Sunday, April 29, 2007

29/04/2007: Suamiku pemburu wanita

‘‘MEMBACA kisah yang dipaparkan minggu lepas berjudul ‘‘Suami lupa diri kerana melayan janda’’ terasa macam sama dengan nasib yang sedang saya alami. Entah mengapa agaknya ramai suami sekarang suka sangat melayan isteri dan janda orang daripada melayan isteri sendiri.


‘‘Saya rasa diri saya tak ada kurangnya, dengan janda yang suami saya layan itu, kami sama-sama bekerja agaknya pendapatan saya lebih lagi. Kalau dia nak rebutkan suami saya itu kaya macam Datuk-Datuk atau usahawan tak pula.



‘‘Malah suami saya cuma pekerja biasa, kakitangan kerajaan aja, pangkatnya pun tak tinggi mana, tapi entah mengapa suami saya suka sangat melayan dan menanggung janda orang dengan memberi makan minum untuk anak-anaknya, sedangkan kami anak-beranak terbiar dan dipinggirkan. Kadangkala saya pelik mengapa keadaan seperti ini boleh berlaku dalam hidup saya,’’ demikian cerita Puan Juriyah ketika saya menghubungi beliau dan berbual setelah membaca kisah hidupnya yang di e-melkan kepada saya baru-baru ini.


‘‘Sebenarnya saya dah letih, dah penat nak kejar suami. Semakin saya kejar, dia semakin jauh lari meninggalkan saya. Semakin saya layan dia dengan baik, semakin dia mencari wanita lain, semakin saya sayang, dia lebih mencintai orang lain.


‘‘Saya dah letih kejar suami saya. Letih! Agaknya saya patut berhenti sekarang, biarlah dia lari mengejar kebahagiaan hidup sendiri, mungkin itu lebih baik untuknya. Kerana padanya, saya dan anak-anak sudah tidak berguna lagi.



‘‘Dulu memang saya terlalu sayangkan suami saya, tetapi kini saya masih tunggu suami saya dan melayannya hanya kerana saya kesiankan anak-anak ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak baik antara kami.


‘‘Kerana itu saya cuba pertahankan perkahwinan ini. Saya pujuk diri saya sendiri dan saya pujuk suami di samping mengingatkan dia bahawa sikap dan perbuatannya itu bukan sahaja salah, tetapi berdosa besar. Tapi macam biasalah suami bukan nak dengar cakap saya. Lagi saya tegur dia, lagi dia tak balik rumah terus.


‘‘Ketika membaca banyak kisah yang dipaparkan dalam DCCK ini timbul keinsafan dalam diri saya, kenapa banyak sangat kisah yang memaparkan penderitaan isteri dan anak-anak yang diabaikan oleh suami. Mengapa kaum lelaki kini suka menganiaya dan mengabaikan tanggungjawabnya, apakah mereka lupa bahawa mereka akan disoal di akhirat kelak?


‘‘Siapakah yang patut dipersalahkan? Dalam kes saya, apakah salah ibu bapanya kerana kurang memberi kesedaran dan didikan kepada anak lelaki mereka tentang pendidikan agama serta tanggungjawab- nya terhadap keluarga apbila berkahwin nanti? Apakah ibu bapa kurang memberi nasihat kepada anak mereka bahawa apa yang mereka lakukan akan dihakimkan di akhirat kelak?


‘‘Macam suami saya, ilmu pengetahuan dalam alam rumah tangga serta tanggung- jawabnya sebagai suami dan ketua keluarga amat dangkal. Agaknya lelaki sebaya suami saya yang golongan warga emas tidak diberikan ilmu berumah tangga ketika berkahwin dulu. Sebenarnya berkahwin bukanlah untuk suka-suka atau kerana nafsu tetapi melaksanakan tuntutan keperluan menyambung zuriat secara halal mengikut Islam. Tidak keterlaluan kalau saya katakan lelaki Islam di negara ini semestinya belajar mengawal hawa nafsu mereka.


‘‘Malangnya kini ramai sangat lelaki yang asyik dan leka dibuai mimpi, mereka lebih gemar memburu wanita untuk melayan ego mereka hingga tidak langsung mengambil tahu masalah keluarga. Bagaimanakah caranya untuk menyedarkan lelaki jenis ini? Patutkah jabatan agama Islam negeri-negeri turun padang, kerana jika tidak lama-kelamaan ia boleh melunturkan institusi keluarga umat Islam di negara ini


‘‘Macam suami saya dan kebanyakan suami lain, mereka asyik melaungkan poligami tetapi tidak langsung berusaha bagaimana menjadi suami mithali dan penuh rasa tanggungjawab kepada rumah tangga, sebelum meneroka alam poligami yang banyak menyeksa isteri. Kerana itu ramai berpendapat suami negara ini berpoligami hanya mengikut hawa nafsu syaitan mereka.


‘‘Kita melihat banyak kes Mahkamah Syariah melibatkan pemberian nafkah dan perebutan anak-anak. Akibatnya jiwa anak- anak terseksa dan menderita hingga membantutkan pembesaran mereka serta mengalami gangguan mental. Akhirnya mereka terlibat dengan penagihan dadah, bermasalah di sekolah, jadi mat rempit, vandalisme dan sebagainya. Semuanya kerana banyak ayah yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.


‘‘Macam suami saya, dia saya kategorikan sebagai penggoda dan pemburu wanita, nama aja bertugas dalam pasukan keamanan tetapi tidak tahu bagaimana menjadi ketua keluarga yang baik. Usia bukan sahaja dah dekat nak pencen tetapi perangai tak pernah berubah dari mula berkahwin hingga kini, suka memikat wanita, tak kira anak gadis, isteri orang apa lagi janda semua diburu dan digoda.



‘‘Kerana tugasnya sentiasa mendampingi masyarakat, dia ambil kesempatan jika bertemu wanita yang menghadapi masalah dalam rumah tangga ataupun ketandusan kasih sayang suami. Dia akan memulakan taktik dengan menunjukkan simpati yang berlebihan kemudian mulalah menghulurkan bantuan wang ringgit.


‘‘Kalau ada isteri orang atau gadis yang cepat sedar dengan perbuatan suami saya mereka akan cepat tarik diri. Tetapi ramai yang tergoda kerana kejahilan sendiri hingga berlakunya maksiat berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya.


‘‘Suami saya bekerja dalam pasukan keselamatan yang tidak memerlukan dia memakai pakaian seragam jadi mudahlah melepaskan diri dari tugas. Dia boleh berkeliaran dengan alasan membanteras jenayah, tetapi sebenarnya dia menggunakan waktu bertugas menemani kekasihnya.


‘‘Bertahun-tahun saya tertipu dan diperbodohkan, bekerja tujuh hari seminggu hingga tidak ada waktu bersama keluarga apa lagi untuk bercuti bersama anak-anak, sepanjang hidupnya di luar rumah alasannya bekerja tak kira siang atau malam.


‘‘Lebih teruk lagi dia tidak pernah berpuasa apa lagi ke surau mahupun masjid untuk sembahyang fardu, Jumaat mahupun solat tarawih, dan sudah menjadi kebiasaan dia jarang balik ke rumah berbuka puasa kerana ke rumah kekasihnya.


‘‘Dah lama saya sabar dengan harapan satu hari nanti dia berubah. Tapi sebaliknya dia akan bertukar kekasih, paling lama dua tahun lepas tu cari kekasih baru, tetapi kali ini dia terjebak dalam perangkap perempuan degil lagi ganas yang dia sendiri tidak berjaya melepaskan diri.


‘‘Hubungan mereka bukan rahsia lagi, suami saya tidak dapat merahsiakan baik dengan saya mahupun anak-anak semua dah tau. Tetapi kerana amat sayangkan keluarga ini saya berusaha membetulkan keadaan. Saya lupakan derita seketika, saya jumpa janda anak tiga ini minta dia putuskan hubungan. Tetapi dia menyalahkan suami saya kerana gilakan dia.


‘‘Suami saya kata, dia tanggung janda ini kerana kesian ditinggalkan tanpa nafkah. Katanya, Nabi Muhammad pun kahwin janda jadi apa salah dia kahwin janda tu. Akhirnya saya kata, kahwinlah segera. Tetapi sampai hari ini mereka tidak kahwin, sebaliknya terus bergelumang dosa.


