.


‘‘Mereka tuduh saya anak Orang Asli kerana saya orang Pahang. Kata mereka, ilmu Orang Asli yang buatkan Suhaimi gila dan kahwin dengan saya. Walaupun saya cuba nafikan tapi mereka terus menuduh dan menyerang, sambil memaki hamun.


‘‘Walaupun saya tak bertudung tapi saya tak pandai pasal bomoh. Suhaimi tahu sebab saya sentiasa bersamanya masa bila pula saya jumpa bomoh. Saya juga tidak pernah ganggu hidupnya, sebab itu lebih setahun kahwin Kak Sara tak tahu. Suami saya juga pulang ke kampung isterinya setiap minggu, hantar wang, kadang tu bila isterinya telefon minta duit lebih suami saya minta pergi masukkan duit ke bank. Pernah juga bila dia tak sempat ke bank, saya beri duit saya. Saya pastikan Suhaimi bertanggungjawab kepada keluarganya, saya tak mahu mereka bercerai-berai.


‘‘Sebab saya juga adalah anak mangsa ayah tidak bertanggungjawab dan sering berganti isteri, tetapi kebajikan anak-anak tidak dipedulikan. Malah dua adik-beradik saya dilarikan, seorang dihantar kepada nenek di kampung sementara yang kecil ayah beri kepada isterinya yang tak ada anak. Hingga hari ini kami tak berjumpa, malah mereka tidak mengaku kami adik-beradik sebab ibu bukan orang kaya.


‘‘Sejak berkahwin saya sentiasa beralah dengan madu. Suhaimi memang lebihkan Kak Sara. Tapi saya sedar kerana saya nombor dua. Tetapi sejak diserang hidup saya yang aman bertukar huru-hara. Saya dituduh mengguna bomoh. Pantang dia demam, atau anak-anak sakit gatal-gatal mahupun kakinya sengal dia tuduh saya buat ilmu. Mulalah maki saya kerana bela hantu, bela jin boragas, dan pelesit. Apalah saya tahu benda-benda itu. Bela arnab okeylah.


‘‘Dia juga tuduh saya bagi suami makan benda-benda kotor, sebab itu dia jadi bodoh ikut cakap saya. Sebenarnya Suhaimi rajin ke dapur, kami masak bersama, jadi masa bila nak bubuh benda-benda kotor tu. Kerana dia tuduh saya ilmukan Suhaimi jugalah Kak Sara mula asingkan dirinya dan menyuruh Suhaimi tidur di luar. Dia tak mahu layan langsung selagi saya tidak diceraikan, itu syaratnya kalau mahu berbaik semula.



‘‘Tak cukup itu dia sebarkan fitnah yang sama kepada saudara mara suami saya, dan kawan-kawan kami. Ada kalangan mereka yang percaya dan termakan hasutan turut menggesa suami saya ceraikan saya.


‘‘Tetapi taktik menghasut dan membenci saya kepada keluarga suami, ibu bapa dan adik-beradik serta saudara-mara suami saya semuanya tidak menjadi, sebaliknya lepas beberapa bulan mereka mula menyukai saya, setelah mengenali siapa saya yang amat berbeza dengan Kak Sara yang tak suka bergaul dengan keluarga suami saya. Pendek kata, semua hasutan dan tuduhannya berpatah balik memburukkannya.


‘‘Namun Kak Sara tetap tidak berpuas hati, akhirnya dia mendesak Suhaimi menceraikannya. Tetapi saya nasihatkan Suhaimi jangan ceraikan Kak Sara demi anak-anaknya, saya tak mahu anak-anak jadi mangsa seperti nasib saya semasa kecil dahulu.


‘‘Setahu saya keluarga Kak Sara memang kaki bomoh, sikit-sikit tilik bomoh, mereka memang taksub dengan bomoh. Hinggakan belalang padang masuk rumah pun dia tuduh saya hantar pelesit. Benda tahyul itu dia simpan tunjuk kepada suami saya bila balik nanti. Kalau dah selalu sangat didesak akhirnya termasuk juga pada akalnya.


‘‘Satu hari balik dari rumah Kak Sara, Suhaimi tanya saya betul ke saya ada bomohkan Kak Sara? Terkejut saya. Hati kecil saya benar-benar terguris, berjaya juga Kak Sara menghasut. Untuk puaskan hatinya, dia ajak saya jumpa seorang ustaz. Saya setuju. Bila sah saya memang bersih tak ada bela hantu, setan, jin boragas, hantu raya dan sebagainya, barulah dia puas hati.


