Sunday, December 24, 2006

24/12/2006: Dipinggir gara-gara skandal ipar

“KETIKA membaca kisah yang dipaparkan 10 Disember lalu berjudul Mentua pentingkan diri, menantu jadi mangsa membuatkan saya tertarik untuk memaparkan pengalaman pahit saya sendiri yang hidup dikelilingi mentua dan ipar-duai. Walaupun kami tidak duduk berdekatan, tetapi sikap mereka yang terlalu pentingkan ikatan kekeluargaan membuatkan saya terasa diri sebagai ipar ini dipinggirkan.’’



Demikian cerita Suhana ketika kami berbual di telefon setelah membaca e-melnya. Kata Suhana, memang baik kalau adik-beradik mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat, tetapi janganlah kerana sebab tertentu dan untuk melepaskan diri ipar-duai dijadikan mangsa atau kambing hitam supaya hubungan kekeluargaan mereka erat. Untuk memahami kisah beliau selanjutnya, sila ikuti ceritanya di bawah ini.


“Masalah saya walaupun nampaknya kecil, tetapi pada firasat saya jika dibiarkan boleh merosakkan atau mengganggu-gugat keamanan rumah tangga saya, semuanya gara-gara ingin membantu ipar-duai menyelesaikan masalah mereka. Tetapi niat suci saya telah disalahertikan hingga menyebabkan mereka tidak sukakan saya lagi dan tidak mahu bertegur sapa, tak cukup itu mereka menyalahkan saya konon sayalah punca hubungan mereka adik-beradik berbalah hingga hampir bercerai-berai.


“Dari pengalaman pahit ini, saya ingin menasihatkan pembaca jangan campur tangan masalah adik-beradik suami, kerana jika tersilap langkah kita akan dipersalahkan, kerana bak kata pepatah, hubungan adik `bagai dicincang air tak akan putus’


“Mungkin pembaca sudah biasa mendengar kes adik-beradik dan ipar-duai ni. Tapi saya belum pernah baca dalam Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) cerita seperti masalah yang saya alami sekarang. Niat saya mulanya memang tak mahu campur tangan dalam masalah adik-beradik suami, kerana saya rasa ia amat sulit untuk dinasihati apa lagi diperbaiki.


“Tetapi kerana kakak-kakak ipar saya semuanya seramai empat orang ini tidak bekerja, suri rumah tangga sepenuh masa, maka sayalah tempat mereka bercerita dan bertukar-tukar fikiran, kata mereka, manalah tahu saya ada jalan untuk mengatasi masalah mereka, kerana perbuatan atau sikap salah seorang adik perempuan mereka sudah keterlaluan dan mereka tidak tahu macam mana untuk menasihatinya.



“Mereka sukakan saya sebab ada kerjaya dan boleh berdikari, tidak pernah menyusahkan adik mereka iaitu suami saya Alfian untuk membeli apa juga dalam rumah tangga, semuanya saya urus sendiri. Dari membeli makanan rumah hinggalah bab pakaian anak-anak. Dan saya tidak pernah menyuruh suami ke kedai kalau di dapur kehabisan asam garam. Saya pergi beli sendiri. Inilah juga salah satu sebab Alfian sayangkan saya. Katanya, saya independence, kerana tidak mengganggu masa santainya berehat.


“Sehingga ini saya merupakan menantu perempuan tunggal dalam keluarga suami saya dan kebetulan Alfian merupakan anak kesayangan kedua mentua saya juga kakak-kakak ipar, maklum dua daripada mereka adalah ibu tunggal dan Alfian tempat mereka meminta bantuan dan nasihat.


“Tetapi masalahnya ipar-duai saya ini kalau berdepan bukan main baik, manis mulut dan bercakap pun lemah lembut, pijak semut pun tak mati. Tetapi kalau di belakang mereka suka mengata dan mengumpat keji sesama sendiri. Mulanya memang saya tak suka dengan tabiat buruk itu, tetapi lama-kelamaan saya dah mangli.


“Pada mereka kalau setakat mengata dah jadi biasa, pendek kata, kalau jumpa saya tak mengumpat tak sah, begitu juga adik-beradik yang lain. Dia kata dia, semuanya tak eloklah pada pandangan mereka.


“Tetapi ibu mentua saya pula dah tak kisah dengar cerita buruk tentang anak- anak yang lain, dia dengar dan diam aja, maklumlah busuk-busuk pun anak mereka juga. Dia dah mangli. Tapi saya rasa pelik sikit mentua saya tak mahu nasihatkan anak-anaknya jangan mengata satu sama lain. Kan mereka sedarah sedaging.


“Biasanya mentua saya dengar dan diam aja. Tapi menantu tetap menantu takkan jadi anak sendiri, saya sedia maklum, ini lumrah alam. Anak sendiri takkan sama dengan anak menantu. Menantu terjalin kerana adanya ikatan perkahwinan, putus ikatan itu putuslah hubungan mereka.


“Setakat ini hubungan saya dengan mentua okey walaupun ada onak dan durinya, tetapi masih under control. Sebab saya tak mahu dengar cerita umpat-mengumpat, kalau mereka mengumpat juga, saya cuma dengar telinga kanan keluar telinga kiri.


“Bagaimanapun dalam ramai kakak ipar ni, dengan kakak kedua nama Ainah saya boleh ngam sikit, yang lain tu saya tak ambil pusing, lantak merekalah nak mengumpat, tetapi yang keempat tu, Einie saya tak boleh dekat langsung, panas!


“Panas sebab ceritanya yang hebat, bercinta dengan suami orang. Ini bukan cerita baru, rasa-rasanya ini kali ketiga dan paling teruk pernah saya dengar. Kalau berpakaian kalah kita yang bekerja, semuanya mesti up to date. Fesyen terbaru keluar di majalah atau pakaian artis-artis, itulah pakaian pilihannya, pendeknya memang tak terikut kita dengan gayanya. Pakaian anak-anak mesti berjenama. Sebab diajar dari kecil, anak-anaknya kalau tak berjenama, takkan pakai tambah-tambah kalau murah.



“Kerana gaya hidup mewah yang diamalkannya, gaji suaminya sebagai jurutera pun tak mampu menyiapkannya. Kerana itu hutang dia keliling pinggang. Pernah saya cuba tegur bila dia jumpa saya nak pinjam duit, dia boleh kata saya balik, suaminya berpangkat dan bergaji besar takkan anak-anaknya nak pakai baju pasar malam? Terkejut saya, sejak itu saya tak berani nak buka mulut menasihatinya. Tetapi dalam diam Einie selalu mengadu sesak dan suka meminjam duit daripada suami saya, Alfian.


“Masa anak dara dan mula-mula kahwin dulu, Einie bertudung, mengajar budak-budak mengaji mukaddam dan Quran sebab latar belakang family Alfian pun orang yang disegani di kampungnya. Tapi masuk tahun ketiga lepas kahwin, dia tukar imej, berselendang aja. Bila saya tanyakan kakak ipar yang lain, mereka kata Einie dah teruk.


“Kata mereka sejak dulu Einie memang banyak boyfriend. Terkejut saya, tak sangka dia buat kerja tu. Semua tu kak Ainah bagi tahu. Dialah yang suka updatekan saya dengan cerita-cerita terbaru Einie. Pendek kata, dia juga mengumpat pasal Einie sebab tak berkenan tengok kelakuannya.


“Katanya mula-mula dulu Einie bercinta dengan kerani, lepas putus, dengan guru dan terakhir dengan kakitangan kerajaan. Semua berlaku ketika dia dah berkahwin.


“Bila dah bercinta bab bergaya lebih teruk, sesekali balik kampung dari KL dia berpakaian ranggi dan sexy. Umur dah 40-an tapi lagak macam 20-an. Bila anak saya yang tua tegur, “Puhh mummy ni sexy la! Dia jawab, “Hah lagu nilah baru nampak mudaaa!’’ Dia paling seronok kalau orang tegur, ‘’eeee U semakin lawa la sekarang…”


“Dia suka dipuji, tapi saya yang mendengar ni panas telinga dan panas hati, menyampah pun ada. Bila terpandang mukanya setiap kali balik kampung saya cuba nak menasihatinya, tetapi tak berdaya kerana Einie paling suka kalau dipuji cantik.


“Dulu masa bercinta dengan guru sekolah dia pernah lari tinggalkan rumah beberapa hari, tapi yang peliknya suaminya tak marah pula tu, dan kata tak lama lagi dia baliklah tu. Kita yang mendengarnya pula sakit hati. His! memang pelik kisah suami isteri ini. Kakak-kakak mereka malu bila orang kampung bercakap pasal pakaian Einie yang terlalu up to date dan dah tak bertudung lagi. Sebab mereka tahu dulu Einie tak macam tu, bertudung! Lawa! Walaupun sekarang lawa juga tapi Einie dah tua!


“Kerana dah tak tahan dengan desakan kakak-kakak yang lain meminta menasihati Einie supaya berubah, maka saya dan Alfian berusaha mengintip mereka ketika mereka dating. Kami buat rakaman video. Tujuan kami kalau Einie menafikan kami boleh buktikan. Hasrat kami supaya dia berubah. Kami tak mahu dia bercerai-berai.


“Seperti diduga bila ditanya Einie nafikan, tetapi dia sanggup tinggalkan suami dan anak-anak di KL datang ke sini semata-mata nak jumpa kekasih. Niat baik kami menasihatinya disalahertikan. Bila kami panggil suaminya balik ke kampung menasihati Einie, depan kami dan mentua bukan main marah lagi. Tapi bila balik ke KL dia langsung tak berani buka mulut. Dia takutkan Einie!



“Tak lama lepas tu mentua saya beritahu, Einie dah hamil, anaknya yang kecil dah sekolah menengah. Memang kami terkejut, mulalah kakak-kakak ipar saya sangka yang bukan-bukan. Tiba-tiba dengar pula cerita yang Einie keguguran. Kak Aniah pula bagi tahu, dia bukan keguguran tetapi jumpa doktor gugurkan kandungannya. Lagi terkejut kami, tak sangka Einie begitu kejam.


“Memang kami rasa pelik sangat cerita Einie ni. Apa punca sebenarnya yang terjadi kami tak tahu. Saya tak tahu cerita ini, yang mencungkil dan menyebarkan cerita ini bermula daripada kalangan kakak-kakak Einie. Tetapi sedihnya, saya yang tak tahu cerita ini pula dituduh mereka-reka cerita dan sengaja nak memfitnahkan Einie dengan tujuan memecah-belahkan rumah tangganya. Saya terkejut dijadikan kambing hitam


“Apa yang saya nak ceritakan, sejak cerita Einie lakukan pengguguran terbongkar, Einie mengamuk kerana katanya dia difitnah, dia menafikan ada teman lelaki, tak mengaku melakukan pengguguran apa lagi lari beberapa hari bersama temannya.


“Katanya, semua cerita itu fitnah, dan dia mula mencari siapakah orang yang membuat cerita tersebut. Bila dia mengamuk kakak-kakaknya ketakutan masing-masing menuduh satu sama lain, konon tak tahu cerita, akhirnya saya dijadikan mangsa konon saya tahu tentang skandal Einie dan tahu dia gugurkan kandungannya. Tak pasal-pasal Einie mengamuk marahkan saya.


“Kerana ingin membuktikan saya tidak bersalah, saya hubungi kak Ainah, malangnya telefonnya ditutup, kalau dulu dia telefon saya setiap hari, dan hantar SMS dua tiga kali sehari, tetapi sejak adiknya mengamuk dia jadi takut tak berani telefon saya lagi, sebaliknya tuduh saya orang yang buat cerita supaya Einie bercerai-berai.


“Apabila sudah kacau-bilau, saya menyesal terlibat dalam masalah mereka. Lebih menyakitkan hati, saya dituduh menyebarkan cerita Einie. Benar saya dan Alfian mengambil video Einie dating, itu pun setelah diminta oleh kakaknya.


“Saya kesal bila mentua turut salahkan saya. Lebih menyakitkan dia dakwa saya bencikan Einie. Soalnya mengapa saya dipersalahkan, sedangkan mereka semua tahu skandal Einie sampai hamil? Kini mereka adik-beradik berbaik, saya dipersalahkan.


“Mereka juga mengancam hendak menghancurkan rumah tangga saya. Saya betul-betul kecewa, ketika mereka kesusahan bantuan saya yang mereka cari, tetapi kini saya dipersalahkan. Sekarang bila balik kampung tak seorang pun kakak ipar datang berbual dengan saya macam dulu, saya dipinggirkan, seolah-olah saya orang jahat. Mentua pun sama bukan setakat buat muka masam nak bercakap pun tak mahu. Einie tentulah mengamuk menyalahkan saya,’’ demikian cerita Suhana.


Jadi berdasarkan pengalamannya beliau menyeru pembaca supaya berhati-hati dengan ipar-duai, kerana bimbang niat baik kita akan disalahertikan. Bak kata pepatah Melayu, “Buat baik biar berpada-pada, buat jahat jangan sekali’’.



Penulis teringat pepatah budak-budak muda sekarang, ‘cincang air paip memang tak putus, tapi terhenti kalau ditutup kepalanya.’ Jadi di sini maknanya peranan seorang ibu dalam membantu menyelesaikan masalah anak-anak, di samping menenang dan mententeramkan ribut dalam keluarga amat penting, bukan menjadi ibu keladinya.

Read more!

Sunday, December 17, 2006

17/12/2006 : Suami diulit cinta isteri orang

“SAYA mula mengenal hingga meminati ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini adalah atas dorongan dan nasihat suami saya, yang menyuruh saya membaca setiap minggu.


Katanya, bacalah dengan hati yang lapang dan mata terbuka, kerana katanya, ruangan ini boleh membuka mata dan minda saya supaya mengenal erti sebuah kehidupan yang sebenarnya, bukan berdasarkan cinta semata-mata.



“Benar katanya, setelah saya baca dan kini menjadi peminat setia DCCK saya dapat merasakan bahawa kisah yang dipaparkan menggambarkan kisah sebenar erti sebuah kehidupan, mengenal erti hidup berumah tangga, erti sebuah perkahwinan, tanggungjawab, kasih sayang dan tahu apa itu sebuah keluarga setulusnya.


“Saya berterima kasih kepada suami saya yang telah membuka mata saya, kerana dulu saya memikirkan perkahwinan itu seperti kehidupan ibu bapa saya yang aman bahagia, berkasih sayang dan bertolak ansur dalam membesarkan anak-anak menjadi manusia yang berguna, semuanya aman bahagia walaupun kami tak kaya, tak ada gangguan, tak ada perang dingin, dan ada kacaubilau. Aman.


“Tetapi kini melalui ruangan ini jugalah saya tujukan kepada suami saya Fandi jika dia masih membaca DCCK insaflah, dan kembalilah sayangkan keluarga seperti dulu, kalau dulu dia menasihati saya supaya tahu apa makna perkahwinan, kini saya mahu dia pula menyemak dirinya, apa yang telah dilakukan dan nasihatnya selama ini tidak seperti apa yang dilakukannya sekarang.’’



Demikian cerita panjang lebar Sharina ketika penulis menemuinya di sebuah restoran baru-baru ini setelah membaca kepahitan hidupnya dalam e-mel yang dikirimkannya.


“Saya sedar kisah tentang kehidupan yang dipaparkan banyak menggambarkan seribu satu erti kehidupan berumah tangga, apa itu perkahwinan, tanggungjawab antara suami isteri, kasih sayang sejati dan hidup dalam keluarga besar.