‘‘Janda itu juga saya pujuk supaya kahwin dengan suami saya segera, tetapi dia mengelak. Katanya, suami saya tidak akan melayan dan menanggung dia lagi kalau mereka nikah. Jadi lebih baik dia tak nikah hanya menyusahkan hidupnya yang terpaksa menanggung suami saya yang sudah tua tu. Tapi suami saya tak sedar diri.



‘‘Kerana masa dan wangnya yang terbatas dia tidak ada masa untuk menziarahi ibunya yang sudah tua, perbelanjaan makan minum kami diberi cuma kalau dia ada duit lebih, jika tidak langsung tak merasa.


‘‘Sudah bertahun saya menguruskan hidup anak-anak dan belanja sekolah hingga belanja anak kahwin dulu pun saya uruskan, tak kiralah meminjam dan sebagainya. Dia lepas tangan. Semakin diminta duit semakin dia tidak mahu pulang ke rumah dengan alasan bekerja tujuh hari semingu.


‘‘Sebenarnya saya tidak pernah terima wang perbelanjaan bulanan daripada suami dan saya tidak tahu pendapatan bulanannya. Dia akan mengamuk kalau saya tanya gaji bulanannya. Lagi pelik semakin tinggi pangkatnya semakin dia lepas tangan.


‘‘KPN pernah berucap kepada isteri-isteri di Sabah dan Sarawak, agar menggalakkan suami yang kuat ponteng supaya rajin pergi kerja, tetapi banyak kes anggota macam suami saya, kerja tujuh hari seminggu, siang malam tak balik rumah, manalah kami tahu dia ponteng kerja. Sebenarnya kami tak boleh awasi mereka, pegawai merekalah yang tahu dan boleh ambil tindakan.


‘‘Macam saya pergi kerja pukul 8 pagi 6 petang baru balik. Saya tak jumpa dia sebab tak tahu bila dia balik dan bila dia keluar, dia cuma tinggalkan kesan kalau balik ke rumah misalnya ada cawan dan pakaian dalam ditinggalkan untuk dibasuh. Sekali sekala bertemu, itu pun ketika dia sedang tidur.


‘‘Bertahun-tahun keadaan ini berlaku, pernah saya tak bersama suami selama dua tiga tahun. Bayangkanlah! Dia cuma melayan dan kesiankan janda dan isteri orang sedangkan isterinya ditinggalkan. Beginilah hidup saya lebih 20 tahun berkahwin. Kerana itu anak tak ramai.


‘‘Oleh kerana dia tak lekat di rumah pernah anak saya balik sekolah terlibat dalam kemalangan, dia tak tahu, nak cari, telefonnya tutup. Lepas sehari baru dia ke hospital. Begitu juga ketika saya terjatuh dan pengsan, dah keluar hospital pun dia tak tahu. Sedih, macam tak ada suami.


“Saya pernah mengadu kepada ketua jabatannya dan minta beliau menasihatinya, tetapi suami saya tidak mahu terima nasihat daripada siapa jua. Akhirnya pegawai itu menasihatkan saya mengadu ke pejabat agama atau ke pejabat disiplin.


‘‘Pada kesempatan ini saya ingin mencadangkan supaya jabatan tempat suami saya bekerja mengadakan kursus wajib menghadapi hari-hari bersara untuk kakitangannya supaya mereka ini tahu sedikit sebanyak agama, ingatkan Allah dan bertanggungjawab kepada keluarga. Bila dah pencen wang sagu hati yang dapat tak seberapa gunakanlah sebaiknya.



‘‘Macam suami saya bukan sahaja dekat dua tahun nak pencen malah cucu pun dah ada, tapi tak sedar diri masih bergelumang dengan dosa. Janda itu bukan nak kahwin dengannya, tetapi menunggu duit sagu hati yang bakal dikikisnya sebelum meninggalkan dia kemudian setelah duitnya habis.


‘‘Bila saya suruh mereka kahwin katanya, dia tak mahu jadi perempuan bodoh macam saya. Tetapi walau macam mana saya ceritakan pada suami, dia tak akan percaya,’’ demikian cerita Juriyah panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya sepanjang perkahwinannya yang tidak bahagia itu.


Kini katanya, dia pun dah belajar kering hati. Kalau suaminya sakit lagi biarlah janda tu merawatnya. Kerana dia tahu dia takkan merasa duit sagu hati suaminya apalagi kasih sayangnya. Jadi biarlah dia kahwin mungkin itu yang baik baginya.


Kadangkala manusianya macam bayang-bayang, semakin dikejar semakin dia jauh. Jadi tunggulah masanya bila bayang-bayang itu mengejar anda pula. Waktu itu baru kita tahu nilai diri sendiri. Wahai wanita belajarlah menilai harga diri sendiri.

Read more!

Sunday, February 11, 2007

11/02/2007: Cintakan GRO rumah tangga hancur

KISAH yang dipaparkan minggu lalu berjudul ‘Isteri bergaji besar kulikan suami’ memang mendapat sambutan pembaca bukan sahaja mereka memberi nasihat melalui e-mel, malah dalam laman web dcckmona banyak nasihat diberikan.


Penulis telah menghantar pandangan pembaca kepada Naziman dan menurutnya dia mengikuti pandangan pembaca melalui laman web. Tetapi katanya, untuk bercerai sesuatu yang belum dapat difikirkan.



Namun beliau berharap segalanya akan berubah kepada kebaikan. Doanya kepada isterinya Jun supaya ditiupkan rasa kasih sayang dan banyakkan kefahaman dalam dirinya demi membina rumah tangga yang lebih baik pada masa akan datang.


Katanya lagi, sehingga ini hatinya amat lega setelah mencurahkan segala apa yang terbuku walaupun isterinya tidak berubah dalam sekelip mata, tetapi doanya kepada Allah supaya keinsafan akan segera tertanam di jiwanya.


Kita lupakan sementara kisah Naziman bersama isterinya. Minggu ini kita baca pula satu kisah yang biasa kita dengar dan lihat kelakuan sesetengah suami yang lupa diri apabila duit penuh di kocek, rumah tangga seolah-olah tidak diperlukan lagi.



Puan Nuranura dalam e-melnya, mengharapkan penulis menghubunginya kerana katanya, dia tidak begitu pandai menulis mungkin dengan berbual dia boleh bercerita dengan panjang lebar lagi.


Ketika berbual, beliau bertanya mengapakah suami cepat berubah atau beralih kasih? Adakah dia sudah jemu dengan isteri dan anak-anaknya, atau sudah tidak ada perasaan kasih sayang apa lagi cinta terhadap isterinya lagi?


Rasa-rasanya memang payah untuk menjawab soalan tersebut, melainkan Nuranura sendiri lebih faham duduk perkara. Kerana beliau sendiri yang merasakannya, lebih tahu bila perubahan suaminya berlaku, dan sejak bila beliau menyedarinya.


Begitu juga dengan ubatnya. Hanya Nuranura yang lebih faham dan lebih tahu apakah ada sebarang jenis ubat yang lebih mujarab untuk ditelan atau membiarkan diri mati beragan, menahan penderitaan.


‘‘Saya suka membaca ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) kerana banyak pengalaman dapat kita kutip, tetapi saya tidak pernah termimpi suami akan melakukan perkara yang sama seperti apa yang saya baca dalam ruangan ini. Kerana suami saya, Alias begitu baik, menyayangi keluarga, solat tak pernah tinggal dan bertanggungjawab. Malah dia ambil tahu apa yang berlaku dalam rumah.


‘‘Tetapi perubahannya bermula bila dia berkawan dengan seorang kontraktor, kawan lamanya yang dia sering bantu ketika khidmatnya diperlukan.


‘‘Sejak itu saya dapati rezekinya agak murah. Katanya, dia banyak tolong kerja yang banyak tak siap diselesaikan di pejabat kawannya. Tambahan pula kawannya kekurangan kakitangan, kalau adapun, antaranya kurang berpengalaman dan tidak cekap. Sebab itu dia tolong.


