Sunday, June 4, 2006

04/06/2006 : Jangan ugut suami bencikan ibu

KISAH yang dipaparkan minggu lalu berjudul Anak disekat jumpa ibu lepas kahwin, menarik perhatian seorang lagi ibu, Suriani yang juga menghadapi masalah yang sama. Katanya, kisah Sharifah sungguh menyayat hati, kerana mereka senasib.


Kata Suriani, beliau memahami perasaan penulis tersebut kerana itulah perasaan yang melanda jiwanya sekarang, semuanya gara-gara anak disekat oleh isterinya berjumpa ibu setelah berkahwin.



“Saya tak tahulah berapa ramai lagi ibu yang senasib seperti saya, menghadapi masalah seperti yang saya hadapi kini, agaknya ini fenomena anak-anak menantu zaman ini yang langsung tidak hormat mentua masing-masing. Malah mereka menyifatkan ibu mentua sebagai musuh atau madu yang mesti dibenci dan disakiti jiwanya.” Demikian cerita Suriani ketika kami berbual di telefon Isnin lalu, dan setelah membaca pengalaman pahit yang dilaluinya dalam surat yang difakskannya kepada penulis.


“Saya tak tahulah apa perasaan ibu-ibu mentua apabila menantu perempuannya menganggap mentua mereka macam musuh, malah setiap kali anak kita datang berkunjung ke rumah kita dia akan ditelefon selang 10 minit menyuruh suaminya segera balik ke rumah, atau bertanya apa yang sedang dibuatnya sekarang.


“Setahu sayalah isteri-isteri yang bermadu sahaja yang sentiasa mendesak suaminya segera balik ke rumah kalau suami ke rumah madunya. Ini dah terbalik, menantu perempuan pula desak suaminya balik cepat setiap kali suaminya datang ke rumah saya. Sungguh pelik perangai menantu saya ini, nama sahaja berpendidikan tinggi, nak jadi doktor konon tetapi perangai macam orang tak bersekolah langsung.



“Saya tak menafikan setiap isu ada puncanya, mungkin juga apa yang menimpa saya ini berpunca daripada permintaan saya supaya melewatkan sedikit pertunangan dan perkahwinan anak lelaki saya, Johan dengan kekasihnya satu ketika dahulu. Maklum waktu itu mereka sama-sama masih menuntut. Saya tak larang Johan kahwin, tetapi biarlah selesai belajar dulu, bekerja, kumpul duit, dah kukuh ekonomi barulah bercerita fasal nak kahwin. Salahkah saya sebagai ibu menasihatkan anak kepada perkara yang baik supaya dia menjadi suami yang bertanggungjawab?


“Sebab saya fikir macam mana dia nak bagi makan anak orang kalau diri sendiri tak bekerja dan mengharapkan sedikit sebanyak bantuan daripada ibu. Kerja dulu, lepas itu barulah cerita fasal nak kahwin.


“Tapi Johan dah tak boleh berfikir dengan baik, dah tak makan nasihat, sebaliknya sentiasa desak nak kahwin segera. Mula-mula suruh kami meminang, katanya, dia terlalu cintakan gadis tu. Dan gadis tulah yang mendesak supaya segera bertunang. Nasihat kami habiskan belajar dulu, dapat ijazah baru cerita fasal berumah tangga, sebab kahwin memang mudah, tetapi untuk menguruskannya bukan senang.


“Lagipun saya ibu tunggal, segala-galanya saya urus sendiri. Saya minta dia bersabar. Maklum nak buat kerja kahwin, bukan mudah, buat kecil pun pakai duit. Segala-galanya mesti disiapkan.


“Nak jadikan cerita habis aja belajar dan balik dari luar negara, Johan sekali lagi mendesak saya pergi meminang, waktu itu saya sedang dalam proses nak besarkan rumah kami, maklum kita kenalah buat perancangan sebelum buat kenduri kahwin. Tapi Johan tak peduli fasal rumah siap atau tidak, sebaliknya mendesak pergi meminang. Pendek kata, setiap kali telefon, perkataan pertama yang tersembur keluar bukan bertanya emak sihat ke, adik-adik okey ke, sihat tak, pelajaran mereka macam mana, tetapi tanya bila nak pergi meminang.