‘‘Sebenarnya Kak Sara sakit hati sebab keluarga suami saya boleh terima saya dengan baik. Dia memang tak tahu bawa diri bila berada di kampung suaminya. Bapa mentua juga suka bila saya balik kampung. Kadang-kadang mereka menceritakan mereka tak sukakan kelakuan Kak Sara.


‘‘Berbalik pada soal duit belanja, walaupun Kak Sara dapat lebih tetapi selalu mengadu tak cukup. Sebenarnya duitnya banyak dibelanjakan untuk jumpa bomoh.


‘‘Dia juga suka kompelin konon perhiasan rumahnya tak cukup, tak selesa nak tinggal, tetapi ipar saya yang pernah ke rumahnya beritahu, rumah Kak Sara banglo besar peralatan dalam rumahnya macam hotel, lengkap segalanya. Malangnya dia tak bersyukur. Sedangkan saya cuma duduk menyewa rumah flat. Tapi saya bersyukur inilah rumah saya dan saya amat bahagia kini.


‘‘Kalau dulu Kak Sara sering mendesak saya diceraikan, tetapi hidup saya semakin bahagia, sebaliknya hubungannya dengan Suhaimi semakin renggang, bukan kerana bomoh dan ilmu hitam, tetapi atas desakan dan perbuatannya sendiri yang sering minta cerai dan halau suami tidur di ruang tamu setiap kali suami balik ke rumah, kerana alasannya dia rasa jijik dan geli tidur dengan suaminya, selagi tidak ceraikan saya.



‘‘Saya ingin tanya salah siapa kalau satu hari suami bencikan Kak Sara? Semua ini berlaku kerana perbuatannya yang sering menjerkah, mengutuk dan menghalau suami. Kadang tu suami saya terpaksa telefon Kak Sara dahulu sama ada dia boleh balik minggu itu atau tidak, kerana pernah berlaku suami tidur di hotel kerana Kak Sara tak mahu buka gate. Alasannya dia tidak dengar bunyi kereta dan panggilan suami.


‘‘Tujuan saya memaparkan kisah hidup ini supaya masyarakat tahu bukan semua isteri kedua itu jahat dan menganiaya isteri pertama. Sebaliknya mereka yang menyusahkan diri, menyeksa suami dan menganiaya isteri kedua. Maaf kalau saya katakan ada kalanya isteri kedua itu lebih baik, penyabar dan baik hati melebihi isteri pertama, tetapi mereka dilabel perampas suami orang.


‘‘Bukan semua lelaki Allah kurniakan dia boleh beristeri lebih daripada satu. Mungkin Allah ingin menguji lelaki itu sama ada boleh adil atau Dia ingin menduga sejauh mana kesabaran isteri melayan kerenah suami. Mungkin juga ujian bagi isteri kedua macam saya sama ada boleh bertolak ansur dan belajar berkongsi. Dan supaya Kak Sara tahu menghargai serta melayan suami sebaiknya, bukan menggelarkannya macam monyet,’’ demikian cerita Nurhazira.


Kini terpulanglah kepada anda membuat keputusan apakah benar, bukan semua lelaki berpeluang menjadi pilihan Allah beristeri lebih daripada satu dan apakah sebabnya. Bolehkah dia berlaku adil, atau menerima balasan di akhirat kelak?


Read more!

Sunday, March 9, 2008

09/03/2008: Dicerai, kekasih enggan bermadu

ISU poligami memang hangat. Banyak pandangan diterima, ada yang setuju, ramai tidak tentang kisah minggu lalu Poligami gagal kerana suami lemah. Salah satu pandangan datang daripada Puan Mazmah. Dalam e-melnya, beliau berkata, banyak lelaki yang nak kahwin lebih dari satu hanya kerana ikutkan hawa nafsu.



‘‘Cuba tengok ulama terkenal di seluruh negara. Berapa kerat yang berpoligami. Kenapa? Kerana mereka tahu agama, takut nak pikul beban di akhirat. Mereka tahu buruk baiknya. Poligami bukan perkara remeh, bukan boleh diambil mudah mesti fikir berpuluh kali kalau nak kahwin lebih. Ini soal amanah dan tanggungjawab.