‘‘Katanya, kawannya pernah ambil pekerja, tetapi pekerja itu terlalu banyak tak tahu daripada tahu, tak boleh berdikari, jadi daripada membazirkan wang dan kerja tak siap, lebih baik ambil Alias, pasti kerjanya cepat beres dan boleh dipercayai.


‘‘Sebenarnya bukan sahaja membantu kawannya bekerja di pejabat pada waktu petang hingga malam, malah aktivitinya melarat sampai ke kelab-kelab malam, pub, karaoke dan entah apa-apa tempat lagi.



‘‘Memang saya akui rezeki Alias untuk keluarga bertambah tetapi saya tak sanggup dengan kegiatannya yang tidak berfaedah itu turut menular. Boleh saya katakan di sinilah bermulanya kegiatan liar dan maksiat suami saya.


‘‘Tak perlu saya ceritakan kegiatannya, kerana saya tak nampak, tetapi cukuplah saya katakan, di sinilah bermulanya dugaan hidup saya kerana percayakan suami.


‘‘Kepercayaan yang selama ini saya berikan kepada Alias disalahgunakan. Pada mulanya memang saya tak sedar perubahannya hinggalah penyakit ini sudah merebak jadi kudis dan nanah. Saya mendapat bukti Alias telah membuat hubungan dengan GRO yang bermula di pub dan kelab malam melarat hingga ke hotel-hotel.


‘‘Kawan Alias juga sering menjamu teman dan rakan seperniagaan di hotel-hotel dan aktiviti mereka tidak habis di situ aja, malah sering kali melarat ke pusat karaoke. Bila ke tempat seperti itu sudah tentu mereka memerlukan teman dan GROlah mereka langgan untuk rakan-rakan yang diraikan.


‘‘Malangnya Alias bukan jenis lelaki yang kenal siapa itu perempuan. Pada lelaki baik seperti Alias, dia fikirkan semua wanita baik, dia tidak tahu tentang taktik wanita GRO yang suka memerangkap lelaki untuk kesenangan hidupnya.


‘‘Menjadikan keadaan lebih gawat Alias yang tidak kenal taktik wanita ini terus terpikat dengan kecantikan serta keseksian GRO. Walaupun ketika itu dia dah ligat dengan aktiviti malamnya dan begitu rapat dengan kawannya itu, tetapi saya langsung tidak dapat menghidu kegiatan busuknya.


‘‘Yalah siapa nak sangka di rumah Alias baik, pijak semut pun tak mati. Ditambah pula hari minggu dia tidak pernah keluar rumah. Konon pengakuannya pada saya hari minggu adalah hari dia nak berehat bersama anak isteri. Orang lain tak boleh kacau kecuali hal tertentu dan penting saja, selain itu dia tidak akan layan.


‘‘Rupa-rupanya malam-malam hari dia keluar rumah mencari hiburan, konon kata nak tolong kawan, tetapi jumpa GRO. Hubungan rapatnya dengan kawannya itu membawa dia berpindah dari satu kelab hingga ke satu kelab atau pusat-pusat karaoke. Bila dah banyak jumpa GRO tentulah ada seorang yang berjaya memikat hatinya, dan dia tidak berdaya nak lepaskan diri.


‘‘Dari situlah dia mula ke rumah GRO yang seorang ini, orang Malaysia Timur bukan Islam. Lelaki bila bersama wanita akan ada seekor lagi di tengahnya yang suka menghasut maka jadilah maksiat.



‘‘Sejak dia kerap keluar malam dan mula rapat dengan karaoke dan GRO ini, saya tidak pernah sedar perubahannya, sebab dia amat baik dan langsung tidak menunjukkan perubahan mencurigakan. Tetapi sesekali saya pernah terima panggilan telefon tetapi tidak pernah dapat bercakap. Bila dijawab telefon dimatikan.


‘‘Tetapi entah macam mana dengan kuasa Allah yang kesiankan saya yang amat jujur ini, satu hari saya terjumpa seutas rantai dalam kereta Alias, saya tak tahulah sama ada disengajakan diletakkan di situ untuk saya lihat atau jatuh secara tak sengaja.


‘‘Ternyata rantai itu bukan milik saya. Bila saya tanya Alias pastilah jawapannya dia pun tak tahu, mungkin juga milik isteri kawan yang menumpang keretanya. Tetapi naluri saya mula rasa tidak tenteram. Saya mula mengesyaki sesuatu. Tambahan pula saya sering menerima panggilan telefon yang tidak berjawab membuatkan rasa syak saya bertambah menjadi-jadi.


‘‘Akhirnya kerana rasa ingin tahu, saya telefon nombor tersebut, dijawab oleh seorang wanita dia terus terang memberitahu kenal Alias dan mengaku dia ada hubungan. Rasa lemah anggota tubuh badan, kerana saya tak menduga Alias boleh hancurkan kepercayaan saya kepadanya.


‘‘Masa tu Allah saja yang tahu perasaan dan kesayuan hati saya. Tambahan pula waktu itu saya sedang hamil. Setengah hari saya menangis sampai tak boleh buat kerja, dan saya ambil keputusan balik ke rumah tak payah tunggu dia lagi. Saya rasa waktu itu diri saya hampir mati, kerana saya tak menduga Alias seorang suami yang teramat baik dan penyayang boleh melakukan maksiat sampai begitu sekali.


‘‘Bila Alias tiba di rumah setelah berehat saya terus bertanya dan minta penjelasan sejujurnya. Saya tak mahu dia berbohong. Setelah berfikir panjang, Alias mengaku ada hubungan dengan wanita tersebut.


‘‘Menggigil tubuh saya, kerana saya tak sangka orang yang tak pernah tinggal solat boleh buat macam tu. Seminggu lamanya dia tak keluar malam, tapi lepas tu dia pergi balik sebab tak tahan diganggu dengan panggilan-panggilan telefon dari wanita tersebut. Bukan Alias sahaja, saya pun kena maki hamun dan dicarutnya.


‘‘Kerana tak suka bergaduh, saya tukar nombor telefon, tetapi dia dapat tahu juga. Pendek kata, saya tak boleh lari dari maki hamunnya. Saya minta Alias putuskan hubungannya kerana saya tak tahan dengan suasana dalam rumah tangga kami ketika itu sudah tidak aman tenteram lagi. Kami sering berbalah.


‘‘Dalam beberapa bulan saja anak-anak turut menyedari masalah kami, hidup mereka turut tidak tenang, tidak ada gembira seperti dahulu. Akhirnya satu hari setelah hampir setahun bertahan, Alias meminta saya benarkannya untuk berkahwin dengan wanita tersebut. Dia memberitahu saya dia akan memujuk wanita tersebut masuk Islam dahulu sebelum berkahwin.



‘‘Permintaan Alias ini dapat saya rasakan semacam hendak menyeksa batin saya. Sudah hilang semua kasih sayangnya kepada saya dan anak-anak. Dan sejak saya tahu tentang hubungannya dengan wanita tersebut dia tidak menyorok lagi malah beritahu saya terus-terang bahawa dia akan ke rumah GRO itu setiap kali keluar malam.


‘‘Kerana saya masih sayangkan Alias dan anak-anak, kepada Allah saya memohon supaya diberikan petunjuk apa patut saya lakukan untuk mempertahankan rumah tangga ini. Setelah beberapa bulan berdoa walaupun Alias masih mengunjungi dan melancong keluar negara dengan GRO tersebut, akhirnya satu hari Alias memberitahu bahawa dia kesal GRO tersebut tidak mahu masuk Islam.


‘‘Sejak itu Alias jarang-jarang ke rumah GRO itu kecuali berhubung melalui telefon. Walaupun saya gembira dengan perubahan itu, tetapi saya bimbang itu hanya sementara. Saya tak tahu apa sebab sebenarnya mereka mula renggang tetapi saya yakin mungkin doa saya telah Allah makbulkan. Apa yang sangat saya kesalkan bagaimana Alias seorang yang rajin solat, tahu selok- belok agama, puasa tak pernah tinggal pada bulan Ramadan boleh terjebak.


‘‘Kata Alias kepada saya satu hari, dia tak tahan dengan sikap GRO tersebut yang suka mendesak kalau pergi makan angin mesti membawa keluarganya bersama. Dia mahu jadi isterinya tetapi tak mahu masuk Islam. Mungkin banyak perkara lain yang terjadi, tetapi Alias tidak menceritakan semuanya. Kini walaupun Alias nampak hampir pulih, tetapi selama lebih dua tahun saya rasakan hidup saya seperti hampir hancur kerana gangguan GRO tersebut.


‘‘Tujuan saya menceritakan masalah saya ini adalah untuk mengingatkan pembaca wanita semua, janganlah percayakan suami seratus peratus walau baik macam mana sekalipun. Macam Alias kerana terlalu baik dia mudah tertipu dengan godaan wanita, sedangkan dia tidak pernah tinggal solat. Saya cukup hairan macam mana dia boleh jatuh tersungkur kepada wanita jenis itu,’’ demikian cerita Nuranura.


Masalah hidup yang dihadapinya memang perit, ialah siapa sangka orang yang begitu baik pun boleh terjebak. Sebab itu jauhilah tempat-tempat yang menyerupai maksiat, kerana kalau sudah terperangkap anda mungkin tidak boleh mengira sepuluh jari lagi.

Read more!

Sunday, February 4, 2007

04/02/2007: Kalau gaji besar jangan kulikan suami

MEMANG ramai yang bersimpati dengan nasib Puan Asna yang kisahnya dipaparkan minggu lalu, kerana hidup yang sentiasa susah menyebabkan dia jadi kurang waras dan terpaksa makan ubat untuk menenangkan fikiran. Demikianlah kehidupan, kesusahan dan kemiskinan boleh membuat seseorang itu menjadi kufur.


Kisah minggu ini lebih menarik lagi, datangnya daripada seorang suami yang merintih mengadu nasibnya yang tidak dilayan sewajarnya sebagai suami. Dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis, Naziman bertanya, wajarkah isteri memperkecilkan suami semata-mata kerana gaji dan pangkatnya lebih rendah daripadanya?



Tertarik dengan cerita dan persoalan yang dikemukakan oleh Naziman, penulis menghubungi beliau melalui e-mel beberapa kali. Cuma Isnin lalu barulah Naziman menghubungi penulis. Saya cuma ingin bertanya lebih lanjut apakah yang dimaksudkan oleh Naziman. Lantas Naziman memberitahu, katanya, dia bukan mahu dipujuk rayu oleh isterinya, cukup sekadar menghormati dirinya seorang suami dan bukan memalukannya di khalayak yang secara tidak langsung menjatuhkan maruahnya.


‘‘Sebenarnya berat tangan saya untuk menaip e-mel ini, tetapi semakin hari saya simpan semakin menghiris kalbu, hinggakan hidup saya sekarang bukan seperti dulu lagi, saya bukan lagi seorang periang dan peramah, sebaliknya lebih banyak membisu dan mendiamkan diri. Bukan saya kesal dengan perkahwinan saya ini, tetapi saya tidak pernah menduga begini hidup saya.


‘‘Kalau dulu saya baca kisah-kisah dalam Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) sekadar mengisi masa lapang dan kerana minat membaca, jarang terfikir perkara seperti yang dipaparkan itu boleh berlaku, tetapi kini barulah saya sedar perkara yang tidak saya fikirkan dulu rupa-rupanya memang wujud dalam hidup kita ini.


‘‘Telah lama saya mengikuti ruangan ini sejak di bangku sekolah hingga ke alam kampus seterusnya ke alam dewasa dan berkahwin. Pelbagai cerita yang dibaca. Memang ada yang saya percaya, kerana berlaku dalam keluarga kita, tetapi yang pelik-pelik tu saya tak terfikir terjadi, kini barulah saya sedar DCCK banyak memberi pengalaman dan pengetahuan tentang jerih-perih kehidupan bersama pasangan kita.



‘‘Kini setelah mendirikan rumah tangga selama empat tahun, barulah saya sedar bahawa bukan semua perkahwinan itu boleh memberi kita ketenangan fikiran, kerana kalau kita kurang bernasib baik, ia boleh membawa penderitaan di jiwa, terutama kepada orang macam saya yang berasa diri agak rendah daripada isteri kerana pangkat dan gajinya yang tinggi.


‘‘Saya bersyukur bertemu jodoh setelah menamatkan pengajian di universiti. Isteri saya merupakan salah seorang ketua yang wajib saya temui semasa menjalani praktikal di syarikat tempat beliau bekerja. Memang saya tak sangka dia boleh terpikat dengan saya, nak lihat kepada gaji dan pangkat saya ketika itu belum pun bekerja. Tetapi dia begitu baik dengan saya dan seterusnya kami menjalin persahabatan dan terus berkahwin sebaik saja saya mendapat ijazah.


‘‘Kalau dibandingkan usia kami memang berbeza ketika berkahwin saya belum pun berusia 30 tahun sedangkan Jun lebih tua tujuh lapan tahun daripada saya. Maklumlah dah jadi ketua tentulah dah lama bekerja. Tetapi saya tak kisah, pada saya perbezaan usia bukan halangan, tetapi mesti ada sikap hormat-menghormati dan percaya-mempercayai, tanpa kedua-dua elemen ini rumah tangga kurang harmoni.


‘‘Memandangkan saya graduan baru, maka saya mendapat gaji selayaknya saja, bukan macam Jun yang ketika itu sudah bergaji besar dan berpangkat, tambahan pula bekerja dengan swasta tentulah gajinya lebih tinggi daripada saya, walaupun saya juga bekerja dengan swasta.


‘‘Namun saya bersyukur dapat kerja lebih cepat disebabkan pengalaman saya sebelum melanjutkan pelajaran ke U dahulu, berbanding rakan-rakan saya yang lain terpaksa menunggu lama walaupun kami sama-sama berijazah.


‘‘Tetapi yang menjadi dilema dalam hidup saya sekarang adalah sikap isteri saya Jun. Biar saya cerita sedikit tentang Jun. Dulu dia memang ketua di syarikat saya buat praktikal, kini dia naik pangkat jadi pengurus. Bila naik pangkat tentu gajinya tinggi.


‘‘Bukan itu sahaja, kerana dia dah lama kerja, dia sudah memiliki beberapa buah rumah termasuk rumah yang kami tinggal sekarang, bukan setakat cantik dan besar malah lengkap dengan perabotnya, pendek kata, saya cuma masuk cuci kaki ajalah.


‘‘Di samping itu ibu bapanya juga orang kaya, mereka memiliki banyak aset seperti tanah, rumah, dan banyak lagi harta lain berbanding saya yang datang dari keluarga petani dan berpendapatan rendah.


‘‘Sementara itu gaji saya dengan gaji Jun macam langit dengan bumi. Sejak kami mendapat anak kira-kira setahun lalu, Jun mula merungut tentang pendapatan saya yang tak seberapa katanya. Agaknya dia rasa malu dengan pendapatan saya yang tak setanding dengan gajinya dan pangkatnya yang semakin tinggi tu.



‘‘Katanya, untuk berlaku adil dia memaksa saya menjelaskan bil elektrik, air, telefon dan ansuran keretanya yang besar itu. Kalau bayar bil lain tak apa juga tetapi ansuran keretanya memang teruk kerana gaji saya berapa sangat, bila dah bayar semua itu tak ada apa yang tinggal.


‘‘Katanya, saya mesti uruskan semua itu kerana itu tanggungjawab saya sebagai suami. Memang saya akui itu tanggungjawab saya, tetapi bukanlah tinggal di rumah besar dan berkereta besar, kerana nak bayar ansuran kereta aja lebih setengah gaji saya habis. Belum lagi bayaran lain. Gaji macam saya pakai kancil mampulah.


‘‘Untuk pengetahuan pembaca semua duit gaji saya habis untuk selesaikan semua bil tersebut. Hinggakan saya terpaksa mengikat perut semasa di pejabat. Sebab saya tak mampu. Saya cuba bincangkan dengan Jun, tetapi dia buat tak dengar aja, dia tahu urusan rumah tugas saya, jadi saya mesti selesaikan.


‘‘Bila dah tak ada duit langsung, Jun membuat saya meminjam padanya. Mulanya saya fikirkan dia ikhlas bantu saya, tetapi sedihnya dia kira bantuan itu sebagai hutang, dan semua jenis hutang dicatatkannya dalam diarinya dan dia sentiasa ingatkan saya tentang jumlah duit yang saya pinjam daripadanya. Terkejut saya!


‘‘Setiap bulan hutang dengan Jun bertambah, hingga saya tak mampu membeli keperluan anak. Bukan itu saja akhirnya saya tak mampu memberi sedikit wang untuk ibu, ayah dan adik-adik di kampung.


‘‘Jun pula jenis wanita panas baran, kadang-kadang tu saya rasa dayus diherdik dan dicaci dengan perkataan bingung, bodoh dan macam-macam lagi. Bab mengenyok dan menghempas barangan rumah kerana marahkan saya juga sering terjadi. Puncanya dia marahkan saya kerana tak puas hati setiap benda yang saya buat di rumah, semua tak kena pada matanya, semua tak betul. Sedih juga bila kena tengking terutama depan adik-beradik dan ipar- duai serta ibu bapanya bila kami balik kampung.


‘‘Bila isteri selalu marahkan suami, ipar- duai tentu tak hormatkan kita. Itu yang membuat saya rasa kecil hati sangat. Sejak setahun dua ini saya banyak berubah dan ramai kawan nampak perubahan saya, mereka faham masalah saya. Bila mereka tanya, saya mendiamkan diri tak ada faedahnya bercerita dengan mereka.


‘‘Di rumah saya diarah macam orang gaji, buat susu anak, memasak, lipat dan mencuci pakaian, sapu sampah dan mop lantai. Walaupun penat saya terpaksa atas dasar sayangkan isteri dan anak. Nak ambil pembantu rumah, Jun kata membazir, lagipun katanya apa guna saya jika tidak boleh buat semua kerja itu.


‘‘Katanya, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. membantu isterinya buat kerja rumah, mengapa saya tidak boleh. Tetapi Jun tidak membantu, dia cuma duduk berehat tengok televisyen, baca majalah. Anak tak di beri dekat dengan saya dan sentiasa di momokkan bahawa saya ayah yang tak bertanggungjawab. Walaupun anak saya kecil dan tak mengerti apa-apa tetapi lama-kelamaan hasutan itu akan tertanam juga di hati dan fikirannya bahawa saya ayah tak bertanggungjawab.



‘‘Saya lebih kecewa bila balik kampungnya, saya dibuat macam kuli disuruh membuat pelbagai kerja yang kadangkala menjadi bahan ketawa ipar-duai, saya terpaksa lakukan macam orang bodoh. Lebih sedih dia tak suka pergi ke kampung saya maklum rumah kecil tak layak untuk orang kaya sepertinya. Biasanya saya balik kampung sendirian. Emak saya pun cuma beberapa kali melihat anak saya.


‘‘Untuk mengurangkan rasa egonya dan supaya sedar dirinya itu isteri, beberapa kali saya mengajaknya solat bersama, atau bersolat tetapi dia memberi alasan sibuk dan terlalu penat, mungkin di pejabat dia sembahyang tapi di rumah tak pernah. Mungkin silap saya membuat keputusan setuju berkahwin dengan dia dalam masa yang singkat, sebelum mengenal hati budinya. Namun biarlah itu semua berlalu.


‘‘Sebagai lelaki, suami dan seorang ayah, saya rasa terhina apabila dia selalu ingatkan saya bertuah berkahwin dengannya, kerana semua lengkap, dia bergaji besar, ada rumah besar, kereta besar semuanya ada. Lebih sedih dia ingatkan saya tentang perbelanjaan yang dikeluarkannya ketika kami berkahwin dulu. Dan dia mahu saya jelaskan semua itu yang dikiranya sebagai hutang. .


‘‘Saya tahu hutang itu berlaku kerana Jun mahu kami segera kahwin, walaupun saya kata tak ada duit, tetapi dia berjanji akan bereskan semuanya. Majlis kahwin kami meriah, tetapi saya rasa tak selesa dan terseksa sampai sekarang.


‘‘Lebih terseksa bila bapa mentua saya selalu perli katanya, walaupun saya tak setaraf dengan anaknya tapi dia sedia terima saya jadi menantu. Dan di hadapan ahli keluarga atau menantu-menantu lain dia akan bertanyakan berapa gaji saya sekarang, apakah sama dengan gaji menantunya yang lain. Saya tahu cuma saya seorang saja menantunya yang tak bergaji dan berpangkat besar.


‘‘Sedih memang sedih tapi saya mohon Allah meringankan bebanan saya ini, dan semoga luahan hati saya ini akan meringankan penderitaan yang dipikul. Kini baru saya ingat kembali nasihat kawan-kawan ketika saya hendak berkahwin dengan Jun dulu, semua pesanan mereka benar belaka. Namun saya akan pertahan perkahwinan ini. Kepada bakal-bakal suami jadikan pengalaman saya ini pedoman anda.


‘‘Kepada Jun kalau baca luahan hati ini, insaflah. Saya tahu kekurangan saya tetapi hormatilah saya sebagai suami dan ketua keluarga. Saya minta maaf jika tidak dapat memberikan kesempurnaan yang diidamkan. Dan ingat janji kita ketika hendak berkahwin dulu. Namun saya tetap mencintaimu dan sayang keluarga kita.’’


Demikian luahan hati Naziman yang mendapat isteri bergaji dan berpangkat besar daripadanya. Agaknya mungkin inilah salah satu sebab mengapa ramai lelaki tak mahu berkahwin dengan wanita bergaji besar.


Tetapi kita sedar bukan semua wanita seperti ini. Mungkin Naziman boleh mengatasi masalah ini apabila duduk berunding dengan isteri dengan hati terbuka. Tanya dia apakah dia kesal dengan perkahwinan ini? Apakah wang ringgit dan harta benda lebih utama dalam hidupnya? Mana tahu hatinya mungkin berubah. Atau mungkin dia cuma mahukan anak bukan suami untuk mewarisi harta pusakanya nanti?


Read more!

Sunday, January 14, 2007

14/01/2007: Mana silapnya bila isteri berubah kasih?

‘‘SUDAH terlalu banyak kisah yang kita baca mengapa ramai suami ingin kahwin lagi, ingin bercinta lagi ataupun bermain cinta dengan wanita atau gadis lain. Mereka mempunyai pelbagai alasan membenarkan apa yang mereka lakukan.


Seperti biasa isterilah menjadi punca atau penyebab mengapa mereka jadi demikian.



‘‘Di sini saya ingin bertanya salahkah kalau seseorang isteri itu jatuh cinta lagi dan minta cerai kerana kesalahan dan kesilapan suaminya? Memang saya sudah dapat agak jawapan pembaca semua, ramai yang mengutuk dan membenci tindakan isteri sedemikian dengan pelbagai alasan menyalahkan si isteri, tetapi kenapa jika suami yang lakukan semuanya kelihatan betul dan benar. Mengapa? Malah turut menyalahkan isteri konon tidak pandai melayan suami. Salahkah kalau saya katakan bahawa suami juga tidak tahu menyayangi dan menilai isteri punca isterinya berubah kasih?’’ demikian persoalan besar yang dibentangkan oleh Puan NuriAina dalam e-melnya kepada penulis dan ketika kami berbual panjang.


Beliau bawakan persoalan ini setelah membaca kisah minggu lalu ‘‘Pelik bila isteri orang bercinta lagi”. Kepada beliau tidak ada peliknya persoalan ini, kerana ada sebabnya mengapa perkara itu berlaku.


‘‘Sudah banyak kisah kehidupan saya baca dari ruangan yang cukup menarik hati ini, tetapi saya rasa tak ada satu pun persoalan yang dibawakan sama seperti hebatnya pengalaman pahit yang saya lalui selama ini.



‘‘Saya bukan hendak memperjuangkan hak-hak wanita dalam kehidupan, tetapi saya ingin bertanya apakah salah perbuatan saya, jika suami saya tidak tahu melayan dan melihat isi hati saya selama ini yang menjadi punca kasih sayang dan cinta berubah.


‘‘Untuk tidak membuang banyak masa puan saya ingin berterus terang masalah saya sejak lebih enam tahun lalu. Dulu rumah tangga saya aman bahagia, kami sama-sama pelajar lulusan luar negara kembali ke tanah air dan menjawat jawatan yang baik juga sebelum berumah tangga lebih 15 tahun lalu. Sayangnya, setelah hampir 10 tahun berkahwin suami saya Kay mula buat hal bercinta dengan ramai gadis.


‘‘Puas saya bersabar dan menasihatinya, supaya ingatkan anak-anak yang sedang membesar dan perniagaannya yang sedang meningkat, tetapi semua nasihat saya tidak dipedulikan. Lebih lima tahun lamanya saya bersabar dengan kerenahnya yang jarang lekat di rumah, setelah berhenti jadi orang bisnes. Semua alasannya pulang lewat diletakkan kepada urusan bisnes, tetapi saya tahu semua itu dalihnya untuk mencari hiburan di luar bersama kawan-kawan.


‘‘Bila berhibur lebih dipentingkan dan diberi keutamaan daripada perniagaan, lama-kelamaan perniagaan kucar-kacir. Bila timbul masalah, rakan kongsi dipersalahkan, lepas itu kakitangan dibuang dan dipinggirkan kerana tidak bekerja dengan betul dan tidak amanah. Tetapi pada saya semuanya berpunca daripada dirinya yang tidak tahu menguruskan perniagaan kerana lebih pentingkan kawan dan bercinta.


‘‘Bila perniagaan kucar-kacir, mulalah buat hutang untuk menambah modal dan pelbagai alasan yang menurut ceritanya dia sajalah yang betul, orang lain semua salah. Bila lilitan hutang sukar diungkai, ketika itulah dia nampak saya sahaja tempat mengadu dan boleh meminta bantuan.


‘‘Dan tidak keterlaluan kalau saya katakan dia nampak saya setelah kawan-kawan dan keluarga khususnya adik-beradiknya tidak dapat membantu dan memberi pinjaman dan menjadi penjamin kepada pinjaman bank yang hendak dibuat. Ibunya sendiri tidak memberikan tanahnya dicagarkan.


‘‘Bila semuanya buntu, Kay nampak saya saja tempat dia bersandar. Tetapi saya bukan seperti sesetengah wanita yang tidak pernah belajar dari pengalaman pahit yang pernah mereka lalui, yang masih sayangkan suami sanggup bergadai bergolok dan menjadi galang-ganti malah sanggup menyerahkan batang leher untuk dicagarkan.


‘‘Disebabkan pengalaman pahit kerana ditinggalkan dan kasih sayang saya selama ini tidak dihargai ketika dia di puncak kejayaan, maka saya mengelak untuk menjadi penjamin untuk pinjaman bank. Tambahan pula pekerjaan saya sendiri yang ada kena-mengena dengan perbankan membuatkan saya tidak mahu dan tidak boleh mencagarkan diri saya untuk jadi penjamin.


‘‘Bila saya tolak sudah pasti berlaku bertengkaran hebat antara kami. Kay tidak mahu mendengar penjelasan sebaliknya menuduh saya cuma inginkan kesenangan tetapi tidak mahu berkorban wang ringgit untuknya. Katanya, kalau dia senang dan berjaya dalam perniagaan, saya dan anak-anak juga yang senang.



‘‘Saya menafikan, saya katakan kalau dia berjaya, bukan kami anak-beranak yang senang tetapi dirinya di samping kawan-kawan tempat dia berhibur selain kekasih-kekasihnya, juga adik-beradiknya.


‘‘Saya mengingatkan Kay, bahawa di sebalik kejayaan dan kesenangannya saya anak-beranak berasa ditinggalkan. Saya dibiarkan membayar ansuran pinjaman rumah kami yang telah digadaikannya semula semasa dia mula-mula buat bisnes dahulu.


‘‘Saya tanya Kay mengapa dia menganiaya dan membebankan hidup saya dengan hutang yang banyak. Sepanjang kejayaannya pada tahun pertama, dia ingatkan kami lepas itu langkahnya semakin jauh. Dia tidak peduli pelajaran anak-anak, malah terlupa untuk membawa kami makan angin seperti semasa dia bekerja dahulu. Pada saya bisnesnya telah menjauhkan dia dengan kehidupan kami sekeluarga.


‘‘Dulu waktu Kay mula-mula nak buat bisnes saya menyokongnya, malah bergadai bergolok pun saya sanggup, kerana dahulu Kay memang sayangkan kami anak-beranak dan tidak pernah melupakan keluarganya. Dia juga mengurus perbelanjaan rumah dan anak-anak dengan baik, walaupun kami cuma makan gaji.


‘‘Tetapi sayangnya selepas dia berjaya, janji tinggal janji. Selama lebih lima tahun saya bersabar, sambil mengharapkan dia akan berubah dan kembali memegang janjinya. Sayangnya semakin hari berlalu, kami semakin dilupakan terutama bila rangkaian kawan-kawannya bertambah ramai.


‘‘Puas saya bersabar menguruskan rumah tangga dan anak-anak dengan perbelanjaan hidup semakin meningkat menyebabkan gaji dan simpanan semakin berkurangan. Waktu itu memang saya kesal, sedih bercampur sayu mengingatkan suami yang amat saya cintai sudah berubah.


‘‘Ketika itulah saya bertemu dengan Im, senior dan kawan lama kami ketika di AS, kerana dia juga mengenali Kay, perkenalan kami cepat mesra. Kepada dialah saya mencurahkan isi hati. Im banyak menasihati saya supaya bersabar, katanya, dalam setiap perkahwinan itu pasti akan ada ujian sama ada kecil mahupun besar. Jadi sebagai umat-Nya kita perlu besabar. Katanya lagi semua ujian itu bertujuan supaya kita lebih mengingati-Nya. Kerana biasanya apabila kita senang kita lupa kepada-Nya. Saya tak nafikan mungkin itu kealpaan saya mahupun Kay.


‘‘Minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, hubungan dan bersahabatan kami menjadi lebih akrab. Kerana Im cepat mesra tambahan pula dialah tempat kami meminta nasihat dan bantuan ketika mula-mula datang ke AS dahulu.


‘‘Persabahatan kami sedikit demi sedikit bertukar menjadi lebih mesra. Semuanya kerana ketika itu saya amat memerlukan seseorang untuk meminta nasihat atau mendengar masalah rumah tangga saya yang begitu terhimpit. Im seorang pendengar yang baik dan penyabar. Dia pun semakin rapat dengan saya setelah Kay tidak mempedulikan nasihatnya. Kerana ketika itu Kay di puncak kejayaan. Oleh kerana Im bukan kaki keluar malam atau kelab malam, maka dia bukan sahabat baik Kay.



‘‘Kerana tidak mahu menjadi penjamin, perniagaan Kay semakin sulit. Sikap pemarah dan pembengisnya semakin teruk. Akibatnya hubungan kami renggang. Sakit hatinya menjadi-jadi bila dia lihat kejayaan saya dalam pekerjaan, dan naik pangkat.


‘‘Kerana sakit hati juga dia tuduh saya ada kekasih, tambahan dia tahu saya baik dengan Im. Dia tuduh kami bercinta. Sebenarnya hubungan saya dengan Im cuma kawan biasa pada awalnya, tetapi bila dah lama bohonglah kalau saya katakan saya tidak ada perasaan padanya.


‘‘Mulanya saya nafikan tuduhan Kay, sebab kami tidak ada niat nak kahwin ataupun bercinta, sebab kami tidak pernah melahirkan perasaan masing-masing, cuma kami cepat mesra. Tetapi bila sering dituduh perasaan sebagai kawan terhadap Im semakin bertukar. Bila saya berterus-terang dengan Im dia juga tidak menafikan. Malangnya masing-masing ada ikatan.


‘‘Walaupun saya tidak berhasrat untuk berkahwin dengan Im, tetapi desakan Kay membuat saya terdesak meminta cerai. Sebabnya mudah, saya tidak mahu didesak jadi penjamin. Dan hati saya sakit bila dituduh sebagai perempuan tak baik kerana menduakan suami. Saya tidak boleh terima tuduhannya dan saya tak mahu anak-anak terpengaruh. Jadi daripada bergaduh lebih baik saya berpisah biarlah dia dengan jalannya sendiri. Kalau dia berjaya satu hari nanti itu rezeki dia.


