MINGGU lalu kita membaca luahan hati seorang anak yang kecewa dengan adikberadiknya yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka. Minggu ini saya temui ibu tunggal, Norazaine yang kecewa dengan sikap ibu bapa yang pilih kasih hingga membuatkan dirinya terbuang.
Kisah hidup Norazaine amat pahit, jadi eloklah saya mulakan dari awal lagi.
Katanya, sejak remaja, dia ingin mencurahkan perasaan hatinya di ruangan ini yang dibacanya setiap minggu mengenai sikap ayahnya. Tetapi niatnya terbantut kerana memikirkan Di Celah-celah Kehidupan (DCCK) hanya untuk suami isteri yang bermasalah saja.
Jadi untuk melepaskan perasaan kecewanya, dia mengikut kata hati join kawan-kawan dan berhenti sekolah, lepas tu pastilah lari dari rumah.
“Kalau saya dapat layanan baik daripada ibu bapa takkan saya lari lepas tingkatan tiga (SRP ketika itu). Saya nekad lari dari rumah dan cari kerja. Saya pernah kerja jadi pembantu di gerai makan, tukang cuci pinggan mangkuk, jadi jurujual, restoran makanan segera, kedai dobi dan apa jenis kerja asalkan saya dapat duit dan boleh bayar sewa bilik.” Demikian cerita Norazaine ketika ditemui di kompleks beli-belah dekat Ampang baru-baru ini.
“Saya lebih suka kerja di gerai makan atau restoran, sebab boleh dapat makan free, cuma bayar duit sewa bilik. Bila duduk sendiri tentulah bebas nak buat apa saja, kawan pun ramai. Saya seronok ada duit sendiri, ada kawan, pendeknya memang ‘gembira’, tetapi sebelum hujung bulan selalu pokai sebab berbelanja lebih.
“Waktu itu mulalah fikir susah juga duduk sendirian terutama apabila kawan-kawan tempat kita meminta tolong, lepas seorang, seorang pindah tempat kerja atau kahwin. Mulalah rasa tak seronok. Tapi saya dapat bertahan empat tahun duduk sendirian dengan gadis-gadis. Hingga saya tertemu dengan seorang lelaki, Roslan namanya.
“Bagaimanapun bukan bermakna sebelum ini tak ada lelaki yang berminat kat saya, ada, tetapi saya tak berminat, ada yang saya minat dia pula tak minat kat saya. Jadi saya sentiasa mencari yang sesuai.
“Bila ramai kawan dah kahwin, waktu itulah mula terfikir bukan senang tinggal sendirian jauh daripada ibu bapa. Mulalah teringatkan emak ayah dan adik-beradik. Namun untuk kembali ke rumah terasa malu dan takut kena marah, jadi saya teruslah duduk sewa bilik dengan kawan-kawan. Ada kawan bagi nasihat baik ada juga tidak, mereka simbah dengan minyak petrol lagi untuk membakar perasaan saya.
“Setelah bertemu Roslan, walaupun dia lebih tua 20 tahun daripada saya tetapi dia ikhlas mengajak saya berkahwin. Katanya, niat dia nak bimbing saya jadi gadis yang baik, dia tak suka tengok saya hidup sendirian dan bencikan ibu bapa.
“Roslan banyak menasihati dan membimbing saya menjadi gadis yang baik, katanya, saya perlu kembali kepada keluarga supaya tidak liar. Mula-mula memang saya tak terfikir langsung nak berkawan dengannya, sebab dia tua, tetapi keikhlasannya membuat saya jadi percaya. Dia kemudian mencadangkan saya memberitahu keluarga dia ingin mengambil saya sebagai isteri. Mulanya memang saya enggan sebab dia dah kahwin, tetapi fikirkan nasihatnya baik, saya tebalkan muka dan pekakkan telinga bila kena marah.
“Memang sudah diduga hasrat saya dibantah. Ayah paling membenci. Akhirnya dengan kesabaran saya dan pujukan Roslan, ayah bersetuju tetapi tidak mahu menikahkan saya, dia memberi izin bertulis, kami nikah sendiri di pejabat kadi.
“Hidup saya amat bahagia kerana kedua-dua isteri Roslan setuju, tanpa membantah, malah menyokong dan menerima saya sebagai madu mereka. Mulanya saya terkejut juga dan tak berani dikatakan perampas suami orang, namun Roslan memberi keyakinan, saya tidak perlu takut, isteri-isterinya tidak akan membantah.
“Walaupun kami tinggal di rumah sewa yang kecil, tapi saya bahagia, sayangnya kebahagiaan dan keseronokan hidup yang dinikmati itu tidak lama apabila suami tersayang meninggal dunia tak sampai lima tahun kemudian dengan dua orang anak.
“Menjadi ibu tunggal dalam usia belum pun 26 tahun bukan mudah, banyak gangguan dan godaan, tapi saya berjaya meneruskan hidup dengan dua anak yang masih kecil. Lebih menyedihkan anak kedua kehilangan ayah ketika berusia tiga bulan.
“Namun saya rasa bertuah mendapat sokongan moral dan wang ringgit daripada dua madu yang mempunyai anak dewasa. Merekalah kekuatan saya ketika dilanda masalah, mereka membantu saya membeli susu anak, makan minum dan sebagainya.
“Saya memang susah sebab tidak bekerja, akhirnya saya pulang ke rumah orang tua, yang kebetulan ketika itu ibu sakit dan perlukan bantuan, adik-beradik lain memberikan pelbagai alasan enggan menjaga ibu. Namun saya tidak kesal, malah bersyukur dapat menjaga ibu saya hinggalah beliau meninggal dunia.
“Apa yang berlaku merupakan bab pertama, kedua dan ketiga kehidupan saya, dari susah kepada senang sedikit. Apabila masuk bab keempat, setelah anak-anak dewasa, saya dilanda musibah besar. Saya diperkosa oleh imam masjid yang juga bomoh.
“Hidup saya menderita akibat perbuatan keji orang yang dihormati masyarakat. Semuanya bermula bila adik saya minta ditemankan berubat dengan imam itu yang kononnya terkenal boleh mengubat orang terkena sihir, guna-guna dan sebagainya.
“Adik minta saya temankan dia pergi berubat di tempatnya, kerana pengubatannya memakan masa yang panjang. Saya mencadangkan adik saya datang ke rumah saya untuk berubat, lagipun saya perlu bekerja tak dapat cuti selalu.
“Peringkat awal (datang membuat rawatan seminggu sekali selama dua bulan) semuanya berjalan di rumah saya, hinggalah satu hari imam ini memberitahu dari penglihatannya saya juga perlu dirawat, katanya saya terkena sihir kalau dibiarkan boleh melarat teruk.
“Kerana percaya saya setuju dirawat, setelah membaca jampi serapahnya beliau menentukan hari yang baik untuk dirawat setelah mencari ubat yang sesuai.
“Tibalah waktu yang sesuai beliau menghubungi saya, dia akan datang mengubat, saya tidak sendirian, di rumah ada dua orang anak dan adik lelaki saya. Setelah berubat di luar, imam ini mengajak saya masuk bilik untuk mengubat lebih teliti.
“Ketika itu saya lihat adik saya mula mengantuk begitu juga seorang anak saya. Hati dan kaki saya tak mahu melangkah masuk ke bilik, terasa bagai dipukau saya mengikut arahan imam. Ketika itu saya sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan hati mula mencurigai imam tadi yang dulunya sangat saya percaya.
“Seluruh tubuh saya terasa dijampi serapah, dan saya mengikut saja apa arahannya ketika di katil. Saya sedar saya diperkosa tetapi saya tidak ada kudrat untuk menolak, menyepak atau menolaknya. Cuma air mata mengalir di pipi. Saya tidak tahu mengapa seluruh tubuh saya jadi kaku tidak membantah apa lagi menolak.
“Saya tak sedar berapa lama, tetapi sejak petang imam itu masuk ke rumah, malam hari barulah saya boleh bangun. Bila saya lihat pada badan saya yang cuma ditutup dengan kain, saya tahu dan sah bahawa saya telah diperkosa.
“Ketika itu anak dan adik saya pun terbangun sama. Tetapi seorang anak saya bertanya mengapa imam kunci pintu semasa mengubat emak, saya tidak dapat menjawab. Adik saya juga hairan mengapa dia boleh tertidur begitu lama sedangkan dia masuk kerja pukul 7 petang. Kami semua kehairanan dengan apa yang terjadi. Dan kami sedar kami dipukau. Sementara tubuh badan saya lemah tak boleh bangun apa lagi melawan, saya sedar apa yang dia lakukan kepada saya.
“Saya yakin kami dipukau, kalau selama ini saya pernah dengar cerita bomoh merogol mangsanya, saya fikir itu cerita dongeng, mengapa wanita itu tak melawan, hari itu saya tahu itulah kuasa pukau, mata terbuka tetapi tak berdaya melawan.
“Saya benar-benar takut dan tak tahu apa harus saya lakukan, bermacam prasangka menghantui fikiran saya. Saya mengadu dengan kakak dua hari kemudiannya setelah saya terasa pulih dan ada kekuatan setelah dua malam tidak dapat tidur.
“Kakak membawa saya ke rumah imam meminta dia bertanggungjawab. Malangnya beliau tidak mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu, malah mendakwa saya mahu perangkap dia. Isterinya juga menuduh saya ibu tunggal yang gatal, miang sengaja merosakkan nama baik suaminya. Saya bersumpah bukan saya mahu memerangkap dia apa lagi menjatuhkan maruahnya. Tetapi sumpah saya ditolak.
“Kerana tiada jalan lain, kakak jumpa pegawai JAWI ceritakan keadaan sebenar. Tetapi siapalah kami yang dikatakan jahil ini berbanding orang banyak ilmu. Pasti cerita saya disamakan dengan cerita dongeng atau drama swasta. Siapa percaya!
“Waktu itu saya hampir-hampir setengah gila, bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku ke atas saya, siapa hendak bertanggangjawab? Saya tertekan bila dikatakan janda gatal, nak rampas suami orang.
“Kalau saya nak rampas suami orang atau gatal nak kahwin, saya dah kahwin selepas suami meninggal dunia, ketika itu belum pun berusia 25 tahun, mengapa setelah menjanda selama 16 tahun dan kini berumur lebih 40 tahun baru saya nak kahwin, sedangkan anak-anak dah besar, saya dah ada kerja. Saya benar-benar teraniaya.
“Saya bercerita kepada adik saya yang pernah berubat dengan imam tersebut. Saya lebih terkejut apabila dia juga mengaku bahawa dia pernah dipeluk dan dicium oleh imam tersebut, dia cuba mengelak tetapi tak berdaya. Sejak peristiwa itulah dia berhenti berubat dengan imam tersebut.
“Walaupun peristiwa itu berlaku awal tahun ini, tapi sampai sekarang saya tak boleh lupakan. Saya tak percaya orang yang berilmu macam tu pun boleh jadi tak betul. Saya memang nak laporkan pada polis, tetapi saya kena fikirkan juga masa depan anak-anak yang sedang remaja. Saya tak mahu mereka malu ke sekolah kerana saya jadi tajuk berita akhbar.
“Kebimbangan dan ketakutan menjejaskan kerja saya. Sudah beberapa kali saya berhenti kerja, walaupun kerja sementara, tetapi saya perlu bekerja untuk menyara hidup anak-anak.
“Bila memikirkan ini semua, jiwa saya jadi tidak tenteram, saya tak tahu apa perlu saya lakukan. Namun saya sentiasa berdoa oleh kerana saya orang dianiaya, saya memohon Allah ditunjukkan pembalasan kepada orang yang bersalah, menganiaya kami yang lemah.
“Kami pernah merayu beliau bertanggungjawab, sebaliknya saya dituduh jahat. Masyarakat takkan percayakan saya berbanding beliau yang banyak ilmunya, pandai mentafsir apa lagi membaca al-Quran. Kata kakak antara dia dan kami tak ada bezanya, cuma ilmunya, dia juga manusia tapi bernafsu binatang.” Demikian pengakuan Norazanie.
Pengalaman pahitnya dan cerita seperti ini tidak pernah saya paparkan sebelum ini. Bukan mudah orang membuat pengakuan kalau tidak kerana hatinya sudah hancur dan tidak ada tempat mencurahkan perasaan hati yang bercelaru.
Doa saya agar doa Norazanie dimakbulkan Allah s.w.t. dia orang yang teraniaya. Namun dia perlu bekerja keras demi masa depan anak-anaknya. Semoga ada sinar cerah di hadapannya.