‘‘Kepada anak-anak gadis yang menganggap isteri tamak kerana tak izinkan suami kahwin lagi, hentikanlah! Ramai isteri tak suka poligami sebab mereka faham sangat siapa suami mereka, ekonominya, kemampuannya dan kelakuannya yang sebenar.



‘‘Kepada Haniza yang menyeru kaum wanita memahami ajaran Islam, saya setuju, dan dia juga patut suruh kaum lelaki juga mendalami Islam. Kerana lelaki itu pemimpin keluarga, dia boleh menjadi contoh yang baik dan buruk kepada keluarga.


‘‘Biasanya suami yang beriman tidak akan mengurat gadis-gadis apa lagi isteri orang, kerana dia tahu status dirinya. Anak dara pun takkan mengorat lelaki yang beriman. Ramai suami suka menggoda ini bukan kaki masjid! Betul tak? Dan cuba lihat kenapa isteri kedua amat cemburukan suami mereka bila tiada di hadapan mata. Sebab dia tahu perangai suaminya dengan dia dulu di belakang isteri pertama,’’ kata Mazmah.



Lis dalam e-melnya pula berpendapat hanya isteri yang faham siapa suami mereka sebenar. Kalau dengan isteri dan anak-anak punyalah kedekut, tapi kalau dengan perempuan lain, dia macam santa claus. Dengan isteri dia bukan setakat kedekut duit, tapi kedekut kasih sayang, tenaga malah nak bercakap mesra dengan keluarga pun dia kedekut. Sebab itu ramai isteri yang lebih rela minta cerai daripada dimadukan.


‘‘Sebab semasa satu isteri pun suaminya kedekut dalam segala hal, apa lagi setelah kahwin dua. Jadi daripada berdosa bergaduh tak cukup duit, lebih baik minta nafkah setelah bercerai, itu lebih mudah. Tetapi si suami yang tak mampu tahu, kalau bercerai dia kena bagi nafkah anak-anak. Jadi gajinya berapa yang tinggal. Kerana itu dia tak mahu ceraikan isteri, supaya dia boleh kontrol duitnya, pasal anak-anak pandai-pandailah isteri nak bagi makan. Kalau tak ada duit mereka punya pasal.


‘‘Kalau ada yang komen lebih baik bermadu daripada jadi anak dara tua atau janda, anda fikirlah masak-masak. Kalau nak kahwin juga good luck, tapi ingat hidup ini macam roda. Kepada isteri yang rela bercerai, bulatkan tekad dan niat menjaga anak-anak. Banyak rahmatnya. Mana tahu hidup anda lebih bahagia setelah bercerai,’’ demikian nasihat Lis.


Lina pula menambah, dulu dia benci isu poligami, tetapi setelah lama mengharungi hidup dan banyak membaca serta mengkaji dia lebih terbuka kini.


‘‘Semua makhluk milik Allah, bukan milik isteri seorang hingga tidak boleh dikongsi. Bila mati semuanya jadi tanah. Jika Allah benarkan lelaki berpoligami mengapa isteri menentang? Wahai isteri gunakanlah akal jangan ikutkan kata hati. Allah mengetahui kerana Allah yang menjadikan kita. Namun suami mesti telus, jangan ambil kesempatan atas isu ini,’’ demikian cerita Lina.


Sementara itu isu hangat poligami membawa penulis bertemu Puan Haslinda di sebuah restoran di ibu kota. Katanya, dia hairan, banyak pandangan bahawa isteri pertama tamak dan menentang poligami sebaliknya orang ketigalah yang menghasut suami menceraikan isterinya.


‘‘Saya tak bohong, saya bercakap dari pengalaman. Saya diceraikan walaupun saya izinkan suami berpoligami. Semuanya kerana kekasihnya tak mahu bermadu, dia mahu ambil suami kita menjadi miliknya.


‘‘Saya dan Kay berkahwin atas dasar suka sama suka lebih 10 tahun lalu. Walaupun waktu itu kedudukan pendapatan, pendidikan dan pangkat saya lebih tinggi, tetapi itu bukan halangan untuk kami berkahwin. Kami sama-sama ikhlas sambil mengharapkan masa depan lebih baik.



‘‘Atas dorongan saya dan minatnya, dia berhenti kerja kemudiannya menyertai perkhidmatan kerajaan berpakaian seragam. Katanya, dia memang suka kerja tu. Walaupun gajinya jauh lebih rendah daripada saya, tetapi saya beri dia semangat kalau rajin, satu hari nanti dia boleh naik pangkat juga. Berkat kesabaran, pangkatnya naik dan hidup kami harmoni dan ceria selalu.


‘‘Tetapi biasanya orang lelaki bila dah berduit, hati mudah berubah. Selama 10 tahun berkahwin, cuma lapan tahun kami cukup bahagia. Masuk tahun kelapan saya mula nampak perubahannya, dah mula bawa cerita ramai kawan menyindirnya kenapa tak punya anak lagi.


‘‘Sebenarnya dulu lagi setelah empat tahun berkahwin saya dah kata padanya, kita perlu buat sesuatu supaya dapat anak, katanya, itu tak penting, jumpa doktor memang dia tak suka, katanya rezeki Allah yang bagi. Tetapi sebagai wanita, jiwa tetap terusik bila dia bercerita pasal anak.


‘‘Pernah satu ketika saya beritahu dia kalau ditakdirkan masih tak dapat anak, saya rela dia kahwin lagi jika itu kehendaknya. Tetapi dia mendakwa saya merapu. Tapi naluri manusia tak boleh ditutup. Semakin hari semakin banyak dia menipu. Selalu kerja luar, balik malam. Alasannya banyak kerja, banyak kes nak diselesaikan.


‘‘Tapi yang buruk tu mana nak sorok, akan terbongkar juga. Mula-mula saya terpandang gambar perempuan dalam telefonnya, lepas tu message yang berbunyi lemah longlai. Bila saya tanya, katanya, saja kawan-kawan mengusik nak uji kesabarannya, kerana kawannya cemburu tengok kami hidup bahagia, selalu berbincang dan berpakat tentang apa juga benda yang hendak dilakukan. Saya fikirkan apa yang dikatanya itu betul. Kay memang suami yang baik, tak banyak soal dan tak banyak kerenah. Apa yang dilakukan adalah untuk kebahagiaan saya dunia dan akhirat.


‘‘Kerana kebaikan, kejujuran, sikap bertimbang rasa dan seorang yang berpegang kuat kepada agama jugalah saya pilih Kay. Dia memang lain dari kebanyakan lelaki yang sering tinggalkan sembahyang.


‘‘Malangnya, kerana kebaikannya membuat ramai wanita terpikat. Tetapi Kay layan. Saya memang percayakan dia walau ke mana dia pergi. Saya tak perlu telefon dan bertanya di mana dia dan apa dia buat. Sebab saya tahu dia memang jujur kepada saya.


‘‘Akhirnya masuk tahun kesembilan perkahwinan, saya dapat tahu Kay sedang mabuk bercinta dengan seorang anak dara tua satu pejabat dengannya. Saya tanya, benarkah dia berhajat nak kahwin lagi, tetapi Kay tetap menafikan. Katanya, wanita itu satu pejabat dan mereka hanya teman sepejabat. Saya katakan lagi kalau nak kahwin pun beritahu saya secara jujur.


‘‘Agaknya godaan asmara terlalu kuat dari wanita tersebut akhirnya beberapa bulan kemudian Kay mengaku dia memang ada hajat nak kahwin lagi. Walaupun pahit saya terpaksa telan. Tetapi dengan syarat Kay mesti kenalkan kami biar saya tahu hati budinya, sebab kami akan bermadu. Kay setuju. Dan kami bertemu enam mata pada hari yang ditetapkan oleh Kay dan dipersetujui oleh kekasih bernama Hanim.



‘‘Saya kata pada Hanim, saya sanggup dimadukan maka dia pun mestilah sanggup bermadu dan berkongsi suami. Bila dah berkongsi suami mestilah berkongsi segala-galanya, jangan cuba mengatasi hak orang lain. Saya rela bermadu kerana saya terlalu sayangkan Kay. Dan terimalah Kay seadanya. Keluarganya bukan orang kaya dan tolong jangan minta lebih yang mana nanti akan merosakkan masa depannya.


‘‘Hanim langsung tak bercakap, dia cuma makan, minum dan mendengar saja, walaupun panjang soalan yang saya tanya tapi cuma satu jawapannya. Kadang tu dia diam aja. Tetapi dari raut wajahnya, tidak menampakkan kesediaannya menerima saya sebagai madu, apa lagi tersenyum, mukanya memang garang dan masam mencuka.


‘‘Sepatutnya muka saya yang masam, garang dan marah sebab dia nak kongsi suami saya, tetapi berlainan dengan Hanim, dia pulak yang lebih garang dan bencikan saya.