“Saya ikut nasihat Fandi baca DCCK ketika saya mula berkahwin kira-kira 10 tahun lalu, tapi sayangnya itu dulu, kerana sejak lima tahun lalu dia tidak membuat seperti apa yang dinasihatinya, sebaliknya menghiris jantung hati saya hinggakan tubuh saya dahulunya gemuk kini kurus kering.


“Sepanjang 10 tahun berkahwin, cuma 5 tahun saya bahagia, selebihnya hidup saya menderita berendam air mata kerana berkongsi kasih dengan wanita lain. Fandi lupa nasihatinya dahulu, dia banyak berubah dari insan penyayang kepada seorang pembengis dan panas baran semuanya gara-gara bercinta dengan isteri orang.


“Sejak kisah cintanya terbongkar dia bukannya takutkan dosa dan maksiat yang dilakukannya, sebaliknya semakin riak dan takbur tidak takutkan Allah. Hidup Fandi kini menjadi lebih bebas dan semakin jauh meninggalkan keluarganya.


“Tujuan saya paparkan luahan hati saya ini supaya dia sedar dan kembali menjadi suami saya seperti dahulu. Kenal rumah tangganya, ingatkan anak-anak dan supaya dia sedar bahawa hidup di dunia hanya sementara, dan sementara masih bernyawa kumpulkanlah bekalan di hari kemudian, bukannya lalai dengan wanita penggoda yang meracuni fikiran hingga terlupa siapa diri sebenar.


“Hidup kita tak tahu berapa lama, janganlah dunia terlalu dikejar sehingga kesibukan menghalang diri untuk beribadat pada–Nya. Umur semakin meningkat dan anak-anak semakin membesar. Janganlah maksiat dan dosa yang dilakukannya nanti tempiasnya akan mengenai anak-anak. Nauzubillah.


“Saya mula mengenali Fandi secara tidak sengaja di rumah saudara di KL, ketika itu saya baru dapat kerja setelah mendapat ijazah kejuruteraan dari sebuah universiti di utara tanah air. Ketika belajar saya tak banyak kawan, hidup saya cuma dari universiti atau sekolah ke rumah, itu sahaja.


“Walaupun baru bersua muka, tapi Fandi yang jauh lebih tua daripada saya tertarik dengan saya, baru dua kali pergi makan bersama dengan izin saudara yang menjadi ibu angkatnya, kami terus bertunang, tak sampai enam bulan berkenalan kami berkahwin. Begitulah singkatnya usia perkenalan kami.



“Sayangnya setelah 10 tahun berkahwin kami cuma dapat dua orang anak, kerana Fandi tak mahu anak ramai bimbang tak dapat membesarkan mereka dengan sebaik-baiknya, katanya, dia takut masa depan anaknya tak ketentuan, jadi daripada ramai tak tentu hala, lebih baik sikit terpelihara. Tetapi dalam hasratnya yang baik itu siapa menduga terkandung racun yang berbisa.


“Saya tak tahu Fandi terjebak bercinta dengan isteri orang hingga pada ketika dia sering membawa pulang barang-barang cenderamata, katanya, kawan bagi, secara kebetulan mereka berkenalan dalam satu seminar. Dari kawan rupa-rupanya Fandi menjadi tempat si isteri itu mencurahkan isi hatinya konon hidupnya sengsara, akibat perbuatan suaminya yang tak bertimbang rasa dan kaki pukul.


“Fandi mula bercerita tentang suami wanita yang tidak bertanggungjawab itu, tapi saya ingatkan dia jangan terlalu rapat dan biarlah dia mencari kawan perempuan untuk bercerita bukan pada lelaki, lepas tu cerita itu tamat begitu sahaja, tapi dia masih membawa pulang barang-barang cenderamata yang amat disayanginya itu.


“Selang beberapa bulan Fandi mula membandingkan saya konon tak pernah bagi dia hadiah apabila saya tegur mengapa dia terlalu sayangkan cenderamata daripada wanita tersebut. Saya katakan memang saya tak bagi dia hadiah suprise, kerana setiap kali hadiah saya belikan saya pergi beli bersamanya, dia yang pilih apa hadiah yang disukainya, sebab saya tak pandai pergi membeli-belah sendiri.


“Apa tak cukupkah hadiah yang saya belikan setiap kali ulang tahun perkahwinan, ucap tahniah, hari lahir, dan pelbagai sambutan lain sebagai tanda cinta saya padanya, mengapa dia bandingkan saya dengan isteri orang yang baru dikenalinya itu.


“Sejak rapat dan bercinta dengan isteri orang, Fandi sudah pandai pulang lewat malam, mula malas nak berbual dengan saya, bermain dengan anak-anak pun ikut moodnya sahaja jika saya tidak ada di sampingnya.


“Sebaliknya dia banyak menghabiskan masa di luar rumah. Waktu pagi seawal 6.30 pagi dah pergi kerja, balik jam 11 malam ketika anak-anak sudah tidur. Lepas mandi dan tukar pakaian pukul 1 pagi dia keluar lagi sampai subuh pukul 4 pagi baru balik.


“Ketika belum jatuh cinta dia selalu telefon bertanya apakah saya sudah sampai ke rumah dari pejabat dan anak-anak balik ke sekolah, tetapi sejak bercinta bukan setakat nak telefon, menghantar SMS pun dia tak sudi lagi.


“Dia membandingkan badan saya yang dikatanya sudah kurus kering tak seksi macam wanita tersebut, saya katakan saya kurus kerana perbuatannya dan runsing tentang kehidupan rumah tangga yang sudah tidak tentu hala lagi. Saya boleh gemuk lagi kalau dia berubah jadi suami baik seperti dulu.



“Saya mengaku saya tidak berpakaian seksi dan menyolok mata, tambahan pula saya bertudung, sedangkan wanita itu tidak. Saya tak boleh dedahkan pangkal buah dada saya kepada orang lain kerana haram dan saya tak pandai memburuk-burukkan suami untuk menarik perhatian lelaki lain. Sehingga ini saya masih boleh kawal diri saya, masa depan saya belum boleh dipastikan lagi.


“Pernah saya terima panggilan suami wanita tersebut memberitahu Fandilah dalang dan punca isterinya minta cerai. Sedangkan Fandi diberitahu oleh wanita tersebut bahawa suaminya tak bertanggungjawab. Lepas wanita itu jadi janda kehidupan Fandi menjadi lebih teruk lagi. Tak balik rumah sudah jadi perkara biasa.


“Kadang tu Fandi beritahu dia pergi kerja, sedangkan pejabat kata dia bercuti, bila saya telefon, pasti wanita tersebut akan menyambutnya dan memberitahu jangan ganggu mereka.


“Saya sedar Fandi tertarik dengan cara wanita itu berpakaian yang mempamerkan tubuh badannya yang seksi dan sentiasa berpakaian tak cukup kain. Gugur iman Fandi ketika melihat dadanya yang hampir terdedah.


Jadi sayalah mangsanya, balik rumah, Fandi langsung tak ada mata nak lihat muka apa lagi tubuh saya, hinggakan apa yang saya buat serba-serbi tidak kena pada hatinya.


“Pernah saya cuba menghampirinya ketika menonton televisyen jauh malam, tetapi dia halau saya masuk tidur. Pertanyaan saya susah dijawab, malah dia tak mahu berbual dengan saya lagi, hinggakan anak-anak perasaan dan bertanya, “Kenapa abah tak mahu cakap dengan mama lagi?” “Kenapa abah suka marah-marah mama?’’


“Sekali sekala kalau dia rindukan anak dan balik awal menjenguk mereka dia akan cuba berbual dan bercerita, tetapi bila saya cuba hampir, suasana akan bertukar dia jadi moody dan membisu. Kerana kesiankan anak-anak rindukan ayahnya untuk berbual saya menyepikan diri masuk ke dalam bilik.


“Memang saya akui hak suami berpoligami tapi janganlah isteri dipersalahkan atas kesilapan dan membandingkan kekurangan dirinya. Saya akui saya bukan manusia sempurna begitu juga Fandi, masing-masing ada kekurangan, tetapi itu semua boleh diatasi kalau masing-masing tahu diri, bukannya merajuk mencari wanita lain. Jangan senang-senang mencari kekurangan isteri untuk bercinta lagi.


“Sudah 5 tahun saya sabar, tunggu Fandi berubah jadi suami yang baik seperti dahulu, pandai berbual dan berbincang, ambil berat hal keluarga terutama anak-anak, bukan membisu seribu bahasa ketika ditanya atau terus keluar tinggalkan rumah.



“Kini hampir setengah tahun saya ditinggalkan hidup sendirian dengan anak-anak sedangkan dia duduk di tempat lain dengan alasan jauh, trafik jam dan duit petrol tinggi. Kalau saya boleh pergi kerja setiap hari merempuh jam dan pulang menguruskan anak-anak bila waktu petang mengapa dia tak boleh?


“Inilah kehidupan yang saya lalui sedangkan Fandi bahagia diulit cinta dengan isteri orang yang kini bergelar janda. Saya rindukan suami saya, saya mahu dia berubah dan kembali ke rumah jadi ayah dan suami seperti dahulu. Saya tahu dia bukan jahat, tetapi sebagai manusia dia cepat tergoda dengan lentok wanita penggoda.’’


Demikian harapan seorang isteri tetap mencintai suami dan bersabar menunggu walaupun telah 5 tahun dipinggirkan. Kata seorang teman yang mendengar cerita ini, katanya, kalau dia dalam keadaan itu dah lama dia ucapkan selamat tinggal. Sebab dia takut lelaki yang dah biasa makan luar dia tidak akan puas dengan seorang isteri, kalau tak kahwin pun, dia akan cari penghibur di luar jadi tukang gosok.

Read more!

Sunday, November 19, 2006

19/11/2006 : Hancur hati bila isteri bercinta lagi

JIKA kisah poligami yang dipaparkan mendapat sambutan hangat dari kaum lelaki, tetapi pengalaman Zek seperti disiarkan minggu lalu yang kesal kerana gagal berpoligami, sambutan yang diterima tidaklah hebat. Sebaliknya pandangan banyak datang dari kaum wanita saja. Demikian lumrah hidup manusia.


Ramai menghantar e-mel mendakwa pengakuan Zek sukar diterima oleh kaum lelaki, kerana mana ada lelaki mahu mengaku kalah. Sepatutnya mereka fikirkan dan mendalami pengalaman Zek supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama. Namun minggu ini saya paparkan sebuah kisah yang cukup menarik.



“Bertahun-tahun lamanya saya mengikuti ruangan DCCK ini, saya baca sekadar mengisi masa lapang. Sambil baca saya bertanya diri sendiri, adakah cerita ini benar ataupun rekaan, rasa-rasanya tak mungkin berlaku dalam masyarakat kita. Tak mungkin!


“Ada masanya ketika membaca DCCK saya anggap ia mungkin berlaku di kalangan golongan tertentu saja. Tidak pernah terfikir, suatu hari nanti, kisah yang saya baca ini akan singgah ke dalam rumah tangga saya. Kerana kehidupan kami aman damai, saya bukan jenis nak kahwin dua, kaki pukul atau tidak bertanggungjawab. Kadang-kadang tu saya mencebik kisah yang dipaparkan kerana tidak percaya wujudnya kisah yang dipaparkan.


“Tapi akhir tahun lalu baru saya sedar dan saya percaya kisah yang langsung tak masuk akal itu sebenarnya telah berlaku dalam hidup saya tanpa disedari,’’ demikian cerita Mokhtar ketika kami berbual setelah membaca e-melnya yang panjang lebar. Selain ceritanya, gaya penulisan beliau cukup menarik dibaca.



“Selama tiga dekad rumah tangga kami berdiri teguh, bertiangkan cinta, berdinding kasih berbumbungkan sayang. Perwatakan isteri saya, Salimah yang tak pernah marah, lemah lembut dan penyayang membuatkan rumah tangga kami begitu aman tenteram.


“Percaya atau tidak, selama tiga puluh tahun, kami tak pernah berkelahi mahupun bertengkar. Kalau adapun perselisihan faham, kami cuma tidak bertegur sapa untuk seketika sahaja, setelah hilang rasa marah, kami kembali mesra.


“Dari mula-mula berkenalan hingga berumah tangga seterusnya menimang anak dan kini bercucu, hubungan kami cukup harmonis. Kalau masa mula-mula kahwin dulu, bila berjalan kami berpegang tangan, sampai kini pun pun masih begitu.


“Rumah tangga kami diserikan dengan lima orang cahaya mata dan dua orang cucu. Tiga orang telah pun tamat pengajian di IPTA dan mempunyai kerjaya. Yang keempat masih menuntut dalam tahun akhir, yang bongsu pun sama.


“Sejak bersara dua tahun lalu, saya menjadi ‘pembantu rumah’ sepenuh masa. Kerana pegangan hidup saya ‘kalau orang lain boleh buat kenapa aku tak boleh’ membuatkan saya sentiasa sibuk, sehingga anak-anak menggelar saya ‘jack of all trade’. Dari matahari terbit hingga terbenam ada saja kerja saya buat. Dari menyiapkan sarapan untuk isteri dan anak-anak hingga mencuci, menggosok baju, memasak untuk makan tengah hari dan malam, bertukang, menyenggara kereta dan motosikal, membaiki alatan elektrik, atau apa aja kerja yang membuatkan hari-hari saya cepat berlalu.


“Alhamdulillah, kerana badan tidak pernah diulit kemalasan, kesihatan saya cukup sempurna. Isteri saya lima tahun lebih muda dan masih bekerja di jabatan kerajaan di KL. Saban pagi sebelum meninggalkan rumah, dia akan mencium tangan saya dan saya pula membekalkan ciuman kasih di kedua-dua belah pipi. Bila balik kami akan makan bersama. Di meja makan dia cuma perlu menyuap hidangan ke mulut sahaja kerana semua sudah terhidang. Begitulah dengan pakaian kerjanya, dia hanya perlu menyarung ke badan kerana semuanya siap dibasuh dan digosok.


“Tiga puluh tahun merupakan satu perjalanan hidup yang panjang. Kalau diibaratkan sebuah pelayaran, bahtera kasih kami sentiasa belayar di lautan yang tenang, tanpa badai tanpa gelora hinggalah kira-kira setahun yang lalu.


“Mulanya saya menganggap lingkaran pelangi yang terbentuk tidak akan membuat laut bergelora. Malah ketika awan kelabu mula berarak, anggapan saya juga tidak berbeza. Begitulah yakinnya saya sehinggalah Salmiah minta izin mengikut rombongan ke Pulau Pangkor yang dikendalikan oleh rakan-rakan sepejabat.


“Tanpa berfikir panjang saya izinkan dan menghantarnya ke tempat menunggu bas. Lazimnya bila berjauhan, sms darinya penuh romantis dengan luahan rasa ‘I miss you’. Tapi kali ini SMS yang diterima hambar dan kaku. Terdetik di hati, “kenapa dia tak rasa kesepian seperti kebiasaan bila berjauhan?



“Selang dua bulan kemudian, jabatannya mengadakan hari keluarga di sebuah pulau lain di selatan tanah air. Saya merestuinya walaupun naluri saya ingin menghalang. Selama dua hari satu malam sms yang saya terima hanya sekadar memberitahu, ‘dah sampai’, dan ‘esok balik pukul satu, tunggu tempat biasa’. Tawar, hambar dan kosong.