“Saya bekerja, anak-anak lain masih bersekolah, tentulah saya kena fikirkan waktu dan ketika yang sesuai. Saya tak mahu ganggu pelajaran mereka ketika meninggalkan mereka di rumah. Lagipun kampung budak perempuan tu jauh di pantai timur, hampir sehari suntuk perjalanan.


“Puas saya pujuk Johan bersabar, lagipun saya kena tunggu masa sesuai untuk adik-beradik saya boleh pergi meminang. Kita mestilah mendapat sokongan kaum keluarga bukan boleh saya pergi memandai-mandai sendirian, kenalah ikut adat.


“Johan desak sebab perempuan itu, Hidayah sentiasa mendesak, katanya, kalau tak pinang segera dia ugut putuskan hubungan dan melakukan beberapa perkara yang kurang manis dan kurang baik untuk diceritakan di ruangan ini, sebab kita orang Islam. Kerana takut Hidayah buat perkara tak baik dia desak saya meminang segera.


“Dalam keadaan terdesak kedudukan ekonomi, masa dan keadaan persekitaran, saya mengajak beberapa orang adik-beradik berjumpa keluarga Hidayah meminta dan menasihati dia bersabar. Malangnya keluarga Hidayah tidak memberi sokongan, tapi nasihatkan kami kalau anak-anak dah suka kahwinkan mereka segera.



“Nak buat kenduri kahwin bukan mudah, saya ada tiga orang anak masih belajar di IPTA dan menengah. Mereka juga memerlukan wang untuk meneruskan pelajaran, sedangkan yang bekerja saya seorang. Tentulah sulit sikit. Johan juga baru dua bulan bekerja belum disahkan jawatan. Pada saya bila ekonomi dah kukuh, kahwin tidak jadi masalah. Tetapi Hidayah tak faham.


“Johan pula dah nak pakai kereta, duit muka saya kena hulur, nak pakai duit juga. Sebagai ibu tunggal, tentu pembaca faham kedudukan ekonomi saya ketika itu. Malangnya anak tak mahu faham.


“Selesai mengubah suai ruang rumah, Johan menetapkan hari untuk kami pergi meminang, terkejut saya. Adik-adik saya terpaksa ikut. Nak jadikan cerita, Hidayah datang ke rumah beritahu saya dengan tegas bahawa dia cuma nak kahwin dengan Johan bukan nak bawa Johan lari daripada saya. Terkedu saya.


“Terkejut beruk betul, tak sangka perkataan sekasar itu boleh terhambur daripada mulut seorang gadis berpendidikan tinggi, bakal doktor, lemah lembut, bersuara halus, bertudung, baiknya pijak semut tak mati boleh kata saya macam tu. Agaknya dia dah lama mendesak tapi saya minta tangguh, itulah punca dia marahkan saya.


“Hidayah dengan tegas berjanji dia tidak akan putuskan hubungan kami anak-beranak, adik-beradik, malah akan menyokong kuat anak-anak saya supaya maju dalam pelajaran, kerana saya amat mengharapkan Johan melaksanakan tugas menasihati adik-adik kerana suami saya sudah meninggal dunia. Saya juga mengharapkan mereka boleh menjadi manusia berguna, berjaya dalam pendidikan dan tidak menyusahkan saya seorang ibu tunggal.


“Janji Johan dia tidak akan melupakan adik-adik, lebih-lebih lagi Hidayah memberitahu bahawa dia tidak akan membawa lari Johan daripada saya. Kerana desakan demi desakan daripada Johan, dah macam orang setengah gila, akhirnya kami meminang Hidayah. Tak sampai beberapa bulan bertunang, sekali lagi Johan desak saya supaya menyegerakan perkahwinannya.


“Sekali lagi kami terkejut, janjinya Hidayah bekerja dahulu baru nak langsungkan perkahwinan. Kami betul-betul tak menduga Johan begitu takut dengan Hidayah hingga tak berani nak tangguhkan perkahwinan mereka. Sebabnya Hidayah dan Johan belum pasti di mana akan dihantar bertugas. Kerana Hidayah masih belajar, lepas itu dia kena berlatih selama dua tahun lagi. Tetapi malangnya nasihat saya tidak diendahkan langsung oleh Johan. Dia tetap mendesak perkahwinan disegerakan.


“Selepas berkahwin baru terbongkar rahsia sebenarnya Hidayah yang sentiasa desak Johan berkahwin segera. Hidayah sentiasa menyanyikan lagu sedih dan pilunya ke telinga Johan bahawa dia anak mangsa perceraian, dipinggirkan ibunya setelah ibunya kahwin baru. Dia mengaku anak terbiar dan macam-macam lagi cerita buruk berirama sedih untuk memikat Johan.


“Pendek kata, dia gunakan strategi cerita-cerita sedih tentang dirinya untuk memikat dan menarik simpati dan cinta Johan. Saya rasa sedih dia sanggup memburuk-burukkan ibunya sendiri untuk memikat Johan. Kerana terlalu simpati itulah Johan desak saya meminang dia segera.



“Lebih menyedihkan, dia sanggup nak buat perkara tak baik nak telan pil dan sebagainya supaya Johan segera kahwin. Katanya kalau berlaku perkara yang tidak baik, Johanlah yang akan disalahkan nanti.


“Johan pula anak yang terlalu baik, amat bersimpati dengan Hidayah. Lepas kahwin seperti diduga Hidayah bukan sahaja tidak mahu datang apa lagi tidur di rumah saya, malah menelefon bertanya khabar pun dia enggan. Konon jiwanya terguris kerana saya melambatkan majlis pertunangan dan perkahwinan dia dahulu.


“Pernah beberapa kali dia ikut Johan datang ke rumah saya, tapi tak masuk. Dia sanggup duduk dalam kereta beberapa minit menunggu Johan. Kalau Johan lambat keluar dia akan telefon supaya mereka boleh segera tinggalkan rumah saya. Perbuatannya sungguh memalu dan menjatuhkan maruah saya di mata jiran.


“Pada Hidayah hubungan kami sudah tidak apa-apa lagi, semuanya kerana kami melewatkan perkahwinan mereka. Dia langsung tidak tahu menjaga hati mentua, malah mendesak saya menjaga hati dan perasaannya yang terguris konon.


“Kerana hubungannya dengan saya begitu tegang, sudah pasti Johan tidak dapat datang menghadiri apa juga majlis yang diadakan oleh adik-beradik saya. Johan seolah-olah bukan keluarga kami. Bukan itu sahaja nak datang ke rumah saya pun susah, Johan terpaksa berbohong. Kalau tidak dia akan dicari oleh isterinya.


“Anak-anak yang lain sempat berseloroh dan meneka dalam masa beberapa minit lagi telefon Johan akan berbunyi dan Johan akan minta izin untuk pulang serta-merta. Saya benar-benar tidak faham mengapa Johan begitu takut untuk makan minum di rumah ibunya sendiri, tempat dia dibesarkan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan Hidayah akan menelefon Johan setiap 10 minit jika Johan ke rumah saya.


“Apa yang mengecewakan kami, semasa mereka kahwin dahulu, saya lihat rumah Hidayah bukan macam majlis kenduri kahwin, tetapi macam rumah orang mati, sunyi sepi dan tak ramai orang. Tak macam kita orang sebelah pantai barat ini. Meriah!


“Lepas nikah Hidayah langsung tak telefon saya, nak tanya khabar, nak datang menziarah jauh sekali langsung tak ada budi bahasa. Pernah sewaktu Johan datang ke rumah, dia terima telefon, dan tergesa-gesa nak pulang. Bila saya tanya Johan bagi tau kalau dia tak pulang segera ada yang akan masuk hospital. Memang kes serius!


“Moral cerita saya ini bimbinglah anak lelaki kita menjadi seorang yang bertanggung jawab dan pemimpin keluarga yang baik, ini kesilapan saya. Kalau perempuan jadilah isteri yang bijaksana, menghormati keluarga. Kerana berkahwin bermakna mengeratkan hubungan dua buah keluarga yang besar bukan pecah belahkannya.



“Dan lebih penting hormati keluarga mentua tak kira sebelah lelaki mahupun perempuan kerana tanpanya boleh menghancurkan dan mengeruhkan suasana dalam keluarga sendiri.” Demikian cerita Suriani tentang masalah hubungannya dengan menantu perempuannya.


Seperti kata Suriani, mungkin bukan beliau seorang yang menghadapi masalah dengan anak menantu, dan satu pesanannya, tangisan seorang isteri tidak sampai ke mana berbanding doa ibu yang kasihnya membawa ke syurga. Begitulah sebaliknya.

No comments: