‘‘SUDAH terlalu banyak kisah yang kita baca mengapa ramai suami ingin kahwin lagi, ingin bercinta lagi ataupun bermain cinta dengan wanita atau gadis lain. Mereka mempunyai pelbagai alasan membenarkan apa yang mereka lakukan.
Seperti biasa isterilah menjadi punca atau penyebab mengapa mereka jadi demikian.
‘‘Di sini saya ingin bertanya salahkah kalau seseorang isteri itu jatuh cinta lagi dan minta cerai kerana kesalahan dan kesilapan suaminya? Memang saya sudah dapat agak jawapan pembaca semua, ramai yang mengutuk dan membenci tindakan isteri sedemikian dengan pelbagai alasan menyalahkan si isteri, tetapi kenapa jika suami yang lakukan semuanya kelihatan betul dan benar. Mengapa? Malah turut menyalahkan isteri konon tidak pandai melayan suami. Salahkah kalau saya katakan bahawa suami juga tidak tahu menyayangi dan menilai isteri punca isterinya berubah kasih?’’ demikian persoalan besar yang dibentangkan oleh Puan NuriAina dalam e-melnya kepada penulis dan ketika kami berbual panjang.
Beliau bawakan persoalan ini setelah membaca kisah minggu lalu ‘‘Pelik bila isteri orang bercinta lagi”. Kepada beliau tidak ada peliknya persoalan ini, kerana ada sebabnya mengapa perkara itu berlaku.
‘‘Sudah banyak kisah kehidupan saya baca dari ruangan yang cukup menarik hati ini, tetapi saya rasa tak ada satu pun persoalan yang dibawakan sama seperti hebatnya pengalaman pahit yang saya lalui selama ini.
‘‘Saya bukan hendak memperjuangkan hak-hak wanita dalam kehidupan, tetapi saya ingin bertanya apakah salah perbuatan saya, jika suami saya tidak tahu melayan dan melihat isi hati saya selama ini yang menjadi punca kasih sayang dan cinta berubah.
‘‘Untuk tidak membuang banyak masa puan saya ingin berterus terang masalah saya sejak lebih enam tahun lalu. Dulu rumah tangga saya aman bahagia, kami sama-sama pelajar lulusan luar negara kembali ke tanah air dan menjawat jawatan yang baik juga sebelum berumah tangga lebih 15 tahun lalu. Sayangnya, setelah hampir 10 tahun berkahwin suami saya Kay mula buat hal bercinta dengan ramai gadis.
‘‘Puas saya bersabar dan menasihatinya, supaya ingatkan anak-anak yang sedang membesar dan perniagaannya yang sedang meningkat, tetapi semua nasihat saya tidak dipedulikan. Lebih lima tahun lamanya saya bersabar dengan kerenahnya yang jarang lekat di rumah, setelah berhenti jadi orang bisnes. Semua alasannya pulang lewat diletakkan kepada urusan bisnes, tetapi saya tahu semua itu dalihnya untuk mencari hiburan di luar bersama kawan-kawan.
‘‘Bila berhibur lebih dipentingkan dan diberi keutamaan daripada perniagaan, lama-kelamaan perniagaan kucar-kacir. Bila timbul masalah, rakan kongsi dipersalahkan, lepas itu kakitangan dibuang dan dipinggirkan kerana tidak bekerja dengan betul dan tidak amanah. Tetapi pada saya semuanya berpunca daripada dirinya yang tidak tahu menguruskan perniagaan kerana lebih pentingkan kawan dan bercinta.
‘‘Bila perniagaan kucar-kacir, mulalah buat hutang untuk menambah modal dan pelbagai alasan yang menurut ceritanya dia sajalah yang betul, orang lain semua salah. Bila lilitan hutang sukar diungkai, ketika itulah dia nampak saya sahaja tempat mengadu dan boleh meminta bantuan.
‘‘Dan tidak keterlaluan kalau saya katakan dia nampak saya setelah kawan-kawan dan keluarga khususnya adik-beradiknya tidak dapat membantu dan memberi pinjaman dan menjadi penjamin kepada pinjaman bank yang hendak dibuat. Ibunya sendiri tidak memberikan tanahnya dicagarkan.
‘‘Bila semuanya buntu, Kay nampak saya saja tempat dia bersandar. Tetapi saya bukan seperti sesetengah wanita yang tidak pernah belajar dari pengalaman pahit yang pernah mereka lalui, yang masih sayangkan suami sanggup bergadai bergolok dan menjadi galang-ganti malah sanggup menyerahkan batang leher untuk dicagarkan.
‘‘Disebabkan pengalaman pahit kerana ditinggalkan dan kasih sayang saya selama ini tidak dihargai ketika dia di puncak kejayaan, maka saya mengelak untuk menjadi penjamin untuk pinjaman bank. Tambahan pula pekerjaan saya sendiri yang ada kena-mengena dengan perbankan membuatkan saya tidak mahu dan tidak boleh mencagarkan diri saya untuk jadi penjamin.
‘‘Bila saya tolak sudah pasti berlaku bertengkaran hebat antara kami. Kay tidak mahu mendengar penjelasan sebaliknya menuduh saya cuma inginkan kesenangan tetapi tidak mahu berkorban wang ringgit untuknya. Katanya, kalau dia senang dan berjaya dalam perniagaan, saya dan anak-anak juga yang senang.
‘‘Saya menafikan, saya katakan kalau dia berjaya, bukan kami anak-beranak yang senang tetapi dirinya di samping kawan-kawan tempat dia berhibur selain kekasih-kekasihnya, juga adik-beradiknya.
‘‘Saya mengingatkan Kay, bahawa di sebalik kejayaan dan kesenangannya saya anak-beranak berasa ditinggalkan. Saya dibiarkan membayar ansuran pinjaman rumah kami yang telah digadaikannya semula semasa dia mula-mula buat bisnes dahulu.
‘‘Saya tanya Kay mengapa dia menganiaya dan membebankan hidup saya dengan hutang yang banyak. Sepanjang kejayaannya pada tahun pertama, dia ingatkan kami lepas itu langkahnya semakin jauh. Dia tidak peduli pelajaran anak-anak, malah terlupa untuk membawa kami makan angin seperti semasa dia bekerja dahulu. Pada saya bisnesnya telah menjauhkan dia dengan kehidupan kami sekeluarga.
‘‘Dulu waktu Kay mula-mula nak buat bisnes saya menyokongnya, malah bergadai bergolok pun saya sanggup, kerana dahulu Kay memang sayangkan kami anak-beranak dan tidak pernah melupakan keluarganya. Dia juga mengurus perbelanjaan rumah dan anak-anak dengan baik, walaupun kami cuma makan gaji.
‘‘Tetapi sayangnya selepas dia berjaya, janji tinggal janji. Selama lebih lima tahun saya bersabar, sambil mengharapkan dia akan berubah dan kembali memegang janjinya. Sayangnya semakin hari berlalu, kami semakin dilupakan terutama bila rangkaian kawan-kawannya bertambah ramai.
‘‘Puas saya bersabar menguruskan rumah tangga dan anak-anak dengan perbelanjaan hidup semakin meningkat menyebabkan gaji dan simpanan semakin berkurangan. Waktu itu memang saya kesal, sedih bercampur sayu mengingatkan suami yang amat saya cintai sudah berubah.
‘‘Ketika itulah saya bertemu dengan Im, senior dan kawan lama kami ketika di AS, kerana dia juga mengenali Kay, perkenalan kami cepat mesra. Kepada dialah saya mencurahkan isi hati. Im banyak menasihati saya supaya bersabar, katanya, dalam setiap perkahwinan itu pasti akan ada ujian sama ada kecil mahupun besar. Jadi sebagai umat-Nya kita perlu besabar. Katanya lagi semua ujian itu bertujuan supaya kita lebih mengingati-Nya. Kerana biasanya apabila kita senang kita lupa kepada-Nya. Saya tak nafikan mungkin itu kealpaan saya mahupun Kay.
‘‘Minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, hubungan dan bersahabatan kami menjadi lebih akrab. Kerana Im cepat mesra tambahan pula dialah tempat kami meminta nasihat dan bantuan ketika mula-mula datang ke AS dahulu.
‘‘Persabahatan kami sedikit demi sedikit bertukar menjadi lebih mesra. Semuanya kerana ketika itu saya amat memerlukan seseorang untuk meminta nasihat atau mendengar masalah rumah tangga saya yang begitu terhimpit. Im seorang pendengar yang baik dan penyabar. Dia pun semakin rapat dengan saya setelah Kay tidak mempedulikan nasihatnya. Kerana ketika itu Kay di puncak kejayaan. Oleh kerana Im bukan kaki keluar malam atau kelab malam, maka dia bukan sahabat baik Kay.
‘‘Kerana tidak mahu menjadi penjamin, perniagaan Kay semakin sulit. Sikap pemarah dan pembengisnya semakin teruk. Akibatnya hubungan kami renggang. Sakit hatinya menjadi-jadi bila dia lihat kejayaan saya dalam pekerjaan, dan naik pangkat.
‘‘Kerana sakit hati juga dia tuduh saya ada kekasih, tambahan dia tahu saya baik dengan Im. Dia tuduh kami bercinta. Sebenarnya hubungan saya dengan Im cuma kawan biasa pada awalnya, tetapi bila dah lama bohonglah kalau saya katakan saya tidak ada perasaan padanya.
‘‘Mulanya saya nafikan tuduhan Kay, sebab kami tidak ada niat nak kahwin ataupun bercinta, sebab kami tidak pernah melahirkan perasaan masing-masing, cuma kami cepat mesra. Tetapi bila sering dituduh perasaan sebagai kawan terhadap Im semakin bertukar. Bila saya berterus-terang dengan Im dia juga tidak menafikan. Malangnya masing-masing ada ikatan.
‘‘Walaupun saya tidak berhasrat untuk berkahwin dengan Im, tetapi desakan Kay membuat saya terdesak meminta cerai. Sebabnya mudah, saya tidak mahu didesak jadi penjamin. Dan hati saya sakit bila dituduh sebagai perempuan tak baik kerana menduakan suami. Saya tidak boleh terima tuduhannya dan saya tak mahu anak-anak terpengaruh. Jadi daripada bergaduh lebih baik saya berpisah biarlah dia dengan jalannya sendiri. Kalau dia berjaya satu hari nanti itu rezeki dia.
‘‘Tetapi Kay enggan ceraikan saya. Dia masih duduk di rumah dan terus memaki hamun saya bila-bila dia suka. Saya dapat tahu dia baru memberi nafas baru kepada bisnesnya bersama rakan kongsinya yang baru. Dan tetap memerlukan bantuan.
‘‘Ada kawan suruh saya bawa anak-anak tinggalkan Kay. Tetapi nak duduk mana sedangkan saya terpaksa bayar ansuran rumah yang kami duduk sekarang. Kalau tak bayar nama saya akan disenaraihitamkan. Kay pula tak mahu keluar sebaliknya dia yang halau saya. Takkan saya nak keluar sedangkan dia duduk free. Nak jual pun tak boleh sebab mahal sangat. Saya benar-benar terikat kerana percayakan Kay dahulu.
‘‘Kerana masalah inilah juga menyebabkan cinta saya kepada Im semakin mendalam. Dialah menyejukkan hati saya. Itu cukup bermakna kerana orang yang saya cintai menganiaya saya. Tetapi bukanlah bermakna saya minta cerai kerana nak kahwin dengan Im. Saya mahu dibebaskan kerana tidak tahan lagi dengan sikap Kay.
‘‘Sebenarnya saya boleh hidup dengan Kay kalau dia tidak mengganggu hidup saya. Kalau dah tak buat bisnes, duduk aja di rumah, saya boleh uruskan semua ini, tetapi jaga mulut, jangan tuduh sembarangan. Tetapi masalahnya Kay dah biasa jadi bos tak mahu jadi pengikut dan diarah.
‘‘Bila tak berjaya dan menyedari dirinya tidak berupaya lagi dia menyusahkan hidup saya. Sentiasa mencari jalan menyalahkan saya. Sebab itu saya minta diceraikan. Saya tak mahu jiwa, hati, perasaan dan emosi saya terganggu dengan pelbagai pertuduhan yang menyakitkan hati dan bukan salah saya pada awalnya.
‘‘Jadi di sini saya ingin tanya kalau suami nak kahwin lagi atau ceraikan isterinya bagi alasan isteri tak pandai layan dan tak memahami jiwanya, maka salahkah isteri minta cerai, bercinta lagi atau nak kahwin lagi kerana suami tidak bertanggungjawab, menganiaya dan melupakan keluarganya? Rasa-rasanya alasan saya lebih kuat,’’ demikian cerita Nuri Aina yang masih tinggal serumah dengan suaminya. Tetapi hati, perasaan dan katil lain-lain. Katanya, Kay enggan ceraikannya, nak bawa ke mahkamah dia kesiankan perasaan anak-anak terganggu.
Sebenarnya bukan Nuri Aina sahaja berkeadaan begini malah ada segolongan wanita yang memendam rasa sejak sekian lama kerana sikap suami. Mereka terpaksa mendiamkan diri kerana bukan mudah nak tuntut cerai bila suami enggan. Mahkamah Syariah bukan tempat wanita mengadu nasib, jadi hiduplah mereka memendam rasa dengan perasaan penuh kebencian. Apakah ini dikehendaki Allah dan fikirkan juga emosi anak-anak yang lahir dari keluarga seperti ini. Di manakah keluarga harmoni kita? Wahai suami anda wajib bertanggungjawab.