“Deria saya yang sudah tiga dekad mengenali hati budi isteri mengatakan ada sesuatu yang tak kena. Apakah sesuatu itu? Walaupun saya bukan seorang yang cemburu, tetapi rasa kasih dan sayang tertanya-tanya dalam hati saya, mengapa ya?


“Lebih dua tahun lalu, jabatan tempat isteri saya bekerja menerima seorang staf lelaki berusia hampir 30 tahun. Sebelum ini tak ada staf lelaki. Mungkin kerana ‘kejutan budaya’ agaknya, lelaki ini menjadi rebutan ramai wanita di jabatannya, tak kira yang masih bujang ataupun sudah berkahwin. Mulanya keakraban mereka tidak lebih dari rakan sekerja. Lama-kelamaaan semuanya berubah.


“Lebih setahun nama staf lelaki ini saban hari bermain di hati Salimah. Saya teringat ungkapan orang bahari ‘hati terkenang mulut tersebut’. Namun saya berharap nama itu akan hilang jua bersama hari-hari yang berlalu. Rupa-rupanya hidup ini tidak cukup dengan mengharap saja. Dari ungkapan ‘hati terkenang mulut tersebut’ bertukar pula ‘hati terkenang sms melayang.’ Saban hari bila balik kerja, sms keluar masuk bertalu-talu hinggalah ke ucapan selamat malam. Gelagat Salimah tak ubah seperti watak lelaki tua dalam drama ‘Cinta Sms’ yang disiarkan di saluran TV beberapa tahun lalu.


“Suatu hari, saya tertanya diri sendiri, kenapa banyak sangat berkomunikasi di luar pejabat, kenapa dah masuk ke rumah pun masih menyebut nama anak muda yang sebaya dengan anak kami? Kenapa hendak pergi jemputan pengantin bersama suami pun harus hantar sms beritahu ke mana tujuan? Kerana terasa ada sesuatu yang tidak normal, saya tanya tentang keanehan ketara sejak akhir-


akhir ini. “Abang jangan fikir yang bukan-bukan. Itu kan kawan sekerja,” jawapannya cuba meyakinkan. Bila saya bertanya lagi, “kenapa bersms dengan kawan lelaki sahaja, kan ramai lagi kawan perempuan sepejabat,” soalan yang membuat lidahnya kelu untuk menjawab.


“Hari berlalu minggu berganti namun ‘penyakit misteri’ Salimah tidak juga ada tanda pulih. Bila dia di rumah, saya terasa kejauhan walaupun jasad berdekatan. Sebagai suami, saya dapat membaca gelora rasa yang terlukis di raut wajahnya. Tetapi saya cuba bersabar, dengan membawa Salimah berbulan madu untuk sekian kalinya, ke selatan tanah air. Mengapa ke kota ini? Sebabnya di sinilah kami mula bertemu hingga terbina istana harmonis hingga kekal ke hari ini.


“Di kota ini, saya bawanya menyusuri lorong-lorong memori, jalan yang pernah kami lalui 31 tahun lalu di mana dia memegang erat tangan ini sambil mendendangkan irama ‘ku ingin selalu di sampingmu’. Saya ingin dia mengimbau kembali detik-detik indah alam percintaan dahulu dengan harapan dia sedar bahawa kiranya terlerai ikatan ini, detik indah begitu pasti menyeksakan.


“Harapan untuk melihatnya pulih tidak ada, akhirnya terkeluar kata-kata sinis untuk mengingatkannya, antaranya, “bila balik kerja, jangan lupa bawa balik hatinya sekali,’’ “keluarkan nama abang dari geran rumah kerana kalau abang mati nanti taklah sukar berurusan,” tapi dia masih hayal dalam alamnya.



“Kata orang hati marah melakukan, hati hiba membawa jauh,’’ terasa benar diri ini tidak dihargai langsung. Saya hairan kenapa Salimah yang ketinggiannya 157sm dengan berat badan lebihi 90 kilogram boleh perasan dirinya masih muda, masih menarik dan berhak menaruh perasaan terhadap jejaka yang jauh lebih muda darinya. Hendak dikatakan sunyi, tidak mungkin kerana saya bukan jenis suami yang suka merewang, atau kaki warung kopi. Pada saya, rumahku adalah syurgaku.


“Tak cukup layanan pun tak mungkin, hujung minggu setelah solat subuh, saya sediakan ‘breakfast in bed’. Layanan batin pun okey. Sebab dengan ketinggian 181 sentimeter dan berat badan 77 kilogram, saya mampu menukar rentak dari pelari jarak sederhana hingga maraton. Saya pastikan dia terkulai sebelum saya tamatkan larian. Jadi apa kurangnya saya?


“Setelah hilang punca, saya pasrah memohon petunjuk Ilahi. Dalam sujud solat hajat, saya memohon diberi petunjuk untuk merungkai kemelut ini. Seminggu berselang sedang mencuci kereta isteri, tiba-tiba saya terpanggil masuk ke rumah ada bunyi SMS, Salimah nyenyak tertidur. Biasanya saya tak teringin membaca SMS di telefonnya, tapi hari itu entah kenapa hati saya teringin membacanya.


“Berderau darah, lemah anggota bila terbaca nama pengirim SMS. “Aii dah bercucu pun masih nak bercengkerama dengan SMS? Selesai mencuci kereta, saya panggil Salimah dan meminta penjelasan. Alasannya lelaki itu cuma kawan biasa.


“Saya dah tekad kalau ditakdirkan berpisah jua, saya reda. Tersedar kesilapannya dia cuma menangis sambil memohon seribu kemaafahan.


“Perasaan Salimah beralun bila diusik teman sekerja. Dan lelaki ini pandai mencuit hatinya hingga dia yakin ada lelaki meminatinya. Bila terluang, dia akan menyediakan minuman dan bersembang waktu rehat sampai waktu kerja.


“Di Pangkor, dia bertukar-tukar SMS hingga larut malam, dalam perjalanan balik, mereka duduk berdua-duaan. Salimah bangga dapat menarik perhatian jejaka itu dan menewaskan rakan lain.


“Begitulah perasannya Salimah. Saya tak sangka Salimah sanggup memberi ruang di hatinya untuk insan lain. Bolehkah perasaan yang mekar hampir setahun boleh dilupakan sekelip mata?


“Begitulah kisah yang melanda hidup saya. Di mana silap saya? Adakah kerana terlalu percaya hingga tidak pernah wujud rasa cemburu di hati menjadi punca atau terlebih tatang dan terlebih belai?’’ Bila ditanya, jawapan Salimah,“ Abang tak ada cacat celanya, abang lebih dari suami mithali…” Tapi dengan apa yang terjadi bolehkah dipercayai?’’ Demikian cerita Mokhtar tentang kehangatan cintanya yang semakin pudar.



Inilah hidup. Banyak perkara yang tidak disangka boleh terjadi. Apa yang dilihat baik, rupa-rupanya topeng sementara yang baik disangka sebaliknya.

Read more!

Monday, November 6, 2006

11/06/2006 : Apa beza nikah misyar, suami pinjam?

KISAH yang dipaparkan minggu ini bukan dua cerita seperti yang berturut-turut minggu lepas mengenai anak-anak yang lupakan ibu bapa setelah berumah tangga, yang bertajuk Anak disekat jumpa ibu lepas kahwin atau Jangan ugut suami bencikan ibu.


Namun kisah minggu ini agak berlainan sedikit, ia merupakan luahan hati seorang pembaca, selain menjadi pembaca setia Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK), yang saya namakan Nurameera, beliau juga seorang penulis terkenal, dan katanya, dia merupakan orang yang paling sesuai memperkatakan isu kahwin misyar ini, kerana kedudukan dirinya sendiri. Bagaimanapun tak perlulah saya ceritakan siapa beliau sebenarnya biarlah kita baca pandangan beliau seperti yang dipaparkan di bawah ini untuk menjadi renungan kita bersama.



Katanya, dia begitu tertarik hati dengan isu hangat yang dipaparkan dalam akhbar akhir bulan Mei lalu iaitu mengenai isu kahwin misyar yang menjadi perbincangan panas kaum lelaki hingga menarik perhatian Sheikh Azhar Dr. Mohamed Sayed Tantawi untuk memberi pandangan beliau. Demikian menurut Nurameera dalam e- melnya kepada penulis.


“Tidak keterlaluan kalau saya katakan isu perkahwinan tak kiralah berpoligami atau yang pernikahan misyar ini sentiasa menarik perhatian kaum lelaki untuk membincangkannya selain menjadi tajuk hangat perbincangan mereka. Kaum lelaki seolah-olah mendabik dada memberitahu kaum wanita, bahawa mereka banyak keistimewaan dan kelebihan hidup baik di dunia ataupun akhirat diberikan oleh Allah berbanding wanita.


“Kata mereka itu baru kehidupan di dunia, belum lagi di syurga, mereka akan disediakan bidadari jelita, kaum wanita dapat apa? Jadi mereka boleh berbuat apa sahaja dalam kehidupan ini, kerana kelebihan dan keistimewaan dilahirkan sebagai lelaki.


“Namun pandangan ikhlas yang saya ingin berikan di bawah ini baik untuk dipertimbangkan oleh gadis-gadis sama ada yang masih muda remaja ataupun yang sudah lanjut usia. Terutama kepada ibu-ibu tunggal yang belum tahu secara lebih mendalam tentang perkahwinan misyar ini sebenarnya.’’



Demikian tambah beliau lagi ketika kami berbual di telefon baru-baru ini setelah beliau membaca banyak rencana di akhbar yang membincangkan pasal nikah misyar dan ramai pula kaum lelaki yang menyokongnya, tidak kurang persatuan ibu tunggal.


“Pada pandangan saya masih ramai gadis yang tidak faham apa sebenarnya perkahwinan misyar ini, di mana status mereka dan apa kesudahan hidup mereka nanti, jika perkahwinan itu mereka terima. Dan yang lebih penting apakah mereka tahu tujuan nikah misyar ini diuar-uarkan ataupun diwujudkan di kebanyakan negara-negara Islam rantau Teluk.


“Pada pandangan saya, perkahwinan misyar ini lebih banyak memihak dan berfaedah kepada kaum lelaki saja bukan kepada kaum wanita. Jadi sebelum wanita setuju pernikahan misyar ini fikirkan masak-masak tanggungjawab yang bakal mereka pikul nanti dan jangan salahkan orang lain pula, atau jabatan agama kerana mengizinkan mereka bernikah.


“Daripada apa yang saya dapat rumuskan dari setelah membaca beberapa rencana yang dipaparkan jelaslah, nikah misyar ini adalah pernikahan yang semata-mata bertujuan untuk menghalalkan persetubuhan, dan lebih menarik dengan pernikahan ini ia langsung tidak ada sebarang ikatan tanggungjbawab material, termasuk tanggungjawab emosi ataupun moral daripada kedua-dua belah pihak, sama ada lelaki ataupun perempuan.


“Sedangkan tanggungjawab merupakan perkara utama yang wujud dalam fitrah perkahwinan kepada seorang lelaki terhadap wanita yang dinikahinya. Kalau lelaki berkahwin dan tidak tahu tanggungjawab kepada keluarganya, apa akan jadi kepada keluarganya nanti?


“Dengan erti kata yang lebih mudah, atau secara kasarnya, hubungan lelaki dan wanita melalui pernikahan cara ini lebih kurang sama macam hubungan jantina dalam dunia haiwan. Apabila sampai masa untuk membiak, maka haiwan-haiwan itu pun mengawanlah. Sesudah itu, haiwan jantan meninggalkan haiwan betina.


“Bahkan Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan pun mengiktirafkan pernikahan misyar ini adalah untuk seks. Seks semata-mata tidak lebih daripada itu. Apakah kaum wanita sanggup? Oleh kerana pernikahan ini semata-mata untuk seks, sudah pastilah ia dapat menghalang perbuatan maksiat, khususnya di kalangan remaja. Di Malaysia ini memang banyak berlaku maksiat sebab itu kita sering membaca berita tentang pembuangan bayi di akhbar-akhbar.


“Rumah-rumah perlindungan wanita, antaranya seperti ‘Rumah Solehah’ juga penuh dengan ibu-ibu yang mengandung tanpa suami. Tetapi pembaca mestilah ingat penghuni-penghuni rumah itu bukanlah daripada golongan wanita profesional yang menjadi tumpuan perbincangan Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid tentang pernikahan misyar ini.


“Untuk pengetahuan semua wanita atau gadis profesional tidak menimbulkan masalah kerana kebanyakan mereka terlalu dewasa untuk terjerumus ke lembah itu apa lagi menghuni Rumah Solehah. Mereka amat rasional, banyak tanggungjawab dan terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk membuang masa membuat maksiat.



“Kalau tak percaya tanyalah Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Zainah Anuar, Datuk Azalina Othman Said, Menteri Belia dan Sukan kita ataupun Siti Nurhaliza puteri pop kita yang sudah bergelar jutawan tu. Mereka antara tiga contoh wanita profesional yang berjaya dan masih belum berumah tangga. Begitu juga ramai wanita profesional lain yang memegang jawatan-jawatan tinggi di jabatan-jabatan, kementerian mahupun di syarikat swasta.


“Golongan yang bermasalah adalah pelajar-pelajar (termasuk dari IPT) dan gadis-gadis yang tidak berpendidikan dan berpendapatan rendah atau pekerja-pekerja di pusat-pusat hiburan, anak-anak dari keluarga bermasalah atau ibu-ibu tunggal yang ketandusan seks.


“Namun kalau pernikahan jenis ini hendak diterima pakai oleh jabatan agama Islam di sesebuah negeri, siapa akan bertanggungjawab ke atas anak-anak nikah misyar yang bakal dilahirkan nanti? Adakah mereka menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri atau kerajaan negeri? Sebab kita sedia maklum si ayah tidak mahu pikul beban membesarkan anak-anak tersebut, mereka tidak boleh dihadapkah ke Mahkamah Syariah apa lagi dijatuhi hukuman penjara sebab tidak beri nafkah anak. Kerana mereka nikah misyar.


“Akibatnya sudah pastilah jumlah anak-anak yang bakal dilahirkan tentulah berlipat kali ganda ramainya daripada sekarang sedangkan gadis-gadis itu tidak berkemapuan untuk menanggung beban memelihara anak. Atau adakah bayi-bayi itu akan diletak di bawah program anak angkat? Jika terlalu ramai, adakah kita akan mengeksport mereka dan jadikan ini sebagai satu industri negara? Oops! Maaf!


“Bagi wanita profesional yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi pula, pernikahan misyar ini memang menguntungkan mereka. Sebabnya amat banyak antaranya;


“Pertama, anggaplah lelaki yang nikah misyar ini sebagai penderma sperma. Kalau mereka tuntut bayaran, taraf mereka dengan sendirinya jatuh kepada taraf lelaki gigolo. Kedua, tak perlu turun naik Mahkamah Syariah berebutkan anak. Ketiga, pernikahan jenis ini tidak membebankan wanita-wanita profesional yang sibuk itu dengan tanggungjawab sebagai suri rumah. Keempatnya, mereka tidak perlu melayan kerenah atau ego lelaki sebab dia datang sekejap untuk memberi khidmat dan kemudiannya pergi.


“Kelima, lelaki itu tidak boleh menuntut harta sepencarian sebab dia tidak menyumbang kepada pendapatan keluarga. Keenam, wanita ini tidak terikat kepada lelaki tersebut dalam erti kata perkahwinan normal yang menuntut kepatuhan maksimum di pihak isteri. Dia bebas membuat apa sesuka hati tanpa susah payah meminta izin apabila dia mahu melakukan sesuatu kerana dia yang menyara kehidupan keluarganya.


“Sebenarnya ada banyak lagi kebaikan kepada wanita profesional tetapi cukuplah setakat enam ini sahaja sebagai contoh mudah untuk dijadikan bahan renungan kita bersama terutama mereka yang teringinkan pernikahan misyar.


“Pokoknya, mesti ada perjanjian atau kontrak seperti kata oleh Datuk Nik Aziz. Kontrak pula mesti menguntungkan kedua-dua belah pihak supaya tidak timbul dakwa-dakwi kemudian hari. Baik pihak lelaki mahupun wanita.



“Cuma masalahnya, adakah lelaki begini, khusunya lelaki profesional seperti kata Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi bersedia menjadi suami pernikahan misyar kepada wanita profesional ini? Atau, sanggupkah satu ketika nanti dia membenarkan anak- anaknya sendiri menjadi isteri atau suami misyar?


“Bak kata Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew, hanya ibu bapa yang bergeliga otaknya sahaja yang akan menghasilkan anak-anak yang begeliga otaknya. Sebab itulah di Amerika Syarikat, mereka yang mahu menderma sperma dikehendaki melalui satu ujian IQ dan juga kesihatan. Butiran tentang penderma juga dicatat dengan jelas. Cara ini memang haram di Malaysia, namun kini ia boleh dilakukan, jawapannya ialah suami misyar. Jadi bersediakah lelaki profesional di Malaysia menjadi suami misyar?


“Jika bersedia, wajarlah kita menubuhkan unit khas, jabatan atau apa saja untuk kumpulkan lelaki profesional bagi dijadikan suami misyar, secara sah bukan tabung sperm seperti di Amerika. Dengan wujudkan unit khas ini mudahlah wanita profesional yang memerlukan anak atau khidmat mereka membuat pilihan.’’ Demikian menurut pandangan Nurameera tentang pernikahan misyar.


Teringat lebih 15 tahun lalu saya pernah memaparkan pandangan ikhlas seorang gadis bernama Nor yang ingin mencari suami orang untuk dipinjam dijadikan suaminya sementara, syaratnya setelah dia selamat melahirkan anak, maka gugurlah talaknya. Katanya, dia tak mahu suami cuma mahukan zuriat. Kerana emaknya mahu dia ada anak sendiri.


Sebab utama Nor tak mahu suami cuma mahukan anak saja kerana dia mendapati ramai suami kini tidak bertanggungjawab. Namun hasrat Nor sudah tentu mendapat tentangan keras daripada ramai kaum lelaki, kerana terasa diri mereka terhina. Mereka rata-rata menyalahkan Nor kerana tidak faham apa fungsi suami dalam Islam sebenarnya.


Tetapi apa pula pandangan mereka dengan cadangan suami pernikahan misyar ini, rasa-rasanya tidak jauh bezanya dengan suami pinjam sementara mendapatkan anak saja, cuma caranya saja yang berbeza tetapi matlamatnya sama. Fikirkanlah apakah kaum lelaki profesional mahu diri mereka menjadi suami misyar atau suami pinjam? Fikirkanlah.

Read more!

Sunday, November 5, 2006

05/11/2006 : Suami kahwin lagi, isteri jangan tamak

“MARAH, terhina dan kecewa. Itu yang saya rasa bila membaca tulisan Zawawi yang tersiar dalam DCCK pada 22 Oktober lalu. Tapi itulah kenyataannya, sifat banyak kaum lelaki.


Seorang yang kecewa kerana hajat nak berkahwin lebih tak kesampaian.’’ Demikian kata Zurina dalam e-mel kepada penulis.


Bukan Zurina sahaja yang berpandangan sedemikian, ramai lain yang menghantar e-mel juga melahirkan rasa tidak puas hati atas dengan cerita Zawawi, namum saya pilih pandangan Zurina untuk dipaparkan di bawah ini.



Kata Zurina, dia kesal dengan pendapat Zawawi yang menyalahkan wanita sebagai ego, berfikir mengikut hati dan cuba melawan suruhan Allah semata-mata kerana tak bersetuju suami mahu poligami.


“Zawawi nasihatkan wanita supaya patuh kepada perintah Allah, sepatutnya nasihat itu dia sendiri amalkan, supaya lebih bertanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Sebab banyak terjadi bila dah kahwin lagi, anak-anak dan isteri pertama ditinggalkan, dan disuruh menguruskan diri sendiri, sebaliknya dia sibuk dengan isteri baru. Kerana itu wanita fobia bila suami nak berpoligami.



“Secara rambang, kebanyakan pasangan di Malaysia berkahwin semasa berumur antara 25 hingga 30 tahun. Sepuluh tahun kemudian ketika anak-anak berusia antara 8 dan 10 tahun si ayah sibuk nak kahwin lagi, sedarkah waktu itulah anak-anak memerlukan ayah untuk hidup di zaman penuh cabaran ini, takkan nak lepaskan tanggungjawab kepada isteri seorang sahaja.


“Sebenarnya inilah punca mengapa anak-anak zaman ini terbiar sebab ayah mereka sibuk bercinta atau sibuk dengan isteri kedua hingga terlupa anak-anak mereka tercicir dalam zaman serba membangun ini. Wahai suami, jagalah amanah Allah yang maha berharga itu, bukannya melayan angau sibuk bercinta.


“Memang lelaki normal berfikir pasal nak kahwin lagi, tapi sebagai lelaki normal perlukah dia turutkan perasaan itu? Ini yang perlu dia tanya. Jangan tanya pada nafsu, jawabnya sudah tentu perlu! Tapi tanya pada iman. Di sini kita lihat kekuatan iman seseorang lelaki itu. Adakah kepada anak-anak atau dia ikutkan nafsu saja.


“Ingatlah keruntuhan moral remaja semakin meruncing, kerana kealpaan anda menjaga anak-anak yang turut merumitkan masalah masa depan bangsa Melayu beragama Islam.’’ Demikian cerita Zurina untuk renungan kita bersama. Sementara di bawah ini kita paparkan e-mel Cik Shahira yang menyokong pandangan Zawawi kerana dia juga terperangkap bercinta dengan suami orang.


Kata Shahira, ketika orang sibuk berhari raya dia menghadap laptop untuk memberi pandangan tentang pendapat Encik Zawawi dua minggu lepas, dia tak sangka setelah 15 tahun menjadi pengikut setia DCCK kini dia pula mahu berkongsi cerita dari pengalamannya sendiri.


“Saya harap kaum wanita mengambil iktibar dari pandangan Zawawi dan jangan pula marah-marah. Dan saya menyokongnya kerana mempunyai masalah yang sama. Ketika berusia 35 tahun, kini saya menjalin hubungan dengan suami orang. Bukan dirancang, tetapi ia datang tanpa diundang.


“Saya tak pernah terfikir untuk bercinta apa lagi berkahwin dengan suami orang. Saya lulusan dari luar negara dan kembali ke tanah air sejak 10 tahun lalu. Dulu saya mengabdikan diri untuk belajar selepas bekerja saya berusaha memantapkan diri dalam bidang pekerjaan, dan saya tak terfikir untuk berkahwin kerja lebih penting.


“Sebaik sahaja pintu hati saya terbuka untuk berkahwin entah macam mana saya berkenalan dengan suami orang. Tetapi saya tak tahu siapa dia mulanya hinggalah setahun lamanya saya menjalin hubungan, baru saya tahu dia dah kahwin.


“Setelah tahu kesilapan yang tidak disengajakan, saya ambil keputusan berhenti kerja dan tinggalkan KL. Setahun kemudian setelah semuanya reda saya kembali semula. Sejak itu saya berazam tidak akan menjalin hubungan dengan suami orang.



“Dalam pada itu ada juga kawan-kawan yang mengenalkan saya dengan ramai lelaki, namun saya sentiasa berdoa ditemukan jodoh bukan dengan suami orang. Tapi ada antara mereka yang cuba ambil kesempatan, berpura-pura baik tetapi mempunyai tujuan tertentu dari keadaan saya yang belum kahwin.


“Dalam waktu yang saya sama berkawan dengan Farhim, dia kawan lama lebih 5 tahun kami kenal, saya anggap dia sebagai kawan kerana dalam industri yang sama. Waktu kami berkenalan dia sudah dua tahun berkahwin. Perkenalan kami sekadar bertanya dalam bidang pekerjaan masing-masing dan kalau ada kelapangan kami melepak di kedai mamak sambil minum teh tarik.


“Dalam pada itu saya berkawan dengan Taj yang juga kenalan Farhim. Antara Taj dengan Farhim orangnya berbeza, Taj serius orangnya, sementara Farhim orangnya kelakar, senang berkawan, suka bersembang dan banyak idea. Walaupun jarang berjumpa dia sering bertanya khabar dan suka menasihati saya.


“Tetapi disebabkan saya masih trauma berkawan dengan suami orang saya tak layan Farhim. Malangnya persahabatan saya dengan Taj tidak berjalan lancar, mungkin hatinya berbelah bagi terhadap saya, akhirnya saya dapat tahu dia dah bertunang dengan gadis lain. Dan hubungan kami terputus.


“Tetapi Farhim sentiasa menasihati saya, dan jadilah dia tempat saya mengadu nasib dan menenangkan fikiran. Farhim banyak mengajar saya tentang doa dan zikir supaya hati saya tenang apabila putus hubungan dengan Taj. Approach Farhim lebih bersifat keagamaan dan saya mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Taj setelah mengambil kira beberapa faktor.


“Walaupun mulanya memang sukar tetapi setelah beberapa lama jiwa saya kembali tenang, tetapi Farhim pula membuat kejutan, dia melamar saya. Tapi kerana dia suami orang saya tak dapat menerimanya, tetapi budi bahasa, kejujuran dan sikap Farhim yang tidak pernah mengambil kesempatan baik dari tingkah laku mahupun wang ringgit di samping pegangan agamanya yang kuat membuat saya tertawan.


“Namun saya tidak terburu-buru, saya memberi masa setahun untuk Farhim membuat keputusan, dalam pada itu saya juga pergi mengerjakan umrah bersama ibu bapa saya untuk mencari jalan dan memohon petunjuk dari Allah apakah keputusan yang bakal saya ambil nanti benar-benar yang terbaik untuk saya dan masa depan kami.


“Saya juga memberi syarat kepada Farhim jika dia ingin menjadikan saya isteri keduanya dia mesti beritahu isterinya. Saya tidak mahu kahwin lari apatah lagi kedua-dua ibu bapa saya masih hidup dan agak terkenal di kawasan perumahannya. Bagi saya memberitahu isterinya adalah wajib tapi jika isterinya tidak bersetuju dengan Farhim kami terpaksa mengambil alternatif lain.


“Akhirnya Farhim memberitahu isterinya, bagi saya adalah normal kalau isterinya mengamuk bila suaminya nak kahwin lagi. Saya setuju dengan pendapat Zawawi bahawa kita semua adalah milik Allah, maka kita tidak harus bersikap tamak dan saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.



“Saya juga percaya musibah yang datang sebelum sinar baru menjelma lebih baik untuk kita. Namun saya yakin apa yang saya katakan ini tidak disenangi oleh ramai kaum wanita di luar sana.


“Sementara menunggu ketika yang baik, saya sering bertemu dengan Farhim, tetapi cuma dua atau tiga kali seminggu, itu pun bertemu di warung sambil minum teh tarik. Kalaupun ada cerita menarik pertemuan kami cuma sehingga pukul 9 malam saja, jarang sangat kami menghabiskan masa sehari suntuk bersama. Hari cuti atau hujung minggu saya tidak ganggu Farhim bersama keluarganya.


“Farhim dan saya ikhlas untuk hidup bersama, malah saya ada banyak rancangan untuk masa depan kami bersama juga untuk keluarga yang bertambah besar nanti. Saya berharap niat suci kami ini direstui oleh isteri Farhim dan saya sentiasa berdoa supaya beliau menerima saya dengan ikhlas dan lebih penting saya tidak mahu Farhim terpaksa menipu apa lagi berbohong untuk perkahwinan kami.


“Saya cukup bersabar dan amat memahami perasaan isteri Farhim, tetapi beliau juga hendaklah faham qadak dan qadar yang telah ditentukan Allah ke atas dirinya ditakdirkan terpaksa bermadu. Pada pandangan saya kalau gadis lain di tempat saya ini, sudah tentu hidup Farhim tidak tenang sudah pasti mereka selalu berperang, saya rasa tidak ada gadis lain sesabar saya menghadapi keadaan sekarang yang sentiasa beralah dengan isteri Farhim.


“Alhamdulillah setakat ini kesabaran dan ketenangan masih ada dalam hidup saya dan saya selalu melakukan solat sunat dan hajat agar perjalanan ini lebih mudah.


Walaupun mulanya saya sendiri membenci menjadi isteri kedua akhirnya saya pasrah dan reda. Jika ada jodoh saya dengan Farhim saya terima dia seadanya.


“Ketika ini Farhim masih memujuk isterinya supaya dapat menerima keadaan ini. Saya amat faham keadaan hidup mereka sekarang amat tegang namun saya percaya dan berharap Farhim mampu menanganginya dengan baik. Ada juga beberapa hari Farhim terpaksa melayan dan berbincang dengan isterinya hingga lewat pagi, semua ini supaya isterinya lebih faham.


“Walaupun saya kesian dengan Farhim kerana sering tak cukup tidur namun saya rasa inilah yang terbaik untuk dilakukan oleh Farhim agar hati isterinya menjadi lembut dan tidak membiarkan isterinya terus termenung memikirkan nasibnya.


“Saya yakin tak ramai suami di luar sana mahu berbuat seperti apa yang Farhim lakukan iaitu melayan rasa tak puas hati isteri masing-masing hingga lewat pagi. Bagi saya semua ini adalah penting supaya isteri Farhim mengetahui tentang kami dan menerima kehadiran saya sedikit demi sedikit.



“Pada saya apa yang berlaku adalah kehendak Allah kerana itu sebagai isteri pertama beliau harus berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan bermuhasabah agar kita tahu apa kelebihan dan kelemahan kita. Saya merasakan ini adalah ujian untuk saya juga isteri Farhim supaya mengharungi hidup dengan lebih tenang.


“Kepada pembaca janganlah anggap kami isteri kedua ini sebagai perampas suami orang. Kadang-kadang benda yang tak dirancang hadir dalam hidup kita. Fahamilah apa yang Zawawi luahkan kerana saya pasti itulah juga luahan hati Farhim. Dan cuba anda lihat di luar sana ramai suami yang hidup bersekedudukan dengan gadis-gadis tanpa diketahui oleh isteri mereka. Jadi saya ingin tanya adakah anda mahu suami anda melakukan maksiat hanya kerana tidak izinkan dia kahwin lagi?


“Kerana itu saya sentiasa berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu hati isteri Farhim supaya membenarkan suaminya kahwin dengan saya.’’ Demikian harapan Shahira dan mungkin juga harapan ramai gadis-gadis seangkatannya.


Namun terpulang kepada pandangan isteri pertama semua, apakah jaminan suami anda boleh dipercayai? Kerana janganlah perkahwinan yang baru nanti bakal menghancurkan harapan dan masa depan anak-anak terdahulu. Yang penting isteri baru mesti ingatkan suami supaya bertangguangjawab. Jangan anda pula yang menghancurkan.

Read more!

Sunday, October 22, 2006

22/10/2006 : Berpoligami impian lelaki normal

MINGGU ini saya paparkan pandangan Encik Zawawi yang saya rasa patut sangat dibaca oleh kaum wanita kerana ia berkaitan luahan hati kaum lelaki tentang poligami. Sebelum ini kita banyak membaca kisah penderitaan wanita yang dipoligamikan saja sedangkan kaum lelaki jarang menceritakan mengapa mereka ingin berpoligami.


Kata Zawawi, kaum wanita cuma bercerita tentang masalah dan perasaan mereka yang kebanyakannya bercakap mengikut perasaan kerana tidak suka dipoligamikan sedangkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya tersirat dalam hati kaum lelaki dan apa yang mereka lakukan adalah mengikut landasan ajaran agama Islam sebenarnya.



Untuk mengetahui pandangan beliau selanjutnya, ikuti tulisan beliau di bawah ini. Katanya, penulis tidak patut berat sebelah tanpa menceritakan apa sebenarnya perasaan dan kehendak kaum lelaki tentang konsep berpoligami mengikut Islam.


“Saya merasakan perlu untuk mencurah perasaan hati kami atau melontarkan pandangan, pendapat mahupun idea yang telah lama terpendam dalam hati kami kerana banyak perkara yang berlaku dalam isu poligami ada hubung kait dengan permasalahan kebanyakan suami, mengapa mereka ingin berpoligami. Bukan hanya mengikut nafsu tetapi ada sebab tertentu.


“Dari apa yang saya perhatikan kebanyakan kaum wanita cuma melahirkan perasaan marah mereka saja bila suami kahwin lagi dan kemarahan ini berlarutan sejak sekian lama, mungkin hingga ke akhir zaman, yang entah bila akan ada penghujungnya.


“Sebenarnya saya adalah peminat tetap ruangan (Di Celah-Celah Kehidupan) DCCK ini, saya jarang ketinggalan menatap rencana tentang rumah tangga ini sejak tahun 1980-an lagi. Kerana berminat jugalah saya menyimpan banyak keratan dalam buku khas saya, semuanya saya kumpul dari zaman saya masih muda lagi hinggalah kini.



“Kerana masalah poligami ini juga amat ketara maka saya telah membuat kajian secara rambang di merata tempat, seperti di IPTA/IPTS, di mana bilangan kaum Hawa lebih dari tiga suku berbanding kaum Adam, di maktab-maktab perguruan, di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, kilang-kilang perusahaan, di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta dan banyak lagi, wanita jauh melebihi kaum lelaki.


“Itu padangan jauh, yang dekatnya cuba lihat dalam keluarga kita sendiri. Kita dapati anak-anak perempuan kita lebih ramai daripada lelaki. Saya sendiri ada empat orang anak, cuma seorang lelaki. Begitu juga jiran saya bilangan anak perempuan melebihi lelaki. Adik-beradik saya pun sedemikian.


“Di samping itu cuba kita perhatikan bilangan ibu tunggal juga jauh lebih ramai daripada bapa tunggal. Belum masuk lagi bab keempat bilangan anak dara tua (andartu) ataupun anak dara lanjut usia (andalusia) juga lebih ramai bilangan mereka daripada bujang-bujang terlajak sekarang.


“Jadi sebagai manusia yang diberikan otak, cubalah kita berfikir dengan hati terbuka mengapa kita harus membiarkan masalah ini terus berlaku, kerana masalahnya nanti akan mempengaruhi struktur masyarakat dan peningkatan kaum Melayu dalam negara kita.


“Kita juga kena lihat, memikirkan, merenungi, atau menghayati secara rasional, dengan hati terbuka, ikhlas, penuh keinsafan, keredaan atau secara profesional. Cuba renungkan mengapa Allah turunkan agama Islam dengan hukum-hukumnya, mengapa Islam membenarkan lelaki beristeri sampai empat. Ingatlah Allah s.w.t. tidak saja-saja turunkan hukum tersebut tanpa sebab tertentu. Ingat Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Allah tahu apa yang dimaksudkan-Nya.


“Dengan kata lain, Allah tahu apa yang akan berlaku kapada manusia, cita rasa, naluri, keinginan, sifat, sikap dan tanggungjawab kepimpinan serta tugas-tugas berat yang dipikul oleh manusia bernama lelaki itu.


“Kalau suami tersebut tidak menunaikan tanggungjawabnya menjadi pemimpin yang baik sebagai ketua keluarga di dunia, maka dia akan menerima padah dan akan menjawab di hadapan Allah nanti.


“Allah Maha Adil, jadi kalau anda sebagai isteri maka tuntutlah ketidakadilan suami anda di akhirat nanti. Janganlah kaum wanita cuma mementingkan kehidupan di dunia ini sahaja, ingatlah dunia ini cuma sementara ini, yang kekal itu adalah akhirat.


*Keharmonian



“Jadi kalau kaum wanita khasnya selagi mengaku beragama Islam dan mengucap dua kalimah syahadah, maka hendaklah anda berusaha menjaga dan memperbaiki keharmonian dalam rumah tangga anda, bahagiakan suami anda, ceriakan rumah tangga anda di samping hidupkan semangat kecintaan yang ada dalam hati suami supaya suami tetap mencintai anda.


“Tetapi jika sudah ditakdirkan anda dimadukan, maka hendaklah kaum wanita menerimanya dengan hati terbuka, jangan sekali-kali menolak atau melanggar hukum yang telah ditentukan-Nya.


“Sebaik-baik jalan sebagai isteri pertama, anda hendaklah berusaha memperbaiki hubungan dengan madu-madu anda, insyaAllah semuanya akan berjalan dengan aman. Di samping itu banyakkan berdoa, solat sunat, zikir dan membaca al-Quran memohon kepada Allah keredaannya supaya rumah tangga anda lebih bahagia dan lebih penting Allah akan membuka pintu-pintu kebahagiaan dan kesenangan-Nya. Ingat Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.


“Lihat keliling anda, zaman ini ego wanita begitu besar, balasannya ujian yang telah diturunkan oleh Allah iaitu lebih ramai wanita daripada lelaki, jadi salah satu cara untuk memperbaikinya adalah dengan meramaikan jumlah kaum lelaki berpoligami. Kepada kaum wanita, jangan cepat melenting, berfikirlah secara rasional bukan emosional.


“Manusia ini, tidak kira apa rupa bangsanya, atau agamanya, berapa umurnya, apa gendernya, sangat suka melakukan kerja-kerja terlarang. Kita melihat apa yang di larang oleh kerajaan dan agama, maka perkara itulah yang mereka suka lakukan.


“Setiap yang dilarang ada positif dan negatifnya, dan perkara yang dibenarkan pun ada positif dan negatifnya, cuma perbezaannya bagaimana kita melihat dan mengamal sesuatu perkara itu secara lebih bijaksana. Kita tidak semestinya terlalu rigid, kita mesti bersikap secara kualitatif daripada sikap kuantitatif, kita kena ambil kira dari semua segi dan pendekatan yang lebih positif kerana Allah sentiasa menolong hamba-hamba-Nya yang reda, ikhlas dengan ketentuan-Nya selepas berusaha dan berdoa.


“Soal keadilan, mana ada keadilah dalam dunia ini, saya cabar sesiapa saja, tunjukkan keadilan itu. Keadilan itu sangat subjektif, manusia dan dunia ini sememangnya tiada keadilan, keadilan itu hak Allah. Secara bodohnya, cuba kita lihat jari-jari kita, mana sama panjangnya dan secara rasionalnya, cuba lihat anak-anak kita, adakah kita adil pada mereka, tanya hati kecil kita kerana kita tidak boleh membohongi hati dan diri kita, apakah kita adil kepada anak-anak kita?


“Kerana itu anggapan bahawa isu wanita suka merampas suami orang itu sudah tamat. Wanita bukan perampas, tetapi konsep berkongsi suami perlu diperluaskan secara lebih praktikal lagi dan secara lebih rasional. Sesiapa yang boleh membantu atau menolong saudara seagamanya kalau bukan kaum wanita sendiri.


“Kaum lelaki hanya boleh membantu mereka dengan cara menjadikan mereka isteri-isteri dan bertanggungjawab ke atasnya, inilah sebenarnya konsep yang diharuskan agama serta digalakkan bagi mengimbangi permasalahan sosial, di samping mengurangkan masalah andartu, membantu ibu-ibu tunggal serta anak-anak kehilangan kasih sayang belaian mesra seorang ayah.



“Apa yang lebih penting lagi mengurangkan pembohongan kaum lelaki, yang selama ini banyak yang menipu kerana ingin berkahwin dua. Di samping mengurangkan dosa-dosa isteri yang membatasi naluri dan tabiat kaum lelaki yang diharuskan oleh agama Islam . Dan anda perlu ingat manalah tahu esok lusa masalah andartu atau ibu tunggal pula akan berlaku dalam keluarga anda sendiri.


“Wanita yang belum kahwin ini juga ingin merasakan kenikmatan, kegembiraan dan kebahagiaan bersama suami dan mempunyai alam rumah tangga, apa salahnya mereka berkongsi sama kegembiraan tersebut, pokoknya isteri-isteri tersebut bersikap positif dan reda, jangan fikirkan lelaki berpoligami itu hanya inginkan seks. Lelaki juga ada kalanya macam kanak-kanak perlukan belaian. Luaran saja nampak mereka gembira tetapi di dalam hati, mereka kesepian, kesunyian walaupun hidupnya aman.


“Tetapi ada syarat lelaki berpoligami, mesti bertanggugjawab terhadap rumah tangga, isteri dan anak anak. Dan jangan cepat tangan sampai memukul dan mencederakan isteri, kalau itu terjadi hilanglah rasa kasih sayang isteri. Ingat isteri itu amanah Allah.


“Kebanyakan lelaki, tidak kira berapa umurnya, apa pangkatnya, sedetik di dalam hatinya berhajat beristeri lebih dari satu, tetapi apakan daya, anak-anak dah besar, cucu dah banyak dan isteri sentiasa membangkang. Kerana itu menjadi tugas isteri menggembirakan suami tanpa membelakangkan batas-batas agama.


*Kerjaya


“Sebenarnya wanita yang ingin berpoligami ini bukan mahukan wang ringgit, kerana mereka punya kerjaya tersendiri, mereka hanya mahukan status bersuami, ada tempat bergantung kasih, mencurah sayang, melipurlara dan mengadu hal. Maka jika suami bersikap dan bersifat positif ke arah membina keluarga besar yang harmoni, berpendidikan dan beragama itulah yang dituntut dan diwajibkan dalam Islam.


“Saya bukan menyokong suami berpoligami, tetapi ingatlah ini hukum Allah, jangan terlalu tamak di dalam kehidupan di dunia, suami bukan hak kita selamanya, diri kita pun cuma sementara. Esok entah lusa kita akan pergi tinggalkan apa yang amat kita sayang. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berpesan, “Aku tinggalkan dua perkara, al-Quran dan Sunnahku, selagi berpegang kapadanya, kamu tidak akan sesat.”


Demikian pandangan Zawawi bahawa setiap lelaki itu berhajat untuk berpoligami, cuma keadaan tidak mengizinkan. Juga penting, mereka belum berani membuka mulut memberitahu isteri tentang hajatnya, yang banyak berlaku mereka nikah secara sembunyi untuk mengelakkan sebarang permasalahan.


Namun terpulanglah kepada pandangan dan pendapat anda tentang isu hangat ini. Kerana biasanya wanita memang benci poligami, ada yang lebih rela bercerai dari dipoligamikan. Kaum lelaki ada selera tersendiri. Terserah. Sebelum mengakhiri ruangan ini saya ingin mengucapkan selamat berhari raya dan maaf zahir batin jika sepanjang menulis di ruangan ini ada hati-hati yang terguris dan terluka.


Read more!

Sunday, October 15, 2006

15/10/2006 : Didiklah anak lelaki jadi ayah berguna

KISAH minggu lalu berjudul Wahai ayah berilah nafkah anak-anak mengingatkan saya tentang nasib ibu dan adik-beradiknya serta saya dengan adik-adik perempuan saya.


Memang kami bukan anak-anak ibu tunggal, tetapi nasib kami rasa-rasanya lebih teruk, sebab pada dasarnya kami ada ayah, tetapi macam tak ada ayah, semuanya emak yang pikul untuk membesarkan anak-anaknya, bukan ayah.



Rasa-rasanya bukan zaman ini saja lelaki pemalas. Sejak dulu pun ramai lagi lelaki jenis ini. Wanita hanya pada dasarnya ada suami, tetapi tugas menghidupkan keluarga terpaksa dipikul oleh kaum wanita. Demikian kata Zahira dalam e-melnya pada penulis.


“Apa yang hendak saya ceritakan di sini amat mudah tentang pengorbanan kaum wanita dan pengharapannya yang amat besar kepada anak lelaki, tetapi semuanya sia- sia setelah anak lelakinya berkahwin, si ibu tua ini dibiarkan hidup dalam penderitaan.


“Kehidupan keluarga saya amat baik untuk dijadikan teladan khususnya kaum wanita yang mungkin tidak pernah, jarang-jarang ataupun tidak sukakan ibu mentua anda. Bukan bertujuan mengajar tetapi cubalah menghormati ibu mentua anda. Namun tidak pula bermakna meminta anda menyembah mentua kalau sudah tentu beliau tidak sukakan anda. Hormatilah ibu mentua anda, ingatlah jasanya yang amat besar itu,’’ ceritanya lagi.



Menurut Zahira, dia perlu bercakap tentang masalah ini kerana terlalu kasihan dengan sesetengah ibu yang terus dipinggirkan oleh menantu. Ada juga antaranya kerana sikap si anak lelaki itu sendiri yang langsung tidak tahu berbudi dan membalas jasa orang tua yang sekian lama berkorban untuk membesar dan menyekolahkannya hingga mendapat kedudukannya yang ada sekarang.


“Saya bercerita dari pengalaman dan dari apa yang saya lihat berlaku dalam keluarga saya. Arwah nenek saya ada empat anak lelaki dan dua anak perempuan. Dia terlalu lebihkan dan amat sayangkan anak lelaki dalam setiap hal. Hasratnaya dia mengharapkan anak lelakinya itulah nanti akan membantunya dan menjaganya bila dia tua nanti, itu hajat nenek.


“Oleh kerana nenek miskin, dia sanggup tinggalkan anak-anak dan suami bekerja hingga ke Singapura untuk mendapatkan wang dan kemudian dihantar ke kampung untuk membiayai pelajaran anak lelakinya. Nenek bekerja dari muda sampai ke tua.


“Mungkin anda kata, mengapa sanggup tinggalkan suami bekerja hingga ke Singapura, jawabnya mudah, sebab datuk tak bertanggungjawab, malas bekerja, malas cari duit. Alasannya sakit, tetapi dia sihat. Jadi macam mana nak hidup. Akhirnya nenek terpaksa berkorban bekerja bertungkus lumus untuk mendapatkan wang demi membiayai hidup keluarganya. Usaha nenek tidak sia-sia, anak lelakinya berpelajaran tinggi masuk universiti dan menjawat jawatan pegawai kerajaan.


“Walaupun anak lelaki pertamanya dah bekerja, nenek terpaksa juga bekerja sebab anak lelakinya itu tidak membantu nenek membiayai adik-beradik yang lain. Sedang nenek bekerja, anak lelaki bongsu nenek pula sakit dan terus meninggal dunia. Mungkin usia semakin tua nenek balik kampung dan dia sering sakit-sakit.


“Malangnya anak-anak lelakinya sedikit pun tidak menghulurkan duit mengubat nenek, seperti nenek harapkan, sebaliknya anak perempuan neneklah yang menjaga dan mengubat penyakit nenek, iaitu emak saya.


