Sunday, July 30, 2006

30/07/2006 : Bukan mudah menjaga saudara baru

KISAH yang dipaparkan di bawah ini mungkin lain daripada apa yang pernah anda baca. Bukan kisah rumah tangga, masalah anak-anak dengan ibu bapanya ataupun kisah andartu mahupun duda dan ibu tunggal yang kesunyian. Apa lagi kisah suami yang sedang diamuk cinta yang ganas. Bukan juga kisah penderitaan isteri yang sakit jiwa dengan perangai suami mereka yang kaki pukul.


Sebaliknya menceritakan pengalaman Kamaruddin yang telah sekian lama terpisah dengan temannya saudara baru. Kamaruddin juga menceritakan pengalaman pahitnya untuk menikahkan saudara baru itu mengikut undang-undang dan syarat negara ini.



Dalam e-mel yang dikirimkan, Kamaruddin mengharapkan kisah yang diceritakan ini dapat menjadi iktibar di samping membuat kita berfikir adakah kita sendiri telah menyusahkan kehidupan saudara baru dengan kerenah birokrasi ataupun kita malas untuk mengambil berat masalah yang dihadapi oleh saudara baru ini.


“Apa yang saya ceritakan di bawah ini adalah pengalaman saya yang membantu seorang saudara baru, segala-galanya bermula dengan minat dan inisiatif saya sendiri ingin menabur bakti kepada saudara seagama, bukan sekadar mencari pahala, tetapi membuat kebajikan kepada masyarakat yang ingin mendekati Islam yang dicintai ini.


“Kebiasaannya setiap hujung minggu, saya dan rakan-rakan akan melakukan ziarah kepada saudara seagama untuk bercerita tentang Islam dan kebaikannya, baik untuk diri sendiri dan masyarakat supaya kita memperbetulkan diri, bukan untuk mengajar, tetapi untuk kita sama ingat mengingatkan demi kebaikan bersama.



“Kerana kita sedia maklum untuk bercerita tentang dunia, semua orang amat arif tetapi untuk bercerita tentang benda-benda ghaib kita kena sentiasa bercerita supaya peringatan sentiasa ada dalam diri kita.


“Pada suatu petang saya dan beberapa orang rakan kumpulan menziarahi sebuah rumah, tak perlulah saya ceritakan di mana dan kami memberi salam. Tuan rumah keluar. Apa yang kami agak terkejut rupa paras tuan rumah seiras seorang Cina. Ketika itu kami fikir kami tersalah rumah. Bukan rumah orang Melayu.


“Dia menjawab salam dan menjemput kami masuk. Hilang rasa terkejut, kerana fikirkan dia masih orang Melayu berwajah seakan seorang Cina. Tetapi setelah perkenalkan diri, jelaslah dia seorang saudara baru bernama Lokman.


“Kepada kami dia ceritakan dia telah memeluk Islam ketika menuntut di United Kingdom dua tahun sebelum pulang ke tanah air. Kerana begitu tertarik dengan ceritanya, saya kerap menziarahi Lokman dan sejak itu kami menjadi kawan rapat.


“Dalam masa yang sama saya mencuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab saya melaksanakan haknya sebagai saudara baru di negeri ini. Sebenarnya seperti kebanyakan saudara baru hasrat Lokman untuk memeluk agama Islam mendapat tentangan hebat daripada kaum keluarganya sendiri terutama bapanya.


“Saya cuba fahami keadaan dan masalahnya di samping menasihatinya banyak bersabar. Kami sering berjumpa di masjid selepas solat maghrib dan isyak bertanya khabar.


“Suatu hari saya terkejut apabila mendapati rumah Lokman kosong, tiada penghuninya. Semua barang dan perabot dalam rumah itu juga tidak ada. Bermacam-macam persoalan bermain di minda. Esok malamnya saya mendapat panggilan telefon daripada Lokman. Dia memberitahu, bapanya datang ke rumahnya dan menuntut dia pulang ke kampungnya di utara semenanjung dengan segera. Pada malam itu dia bergaduh besar dengan bapanya.


“Lokman datang daripada keluarga yang berada. Bapanya memberi dia kata putus supaya dia meninggalkan Malaysia selama tiga tahun dan menetap di Singapura. Dan satu lagi syaratnya sekiranya dalam masa tersebut Lokman masih nekad sebagai seorang Islam, maka bapanya tak akan mengganggu lagi.


“Daripada apa yang dicerita, saya dapat tafsirkan bahawa bapanya telah tahu Lokman telah berada di dalam suasana masjid dan Islam. Dan tindakan bapanya menyuruh dia menetap di Singapura mungkin supaya ada perubahan hidup Lokman nanti.



“Bapa Lokman juga mengarahkannya supaya tinggal dan bekerja di Singapura. Buat sementara waktu sebelum dia mendapat kerja tetap yang sesuai maka segala perbelanjaan dan sara hidup semasa berada di perantauan ditanggung oleh bapanya.


“Cerita Lokman membuat saya menjadi risau sebab kebetulan kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadan. Bagaimana puasa dan ibadatnya yang lain dan macam mana dia dapat melaksanakan semua itu? Selang beberapa hari, Lokman menelefon saya dan memberitahu, dia sudah menyewa bilik keluarga Cina dan masih mencari pekerjaan.


“Saya beritahu Lokman bahawa apa yang berlaku adalah ujian Allah. Kerana Allah amat sayangkan Lokman dan saya terus menasihatinya supaya jangan beranggapan untuk menjadi seorang yang beragama Islam terasa sangat susah.


“Untuk mengurangkan rasa resah di hati boleh dikatakan tiap-tiap malam dia menelefon saya. Dan pada setiap kali dia menelefon, tiada perkataan lain dapat saya ucap kecuali banyak bersabar. Oleh kerana suasana dah berubah, Lokman mengaku bahawa dia telah meninggalkan puasa selama beberapa hari.


“Saya pernah beritahu lokman kalau ingin mencari pilihan hidup carilah isteri sebangsa supaya ayahnya tidak menuduh Lokman menukar agama semata-mata kerana ingin bernikah dengan wanita Melayu. Moga-moga kebencian bapanya sedikit reda sekiranya dia mendapat menantu Cina, kerana masih banyak masyarakat Cina tidak dapat membezakan dua perkara yang amat berbeza iaitu antara Islam dan Melayu.


“Suatu hari saya berpeluang bekerja ke Johor Bahru. Saya ambil kesempatan menziarah Lokman di Singapura. Kebetulan saya pergi bersama arwah kawan saya. Tujuan saya sememangnya untuk melihat keadaan Lokman di negara itu.


“Bagi saya Lokman sudah seperti adik sendiri. Kami bertemu di sebuah masjid tabligh di Singapura supaya senang di perkenalkan kepada orang Islam tempatan untuk sentiasa berhubung dengan Lokman. Keadaan Lokman memang berubah, tubuhnya sedikit kurus dan wajahnya jelas dalam kerunsingan. Seperti biasa saya pohon supaya dia banyak bersabar. Saya tahu berat mata memandang, berat lagi bahu Lokman memikul.


“Lokman kemudian beritahu dia ingin bernikah dengan wanita Cina yang belum lagi beragama Islam. Saya beritahunya syarat-syarat yang dia perlu patuhi. Keluarga Lokman gembira bila diberitahu dia ingin bernikah dengan wanita yang mereka kenali daripada keluarga berada juga.


“Kebetulan mereka bertemu di Singapura dan wanita tersebut penduduk tetap Australia. Lokman membuat keputusan lepas nikah untuk berhijrah ke Australia. Boleh dikatakan setiap malam Lokman telefon untuk mendapat pandangan tentang perkahwinannya nanti.



“Semakin hari, saya menjadi semakin buntu dan menganggap masalah yang Lokman hadapi seumpama masalah saya sendiri. Sementara itu pada pandangan keluarganya, Lokman sudah tidak serius lagi dengan Islam. Saya juga beritahu Lokman untuk menyukakan hati keluarganya walaupun dalam keadaan penuh terpaksa. Saya nasihatkan dia ikut sahaja adat perkahwinannya walaupun dibuat bukan mengikut lunas-lunas Islam. Cuma nasihat saya jangan bersatu dengan isterinya sebab dia belum halal.


“Pada masa yang sama, saya berjumpa seorang imam di tempat tinggal saya di Petaling Jaya, dan saya ceritakan keadaan Lokman dan minta beliau kalau boleh uruskan soal pernikahan Lokman secara Islam.


“Malangnya permintaan saya tidak semudah yang disangka sebab banyak birokrasi yang terpaksa Lokman tempuhi. Saya berasa teramat kecil hati sebab mengapa mesti menyusahkan satu perkahwinan yang dibuat dengan niat baik.


“Malam berikutnya Lokman menelefon tujuannya datang ke rumah saya agar pernikahan dilaksanakan di Malaysia. Malangnya dengan rasa sedih saya terpaksa beritahu Lokman agar terus bersabar dan menjelaskan bahawa dia perlu tukar identiti Islam agar apa yang terjadi kelak dari segi tuntutan anak dan mayat dapat diperjelaskan kemudiannya. Alhamdulillah Lokman faham dan sedar tanggungjawab barunya.


“Selang beberapa minggu, Lokman pun berhijrah ke Australia bersama isterinya yang belum lagi sah. Jiwa saya masih tertekan. Kebetulan pada malam tersebut Lokman telah menelefon saya dari Australia beritahu keadaannya di sana dan bagaimana untuk mengatasi masalah pernikahannya itu.


“Dengan izin Allah kebetulan arwah kawan saya telah ke Australia berkursus. Saya beritahu arwah supaya mencari Lokman di sana sekiranya sempat dan carilah imam di masjid terdekat untuk membantu menyelesaikan masalahnya.


“Sekembalinya arwah ke tanah air, dia memberitahu dia tak sempat mencari Lokman tetapi mendapat alamat masjid terdekat. Apabila Lokman menelefon dari Australia saya, beritahu Lokman supaya mencari masjid tersebut dan berjumpa dengan imam di sana dan ceritakan segala masalah yang sedang dia hadapi.


“Alhamdulillah selang seminggu Lokman menjadi suami isteri yang sah dinikahkan di sebuah masjid di Australia. Lokman telah menelefon dan menyampaikan berita gembira itu kepada saya. Walaupun Lokman bukan adik-beradik saya, tetapi beritanya membuatkan saya berasa begitu gembira.


“Peristiwa ini berlaku 10 tahun lalu. Tetapi sekarang saya telah kehilangan Lokman. Saya tidak tahu di mana dia kini. Saya sudah beberapa kali pindah dan beberapa kali kad ucapan yang saya hantar kepada Lokman di Perth, Australia tidak mendapat balasan.



“Mungkin kini Lokman telah beranakpinak dan bahagia setelah puas mengharungi ujian. Sehingga kini saya masih teringatkan Lokman apakah dia masih Lokman yang saya kenal dahulu? Harapan dan doa saya semoga Lokman menjadi insan yang beriman dan beramal soleh. Sekiranya Lokman berpeluang membaca coretan saya ini di Perth hubungi Puan Maimunah untuk mendapat alamat dan e-mel saya.


“Di sini saya juga ingin mengingatkan kawan-kawan semua bukan senang menjaga saudara baru sekiranya diri kita sendiri tiada persediaan rohani dan jasmani,” demikian cerita Kamaruddin tentang pengalaman pahit manis bersama saudara baru. Pendek kata, jangan mudah kita mengislamkan seseorang jika kita tidak menjaga kebajikannya.

Read more!

Sunday, July 9, 2006

09/07/2006 : Isteri hampir masuk wad psikiatri

>KISAH minggu lalu tentang penderitaan ibu bapa kerana anaknya dibuli mendapat sambutan daripada pembaca. Selain menceritakan pengalaman sendiri, ada juga ibu bapa ingin membantu.


Antara pandangan mereka, bukan semua yang belajar di asrama gembira dengan hidup dalam kumpulan besar. Ada yang merasakan satu penyeksaan dan lebih selesa duduk di rumah.



Namun lebih ramai yang suka sekolah berasrama. Pendek kata, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Namun kepada yang ingin memberi pandangan, nasihat dan panduan kepada Jamaliah, semua e-mel anda telah disampaikan.


Dan minggu ini sekali lagi kita mendengar keluhan hati seorang isteri yang terpaksa menemui pakar psikiatri dan menelan pil penenang setiap hari semata-mata untuk menenangkan fikiran dan emosinya akibat perbuatan suami yang kejam.


Ketika ditemui baru-baru ini di sebuah kondo milik kawan baiknya, Eliana memberitahu, beliau sungguh tidak menduga pengorbanannya untuk suami dan keluarga langsung tidak dihargai.



Episod duka bermula sejak mereka berkahwin dan ditambah bila suaminya Hafizi mempunyai teman wanita silih berganti.


“Saya berkorban menolak peluang belajar keluar negara semata-mata kerana cinta. Kata Hafizi, kalau saya tinggalkan dia bermakna saya tak cintakan dia, kerana itu saya tidak mengikut kehendak ibu bapa supaya meneruskan pelajaran sebaliknya bersedia untuk berkahwin. Niat saya, kalau ada rezeki bila-bila pun boleh belajar.


“Sayangnya saya bukan sahaja dikhianati oleh suami, malah mentua dan adik-beradiknya. Di sinilah bermulanya episod sedih kehidupan saya. Ibu Hafizi bencikan saya kerana saya orang bandar, sedangkan dia lebih sukakan gadis pilihannya sendiri.


“Dua puluh tahun lalu hantaran saya RM5,000 itu kira dah hebat, emaknya kata, Hafizi boleh dapat tiga orang isteri. Sejak itu mereka sekeluarga memulaukan saya. Bukan itu sahaja, malah mendakwa saya tak pandai masak, dan suka menghabiskan wang anaknya. Sedangkan saya juga bekerja dan saya bukan dari keluarga orang susah, walaupun bukan mewah. Ibu saya tak pernah minta duit saya setiap bulan, sebaliknya membantu kalau saya susah.


“Saya dapati punca mereka bencikan saya kerana saya bukan seketurunan dengannya, dan orang bandar. Dalam fikiran ibu dan adik-beradik mereka yang kolot itu, semua isteri bergantung dengan suami, menghabiskan duit suami dan kalau bekerja pun pendapatan isteri tak sebanyak mana, mereka mendakwa gaji anak mereka (walaupun lulusan kolej) lebih besar daripada saya, mereka tak peduli saya lulusan U.


“Kerana bencikan saya, setiap kali balik kampung, mereka akan bercakap dalam loghat yang saya tak faham dan memulaukan saya. Kalau saya cuba membantu di dapur mereka akan ke depan, kalau saya ke depan mereka ke dapur. Tetapi saya bersabar aja. Demikianlah kelakuan mereka setiap kali saya ke kampungnya.


“Bila emaknya bencikan saya, Hafizi bukan menyokong, tapi turut menyakiti hati saya. Ia bermula dengan meminta duit saya untuk diberikan kepada keluarganya yang sentiasa laparkan duit itu. Memikirkan yang baik, saya bantu, tapi kita pun susah juga.


“Nak jadikan cerita dengan bantuan kawan, saya galakkan Hafizi lanjutkan pelajaran ke luar negara. Malah saya berjanji akan membantunya. Tetapi ibunya membantah saya mengikutnya belajar keluar negara, katanya buat habiskan duit aja.


“Tapi Hafizi berkeras mengajak, tanpa saya dia tidak mungkin berjaya. Selama di negara orang, saya melakukan pelbagai kerja menambah pendapatan. Di samping membantu dia menyiapkan tugasan dan hasilnya selama empat tahun di sana, dia lulus dan saya sendiri berpeluang membuat sarjana. Saya tak kata saya pandai, tetapi itulah kelebihan saya diberikan Allah.



“Bila bekerja dengan jawatan yang lebih baik, saya fikirkan tentulah Hafizi bersyukur dan berusaha lebih baik untuk keluarganya, tetapi sebaliknya, dia lupa daratan, suami hilang arah sebaliknya wangnya banyak dihabiskan di luar dengan wanita lain.


“Sebagai isteri tentu saya kecewa dan cuba menasihatinya, tetapi sia-sia, sebaliknya saya menjadi sasaran maki hamunnya. Bila saya hubungi wanita tersebut bukannya mereka mahu memutuskan hubungan, malah mendakwa mereka akan berkahwin. Siapa tak kecewa.


“Saya tak mahu mengadu kepada ibu bapa saya, takut mereka susah hati, dengan ibu bapanya jauh sekali tentulah dia suruh Hafizi ceraikan saya, kerana saya bukan menantu pilihan. Semuanya saya pendam.


“Dalam pada itu saya terus melahirkan anak, yang tua lahir di Malaysia, dua lagi semasa kami di luar negara. Masuk anak kelima, kehidupan saya menjadi lebih tidak tenteram dan tidak terurus. Fikiran saya tambah kusut bila Hafizi menuduh anak kami yang kecil itu bukan anaknya, kerana dia memang tak suka saya beranak lagi.


“Sejak hamil, hidup saya tidak tenteram, ada saja yang tidak kena dalam hidupnya. Bukan saya mengamuk kerana dia ada kekasih lain, tetapi dia sengaja menyakiti hati, menuduh saya mengandung anak haram.


“Waktu itu baru saya tahu betapa benarnya kata orang tua-tua tentang penyakit meroyan, dan saya hampir-hampir gila kerana tuduhan dan kelakuannya yang buruk sepanjang waktu saya hamil dan setelah melahirkan anak. Itu belum masuk lagi gangguan wanita lain yang sentiasa memaki hamun saya kerana hendak berkahwin dengan Hafizi.


“Kerana tidak tertahan dengan kelakuannya dan tekanan hidup, saya rela diceraikan. Biar dia kahwin jika itu baik untuknya, saya tak tahan lagi melayan kerenahnya yang sentiasa bertukar kekasih. Lebih membebankan, dia tidak mahu bertanggungjawab kepada rumah tangga sejak balik dari luar negara.


“Saya terpaksa menyediakan makan minum sekeluarga, duit sekolah anak-anak, duit saku, buku tahunan, duit transport ke sekolah, pakaian, pendek kata, semuanya. Dia cuma bayar duit ansuran rumah, kereta hinggakan duit makan dia ke tempat kerja pun dia minta daripada saya. Alasannya dia banyak hutang kad kredit, tapi bukan untuk belanja keluarga, sebaliknya untuk dirinya sendiri berpeleseran setiap malam.


“Hafizi buat baik ketika saya dapat bonus. Hujung bulan ada saja masalahnya saya mesti bantu. Kalau tak dapat duit dia mengamuk. Kerana takut, saya terpaksa serahkan semuanya. Hinggakan barang kemas hadiah ibu saya ke pajak gadai.



“Lepas bercerai dia rujuk kembali, kerana memikirkan anak-anak, saya setuju, sedangkan saya selesa tanpa dia di sisi selama sebulan, tetapi saya termakan juga pujukannya. Malangnya hidup saya lebih menderita. Dia cuba menutup perbuatan jahatnya dengan menyeksa saya, dia jalankan taktik menyerang emosi dan psikologi.


“Kalau dia tahu saya ada meeting pagi itu dia akan keluar lambat supaya saya terlambat pergi kerja, kalau saya pergi tak beri dia duit kerana kehabisan duit dia akan suruh saya keluar dari kereta di tengah-tengah jalan suruh pergi kerja sendiri.


“Ketika itulah saya terasa nak terjun bangunan tinggi. Saya pernah berdiri di tengah jalan untuk dilanggar kereta atau lori, tetapi saya masih terselamat. Kalau pembaca melihat cuma dari masalah suami ada kekasih lain mungkin kecil, tetapi fikiran saya turut diganggu dengan sikapnya suka berhutang dan memaksa saya membayar.


“Dulu saya ada kereta sendiri, dia suruh jual untuk bantu dia selesaikan hutang kad kredit tetapi hairannya, hutang masih tak selesai, kereta saya diberi kepada adiknya dan dalam waktu yang sama saya terpaksa bayar ansuran kereta tersebut dan terpaksa menumpang dia pergi kerja setiap hari.


“Bukan sekali, tapi dua kali dia buat macam tu, habis kereta pertama, hutang kereta kedua pula saya kena bayar, dia guna taktik yang sama. Lepas tu dia suruh saya ambil pinjaman bank RM40,000 untuk selesaikan hutang kad kredit. Saya tak boleh bantah, sebab takut dia mengamuk yang berakhir dengan kena pukul.


“Setelah dibebankan dengan pelbagai hutang dia halau saya keluar rumah. Dia ceraikan saya. Saya buat pengaduan ke pejabat kadi. Mereka tak benarkan saya keluar rumah malah minta Hafizi datang membuat pengesahan, tapi dia tak pergi. Kalau saya keluar rumah memang saya tak berduit langsung. Ke mana nak bawa anak-anak? Dia suruh saya keluar dengan anak-anak sebab nak kahwin lain.


“Saya tak marah dia nak kahwin lagi tapi cerailah dengan betul, daftarkan. Lebih menekan jiwa, dalam waktu yang sama dia masih mahukan layanan seks. Dalam rumah, pinggan, mangkuk, cawan, piring boleh dikira dengan jari. Semua jadi mangsa dinding bila dia naik angin. Saya dah tak peduli nak hiaskan rumah. Semua dah hancur.


“Inilah puncanya saya hampir masuk wad psikiatri dan berakhir dengan menelan pil penenang, hingga kini lebih tiga tahun hidup saya begini. Bercerai ke tidak saya tak tahu. Namun saya bersyukur doktor dan kawan-kawan tertentu berjaya menasihati saya supaya tumpukan perhatian kepada kerja dan anak-anak, kerana tanpa kerja siapa yang akan menanggung persekolahan mereka. Saya bersyukur dalam masa tertekan ini, saya berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan dinaikkan pangkat. Tapi saya percaya semua ini tidak akan berjaya tanpa ubat penenang. Tapi sampai bila?


“Bila dia lihat saya menjawat jawatan lebih baik akhir-akhir ini, dia buat taktik baru tuduh saya layan lelaki lain. Siap pasang spy di pejabat suruh perhatikan saya jumpa jantan mana, makan dengan siapa. Hinggakan saya tak boleh bercakap dengan lelaki langsung. Sedangkan kerja saya memerlukan saya berjumpa dengan ramai orang lelaki atau perempuan.



“Kalau saya pergi out station pun dia pasang spy, siapa tunggu dan hantar saya di airport, siapa makan malam dengan saya, sedangkan tugas dan kedudukan saya, sewajarnya saya mendapat layanan semua itu. Tapi kerana takut dipukul saya menolak itu semua, saya naik teksi ke airport, dan makan dalam bilik hotel sendiri.


“Saya juga bersyukur anak-anak berjaya dalam pelajaran, mereka menyebelahi dan mengambil iktibar daripada masalah hidup saya. Saya nasihatkan mereka kalau mahu senang, belajar pandai-pandai. Mereka menyokong saya supaya jangan keluar dari rumah, kalau ayah mereka nak kahwin lagi biarlah dia yang keluar. Mereka tahu jumlah hutang saya dan mengapa saya jadi hampir setengah gila.


“Malah mereka membimbing dan menasihati adik mereka yang kecil supaya jangan peduli cakap ayah yang tidak mahu mengaku dia anaknya. Kini anak-anaklah kekuatan saya. Saya gembira mereka dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA walaupun ketika kehidupan kami berantakan. Kata mereka, itulah kekuatan mereka belajar lebih kuat lagi.” Demikian cerita Eliana tentang penderitaan hidupnya yang tidak pernah padam sejak mula berkahwin dahulu.


Dia bersyukur Allah s.w.t. masih sayangkannya lagi dan dia lebih gembira dengan kejayaan anak-anaknya. Pengorbanannya tidak sia-sia.


Daripada kawan-kawan saya dapat tahu ramai wanita yang dirawat di wad psikiatri akibat tekanan jiwa. Semoga ada usaha segera dibuat supaya wanita mendapat potongan nafkah anak-anak sebaik sahaja diceraikan.

Read more!

Sunday, July 2, 2006

02/07/2006 : Ibu bapa menderita kerana anak dibuli

KASIH ibu terhadap anaknya bagaikan sungai yang tidak putus airnya, sentiasa mengalir, kerana kasih yang tidak berbelah bagi itulah membawa saya bertemu dengan Puan Jamaliah pada satu malam setelah beliau selesaikan tugas di pejabat dan urusan rumah tangga yang perlu diberikan perhatian.



Kata Jamaliah, sejak berkahwin 20 tahun lalu, beliau suami isteri telah mengikuti (Di Celah-Celah Kehidupan) DCCK.


“Hujung minggu saya tidak begitu lengkap jika belum lagi membaca ruangan ini. Dan ketika membaca kisah Susahnya membesarkan anak lelaki yang disiarkan beberapa bulan yang lepas menarik perhatian saya untuk menyumbang kepada ruangan ini. Kalau selama ini saya membaca masalah orang lain, tidak diduga kini saya penyumbangnya.


“Saya pegawai kanan kerajaan dan suami pula adalah seorang pengurus di sebuah syarikat swasta terkemuka, mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka bersekolah kebangsaan, petangnya ke sekolah agama.


“Kami bersyukur anak-anak kami cemerlang di sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama. Mereka dilatih bersembahyang sejak kecil. Ayahnya amat penyayang dan suka bercerita dengan anak-anak sebelum tidur, walaupun keletihan kerana beliau mahu memberikan perhatian kepada anak-anak.



“Hujung minggu atau cuti sekolah kami pergi bersiar-siar atau melancong bersama-sama. Dan kami perhatikan anak kedua kami Jamil, walaupun malas ulang kaji pelajaran tetapi keputusan setiap ujian atau peperiksaan, dia sentiasa cemerlang. Pada umur lima tahun dia dapat menyelesaikan masalah matematik. Jadi tidak hairanlah dia dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Dia terlalu gembira, namun kami tidak memaksa dia menerimanya.


“Kami juga tidak pernah memaksa anak-anak kami pergi kelas tuisyen, namun abangnya Jalal ditawarkan belajar ke luar negara kerana cemerlang dalam SPM. Jamal gembira sebelum ke sekolah berasrama penuh. Tetapi keadaannya berubah sedikit demi sedikit hampir setahun dia di sana. Dia lebih suka memencilkan diri. Memikirkan inilah perubahan anak masuk ke alam remaja kami tidak mengesyaki yang buruk.


“Namun apa yang kami lihat perbelanjaan bulanannya walaupun di asrama amat tinggi hingga mencecah RM400 sebulan. Bila ditanya alasannya, dia tak berapa suka makanan di asrama, suka makan di kantin. Kami tidak berkira asalkan dia gembira. Dia dapat straight A dalam peperiksaan PMR.


“Tetapi keadaannya banyak berubah bila dalam tingkatan empat. Kebetulan satu hari Ahad bulan Oktober kami sekeluarga pergi melawatnya. Setelah memberitahu pengawas bertugas, nama Jamal dipanggil tetapi dia tidak muncul. Kami terkejut bila diberitahu kawannya dia dihantar bermalam di rumah guru kaunselor perempuan yang terletak di kawasan sekolah sejak dua malam sebelum itu kerana terdapat sedikit pergaduhan di surau di antara Jamal dengan murid lain.


“Kami kemudian dibawa ke rumah guru tersebut dan berbincang pasal Jamal. Guru kaunselor perempuan ini beritahu Jamal menghadapi tekanan perasaan. Dan diberi cuti dua hari. Dalam perjalanan balik saya cuba memujuknya dengan membeli makanan kegemarannya. Tanpa diduga Jamal marah dan meninggikan suara, itulah pertama kali saya mendengar dia meninggikan suara. Kami terkejut.


“Sampai di rumah dia terus naik ke biliknya, memasang lagu sekuat-kuatnya. Ayahnya cuba memujuknya juga tidak berjaya. Kerana bosan ditanya, dia turun ke bawah memasang televisyen dan menguatkan suaranya. Selepas makan malam, saya cuba pujuk, dia tambah marah dan memukul saya. Semalaman saya menangis sedih melihatkan perubahan yang berlaku.


“Semasa cuti sekolah, Jamal selalu gelisah dan tanpa disedari dia selalu mencuri guna telefon saya dan ayahnya untuk menelefon guru kaunselor itu. Apabila moodnya nampak baik, saya bertanya dan mengajak dia berbincang. Tetapi dia tak mahu bercakap, dia lebih suka mencurahkan masalahnya dengan guru kaunselor perempuan itu. Kami tidak mengesyaki sesuatu kerana guru ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.


“Bila kami cadangkan dia mengikuti kem cuti sekolah, dia membantah, sebaliknya meminta kami benarkan dia bercuti ke rumah guru tersebut. Saya memberi rasional kenapa tidak boleh. Tetapi dia mengamuk marah dan menengking saya balik.


“Dengan pertolongan abang saya, kami usahakan membawa Jamal berjumpa pakar psikiatri dan beberapa orang ustaz. Abang juga menyarankan anaknya yang ketika itu menunggu keputusan SPM tinggal di rumah saya untuk menemaninya.



“Apabila penggal persekolahan bermula saya bertanyakan kawannya punca Jamal bergaduh di surau. Maklumat yang saya dapati ada beberapa pelajar yang suka mengambil kesempatan, mengacau dan membulinya. Kami tidak pasti sampai ke tahap mana Jamal dibuli. Kami sampaikan kepada pihak sekolah, dan pihak sekolah berjanji memastikan tiada pelajar yang membuli anak saya lagi selepas itu.


“Kami juga meminta supaya Jamal tidak dihantar berjumpa guru kaunselor perempuan lagi. Tiap-tiap minggu kami melawatnya. Malangnya minggu ketiga, saya dikejutkan panggilan telefon daripada pengetua yang mengatakan anak saya telah mencuri masuk bilik guru kaunselor perempuan semasa guru itu mengadakan aktiviti dengan pelajar lain. Jamal enggan keluar, dia ingin berjumpa guru tersebut.


“Malam itu juga kami tiba dan pengetua menasihatkan supaya anak saya dihantar ke sekolah harian. Jamal tidak mahu ke sekolah biasa. Di rumah, Jamal berjanji depan abang saya bahawa dia akan mengikut peraturan sekolah. Sekali lagi kami merayu pengetua dan diberikan tempoh seminggu sebagai percubaan.


“Mereka memberikan pelbagai alasan menolak sambil mendakwa Jamal sering lambat ke kelas ulang kaji, terlihat dalam insiden pergaduhan dalam asrama dan makan chewing-gum, sedangkan kawan-kawannya menafikan. Manakala pihak sekolah terus menolak.


“Jamal enggan ke sekolah lain. Bila tidak dipenuhi Jamal naik berang memecahkan barangan di rumah seperti kipas, televisyen, pinggang mangkuk, cermin kereta dan sebagainya. Setiap kali mengamuk dia akan mengatakan pihak sekolah tidak adil mengapa dia kena buli dihukum sedangkan pembuli dibebaskan.


“Sejak itu setiap hari seawal pukul 3 hingga 5 pagi dia masuk ke bilik kami mengamuk kerana tidak puas hati ditukar ke sekolah baru. Perbuatannya memang menakutkan kami hingga terpaksa memanggil polis apabila dia bertindak ganas dalam rumah.


“Sebagai ibu, saya sedih dengan perubahannya yang mendadak daripada anak yang baik, tidak pernah meninggikan suaranya, hormat dan taat kepada ibu bapa kepada seorang pemarah. Dia tidak memusuhi adik-adiknya kecuali kami ibu bapanya.


“Di sekolah dekat rumah abang saya. Kami difahamkan dia tidak buat kacau tetapi tidak boleh menumpukan perhatian dalam kelas. Dia jadi pendiam, tidak suka berkawan dan sentiasa murung. Dia meminta kembali ke rumah.


“Jamal mendapat rawatan psikiatri. Dia terpaksa dirawat di wad. Di situlah terbongkar rahsia dia menanggung penderitaan mental dan fizikal kerana dibuli dan didera selama empat tahun belajar di sekolah berasrama penuh itu. Dia tidak melawan tapi menyimpan perasaan marah itu dan melepaskan kepada kami. Ini diakui oleh kawannya.



“Pada malam pergaduhan di surau, dia dihantar ke rumah guru kaunselor perempuan. Katanya, dia berbaring di riba guru tersebut beralaskan bantal dan memegang tangan guru tersebut sambil diberi kaunseling. Ketika itulah dia merasakan hanya guru itulah saja yang mengambil berat tentang dirinya dan peristiwa itu dia tidak boleh dilupakan hingga dia jatuh hati dengan guru tersebut kerana guru itu juga katanya sukakan dia.


“Taulah kami mengapa dia ingin ke rumah guru tersebut, tak mahu pindah sekolah, tak mahu keluar dari pejabat guru itu dan sering menelefonnya. Apabila mengaitkan semua peristiwa ini, saya membuat rumusan memang dia tertekan selama ini. Kini setelah tingkatan lima dia mahu membuktikan dia tidak boleh dibuli lagi dan akan melawan sesiapa yang akan mengganggu hidupnya.


“Masalah kedua, dia jatuh hati dengan guru itu, itulah punca dia ingin bertemu dan masuk ke bilik guru. Dia tidak mengikut peraturan sekolah sebagai protes kerana tidak dapat berjumpa guru kaunselor dan kecewa kerana budak-budak yang membulinya tidak dihukum. Itulah luahan hatinya. Hatinya lebih terguris bila guru-guru dan kawan-kawan mengatakan dia tidak siuman. Dan dia kecewa kerana dilayan macam perempuan.


“Walaupun dia disuntik ubat anti-depression yang tahan dua minggu, tetapi dia tetap berang. Menurut doktor pakar, Jamal mengalami major depression. Lebih dua puluh ribu ringgit kami kerugian bila barangan rumah dipecahkan.


“Saya sedih, tertekan dan sering menangis bila mengenangkan punca Jamal menghadapi tekanan perasaan. Keadaannya yang tidak tenteram tidak dapat mengambil SPM tahun lalu. Kami juga kesal dia budak pandai boleh berubah kerana dibuli. Kerana terlalu memikirkan masalah Jamal, kini saya diserang penyakit, suami saya mendapat strok mujurlah hanya minor.


“Banyak sebab saya kesal dengan pihak sekolah, pertama jika Jamal perlukan kaunselor mengapa dihantar ke rumah guru kaunselor perempuan? Ke mana kaunselor lelaki? Sebagai bekas pelajar sekolah berasrama penuh, jika murid-murid ada masalah ibu bapanya segera diberitahu, mengapa kami tidak diberitahu? Kalaulah kami tidak melawat Jamal hari Ahad itu tentu perkara ini kami tak tahu.


“Kepada mereka yang pernah membuli anak saya, ingatlah segala kesusahan dan air mata saya selama ini pasti akan saya tuntut di akhirat kelak.


“Sebagai ibu, saya mahu Jamal segera pulih dan harapan kami jika ada remaja IPTA/ IPTS di luar sana yang ikhlas ingin menjadi teman dan membimbing Jamal, kami harapkan bantuan anda. Harapan kami supaya dia dapat melupakan peristiwa hitam empat tahun dia di sekolah berasrama penuh itu. Kami harap Jamal dapat duduk peperiksaan SPM bulan November nanti,” demikian curahan hati Jamaliah yang kecewa dengan nasib yang menimpa anaknya.


Kepada anda yang pernah mendera, membuli kawan-kawan semasa di sekolah dahulu, cuba lihat diri anda sekarang? Adakah anda bahagia? Kepada anak-anak yang sedang membuli ingatlah, doa orang teraniaya kepada Allah tidak ada hijab.


Read more!