KASIH ibu terhadap anaknya bagaikan sungai yang tidak putus airnya, sentiasa mengalir, kerana kasih yang tidak berbelah bagi itulah membawa saya bertemu dengan Puan Jamaliah pada satu malam setelah beliau selesaikan tugas di pejabat dan urusan rumah tangga yang perlu diberikan perhatian.
Kata Jamaliah, sejak berkahwin 20 tahun lalu, beliau suami isteri telah mengikuti (Di Celah-Celah Kehidupan) DCCK.
“Hujung minggu saya tidak begitu lengkap jika belum lagi membaca ruangan ini. Dan ketika membaca kisah Susahnya membesarkan anak lelaki yang disiarkan beberapa bulan yang lepas menarik perhatian saya untuk menyumbang kepada ruangan ini. Kalau selama ini saya membaca masalah orang lain, tidak diduga kini saya penyumbangnya.
“Saya pegawai kanan kerajaan dan suami pula adalah seorang pengurus di sebuah syarikat swasta terkemuka, mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka bersekolah kebangsaan, petangnya ke sekolah agama.
“Kami bersyukur anak-anak kami cemerlang di sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama. Mereka dilatih bersembahyang sejak kecil. Ayahnya amat penyayang dan suka bercerita dengan anak-anak sebelum tidur, walaupun keletihan kerana beliau mahu memberikan perhatian kepada anak-anak.
“Hujung minggu atau cuti sekolah kami pergi bersiar-siar atau melancong bersama-sama. Dan kami perhatikan anak kedua kami Jamil, walaupun malas ulang kaji pelajaran tetapi keputusan setiap ujian atau peperiksaan, dia sentiasa cemerlang. Pada umur lima tahun dia dapat menyelesaikan masalah matematik. Jadi tidak hairanlah dia dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Dia terlalu gembira, namun kami tidak memaksa dia menerimanya.
“Kami juga tidak pernah memaksa anak-anak kami pergi kelas tuisyen, namun abangnya Jalal ditawarkan belajar ke luar negara kerana cemerlang dalam SPM. Jamal gembira sebelum ke sekolah berasrama penuh. Tetapi keadaannya berubah sedikit demi sedikit hampir setahun dia di sana. Dia lebih suka memencilkan diri. Memikirkan inilah perubahan anak masuk ke alam remaja kami tidak mengesyaki yang buruk.
“Namun apa yang kami lihat perbelanjaan bulanannya walaupun di asrama amat tinggi hingga mencecah RM400 sebulan. Bila ditanya alasannya, dia tak berapa suka makanan di asrama, suka makan di kantin. Kami tidak berkira asalkan dia gembira. Dia dapat straight A dalam peperiksaan PMR.
“Tetapi keadaannya banyak berubah bila dalam tingkatan empat. Kebetulan satu hari Ahad bulan Oktober kami sekeluarga pergi melawatnya. Setelah memberitahu pengawas bertugas, nama Jamal dipanggil tetapi dia tidak muncul. Kami terkejut bila diberitahu kawannya dia dihantar bermalam di rumah guru kaunselor perempuan yang terletak di kawasan sekolah sejak dua malam sebelum itu kerana terdapat sedikit pergaduhan di surau di antara Jamal dengan murid lain.
“Kami kemudian dibawa ke rumah guru tersebut dan berbincang pasal Jamal. Guru kaunselor perempuan ini beritahu Jamal menghadapi tekanan perasaan. Dan diberi cuti dua hari. Dalam perjalanan balik saya cuba memujuknya dengan membeli makanan kegemarannya. Tanpa diduga Jamal marah dan meninggikan suara, itulah pertama kali saya mendengar dia meninggikan suara. Kami terkejut.
“Sampai di rumah dia terus naik ke biliknya, memasang lagu sekuat-kuatnya. Ayahnya cuba memujuknya juga tidak berjaya. Kerana bosan ditanya, dia turun ke bawah memasang televisyen dan menguatkan suaranya. Selepas makan malam, saya cuba pujuk, dia tambah marah dan memukul saya. Semalaman saya menangis sedih melihatkan perubahan yang berlaku.
“Semasa cuti sekolah, Jamal selalu gelisah dan tanpa disedari dia selalu mencuri guna telefon saya dan ayahnya untuk menelefon guru kaunselor itu. Apabila moodnya nampak baik, saya bertanya dan mengajak dia berbincang. Tetapi dia tak mahu bercakap, dia lebih suka mencurahkan masalahnya dengan guru kaunselor perempuan itu. Kami tidak mengesyaki sesuatu kerana guru ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
“Bila kami cadangkan dia mengikuti kem cuti sekolah, dia membantah, sebaliknya meminta kami benarkan dia bercuti ke rumah guru tersebut. Saya memberi rasional kenapa tidak boleh. Tetapi dia mengamuk marah dan menengking saya balik.
“Dengan pertolongan abang saya, kami usahakan membawa Jamal berjumpa pakar psikiatri dan beberapa orang ustaz. Abang juga menyarankan anaknya yang ketika itu menunggu keputusan SPM tinggal di rumah saya untuk menemaninya.
“Apabila penggal persekolahan bermula saya bertanyakan kawannya punca Jamal bergaduh di surau. Maklumat yang saya dapati ada beberapa pelajar yang suka mengambil kesempatan, mengacau dan membulinya. Kami tidak pasti sampai ke tahap mana Jamal dibuli. Kami sampaikan kepada pihak sekolah, dan pihak sekolah berjanji memastikan tiada pelajar yang membuli anak saya lagi selepas itu.
“Kami juga meminta supaya Jamal tidak dihantar berjumpa guru kaunselor perempuan lagi. Tiap-tiap minggu kami melawatnya. Malangnya minggu ketiga, saya dikejutkan panggilan telefon daripada pengetua yang mengatakan anak saya telah mencuri masuk bilik guru kaunselor perempuan semasa guru itu mengadakan aktiviti dengan pelajar lain. Jamal enggan keluar, dia ingin berjumpa guru tersebut.
“Malam itu juga kami tiba dan pengetua menasihatkan supaya anak saya dihantar ke sekolah harian. Jamal tidak mahu ke sekolah biasa. Di rumah, Jamal berjanji depan abang saya bahawa dia akan mengikut peraturan sekolah. Sekali lagi kami merayu pengetua dan diberikan tempoh seminggu sebagai percubaan.
“Mereka memberikan pelbagai alasan menolak sambil mendakwa Jamal sering lambat ke kelas ulang kaji, terlihat dalam insiden pergaduhan dalam asrama dan makan chewing-gum, sedangkan kawan-kawannya menafikan. Manakala pihak sekolah terus menolak.
“Jamal enggan ke sekolah lain. Bila tidak dipenuhi Jamal naik berang memecahkan barangan di rumah seperti kipas, televisyen, pinggang mangkuk, cermin kereta dan sebagainya. Setiap kali mengamuk dia akan mengatakan pihak sekolah tidak adil mengapa dia kena buli dihukum sedangkan pembuli dibebaskan.
“Sejak itu setiap hari seawal pukul 3 hingga 5 pagi dia masuk ke bilik kami mengamuk kerana tidak puas hati ditukar ke sekolah baru. Perbuatannya memang menakutkan kami hingga terpaksa memanggil polis apabila dia bertindak ganas dalam rumah.
“Sebagai ibu, saya sedih dengan perubahannya yang mendadak daripada anak yang baik, tidak pernah meninggikan suaranya, hormat dan taat kepada ibu bapa kepada seorang pemarah. Dia tidak memusuhi adik-adiknya kecuali kami ibu bapanya.
“Di sekolah dekat rumah abang saya. Kami difahamkan dia tidak buat kacau tetapi tidak boleh menumpukan perhatian dalam kelas. Dia jadi pendiam, tidak suka berkawan dan sentiasa murung. Dia meminta kembali ke rumah.
“Jamal mendapat rawatan psikiatri. Dia terpaksa dirawat di wad. Di situlah terbongkar rahsia dia menanggung penderitaan mental dan fizikal kerana dibuli dan didera selama empat tahun belajar di sekolah berasrama penuh itu. Dia tidak melawan tapi menyimpan perasaan marah itu dan melepaskan kepada kami. Ini diakui oleh kawannya.
“Pada malam pergaduhan di surau, dia dihantar ke rumah guru kaunselor perempuan. Katanya, dia berbaring di riba guru tersebut beralaskan bantal dan memegang tangan guru tersebut sambil diberi kaunseling. Ketika itulah dia merasakan hanya guru itulah saja yang mengambil berat tentang dirinya dan peristiwa itu dia tidak boleh dilupakan hingga dia jatuh hati dengan guru tersebut kerana guru itu juga katanya sukakan dia.
“Taulah kami mengapa dia ingin ke rumah guru tersebut, tak mahu pindah sekolah, tak mahu keluar dari pejabat guru itu dan sering menelefonnya. Apabila mengaitkan semua peristiwa ini, saya membuat rumusan memang dia tertekan selama ini. Kini setelah tingkatan lima dia mahu membuktikan dia tidak boleh dibuli lagi dan akan melawan sesiapa yang akan mengganggu hidupnya.
“Masalah kedua, dia jatuh hati dengan guru itu, itulah punca dia ingin bertemu dan masuk ke bilik guru. Dia tidak mengikut peraturan sekolah sebagai protes kerana tidak dapat berjumpa guru kaunselor dan kecewa kerana budak-budak yang membulinya tidak dihukum. Itulah luahan hatinya. Hatinya lebih terguris bila guru-guru dan kawan-kawan mengatakan dia tidak siuman. Dan dia kecewa kerana dilayan macam perempuan.
“Walaupun dia disuntik ubat anti-depression yang tahan dua minggu, tetapi dia tetap berang. Menurut doktor pakar, Jamal mengalami major depression. Lebih dua puluh ribu ringgit kami kerugian bila barangan rumah dipecahkan.
“Saya sedih, tertekan dan sering menangis bila mengenangkan punca Jamal menghadapi tekanan perasaan. Keadaannya yang tidak tenteram tidak dapat mengambil SPM tahun lalu. Kami juga kesal dia budak pandai boleh berubah kerana dibuli. Kerana terlalu memikirkan masalah Jamal, kini saya diserang penyakit, suami saya mendapat strok mujurlah hanya minor.
“Banyak sebab saya kesal dengan pihak sekolah, pertama jika Jamal perlukan kaunselor mengapa dihantar ke rumah guru kaunselor perempuan? Ke mana kaunselor lelaki? Sebagai bekas pelajar sekolah berasrama penuh, jika murid-murid ada masalah ibu bapanya segera diberitahu, mengapa kami tidak diberitahu? Kalaulah kami tidak melawat Jamal hari Ahad itu tentu perkara ini kami tak tahu.
“Kepada mereka yang pernah membuli anak saya, ingatlah segala kesusahan dan air mata saya selama ini pasti akan saya tuntut di akhirat kelak.
“Sebagai ibu, saya mahu Jamal segera pulih dan harapan kami jika ada remaja IPTA/ IPTS di luar sana yang ikhlas ingin menjadi teman dan membimbing Jamal, kami harapkan bantuan anda. Harapan kami supaya dia dapat melupakan peristiwa hitam empat tahun dia di sekolah berasrama penuh itu. Kami harap Jamal dapat duduk peperiksaan SPM bulan November nanti,” demikian curahan hati Jamaliah yang kecewa dengan nasib yang menimpa anaknya.
Kepada anda yang pernah mendera, membuli kawan-kawan semasa di sekolah dahulu, cuba lihat diri anda sekarang? Adakah anda bahagia? Kepada anak-anak yang sedang membuli ingatlah, doa orang teraniaya kepada Allah tidak ada hijab.
No comments:
Post a Comment