“Demikianlah hari berlalu, anak-anak lelaki nenek langsung tak pedulikan nenek hinggalah nenek meninggal dunia. Pada hari pengebumian, emak saya terpaksa keluarkan duit bank untuk belanja pengebumian dan buat kenduri arwah. Anak- anak lelaki nenek buat tak kisah aja. Malah tak seorang pun mahu keluarkan duit buat kenduri.


“Lebih mengecewakan, mereka tergamak mengambil duit sedekah orang ramai yang datang menziarah nenek masuk kocek masing-masing. Mereka ambil macam sedekah itu untuk mereka bukan untuk membantu buat kenduri ataupun untuk beli kain kapan.


“Saya kesian tengok nasib nenek yang telah berkorban tetapi tidak mendapat perhatian anak-anak lelakinya. Sebaliknya emak yang uruskan semuanya. Tetapi apabila pembahagian harta nenek yang tak seberapa itu, emak tak dapat langsung. Habis anak-anak lelaki nenek ambil, mereka kata, anak lelaki lebih kuat memegang waris. Tapi emak tak kisah lantak engkaulah.



“Itu cerita nenek kerana anak-anak lelakinya yang tidak mengenang jasa dan tak tahu membalas budi emak yang membesarkannya. Ini kisah emak saya yang juga melebihkan anak lelaki tetapi anak lelaki inilah yang akhirnya menyusahkan hidup emak.


“Emak saya ada seorang anak lelaki dan empat orang anak perempuan. Sejak kecil saya dah nampak perbezaan kasih sayang yang mak berikan pada anak lelakinya yang seorang tu. Sebagai anak perempuan yang tua hidup saya lebih perit, kena jaga adik-adik yang masih kecil semasa emak keluar toreh getah. Saya juga kena basuh kain, masak dan kemas rumah.


“Abang sulung pukul 11 atau 12 tengah hari baru bangun, tengok televisyen dan relaks. Kasut sekolah dia pun saya basuhkan walaupun masa tu saya baru dalam darjah tiga, tapi saya dah pandai buat kerja rumah bantu emak.


“Bila saya masuk IPT, abang dapat belajar kat Giat Mara, itu pun mak lebihkan dia. Kalau bagi duit belanja, abang dapat lebih dengan alasan abang nak isi minyak motor dan beli rokok. Sedangkan saya, naik bas turun bas, kalau jauh kena naik teksi, hidup saya memang sengsara. Bila dapat pinjaman pelajaran, saya terpaksa bagi adik-adik buat belanja dan terpaksa bekerja bila masa cuti semester untuk dapatkan duit lebih.


“Masa tengah susah tulah ayah dengan senang hati berhenti kerja, konon nak kerja sendiri tapi apa yang saya nampak ayah banyak duduk rumah goyang kaki. Masa itulah juga adik saya nak ambil SPM, seorang lagi nak ambil PMR. Sudahlah susah tambah susah lagi beban emak bertambah kerana nak tanggung makan minum dan rokok ayah.


“Saya kesian tengok mak, tapi suami dan anak lelaki emak tak ada perasaan kesian pun. Ayah buat tak kisah, semuanya emak kena fikir macam mana nak cari duit, sedangkan waktu itu harga getah memang murah.


“Sedang emak berhempas pulas mencari duit, masa itulah ayah buat pinjaman RM2,000 nak bisnes, tapi tak berhasil. Akibat kepayahan hidup, adik cuma dapat pangkat 2 SPM tak dapat sambung belajar. Saya terpaksa ikat perut makan maggi setiap hari untuk habiskan pengajian dua tahun lagi.


“Dalam pada itu abang pula gagal dalam kursusnya, bukan kali pertama, sudah beberapa kali dan dia terus berhenti belajar duduk berlingkar di rumah makan tidur macam ayah. Mereka memang sesuai benar kerana malasnya.


“Kerana hidup di kampung susah adik pergi ke Pulau Pinang cari kerja kilang. Saya cuma beri adik RM50 sebab saya pun tak ada duit. Saya sedih, sebab saya tahu mana cukup duit sebanyak itu. Akhirnya adik terpaksa berhutang dengan ejen yang bawa dia kerja kilang tu untuk survive. Saya doakan adik selamat dan disimpangkan daripada perkara yang tidak baik. Lepas dua tahun saya tamat belajar, kerana kesuntukan wang saya terpaksa bekerja sebagai kerani dengan gaji RM500.



“Dengan duit sebanyak itu macam mana nak tolong adik yang lain nak ambil SPM dan PMR sebab saya pun baru nak hidup dan kena bayar study loan lagi. Namun saya cuba hantar sedikit wang yang ada. Ketiga-tiga orang adik saya semua kerja kilang, itulah kerja yang boleh mereka buat dengan kelulusan yang ada.


“Jelaslah hanya anak-anak perempuan yang tahu membalas jasa ibu mereka. Kini saya sudah berkahwin, kerja bertambah baik, namun saya bersyukur dapat suami yang bertimbang rasa dan sentiasa membantu dalam kerja-kerja di rumah dia amat berbeza dengan ayah. Walaupun awal perkahwinan dahulu hidup kami memang susah.


“Ayah masih macam dulu juga, melepak lebih lama dari bekerja. Pendek kata, kalau nak harapkan ayah tanggung makan minum kami adik-beradik dah lama kami semua mati kebuluran, jika tanpa emak membanting tulang menghidupkan kami menoreh getah dan berkebun. Kini walaupun emak dah berhenti menoreh, tapi dia tetap cari duit buat kuih jualan untuk dihantar ke kedai.


“Adik-adik yang kerja kilang pun dah ada kemajuan, mereka bersemangat tinggi terus belajar kelas malam, kini kehidupan mereka sudah berubah. Pendek kata, kami yang perempuan banyak menyenangkan hidup emak. Kami belikan kereta untuk kemudahan emak, tapi ayah perasan kami beli untuknya.


“Kini baru emak menyesal lebihkan anak, setelah mengetahui siapa yang benar-benar membantu emak. Sebaliknya anak lelaki lebih menyusahkan emak. Ayah pun tak sedarkan diri, masih tak mahu bekerja. Tambahan sekarang kami sentiasa memberi emak duit, makin lamalah ayah duduk di kedai kopi.


“Ayah tidak pernah terfikir betapa susahnya hidup kami hingga kami berada di tempat yang kami berada sekarang. Ayah tak tahu kami makan maggi setiap hari, semuanya kerana kami tidak ada duit, sedangkan duit pinjaman pelajaran yang saya dapat semuanya saya gunakan untuk bayar yuran dan hantar pada emak supaya adik- adik boleh belajar.


“Pernah ayah bantu emak menoreh, sehari pergi menoreh sebulan lepak di kedai kopi. Pernah ayah fikir betapa seksanya emak bekerja di kebun. Macam tu juga abang.


“Sebenarnya banyak lagi kes yang lebih teruk telah emak lakukan untuk membiayai persekolahan dan belanja membesarkan anak-anak yang tak dapat saya ceritakan satu per satu di ruangan ini. Begitulah besarnya pergorbanan emak membesarkan anak- anak, ayah cuma pada nama yang kami bawa setiap hari dalam kad pengenalan kami. Itu saja peranan ayah. Tapi ayah tetap lelaki yang tidak jauh bezanya dengan lelaki yang kisahnya yang dipaparkan minggu lalu dalam ruangan ini. Ayah cuma pada nama. Ini yang membuatkan saya berasa amat sedih.



“Saya tak boleh bayangkan kalau emak ada ramai anak lelaki seperti adik-beradiknya pada zaman ini. Pasti ramai yang mati kerana dadah, atau di jalan raya jadi mat rempit, semata-mata kerana tidak dapat didikan akhirnya mereka menjadi sampah masyarakat.


“Saya memang tak mahu memburukkan ayah kami, tetapi apakah lagi cara yang boleh saya lakukan untuk menyedarkan ayah, sebab dah sampai bercucu sekarang pun ayah masih betah duduk di kedai kopi berbual sampai tengah hari dengan secawan kopi.


“Saya juga sedih dengan nasib kakak ipar saya tu kerana mendapat abang saya sebagai suami, sekarang dia masih boleh minta bantuan daripada emak, kerana emak ada duit yang kami kirimkan setiap bulan, bila emak dah tak ada nanti, apa nak jadi?


“Kesimpulannya, kalau zaman jahiliah dulu orang bunuh anak perempuan, zaman sekarang ni beruntung sesiapa yang dapat ramai anak perempuan, pasti hidup si ibu terbela pada hari tuanya. Percayalah, hanya perempuan yang akan memahami hati perempuan. Dan saya sangat bangga dengan anak-anak perempuan kesayangan saya in,’’ demikian cerita Zahira mengenai pengalamannya tentang kaum lelaki, bermula daripada datuk, ayah saudara, abang dan ayahnya sendiri.


Dan kita sebagai ibu patut bertanya diri sendiri di manakah silap kita mendidik anak lelaki kita sampai jadi seperti ini.


Namun bukan semua anak lelaki seperti ini, ada yang amat bertanggungjawab membalas jasa orang tuanya, namun ada juga anak lelaki yang takutkan isteri akhirnya emak dipinggirkan. Semoga anak-anak lelaki kita tidak jadi seperti si Tanggang atau Malin Kundang.

Read more!

Sunday, October 1, 2006

01/10/2006 : Apabila suami bercinta dengan adik

KISAH minggu lalu berjudul Seksanya hidup dapat suami pemalas membuatkan ramai pemanggil sependapat bahawa, masalah Basariah adalah kerana kehendaknya sendiri.


Mungkin dia takut jadi janda, sebab itu dia rela menjadi korban, rela jadi hamba asalkan tidak dicerai. Dan selagi ada kaum wanita bersifat demikian, maka selagi itulah mereka akan terus menjadi hamba.



Salah seorang pemanggil Rozie memberitahu, bukan Basariah sahaja bersifat seperti itu tetapi ramai lagi. Alasan mereka konon kasihankan anak, tetapi sebenarnya mereka takut menjadi janda. Lebih-lebih lagi seperti kisah Basariah yang pernah menjadi janda pastinya dia takut ataupun malu menjadi janda kali kedua.


“Sebenarnya anak-anak zaman ini lebih pandai. Mereka tahu apa yang dialami oleh ibu bapa mereka. Mereka cepat faham dan akan lebih faham jika ibu bapa berterus-terang. Pokoknya si ayah mesti bertanggungjawab memberi nafkah. Jika tidak, kehidupan anak-anak lebih terseksa kerana kesempitan hidup,’’ kata Rozie.


Beberapa orang pemanggil lain sependapat, Basariah harus bertindak jika suami sukar berubah, jangan takut diceraikan. Masalahnya wanita terlalu mengharapkan suami mereka berubah menjadi baik dan biasanya ia jarang berlaku.



Mari kita lupakan kisah Basariah, kita ikuti kisah minggu ini yang baik dijadikan panduan dan sempadan. Kisah ini datangnya daripada Puan Fazilah seorang kakitangan kerajaan, ibu muda yang mempunyai dua orang anak dan berusia awal 30-an tahun.


Selepas membaca e-melnya, penulis menghubungi Fazilah dari nombor telefon yang diberikan. Kami berbual panjang kerana tertarik dengan kisahnya. Kesimpulan cerita Fazilah, kita mesti ada sedikit sifat cemburu terhadap suami yang terlalu baik dengan adik-beradik perempuan kita.


“Kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta, walaupun mulanya ibu kurang senang dengan calon bakal suami saya tetapi ibu mengalah kerana mahukan saya bahagia dengan pilihan sendiri. Tetapi ibu saya ‘terus mata’, apa yang diramalnya dahulu, kini benar-benar berlaku, cuma saya kurang percaya semuanya kerana cinta.


“Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa saya adalah antara salah seorang hamba yang dipilih Allah untuk merasai nikmat kepahitan dan kesengsaraan hidup berumah tangga. Tetapi saya bersyukur Allah bekalkan saya kekuatan dan kesabaran, membuatkan saya mampu bertahan dan bangkit semula dalam seribu kesusahan. Lebih penting saya diberikan fikiran yang positif dan percaya pada diri sendiri.


“Saya juga bersyukur, Allah buka mata saya untuk melihat pembohongan dan penipuan yang dilakukan ke atas saya yang selama ini tidak pernah saya lihat, kerana saya terlalu sayang, kasih dan amat percayakan suami.


“Apa yang saya ceritakan di bawah ini dengan niat ingin berkongsi pengalaman hidup yang amat pahit pernah saya lalui supaya dapat dijadikan teladan dan sempadan oleh kaum wanita lain. Supaya anda lebih berhati-hati, bukan bermakna mencurigai adik-beradik kita, sebaliknya kita tidak mahu mereka melakukan dosa kerana kepercayaan atas kealpaan kita.


“Terus-terang saya akui rumah tangga saya hancur kerana dikhianati adik sendiri yang selama ini saya sayang, pernah saya jaga dia ketika kecil. Kerana adik-beradik ramai, ibu tidak mampu menjaga. Sebagai kakak yang sudah besar, saya diharapkan membantu ibu menjaga mereka. Tetapi saya tidak sangka, dia tergamak melakukan semua ini kepada kakaknya sendiri.


“Apa yang saya lalui adalah kerana saya sangat percayakan X bekas suami dan adik sendiri. Saya ingatkan X rapat dengan adik-adik saya kerana dia sayangkan mereka seperti adiknya sendiri. Tetapi X hancurkan kepercayaan yang saya beri dengan menjalin hubungan terlarang.


“Semuanya bermula ketika saya hamil anak kedua dan ketika melahirkan. Saya sering tidak sihat, kerana kandungan tidak kuat dan membuatkan saya terpaksa duduk di hospital beberapa hari dalam sebulan.



“Kerana percayakan adik-adik, saya harap mereka membantu menjaga anak saya sementara saya dirawat hospital. Tapi lain yang jadi, tanpa disangka mereka menjalin hubungan terlarang. Memang saya tidak sedar awalnya, kerana keadaan saya sering tidak sihat, tetapi rakan sekerja meminta saya memerhatikan X. Kata mereka, hati-hati sebelum terlewat nanti menyesal.


Terkedu


“Memang tidak dinafikan sejak awal berkahwin lagi, X memang kaki merambu, suka balik kerja lambat ada kalanya tak pulang langsung dan X memang tidak suka dia dilarang atau ditanya ke mana dia pergi. Jadi saya sudah terbiasa kalau dia balik lambat, saya tak peduli lagi sebab saya tak suka bergaduh. Tetapi tak sangka pula dia berjumpa dengan adik saya di hotel.


“Selepas ramai kawan mengingatkan, saya perhatikan memang berlainan sekali gerak-geri X dengan adik. Sebagai isteri saya dapat rasakan perubahan mereka setiap kali balik hospital. Pertama X tidak boleh lepas dengan telefon. Suka berbual di luar rumah, dalam kereta hinggakan dalam bilik air pun bertelefon. Dan kalau baca SMS pun boleh senyum sendiri tentu kes teruk. Perubahannya buat saya hairan.


“Nak dijadikan cerita, satu hari X tertinggal telefon ketika mandi. Biasanya dia bawa masuk ke bilik mandi. Bila saya buka dan baca SMSnya saya terkejut dan tak sangka adik saya boleh bercakap benda-benda lucah dan hubungan intimnya dengan X. Terkedu saya kerana tak percaya.


