Sunday, October 1, 2006

01/10/2006 : Apabila suami bercinta dengan adik

KISAH minggu lalu berjudul Seksanya hidup dapat suami pemalas membuatkan ramai pemanggil sependapat bahawa, masalah Basariah adalah kerana kehendaknya sendiri.


Mungkin dia takut jadi janda, sebab itu dia rela menjadi korban, rela jadi hamba asalkan tidak dicerai. Dan selagi ada kaum wanita bersifat demikian, maka selagi itulah mereka akan terus menjadi hamba.



Salah seorang pemanggil Rozie memberitahu, bukan Basariah sahaja bersifat seperti itu tetapi ramai lagi. Alasan mereka konon kasihankan anak, tetapi sebenarnya mereka takut menjadi janda. Lebih-lebih lagi seperti kisah Basariah yang pernah menjadi janda pastinya dia takut ataupun malu menjadi janda kali kedua.


“Sebenarnya anak-anak zaman ini lebih pandai. Mereka tahu apa yang dialami oleh ibu bapa mereka. Mereka cepat faham dan akan lebih faham jika ibu bapa berterus-terang. Pokoknya si ayah mesti bertanggungjawab memberi nafkah. Jika tidak, kehidupan anak-anak lebih terseksa kerana kesempitan hidup,’’ kata Rozie.


Beberapa orang pemanggil lain sependapat, Basariah harus bertindak jika suami sukar berubah, jangan takut diceraikan. Masalahnya wanita terlalu mengharapkan suami mereka berubah menjadi baik dan biasanya ia jarang berlaku.



Mari kita lupakan kisah Basariah, kita ikuti kisah minggu ini yang baik dijadikan panduan dan sempadan. Kisah ini datangnya daripada Puan Fazilah seorang kakitangan kerajaan, ibu muda yang mempunyai dua orang anak dan berusia awal 30-an tahun.


Selepas membaca e-melnya, penulis menghubungi Fazilah dari nombor telefon yang diberikan. Kami berbual panjang kerana tertarik dengan kisahnya. Kesimpulan cerita Fazilah, kita mesti ada sedikit sifat cemburu terhadap suami yang terlalu baik dengan adik-beradik perempuan kita.


“Kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta, walaupun mulanya ibu kurang senang dengan calon bakal suami saya tetapi ibu mengalah kerana mahukan saya bahagia dengan pilihan sendiri. Tetapi ibu saya ‘terus mata’, apa yang diramalnya dahulu, kini benar-benar berlaku, cuma saya kurang percaya semuanya kerana cinta.


“Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa saya adalah antara salah seorang hamba yang dipilih Allah untuk merasai nikmat kepahitan dan kesengsaraan hidup berumah tangga. Tetapi saya bersyukur Allah bekalkan saya kekuatan dan kesabaran, membuatkan saya mampu bertahan dan bangkit semula dalam seribu kesusahan. Lebih penting saya diberikan fikiran yang positif dan percaya pada diri sendiri.


“Saya juga bersyukur, Allah buka mata saya untuk melihat pembohongan dan penipuan yang dilakukan ke atas saya yang selama ini tidak pernah saya lihat, kerana saya terlalu sayang, kasih dan amat percayakan suami.


“Apa yang saya ceritakan di bawah ini dengan niat ingin berkongsi pengalaman hidup yang amat pahit pernah saya lalui supaya dapat dijadikan teladan dan sempadan oleh kaum wanita lain. Supaya anda lebih berhati-hati, bukan bermakna mencurigai adik-beradik kita, sebaliknya kita tidak mahu mereka melakukan dosa kerana kepercayaan atas kealpaan kita.


“Terus-terang saya akui rumah tangga saya hancur kerana dikhianati adik sendiri yang selama ini saya sayang, pernah saya jaga dia ketika kecil. Kerana adik-beradik ramai, ibu tidak mampu menjaga. Sebagai kakak yang sudah besar, saya diharapkan membantu ibu menjaga mereka. Tetapi saya tidak sangka, dia tergamak melakukan semua ini kepada kakaknya sendiri.


“Apa yang saya lalui adalah kerana saya sangat percayakan X bekas suami dan adik sendiri. Saya ingatkan X rapat dengan adik-adik saya kerana dia sayangkan mereka seperti adiknya sendiri. Tetapi X hancurkan kepercayaan yang saya beri dengan menjalin hubungan terlarang.