‘‘Dalam pertemuan itu juga saya katakan, saya akan pergi meminangnya dan hadir di majlis perkahwinan mereka. Hanim diam lagi. Tetapi syarat saya kalau nak bertunang dan kahwin pun tunggu selepas kami berdua balik dari umrah. Hanim diam juga.


‘‘Sebulan kemudian kami ke Mekah. Dua bulan, empat bulan lepas tu saya tanya lagi Kay bila nak pergi meminang. Tapi Kay diam. Rupa-rupanya sejak pertemuan itu Hanim membuat keputusan, dia tidak mahu bermadu, sebaliknya mahu saya diceraikan.


‘‘Hari berlalu begitu cepat, dan hubungan saya dengan Kay mula renggang, tidak ada manis, ketawa gembira. Kay banyak habiskan masa di rumah Hanim, hinggakan Hari Raya, dia nak berkubang di rumah Hanim. Dia lebih betah tinggal bersama Hanim. Malah setiap pagi Kay akan ambil dia di rumah untuk sama-sama ke pejabat.


‘‘Lebih setahun mereka buat hubungan, saya gesa mereka cepat kahwin, kerana saya tak mahu Kay bergelumang dengan dosa. Tetapi kata Kay, Hanim belum sedia. Tapi hubungan mereka macam suami isteri.


‘‘Satu hari Kay beritahu saya dia kerja out station empat hari. Saya diam sebab sebelum ini pun dia selalu out station tapi sebenarnya dia makan angin dengan Hanim. Saya syak kali ini pun sama. Sebelum pergi Kay peluk cium saya begitu erat, memang luar biasa perangainya. Pagi Jumaat dia telefon bertanya khabar. Oleh kerana saya tengah meeting, saya katakan akan telefon sekejap lagi. Kay diam.


‘‘Habis meeting pukul12 saya telefon Kay, katanya, dia cuma tanya khabar. Pukul 2.30 petang saya terima surat saman saya fikirkan untuk pejabat, tetapi katanya khas untuk saya. Alangkah terkejutnya bila saya buka surat itu dari peguam yang diarahkan oleh Kay meminta saya ke Mahkamah Syariah pada hari Isnin untuk proses perceraian.



‘‘Saya hampir pengsan, saya telefon Kay tetapi telefonnya ditutup tiga hari lamanya. Saya jumpa Kay hari Isnin untuk diceraikan di mahkamah dengan alasan saya isteri yang ingkar kepada suami. Saya cuba bercakap dengan hakim tetapi tak dibenarkan. Kata hakim, kuasa cerai di tangan suami.


‘‘Kemudian saya berjumpa pegawai atasan Kay. Saya ambil peguam sambil memohon diadakan rundingan sulukh, tetapi ditolak, kerana Kay tidak mahu berunding. Dia cuma mahu ceraikan saya. Saya kata pada Kay, saya sedia bermadu, tetapi mengapa diceraikan. Kata Kay, Hanim tak mahu bermadu.


‘‘Walaupun peristiwa ini sudah berlaku lebih dua tahun lalu, tetapi kesannya menghiris jantung hati. Lihatlah perangai sesetengah wanita, sanggup lihat wanita lain menderita dan diceraikan asalkan dia tidak dimadukan. Jadi bukan isteri pertama tamak, isteri kedua lebih teruk. Namun kesalahan juga terletak di bahu Kay kerana dia tidak tegas dan lemah menguruskan isterinya, kerana takutkan Hanim.


‘‘Benar seperti tajuk DCCK minggu lepas. Sebab itu ramai isteri pertama tidak mahu dimadukan, kerana mereka tahu kekurangan dan kelemahan zahir batin, tetapi juga keadilan menggembirakan isteri-isterinya.


‘‘Teringat saya peristiwa semasa dalam edah barulah Kay berani datang ke rumah secara sembunyi berjumpa saya, bertanya khabar kerana dia rindukan saya dan dia takutkan Hanim,’’ demikian cerita Haslinda kenapa dia diceraikan walaupun dia izinkan suaminya berpoligami. Malangnya sampai kini mereka belum ada anak lagi.


Itu dia secebis kisah benar nasib wanita diceraikan walaupun dia izinkan suami berpoligami. Agaknya kalau tak izinkan mereka akan kahwin lari kerana dia takut isteri pertama. Kalau isteri pertama berlembut maka cacing pun naik ke mata.

Read more!