“Bila saya tanya X, dia nafikan sebaliknya memaki hamun saya kerana baca SMSnya, itu hal peribadi, saya tak boleh tahu. Kemarahannya dan SMS itu membuat saya ingin mencari lebih banyak bukti sebelum buat tuduhan. Saya terkejut dengan bukti baru yang saya jumpa. Sejak itu kelakuan X berubah, dia bukan orang yang saya kenal selama ini. Bila tanya hubungannya dengan adik saya, marahnya berapi.


“Dalam pada itu ramai kawan-kawan menceritakan mereka pernah lihat X keluar ke tempat tertentu. Maklum kami tinggal di bandar kecil, jadi apa yang kita buat ramai akan tahu, tak boleh lari, bukan duduk di KL, namun masih ada orang nampak.


“Dengan kehendak Allah, satu hari saya balik awal kerana kurang sihat, puas saya telefon X minta hantar saya pulang, tetapi telefonnya ditutup. Saya balik sendiri naik teksi, sebelum itu singgah jumpa doktor. Dengan kuasa Allah, saya nampak X berjalan ke hotel, adik mengikutnya di belakang. Saya nampak mereka masuk hotel.


“Ketika itu saya terkejut, takut dan marah bercampur gaul. Tak tahu apa nak buat, tapi saya yakin apa mereka lakukan. Selepas dua jam masih belum keluar dan kerana terlalu sedih dan tidak dapat menahan rasa sebak, saya terus balik.



“Bila X balik, saya tanya apa dia buat di hotel dengan adik. Dia mengamuk marahkan saya buat tuduhan palsu. Dengan baik, saya katakan saya tak boleh sabar sebab saya lihat sendiri dan ada banyak bukti. Saya minta dia pergi kaunseling mungkin boleh berubah. Beberapa bulan menunggu, dia tak pergi. Katanya dia tak salah. Kerana tiada jalan lain, saya minta cerai, tak mahu bersekongkol dengan maksiat.


“Saya minta cerai dengan baik, tak mahu bergaduh. Tapi kalau dia enggan saya akan bentangkan bukti di Mahkamah Syariah. Kerana malu dan tiada pilihan, X ceraikan saya dan bersetuju memberi nafkah dengan potongan gaji.


“Sebenarnya bukan mudah saya minta cerai. Saya sayangkan keluarga ini setelah hampir 10 tahun berkahwin, saya pun malu nak jadi janda tetapi saya tidak ada jalan lain, saya pun tak sanggup lihat dia buat dosa dengan adik kandung saya.


“Lepas cerai kerana marah dan dendam yang menyala-nyala, X halau saya keluar dari rumah yang kami beli atas namanya. Saya sabar dan keluar bersama anak-anak. Tapi ketika saya minta kereta yang saya beli sendiri, bukan mudah X izinkan, dia buat macam-macam hal menyusahkan saya mendapatkan kereta tersebut.


“Namun saya reda apa yang telah berlaku mungkin sudah ditakdirkan-Nya. Cuma saya harap adik dan X kahwin segera kerana saya tak mahu X mengganggu kedamaian dan ketenangan saya dengan anak-anak. Malangnya selepas sudah setahun kami bercerai, sampai kini mereka belum kahwin dan X terus mendendami saya.


“Jika saya diminta membuat pilihan antara X dan adik, saya pilih adik, kerana kami ada ikatan persaudaraan dunia akhirat. Saya tidak buang adik kandung saya kerana seorang lelaki. Sedihnya sejak bercerai, adik jarang pulang ke kampung, boleh dikatakan tidak pernah, kalau tak salah mengapa mesti takut?


“Sebaliknya adik rela membuang semuanya, agama pun tolak ke tepi, hingga dia sanggup serumah tanpa ikatan perkahwinan. Saya sedih dengan tindakannya, saya kasihankan emak dan ayah. Sepatutnya lepas bercerai mereka berkahwin, saya tidak halang malah saya yang minta diceraikan. Walaupun saya sukar memaafkan perbuatan mereka tetapi saya reda mereka berkahwin.


“Tetapi saya tidak faham kelakuan X yang terus menekan dan merosakkan serta memutarbelitkan fikiran anak-anak. Jangan kerana hendak menegakkan benang basah, X sanggup membuat cerita yang bukan-bukan menghina saya. Kasihan anak-anak, mereka terlalu mentah untuk memahami masalah orang tua.


Mengamuk



“Kadangkala saya pelik dengan kelakuan X mengapa suka memarahi, menengking dan mengherdik saya depan anak-anak dan orang ramai, seolah-oleh dia tak bersalah sedangkan dirinya sudah banyak bergelumang dosa itu. Dia juga mengamuk bila saya berbaik-baik dengan adik-beradiknya. Apa ni?


“Sepatutnya saya yang mengamuk dan marahkan dia yang merosakkan hidup adik saya dan marah sebab halau saya keluar rumah dengan anak-anak! Sedangkan rumah itu hak saya bersama. Tetapi bila hati sudah benci harta tidak bermakna lagi.


“Namun saya bertuah ada rakan-rakan yang bersimpati. Saya yakin Allah akan melindungi saya selagi saya berada di landasan yang benar. Kekuatan saya adalah anak-anak. Saya tidak akan jatuh walaupun X berusaha musnahkan hidup saya.


“Saya sudah kikis rasa benci dalam diri ini kerana saya takut rasa benci itu bertukar jadi dendam. Saya tidak boleh hidup tenang selagi ada rasa dendam dalam diri ini. Saya positif dengan hidup saya. Menjadi ibu tunggal bukan impian saya. Tapi buat apa bergelar isteri hanya untuk disakiti bukan dikasihani dan disayangi,’’ demikian cerita Fazilah tentang kehancuran keluarganya.


Beliau menasihatkan kaum wanita supaya memberi lebih perhatian kepada suami yang terlalu rapat dengan adik-beradik perempuan, kita tak tahu kadangkala baik suami ada udang sebalik batu.


Betul seperti kata Fazilah, untuk apa menjadi isteri jika semata-mata disakiti jiwa dan perasaannya. Pendek kata, jangan jadi bodoh. Lebih baik hidup sendiri. Jadi ibu tunggal bukan bermakna hidup wanita itu telah musnah, malah ada yang lebih baik lagi nasibnya. Mungkin antara mereka sudah tidak sesuai lagi.

Read more!

Sunday, September 10, 2006

10/09/2006 : “Saya diceraikan kerana kawan baik”

BARU-BARU ini penulis berpeluang mendengar ucapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Antara lain yang cukup menarik apabila beliau bercerita tentang temannya seorang VIP dalam satu acara sukan. Isteri VIP suka benar setiap kali suaminya menang dia terlompat-lompat sambil memeluk suaminya.


Kerana terlalu gembira banyak kalilah isteri VIP ini memeluk suaminya di tengah padang. Habis bersukan beliau menegur datin ini, “Amboi sayang betul datin pada suami ya,?’’. Maka dijawab oleh datin itu, “His tentulah, kalau tidak nanti ditinggalkannya kita siapa yang mahukan kita lagi?’’.



“Dari jawapan datin bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kebanyakan isteri bukan cinta sangat, atau kasih atau sayang sangat kat suami mereka, sebenarnya mereka bimbang kalau mereka kena tinggal (cerai) tak ada siapa mahukan mereka lagi.


“Pada pandangan saya, yang penting dalam rumah tangga ialah perasaan kasihan suami terhadap isteri, perasaan ini mesti tertanam dalam jiwa setiap suami bukan kasih, bukan sayang dan bukan cinta. Bila perasaan kasihan ada, mereka tidak akan bertindak membuat perkara tidak baik.


“Tetapi sayangnya orang perempuan ini (isteri) mereka marah sangat kalau kita kata kita kasihan pada mereka, mereka kata mereka bukan anak kucing yang perlu dikasihani. Sebenarnya mereka lupa kalau kita mengadap Allah dan memohon kepada Allah kita akan menyebut ‘Ya Allah kasihanilah aku ini!’ Jadi jelas perkataan kasihan ini penting dalam kehidupan rumah tangga,’’ demikian kata Adnan.



Kenyataan beliau ini diakui oleh Puan Haslina ketika kami berbual di telefon setelah saya membaca e-melnya. Katanya, suaminya langsung tidak mengasihani bukan sahaja dirinya tetapi juga anak-anak.


``Dia sanggup menghilangkan diri selama dua tahun kerana ingin kahwin lagi. Kisah ini memang pelik tetapi itulah yang saya rasai penderitaannya sehingga kini,’’ katanya memulakan cerita.


“Siapa tak sayangkan suami, dan siapa yang tak sayangkan kawan baik, tetapi apabila mereka berdua meruntuh dan menghancurkan hidup kita, rasanya lukanya amat parah dan begitu sukar untuk sembuh. Begitulah pedihnya penderitaan yang saya tanggung apabila suami dirampas kawan baik yang kita anggap seperti adik kandung, kitalah tempat dia mengadu.


“Dulu suami saya Razman seorang anggota beruniform, setelah tamat perkhidmatan dia menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Melalui kawan baik saya Azimah dia mula berkenalan dengan perniagaan MLM yang Azimah usahakan. Mulai dari itulah mereka menjadi rapat.


“Saya berkawan dengan Azimah sebab dia ada suami dan saya langsung tidak cemburu kerana mereka sama-sama berusaha mencari rezeki yang halal. Perkenalan kami bermula kerana dia adalah jiran kami dan menghantar dua orang anaknya supaya saya jaga.


“Kerana katanya dia sibuk dengan perniagaannya dan selalu ke hulu ke hilir, saya diamanahkan untuk menjaga anaknya yang masih kecil. Tiga orang lagi anaknya dengan suaminya yang terdahulu sudah besar dan pandai menguruskan diri sendiri untuk ke sekolah dan setelah balik ke rumah. Pendek kata anak Azimah memang ramai.


“Keuntuhan rumah tangga saya terasa teruk pedihnya kerana suami dirampas oleh kawan baik. Pada saya hanya mereka yang sama nasibnya seperti saya akan dapat merasakan sakit dan pedihnya luka di hati ini.


“Apa yang amat saya kesalkan, saya percayakan dia sepenuh hati, saya izin dan rela dia keluar dengan suami saya atas urusan perniagaan, tetapi saya langsung tidak menduga kepercayaan saya dikhianati. Saya dah anggap Azimah macam adik sendiri begitulah ikhlasnya saya, dia keluar dengan suami saya, saya di rumah menjaga anaknya bukan sebulan dua, tapi tiga tahun.


“Saya tidak pernah mencurigai Azimah membuat hubungan dengan Razman, kerana dia juga ada suami, takkan dia sanggup berlaku curang. Dan itu adalah suaminya yang kedua. Katanya, dia sayangkan suaminya. Satu hari Azimah beritahu dia nak pindah ke tempat lain.



“Tidak semena-mena dua bulan kemudian Razman tak pulang ke rumah, hilang tanpa berita. Kerana bimbangkan keselamatannya saya buat aduan polis. Saya siarkan gambarnya dalam akhbar setelah seminggu tak balik. Saya tanyakan pada kawan-kawan, mereka juga tak pernah nampak suami saya dalam tempoh tersebut.


“Risaunya hati tak boleh nak cakap, saya fikirkan yang buruk aja, kena rompak ke, kena bunuh ke dan macam-macam lagi. Tapi tak sampai dua bulan kemudian ada jiran beritahu, suami saya ditemui bersama Azimah. Terkejut saya. Bila saya tanya Azimah dia nafikan malah mendakwa dia tak tahu di mana Razman.


“Berapa lama Azimah boleh berbohong sedangkan ramai jiran lain mendakwa dia tahu hubungan mereka berdua. Saya cuba hubungi Razman tapi tak dapat. Saat saya tahu hubungan cinta mereka, hidup saya terasa tidak berguna lagi, kalau ikutkan hati mahu saya meraung dan menjerit setiap hari melepaskan terbuku di hati. Kadang tu saya rasa lebih baik mati, kalau tidak fikirkan Allah dan anak-anak mahu saya terjun Sungai Pahang.


“Setiap hari saya menangis, saya tidak bekerja, macam mana nak bagi makan pakai dan sekolah anak-anak, simpanan pun tak banyak. Saya tak sangka Razman tergamak berlaku curang dengan kawan baik saya yang masih lagi bersuami. Mana muka nak letak bila orang kata Razman dan Azimah berzina kerana ketika itu suaminya belum menceraikannya lagi. Kejadian ini berlaku dua tahun lalu.


“Kadang-kadang saya hampir separuh gila, kerana saya ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang berita apa lagi perbalahan mahupun pergaduhan. Pada saya siang dan malam tidak ada bezanya, saya tak makan kerana langsung tidak merasa lapar. Bila saya cuba menelan nasi, kerongkong saya terasa tersumbat.


“Akhirnya saya merayu Razman pulang melalui akhbar, tetapi hatinya sekeras batu. Kerana saya tidak ada duit, anak-anak nak makan, saya ambil keputusan pulang ke kampung. Mujur mak ayah saya masih ada, merekalah tempat saya mengadu.


“Walaupun ayah orang susah, dia tidak biarkan saya dan anak-anak mati kelaparan. Ketika itu saya sudah tidak punya apa-apa lagi, barang kemas habis saya jual buat belanja makan. Di kampung saya cuba juga mencari kerja tetapi bukan mudah kena pergi ke bandar nak berulang dari kampung memang payah. Tapi saya teruskan.


“Beberapa bulan kemudian saya dengar mereka berkahwin setelah Azimah bercerai tebus talak dari suaminya dengan sebuah kereta dan wang tunai RM10,000.


“Kini setelah dua tahun, awal tahun ini saya diceraikan secara sah di Mahkamah Syariah di Pantai Timur di kampung asalnya. Tapi sampai sekarang saya tak melihat surat cerai itu, tidak dikirimkan. Dia sengaja menceraikan saya di sana, kerana dia tahu saya tak mampu ke sana apa lagi untuk membuat apa juga tuntutan nafkah, mutaah dan harta sepencarian yang memaksa saya turun naik mahkamah berpuluh-puluh kali, jadi bila saya tak buat tuntutan, selamatlah dia daripada memberi nafkah.



“Saya memang tak berduit, semangat pun jatuh merudum. Mengapa dia hendak seksa saya sedangkan rumah kami dulu berdekatan. Dia boleh ceraikan saya di sini aja, mengapa di Pantai Timur. Untuk ke Mahkamah Syariah di sana saya terpaksa sediakan paling kurang RM300. Nak ambil surat cerai kena bayar RM70, tambang bas pergi balik RM40. Itu belum masuk lagi belanja minum dan penginapan kerana saya tak ada saudara mara di sana.


“Kalau dia ayah yang bertanggungjawab, berilah nafkah untuk anak-anak supaya mereka boleh hidup dan boleh belajar, mengapa mesti seksa hidup kami. Inilah kemelut dalam hidup saya sekarang, saya bukan orang senang yang dapat menyenangkan hati anak anak sepenuhnya.


“Kini ujian yang baru saya tempuhi, anak sulung saya yang sedang belajar di IPTA dilanda tekanan perasaan. Dia tak dapat menerima kenyataan ayahnya menceraikan saya dan hidupnya penuh dengan kesusahan. Ibu mana yang tak sedih, hajat nak tengok anak berjaya dalam pelajaran kini hampir terkandas.


“Dia sudah tidak tau solat, lupa katanya, tubuhnya semakin kurus melidi, kadang kadang bercakap seorang diri, kadang-kala marah. Bayangkan betapa hancur hati saya kerana anak yang tidak berdosa terpaksa menanggung beban perasaan yang begitu hebat. Kejamnya Azimah dan Razman menganiaya kami anak beranak.


“Saya rasa, ujian ketika suami tinggalkan dulu memang berat tetapi ujian anak berubah watak begini rasanya lebih berat. Sukar untuk saya terima perubahan yang mengejutkan itu. Razman langsung tidak ambil tahu hidup anak-anak. Dia langsung tak menjenguk...


“Sejak anak saya terganggu jiwanya, saya terpaksa menjaganya sepenuh masa, bawa berubat cara kampung supaya semangatnya pulih di samping berjumpa pakar psikiatri. Dan pelajarannya pun terpaksa tertunda.


“Namun dengan izin Allah, anak saya kini semakin pulih walaupun belum seratus peratus. Doktor menasihatkan saya kalau anak saya ingin sambung belajar nanti, saya mesti ikut dia atau tinggal berdekatan dengannya. Bermakna saya kena pindah ke Kedah. Tapi bagaimana dengan anak saya yang masih belajar, apakah saya perlu bawa sama, dan lebih penting saya terpaksa berhenti kerja, jika ini terpaksa saya lakukan macam mana kami nak makan dan bayar sewa rumah nanti bila saya tak bekerja.


“Duduk di tempat baru belum tentu saya boleh dapat kerja dengan mudah, banyak wang terpaksa disediakan, sedangkan saya memang tak berduit.


“Memang sukar bagi saya membuat keputusan, ditelan mati emak, diluah mati bapa, anak- anak perlukan saya, saya tak boleh berpisah dari mereka. Apa lagi anak bongsu pun memerlukan perhatian. Lebih hebat lagi saya perlu sediakan wang yang banyak jika saya kena pindah demi kesihatan dan pelajaran anak sulung saya.



“Apa yang saya ceritakan ini adalah sebagai panduan kepada kaum wanita bukan tujuan menghasut. Berhati-hatilah kalau berkawan, bukan semua kawan ikhlas, ada yang suka mengambil kesempatan daripada kebaikan dan keikhlasan kita, mereka mempunyai hasrat dan niat tertentu untuk diri mereka.


“Kepada kaum bapa pula kalaupun anda ingin berkahwin lagi janganlah aniaya isteri atau bekas isteri anda. Jangan sekali-kali abaikan makan minum dan pelajaran anak-anak, mereka tidak kuat semangat dan emosi untuk menerima perpisahan kedua ibu bapa mereka.


“Kepada isteri baru pula nasihati suami anda supaya jangan lupa atau abaikan anak-anak yang terdahulu. Hidup anda tidak akan senang kalau suami anda abaikan anak-anaknya. Ingat balasan Allah. Janganlah perpisahan suami isteri menjadi dendam kerana yang teraniaya adalah anak-anak pewaris bangsa dan agama kita pada masa depan,’’ demikian nasihat Haslina yang hampir hancur hidupnya kerana penganiayaan bekas suami.


Benar seperti kata Haslina, percerian biasanya menjadi dendam antara bekas suami isteri yang akhirnya anak-anak menjadi mangsa, hidup tidak tentu hala. Sebaiknya jagalah kebajikan anak-anak dari segi makan pakai dan pembelajaran mereka. Kegagalan mereka menjadi manusia berguna dan berjaya dalam hidup adalah kegagalan anda sebagai ayah mendidik dan membesarkan mereka

Read more!

Sunday, August 6, 2006

06/08/2006 : Banyak sebab isteri tinggalkan suami

JIKA minggu lepas ruangan ini membicarakan masalah saudara baru dan minggu sebelumnya tentang tindakan tegas seorang anak yang sanggup berhenti sekolah untuk membela maruah keluarganya, minggu ini kita kembali membicarakan isu dalam rumah tangga.


Saya membawakan isu ini setelah membaca e-mel kiriman Syafina yang tertarik dengan pengalaman pahit yang dilalui oleh Eliana dan Norazlina yang kisahnya pernah dipaparkan sebulan lalu. Katanya dia ingin berkongsi pengalaman kerana nasib mereka serupa, dan inilah masalah yang terpaksa dihadapi oleh wanita bergelar isteri.



Kepada gadis-gadis yang belum berkahwin janganlah fikir bahawa perkahwinan itu adalah sesuatu yang menggembirakan dan menyelamatkan diri mereka daripada masalah yang sedang dihadapi, sebaliknya kalau nasib tidak baik, di situlah bermulanya segala masalah yang terpaksa dipikul mungkin hingga ke akhir hayat.


Kepada mereka yang tidak suka memikul masalah, tindakan untuk melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan itu juga merupakan masalah besar yang terpaksa ditempuhi, apa lagi jika mereka mempunyai anak-anak yang masih kecil.


Dalam e-mel pendek yang dikirimkannya, Syafina berkata walaupun senasib dengan Eliana dan Norazlina, tetapi berbeza dalam tindakan, dia nekad untuk menarik diri keluar daripada masalah, kerana dia tidak suka menipu dirinya sendiri.



Kerana kurang memahami apa yang dimaksudkan, penulis menghubungi Syafina, dan satu petang Syafina melahirkan hasratnya untuk berjumpa dengan penulis pada malamnya. Kebetulan beliau datang ke Kuala Lumpur atas urusan visa dan kerana tugas yang memerlukan dia bertugas ke luar negara.


Ketika memulakan perbualan di sebuah restoran, Syafina memberitahu, sebenarnya dia berasa sukar untuk menceritakan masalahnya, kerana dia tahu tidak akan ada orang yang faham, kecuali mereka yang mengalami masalah seperti dilaluinya.


“Suami saya bukan kaki pukul, kaki perempuan, suka berjudi atau sebagainya, tetapi sikapnya kadang kala membuat anda hilang akal untuk berbicara. Kalau ada masalah kita tidak boleh membisu atau lari daripada masalah, tetapi itulah yang dilakukannya, suka berbohong. Jadi sebagai isteri saya tak boleh berdiam diri. Jika terus begini boleh hilang akal dan mendorong saya terkeluar agama Islam.


“Saya berpendapat perkahwinan ini seumpama satu perjudian, ada kalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah, tidak ada siapa yang mahu kalah atau gagal dalam perkahwinan, tetapi kalau sudah berusaha tetapi masih gagal juga maka kita sebagai hamba Allah terpaksa menyerah kembali kepadaNya.


“Saya mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Saya berkelulusan ijazah dari luar negara sementara suami saya Zain tidak, tetapi bukan itu alasan saya minta cerai atau sudah tidak sealiran pendapat dengannya.


“Pada permulaan perkahwinan semuanya berjalan dengan baik. Kalau ada sedikit sebanyak masalah saya cuba mengatasinya dan bersabar, kerana menghormati suami saya mengharapkan dan meminta Zain mengatasinya sendiri, kerana saya mahu dia menjadi ketua keluarga yang bertanggung jawab dan harapan keluarganya nanti.


“Tetapi berlainan sekali dengan Zain, dia suka ambil mudah sambil mengharap masalah itu boleh selesai sendiri. Saya tidak menghina dia kerana taraf pendidikan yang berbeza, kerana ramai lelaki seperti dia masih boleh hidup aman, mereka boleh mengurus keluarga dengan baik.


“Malangnya Zain tidak boleh diharapkan. Dia tidak mahu menghadapi masalah, tidak pandai berfikir, malah suka berbohong. Beberapa kali saya mengajak berbincang tentang satu-satu masalah tetapi dia bingkas bangun menonton TV, mengelak daripada berbincang dan cuba mengatasi masalah. Dia melepaskan semua masalah untuk saya selesaikan, saya bukan ketua keluarga. Bila ditegur dia akan menyindir saya.


“Bukan masalah kami sahaja, malah masalah adik-beradik dan ibunya juga dia ambil ringan, mengharapkan saya berfikir Bila saya tanyakan sudahkah dia bertindak, dia kata sudah, sedangkan tidak.



“Di samping itu minat kami juga berbeza. Lagi satu perangai Zain, dia suka menyindir saya, hingga sampai ke tahap menghina, kalau sekali dua tak apa juga, ini kalau dah selalu tentu menyakitkan hati.


“Kalau saya ceritakan lagi banyak masalah, saya kira pembaca tidak akan faham, tetapi itulah kenyataannya selepas dua tahun berkahwin dan mempunyai anak, saya merasakan antara kami sudah tidak sesuai lagi. Tetapi sebagai orang Islam dan berpendidikan agama, saya tetap bersabar mengharapkan dia berubah. Tetapi harapan tinggal harapan, sampai ke peringkat amat teruk yang sukar digambarkan lagi.


“Ketika itulah saya mula memikirkan untuk berpisah dengan Zain, tetapi saya sedar dia tidak akan melepaskan saya dengan mudah. Pada masa yang sama saya kesiankan anak saya yang akan kehilangan ayahnya nanti. Dan saya bertekad untuk bertahan lagi, semuanya kerana saya mahu anak saya bahagia.


“Tetapi seperti yang dikatakan tadi semakin lama bertahan, semakin kuat gangguan emosi dalam diri. Lebih menakutkan saya, gangguan emosi ini menjadi semakin hebat, hingga membuatkan saya tersedar bahawa agama saya juga mula terancam.


“Kerana dididik dengan asas agama yang kuat, saya sedar bahawa kehidupan saya sudah sampai ke satu persimpangan yang mana saya mesti membuat keputusan ke arah mana yang hendak saya tuju dan demi menjaga agama saya.


“Seorang Mukmin yang baik perlu menjaga agamanya dan mencintai agamanya lebih daripada segala-galanya, hatta lebih daripada mencintai anaknya sendiri. Kerana di akhirat nanti, dia seorang sahaja yang akan menghadap Allah dan anak tidak akan dapat menolongnya walau sedikit pun tanpa izin Allah.


“Sejak itu saya mula beristikharah kepada Allah dan berbincang dengan teman-teman yang boleh dipercayai agamanya. Setelah beberapa lama, Allah mengilhamkan kepada saya keputusan yang sungguh nekad.


“Saya percaya keputusan yang akan saya buat memang tidak akan disukai oleh semua orang mahupun saudara mara sendiri, kerana mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, mereka tidak tahu apa dalam hati saya, sebab mereka melihat dari luar, tidak merasa dan melihat dalam hati kami.


“Saya juga yakin setelah memohon petunjuk Allah berkali-kali dan mendapat jawapan yang sama, maka saya pasti itulah keputusan yang akan saya ikut dan tidak akan menoleh ke belakang, saya yakin dengan gerak hati yang ditetapkan Allah s.w.t.



“Berbekalkan keputusan itu, saya kuatkan semangat pergi menemui peguam syarie untuk failkan permohonan talak, dan saya bersedia menghadapi segala kemungkinan semata-mata kerana ingin menyelamatkan agama saya. Saya sudah bersabar selama empat tahun.


“Saya tidak boleh lagi berpura-pura melayan suami sedangkan hati dan perasaan saya membayangkan orang lain. Tetapi pembaca jangan keliru, saya tidak ada kekasih lain, cuma saya tidak boleh bersama Zain kalau tidak membayangkan orang lain, kerana sampai pada satu peringkat saya amat membencinya yang teramat sangat.


“Akibat daripada tindakan saya itu saya terpaksa keluar dari rumah, walaupun rumah itu saya beli dengan titik peluh sendiri, dan menyewa di rumah lain. Kereta saya juga Zain rampas. Segala-gala dalam rumah saya itu terpaksa saya tinggalkan. Zain menjadi terlalu marah bila saya memfailkan talak. Dan gangguan emosi saya menjadi lebih teruk setiap kali saya mendengar dia pulang ke rumah, saya ketakutan. Saya tidak rela bersama dia lagi hingga satu peringkat saya merasakan saya dirogol.


“Akibat memfailkan talak, kereta dirampas dan terpaksa keluar rumah, saya terpaksa beli kereta lain, walaupun kereta lama saya sudah habis ansuran bulanannya. Semuanya terpaksa ditinggalkan kerana saya tidak tertahan dengan tindakan Zain.


“Memang banyak masalah berlaku selepas itu, gangguan emosi menjadi tidak menentu. Bebanan kewangan semakin berat kerana terpaksa membayar ansuran rumah yang dibeli di samping membayar sewa rumah baru, selain ansuran kereta.


“Gangguan emosi menjadi lebih teruk kerana sewaktu pulang ke rumah mengambil pakaian, saya lihat gambar saya berbogel sedang mandi dibesarkan dan diletakkan di ruang tamu. Sikapnya sungguh menjijikkan dan saya tidak boleh bersabar.


“Masalah itu semua masih boleh saya atasi hinggalah keadaan menjadi lebih teruk bila Zain merampas anak saya secara tipu helah dan berbohong. Sikap menipu itulah tabiatnya yang amat saya benci. Selama tujuh bulan saya merana tidak dapat berjumpa dengan anak saya. Dia dilarikan ke tempat lain. Saya tidak dibenarkan berjumpa dengan anak saya walaupun sekali.


“Sebagai ibu siapa boleh tahan berpisah dengan anak. Tapi itulah yang Zain lakukan untuk menambah gangguan emosi saya, sedangkan dalam waktu yang sama saya terpaksa bekerja untuk menyara hidup.


“Namun saya kuatkan semangat dan terus berusaha mendapatkan anak saya semula yang ketika itu baru berusia empat tahun. Setelah gagal memujuk rayu dan simpati darinya saya terpaksa memohon bantuan peguam.



“Akhirnya saya mendapat surat kuasa khas dari mahkamah untuk mendapatkan semula anak saya. Tetapi gagal, pelbagai surat tambahan diperlukan termasuk oleh pihak polis yang terlalu banyak prosedur.


“Akhirnya kerana sudah tidak tertahan lagi, berbekalkan surat kuasa yang ada, saya ambil semula anak saya daripada jagaan orang lain. Kini saya berjaya dan saya dalam proses memohon talak.


“Kepada kaum wanita yang senasib, saya ingin menasihatkan anda supaya kuatkan semangat dan mohon pertolongan Allah. Dan ketahuilah bahawa kekuatan itu akan datang dengan pertolongan Allah jua. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk menjaga lima elemen penting dalam diri kita iaitu agama, harta, nyawa, jiwa dan maruah kita.


“Alasan sesetengah wanita mempertahankan perkahwinan demi kebaikan anak-anak itu mungkin masih boleh diterima selagi tidak memudarat diri kita terhadap lima elemen yang disebutkan tadi. Jika memudaratkan dan sampai ke tahap kritikal, wajib kita bertindak untuk menyelamatkan diri.


“Namun setelah kita berusaha dan mencuba untuk berbuat yang terbaik, barulah kita berserah dan bertawakal kepada Allah s.w.t.


“Sebab itu semasa anak saya dilarikan saya memohon supaya Allah memelihara dan melindungi anak saya. Segala kesedihan yang saya tanggung saya telan semuanya kerana saya yakin itu boleh menjadi penebus kepada dosa-dosa saya,’’ demikian cerita Syafina. Harapannya kepada Eliana dan Norazlina, berusahalah untuk kebaikan sendiri dan memohon petunjuk dan kekuatan daripada Allah dalam apa juga tindakan.


Memang tepat hanya Allah tempat kita memohon petunjuk, kekuatan dan pertolongan dalam menghadapi apa juga masalah. Allah tidak mensia-siakan umatnya dan memohonlah dengan hati yang jujur dan ikhlas lambat laun akan termakbul juga. Waktu itu anda akan dapat merasakan kekuasaan dan kebesaran Allah.

Read more!