‘‘Tetapi Kay enggan ceraikan saya. Dia masih duduk di rumah dan terus memaki hamun saya bila-bila dia suka. Saya dapat tahu dia baru memberi nafas baru kepada bisnesnya bersama rakan kongsinya yang baru. Dan tetap memerlukan bantuan.


‘‘Ada kawan suruh saya bawa anak-anak tinggalkan Kay. Tetapi nak duduk mana sedangkan saya terpaksa bayar ansuran rumah yang kami duduk sekarang. Kalau tak bayar nama saya akan disenaraihitamkan. Kay pula tak mahu keluar sebaliknya dia yang halau saya. Takkan saya nak keluar sedangkan dia duduk free. Nak jual pun tak boleh sebab mahal sangat. Saya benar-benar terikat kerana percayakan Kay dahulu.


‘‘Kerana masalah inilah juga menyebabkan cinta saya kepada Im semakin mendalam. Dialah menyejukkan hati saya. Itu cukup bermakna kerana orang yang saya cintai menganiaya saya. Tetapi bukanlah bermakna saya minta cerai kerana nak kahwin dengan Im. Saya mahu dibebaskan kerana tidak tahan lagi dengan sikap Kay.


‘‘Sebenarnya saya boleh hidup dengan Kay kalau dia tidak mengganggu hidup saya. Kalau dah tak buat bisnes, duduk aja di rumah, saya boleh uruskan semua ini, tetapi jaga mulut, jangan tuduh sembarangan. Tetapi masalahnya Kay dah biasa jadi bos tak mahu jadi pengikut dan diarah.


‘‘Bila tak berjaya dan menyedari dirinya tidak berupaya lagi dia menyusahkan hidup saya. Sentiasa mencari jalan menyalahkan saya. Sebab itu saya minta diceraikan. Saya tak mahu jiwa, hati, perasaan dan emosi saya terganggu dengan pelbagai pertuduhan yang menyakitkan hati dan bukan salah saya pada awalnya.



‘‘Jadi di sini saya ingin tanya kalau suami nak kahwin lagi atau ceraikan isterinya bagi alasan isteri tak pandai layan dan tak memahami jiwanya, maka salahkah isteri minta cerai, bercinta lagi atau nak kahwin lagi kerana suami tidak bertanggungjawab, menganiaya dan melupakan keluarganya? Rasa-rasanya alasan saya lebih kuat,’’ demikian cerita Nuri Aina yang masih tinggal serumah dengan suaminya. Tetapi hati, perasaan dan katil lain-lain. Katanya, Kay enggan ceraikannya, nak bawa ke mahkamah dia kesiankan perasaan anak-anak terganggu.


Sebenarnya bukan Nuri Aina sahaja berkeadaan begini malah ada segolongan wanita yang memendam rasa sejak sekian lama kerana sikap suami. Mereka terpaksa mendiamkan diri kerana bukan mudah nak tuntut cerai bila suami enggan. Mahkamah Syariah bukan tempat wanita mengadu nasib, jadi hiduplah mereka memendam rasa dengan perasaan penuh kebencian. Apakah ini dikehendaki Allah dan fikirkan juga emosi anak-anak yang lahir dari keluarga seperti ini. Di manakah keluarga harmoni kita? Wahai suami anda wajib bertanggungjawab.

Read more!

Sunday, January 7, 2007

07/01/2007: Pelik bila isteri orang bercinta lagi

“SAYA terpaksa menghantar e-mel kali ketiga bertanyakan apakah e-mel saya terdahulu telah puan terima,’’ demikian e-mel Allyna, yang membuat saya menghubunginya. Sebenarnya bukan tak mahu menghubunginya, tetapi kesuntukan waktu dan ada kisah lain yang terpaksa didahulukan.


Ketika berbual di telefon, Allyna memberitahu, bukan dia mendesak supaya kisahnya segera disiarkan, tetapi jiwanya tidak tenteram selagi tidak dapat meluahkan perasaan hatinya yang terganggu. Pelbagai persoalan bermain di mindanya membuatkan hidupnya tidak tenteram, terutama apabila suaminya diganggu oleh orang ketiga.



“Saya rasa bukan saya sahaja yang berfikiran seperti itu, mana-mana wanita pun jika suaminya diganggu orang lain, sementelah lagi jika si suami bermain cinta dengan wanita lain tentu hidup isterinya tidak akan tenteram, begitu juga saya.


“Seperti orang lain, saya juga adalah pengikut setia ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK). Selama ini banyak kisah yang saya baca, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah saya sehinggalah dua tiga bulan lepas. Telah puas saya memanjat doa ke hadrat Allah agar kemelut ini segera berakhir. Saya tahu bahawa jawapannya hanya ada pada Allah. Kerana saya sudah tidak terdaya lagi untuk berteka-teki, kerana selagi saya tidak mendapatkan jawapannya, maka selagi itulah hidup saya tidak akan tenteram.


“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah saya dengan pembaca lain, kerana hidup saya selama ini aman bahagia, tidak ada pergolakan, kalaupun kami ada sedikit pertengkaran, ia akan segera selesai. Kami suami isteri saling faham-memahami, dan saya tahu suami saya, Khir tidak mahu merosakkan hati apa lagi rumah tangga kami.


“Sudah hampir 18 tahun kami berumah tangga. Usia saya dah dekat 40 tahun dan memang saya berkahwin dalam usia muda, saya dengan Khir sebaya. Sudah tentulah kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Saya kenal Khir sejak sama-sama menuntut di U dan habis belajar kami terus berkahwin, sebab itu anak-anak kami pun dah besar. Dan saya meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk membina rumah tangga aman dan masa depan anak-anak terjamin. Dan kehidupan kami memang selesa.



“Kami sama-sama bekerja cuma bezanya Khir menguruskan perniagaan sendiri. Hampir semua orang mengenali Khir dan akan sependapat mengatakan dia mempunyai sebahagian sifat-sifat terpuji sebagai seorang suami dan kawan, di samping mempunyai rupa paras yang menawan. Bertuahnya saya mendapatnya sebagai suami.


“Sepanjang perkahwinan, kekurangan suami saya memang ada sedikit sebanyaknya tetapi tidak menjadi kudis kepada saya. Atas gambaran yang saya berikan mengenai suami saya, mungkin pembaca hairan, apa sangat yang dilakukan suami hingga boleh membuat hati saya hampir hancur kini.


“Sesiapa pun tidak menafikan sikap Khir itu menjadikan saya kadang-kadang menderita. Tambahan pula kerana tanggapan orang, dia memang mempunyai personaliti dan sikap menarik, malangnya keadaan itu membuatkan jiwa saya terdera.


“Sebabnya, kerana kebaikan, personaliti, sikapnya membuatkan ramai wanita yang tertarik dan tergila-gilakannya, malah ada yang daring cuba menarik perhatiannya walau wanita itu tahu Khir telah beristeri dan sudah beranak-pinak.


“Kadang-kadang saya naik angin kerana sikapnya yang baik kepada semua orang tak kira lelaki tambah-tambah lagi perempuan, dan semua orang dilayan dengan baik, membuatkan ramai wanita menaruh harapan padanya. Walaupun dia tak layan.


“Kalaupun ada wanita berminat padanya dan cuba melampau batas seorang kawan tetapi Khir segera memberitahu, dia tidak melayan wanita tersebut. Katanya, biarlah mereka telefon, hantar SMS atau merayu, kalau dia tak layan, lama-lama wanita tersebut akan menarik diri. Dan itulah yang berlaku. Katanya, dia tahu dia sudah berkeluarga dan ada tanggungjawab.


“Tetapi berapa lama dan berapa ramai perasaan wanita dia boleh ketepikan, sebab akan ada satu ketika, ada wanita akan tergila-gilakannya. Dan apa yang saya bimbangkan itu kini telah pun terjadi.


“Wanita ini kenalannya kerana sama-sama berurusan dalam perniagaan, bila dah masuk lubuk ini tentulah Khir perlukan ramai kawan. Malangnya wanita inilah yang sentiasa mengganggu Khir. Bukan itu sahaja sikap dan kedegilannya amat mengguris perasaan saya. Walaupun sebelum ini saya tahu ada tiga, empat orang wanita cuba menggoda Khir, tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Tetapi wanita ini, Mariya, memang tak malu, sanggup membelakangkan suaminya demi mengejar cinta Khir.


“Mulanya saya tak sedar juga, entah macam mana dengan gerak hati dan dengan kuasa Allah Yang Maha Besar, perbuatan wanita ini terbongkar apabila saya terbaca SMS Mariya kepada Khir yang berbaur cinta, kasih, sayang dan pujuk rayu yang amat sangat. Berdebar jantung saya membacanya.



“Mulanya saya tak tahu siapa Mariya, hinggalah saya jalankan siasatan sendiri. Dia seorang yang berjawatan tinggi di pejabatnya dan Khir memang terpaksa berhubung dan berurusan dengannya, maklum orang berniaga. Tetapi Mariya sudah berumah tangga mempunyai empat orang anak yang sudah pun besar-besar.


“Setelah saya fikirkan dan mengingat kembali, saya memang pernah dengar nama Mariya dari Khir bila dia bercerita tentang urusannya kepada saya. Tetapi saya tak terfikir Mariya boleh mengeluarkan perkataan tersebut kepada lelaki lain kerana kedudukannya yang berjawatan tinggi dan sudah pun berumah tangga.


“Memang saya langsung tak terfikir dan menyangka ada isteri orang boleh mencurah ucapan cinta dan kasih sayangnya kepada lelaki lain, tambah-tambah lelaki itu sudah beristeri. Setiap SMSnya akan memanggil Khir sayangku. Bila Khir tidak menjawab SMSnya dia akan merayu-rayu agar Khir menjawab segera. Katanya, dia sedang rindu yang teramat kepada Khir.


“Mujur juga saya tidak ada penyakit jantung atau darah tinggi. Kalau tidak pasti Khir terpaksa mengejarkan saya ke hospital. Atau kalau dah naik gila, saya boleh pergi menyerangnya di pejabatnya. Kerana mengganggu rumah tangga orang lain.


“Kata Khir, masalah ini boleh diselesaikan dengan berbincang dengannya. Khir menyuruh saya mengawal diri dan jangan terburu-buru. Sebab atas apa juga perbuatan buruk saya, boleh menjejaskan perniagaan dan hubungan baiknya dengan ramai kawan-kawan yang berkaitan rapat antara satu sama lain. Khir minta saya bersabar.


“Khir mengaku memang dia sedar sudah lama Mariya menghantar SMS cinta kepadanya, tetapi dia tidak melayannya. Dia cuma menjawab jika Mariya bercakap dengan baik atau bertanyakan pandangannya tetapi tidak melayan perasaan cinta atau duka nestapa yang dilalui Mariya. Itu urusan dia, biarlah dia uruskan. Begitu kata Khir.


“Dia juga tidak pernah berjumpa Mariya di luar kalau bukan atas urusan kerja. Kerana saya mendesak supaya dia memutuskan hubungannya dengan Mariya, akhirnya Khir berjanji akan segera menyelesaikan isu perasaan Mariya secepat mungkin. Tetapi malangnya hubungan mereka tetap berjalan macam biasa dan Mariya akan sentiasa menghantra SMS cintanya atau telefon Khir bila-bila dia suka.


“Saya rasa teraniaya, tapi saya tidak pasti siapa menganiayai saya, Mariya atau Khir. Sebelum saya jumpa bukti ini kira-kira setahun lalu, memang saya terdengar Mariya menelefon Khir ketika di rumah. Untuk apa saya tidak pasti. Selepas kisah ini terbongkar, Khir berusaha meyakinkan sayangnya kepada saya, walau selama ini memang dia sentiasa menekankan sayangnya pada saya, berlebih lagi selepas peristiwa itu.


“Bila saya mendesak Khir mengapa Mariya tak habis-habis mengacau hidup saya, Khir menekankan dia mencuba berkali-kali meminta Mariya menghentikan perbuatannya tetapi tidak berhasil. Dia tidak tahu cara apa lagi yang boleh dilakukan untuk menolak perasaan Mariya terhadapnya.



“Tidak lama dahulu untuk meyakinkan saya bahawa antara dia dengan Mariya tidak apa apa-apa hubungan, Khir menganjurkan satu majlis di rumah kami, ramai tetamu dijemput termasuklah Mariya. Khir mahu meyakinkan saya dan mahu saya membuangkan sebarang prasangka buruk dan syak-wasangka saya terhadap Mariya.


“Memang saya terkejut berjumpa Mariya. Pertama dia bukanlah seperti wanita yang saya sangkakan selama ini. Dari perwatakan dan wajahnya, tidak menggambarkan bahawa dia seorang wanita penggoda, seksi ataupun mengada-ngada. Penampilannya seperti isteri-isteri lain. Pakaiannya sopan, bertudung, tidak menampakkan auratnya, baik di pergelangan tangannya, kakinya mahupun ada rambut yang terkeluar. Tudungnya lebih labuh daripada saya. Pendek kata, pakaiannya tidak menggambarkan kelakuan dan perbuatannya selama ini.


“Saya layan dia dengan baik seperti wanita rakan-rakan dan kenalan suami saya yang lain. Bila teringatkan perbuatannya saya langsung tak terfikir dia boleh berkelakuan seperti itu. Di akhir majlis dia bersungguh-sungguh meminta maaf dengan saya. Saya tidak dapat menduga apakah beliau ikhlas. Namun saya menerima maafnya kerana tidak mahu bermasam muka apa lagi nak bergaduh. Khir beberapa kali mengingatkan perbuatan saya boleh mengganggu urusannya.


“Sehingga kini saya masih tidak boleh memadankan iras wajahnya seperti wanita baik-baik tidak seperti perlakuannya terutama kata-kata rayuannya kepada suami saya yang masih terngiang sehingga kini.


“Sungguh tak sangka Mariya berkelakuan seperti ini sedangkan dia sudah minta maaf dari saya, tapi dia tetap hubungi Khir. Kalau mereka berhubung kerana tugas, saya maafkan, tetapi tidak akan maafkan kalau lain daripada itu. Saya tidak sanggup berteka- teki lagi. Saya berserahkan kepada Allah mengembalikan Mariya ke pangkal jalan.


“Tujuan saya membentangkan pengalaman pahit saya hanya kerana satu sebab, di zaman serba moden di mana wanita bebas mengejar apa sahaja kemajuan, saya lihat semakin hari semakin hilang segala perasaaan malu dan nilai ketimuran seseorang wanita hinggakan seorang ibu dan isteri sanggup mencurah kasih sayangnya pada suami orang. Tidakkah dia sedar, syurga isteri terletak dari keredaan suami?


“Kepada wanita bekerja, janganlah jadikan kebebasan yang diberi suami untuk keluar rumah sebagai tiket berfoya-foya dan bermain perasaan mencintai lelaki lain. Kepada suami-suami, termasuk suami saya, janganlah cuba-cuba melayan walau hanya sekadar main-main, kerana jika sudah terperangkap susah untuk keluar dari jaringan perasaan wanita tersebut, sedangkan hati masih sayang kepada isteri.


“Sekiranya Mariya membaca luahan ini, saya ingin tahu apakah tujuannya bermain perasaan cinta dengan Khir? Saya kira ada juga peranan mengheret perasaan beliau sehingga memanggil suami saya sayang.


“Kalaupun anda ada masalah rumah tangga, itu bukan lesen mendekati suami saya. Cari cara lain, bukan memujuk rayu suami orang,’’ demikian cerita Allyna.



Zaman ini macam-macam perkara boleh terjadi, tidak ada peliknya lagi isteri orang mencintai suami orang, tambah-tambah lagi bila ada yang berani menggunakan kuasa dan kedudukannya. Namun kita jangan lupa setiap yang baik akan dibalas baik, demikian juga sebaliknya. Jangan menyesal kalau yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Gara-gara inginkan yang lebih baik, akhirnya dapat hampas, waktu itu menyesal dah tak berguna.


Pernah terjadi isteri meminta cerai kerana hendak kahwin dengan lelaki yang lebih kaya dan berjawatan tinggi, walaupun terpaksa bermadu. Tetapi sayangnya dah bercerai dia ditinggalkan, nak rujuk, suami tak mahu lagi. Siapa rugi?

Read more!