“Semuanya bermula ketika saya hamil anak kedua dan ketika melahirkan. Saya sering tidak sihat, kerana kandungan tidak kuat dan membuatkan saya terpaksa duduk di hospital beberapa hari dalam sebulan.



“Kerana percayakan adik-adik, saya harap mereka membantu menjaga anak saya sementara saya dirawat hospital. Tapi lain yang jadi, tanpa disangka mereka menjalin hubungan terlarang. Memang saya tidak sedar awalnya, kerana keadaan saya sering tidak sihat, tetapi rakan sekerja meminta saya memerhatikan X. Kata mereka, hati-hati sebelum terlewat nanti menyesal.


Terkedu


“Memang tidak dinafikan sejak awal berkahwin lagi, X memang kaki merambu, suka balik kerja lambat ada kalanya tak pulang langsung dan X memang tidak suka dia dilarang atau ditanya ke mana dia pergi. Jadi saya sudah terbiasa kalau dia balik lambat, saya tak peduli lagi sebab saya tak suka bergaduh. Tetapi tak sangka pula dia berjumpa dengan adik saya di hotel.


“Selepas ramai kawan mengingatkan, saya perhatikan memang berlainan sekali gerak-geri X dengan adik. Sebagai isteri saya dapat rasakan perubahan mereka setiap kali balik hospital. Pertama X tidak boleh lepas dengan telefon. Suka berbual di luar rumah, dalam kereta hinggakan dalam bilik air pun bertelefon. Dan kalau baca SMS pun boleh senyum sendiri tentu kes teruk. Perubahannya buat saya hairan.


“Nak dijadikan cerita, satu hari X tertinggal telefon ketika mandi. Biasanya dia bawa masuk ke bilik mandi. Bila saya buka dan baca SMSnya saya terkejut dan tak sangka adik saya boleh bercakap benda-benda lucah dan hubungan intimnya dengan X. Terkedu saya kerana tak percaya.


“Bila saya tanya X, dia nafikan sebaliknya memaki hamun saya kerana baca SMSnya, itu hal peribadi, saya tak boleh tahu. Kemarahannya dan SMS itu membuat saya ingin mencari lebih banyak bukti sebelum buat tuduhan. Saya terkejut dengan bukti baru yang saya jumpa. Sejak itu kelakuan X berubah, dia bukan orang yang saya kenal selama ini. Bila tanya hubungannya dengan adik saya, marahnya berapi.


“Dalam pada itu ramai kawan-kawan menceritakan mereka pernah lihat X keluar ke tempat tertentu. Maklum kami tinggal di bandar kecil, jadi apa yang kita buat ramai akan tahu, tak boleh lari, bukan duduk di KL, namun masih ada orang nampak.


“Dengan kehendak Allah, satu hari saya balik awal kerana kurang sihat, puas saya telefon X minta hantar saya pulang, tetapi telefonnya ditutup. Saya balik sendiri naik teksi, sebelum itu singgah jumpa doktor. Dengan kuasa Allah, saya nampak X berjalan ke hotel, adik mengikutnya di belakang. Saya nampak mereka masuk hotel.


“Ketika itu saya terkejut, takut dan marah bercampur gaul. Tak tahu apa nak buat, tapi saya yakin apa mereka lakukan. Selepas dua jam masih belum keluar dan kerana terlalu sedih dan tidak dapat menahan rasa sebak, saya terus balik.



“Bila X balik, saya tanya apa dia buat di hotel dengan adik. Dia mengamuk marahkan saya buat tuduhan palsu. Dengan baik, saya katakan saya tak boleh sabar sebab saya lihat sendiri dan ada banyak bukti. Saya minta dia pergi kaunseling mungkin boleh berubah. Beberapa bulan menunggu, dia tak pergi. Katanya dia tak salah. Kerana tiada jalan lain, saya minta cerai, tak mahu bersekongkol dengan maksiat.


“Saya minta cerai dengan baik, tak mahu bergaduh. Tapi kalau dia enggan saya akan bentangkan bukti di Mahkamah Syariah. Kerana malu dan tiada pilihan, X ceraikan saya dan bersetuju memberi nafkah dengan potongan gaji.


“Sebenarnya bukan mudah saya minta cerai. Saya sayangkan keluarga ini setelah hampir 10 tahun berkahwin, saya pun malu nak jadi janda tetapi saya tidak ada jalan lain, saya pun tak sanggup lihat dia buat dosa dengan adik kandung saya.


“Lepas cerai kerana marah dan dendam yang menyala-nyala, X halau saya keluar dari rumah yang kami beli atas namanya. Saya sabar dan keluar bersama anak-anak. Tapi ketika saya minta kereta yang saya beli sendiri, bukan mudah X izinkan, dia buat macam-macam hal menyusahkan saya mendapatkan kereta tersebut.


“Namun saya reda apa yang telah berlaku mungkin sudah ditakdirkan-Nya. Cuma saya harap adik dan X kahwin segera kerana saya tak mahu X mengganggu kedamaian dan ketenangan saya dengan anak-anak. Malangnya selepas sudah setahun kami bercerai, sampai kini mereka belum kahwin dan X terus mendendami saya.


“Jika saya diminta membuat pilihan antara X dan adik, saya pilih adik, kerana kami ada ikatan persaudaraan dunia akhirat. Saya tidak buang adik kandung saya kerana seorang lelaki. Sedihnya sejak bercerai, adik jarang pulang ke kampung, boleh dikatakan tidak pernah, kalau tak salah mengapa mesti takut?


“Sebaliknya adik rela membuang semuanya, agama pun tolak ke tepi, hingga dia sanggup serumah tanpa ikatan perkahwinan. Saya sedih dengan tindakannya, saya kasihankan emak dan ayah. Sepatutnya lepas bercerai mereka berkahwin, saya tidak halang malah saya yang minta diceraikan. Walaupun saya sukar memaafkan perbuatan mereka tetapi saya reda mereka berkahwin.


“Tetapi saya tidak faham kelakuan X yang terus menekan dan merosakkan serta memutarbelitkan fikiran anak-anak. Jangan kerana hendak menegakkan benang basah, X sanggup membuat cerita yang bukan-bukan menghina saya. Kasihan anak-anak, mereka terlalu mentah untuk memahami masalah orang tua.


Mengamuk



“Kadangkala saya pelik dengan kelakuan X mengapa suka memarahi, menengking dan mengherdik saya depan anak-anak dan orang ramai, seolah-oleh dia tak bersalah sedangkan dirinya sudah banyak bergelumang dosa itu. Dia juga mengamuk bila saya berbaik-baik dengan adik-beradiknya. Apa ni?


“Sepatutnya saya yang mengamuk dan marahkan dia yang merosakkan hidup adik saya dan marah sebab halau saya keluar rumah dengan anak-anak! Sedangkan rumah itu hak saya bersama. Tetapi bila hati sudah benci harta tidak bermakna lagi.


“Namun saya bertuah ada rakan-rakan yang bersimpati. Saya yakin Allah akan melindungi saya selagi saya berada di landasan yang benar. Kekuatan saya adalah anak-anak. Saya tidak akan jatuh walaupun X berusaha musnahkan hidup saya.


“Saya sudah kikis rasa benci dalam diri ini kerana saya takut rasa benci itu bertukar jadi dendam. Saya tidak boleh hidup tenang selagi ada rasa dendam dalam diri ini. Saya positif dengan hidup saya. Menjadi ibu tunggal bukan impian saya. Tapi buat apa bergelar isteri hanya untuk disakiti bukan dikasihani dan disayangi,’’ demikian cerita Fazilah tentang kehancuran keluarganya.


Beliau menasihatkan kaum wanita supaya memberi lebih perhatian kepada suami yang terlalu rapat dengan adik-beradik perempuan, kita tak tahu kadangkala baik suami ada udang sebalik batu.


Betul seperti kata Fazilah, untuk apa menjadi isteri jika semata-mata disakiti jiwa dan perasaannya. Pendek kata, jangan jadi bodoh. Lebih baik hidup sendiri. Jadi ibu tunggal bukan bermakna hidup wanita itu telah musnah, malah ada yang lebih baik lagi nasibnya. Mungkin antara mereka sudah tidak sesuai lagi.

No comments: