Sunday, January 7, 2007

07/01/2007: Pelik bila isteri orang bercinta lagi

“SAYA terpaksa menghantar e-mel kali ketiga bertanyakan apakah e-mel saya terdahulu telah puan terima,’’ demikian e-mel Allyna, yang membuat saya menghubunginya. Sebenarnya bukan tak mahu menghubunginya, tetapi kesuntukan waktu dan ada kisah lain yang terpaksa didahulukan.


Ketika berbual di telefon, Allyna memberitahu, bukan dia mendesak supaya kisahnya segera disiarkan, tetapi jiwanya tidak tenteram selagi tidak dapat meluahkan perasaan hatinya yang terganggu. Pelbagai persoalan bermain di mindanya membuatkan hidupnya tidak tenteram, terutama apabila suaminya diganggu oleh orang ketiga.



“Saya rasa bukan saya sahaja yang berfikiran seperti itu, mana-mana wanita pun jika suaminya diganggu orang lain, sementelah lagi jika si suami bermain cinta dengan wanita lain tentu hidup isterinya tidak akan tenteram, begitu juga saya.


“Seperti orang lain, saya juga adalah pengikut setia ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK). Selama ini banyak kisah yang saya baca, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah saya sehinggalah dua tiga bulan lepas. Telah puas saya memanjat doa ke hadrat Allah agar kemelut ini segera berakhir. Saya tahu bahawa jawapannya hanya ada pada Allah. Kerana saya sudah tidak terdaya lagi untuk berteka-teki, kerana selagi saya tidak mendapatkan jawapannya, maka selagi itulah hidup saya tidak akan tenteram.


“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi kisah saya dengan pembaca lain, kerana hidup saya selama ini aman bahagia, tidak ada pergolakan, kalaupun kami ada sedikit pertengkaran, ia akan segera selesai. Kami suami isteri saling faham-memahami, dan saya tahu suami saya, Khir tidak mahu merosakkan hati apa lagi rumah tangga kami.


“Sudah hampir 18 tahun kami berumah tangga. Usia saya dah dekat 40 tahun dan memang saya berkahwin dalam usia muda, saya dengan Khir sebaya. Sudah tentulah kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Saya kenal Khir sejak sama-sama menuntut di U dan habis belajar kami terus berkahwin, sebab itu anak-anak kami pun dah besar. Dan saya meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk membina rumah tangga aman dan masa depan anak-anak terjamin. Dan kehidupan kami memang selesa.



“Kami sama-sama bekerja cuma bezanya Khir menguruskan perniagaan sendiri. Hampir semua orang mengenali Khir dan akan sependapat mengatakan dia mempunyai sebahagian sifat-sifat terpuji sebagai seorang suami dan kawan, di samping mempunyai rupa paras yang menawan. Bertuahnya saya mendapatnya sebagai suami.


“Sepanjang perkahwinan, kekurangan suami saya memang ada sedikit sebanyaknya tetapi tidak menjadi kudis kepada saya. Atas gambaran yang saya berikan mengenai suami saya, mungkin pembaca hairan, apa sangat yang dilakukan suami hingga boleh membuat hati saya hampir hancur kini.


“Sesiapa pun tidak menafikan sikap Khir itu menjadikan saya kadang-kadang menderita. Tambahan pula kerana tanggapan orang, dia memang mempunyai personaliti dan sikap menarik, malangnya keadaan itu membuatkan jiwa saya terdera.


“Sebabnya, kerana kebaikan, personaliti, sikapnya membuatkan ramai wanita yang tertarik dan tergila-gilakannya, malah ada yang daring cuba menarik perhatiannya walau wanita itu tahu Khir telah beristeri dan sudah beranak-pinak.


“Kadang-kadang saya naik angin kerana sikapnya yang baik kepada semua orang tak kira lelaki tambah-tambah lagi perempuan, dan semua orang dilayan dengan baik, membuatkan ramai wanita menaruh harapan padanya. Walaupun dia tak layan.


“Kalaupun ada wanita berminat padanya dan cuba melampau batas seorang kawan tetapi Khir segera memberitahu, dia tidak melayan wanita tersebut. Katanya, biarlah mereka telefon, hantar SMS atau merayu, kalau dia tak layan, lama-lama wanita tersebut akan menarik diri. Dan itulah yang berlaku. Katanya, dia tahu dia sudah berkeluarga dan ada tanggungjawab.


“Tetapi berapa lama dan berapa ramai perasaan wanita dia boleh ketepikan, sebab akan ada satu ketika, ada wanita akan tergila-gilakannya. Dan apa yang saya bimbangkan itu kini telah pun terjadi.


“Wanita ini kenalannya kerana sama-sama berurusan dalam perniagaan, bila dah masuk lubuk ini tentulah Khir perlukan ramai kawan. Malangnya wanita inilah yang sentiasa mengganggu Khir. Bukan itu sahaja sikap dan kedegilannya amat mengguris perasaan saya. Walaupun sebelum ini saya tahu ada tiga, empat orang wanita cuba menggoda Khir, tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Tetapi wanita ini, Mariya, memang tak malu, sanggup membelakangkan suaminya demi mengejar cinta Khir.


“Mulanya saya tak sedar juga, entah macam mana dengan gerak hati dan dengan kuasa Allah Yang Maha Besar, perbuatan wanita ini terbongkar apabila saya terbaca SMS Mariya kepada Khir yang berbaur cinta, kasih, sayang dan pujuk rayu yang amat sangat. Berdebar jantung saya membacanya.



“Mulanya saya tak tahu siapa Mariya, hinggalah saya jalankan siasatan sendiri. Dia seorang yang berjawatan tinggi di pejabatnya dan Khir memang terpaksa berhubung dan berurusan dengannya, maklum orang berniaga. Tetapi Mariya sudah berumah tangga mempunyai empat orang anak yang sudah pun besar-besar.


“Setelah saya fikirkan dan mengingat kembali, saya memang pernah dengar nama Mariya dari Khir bila dia bercerita tentang urusannya kepada saya. Tetapi saya tak terfikir Mariya boleh mengeluarkan perkataan tersebut kepada lelaki lain kerana kedudukannya yang berjawatan tinggi dan sudah pun berumah tangga.


“Memang saya langsung tak terfikir dan menyangka ada isteri orang boleh mencurah ucapan cinta dan kasih sayangnya kepada lelaki lain, tambah-tambah lelaki itu sudah beristeri. Setiap SMSnya akan memanggil Khir sayangku. Bila Khir tidak menjawab SMSnya dia akan merayu-rayu agar Khir menjawab segera. Katanya, dia sedang rindu yang teramat kepada Khir.


“Mujur juga saya tidak ada penyakit jantung atau darah tinggi. Kalau tidak pasti Khir terpaksa mengejarkan saya ke hospital. Atau kalau dah naik gila, saya boleh pergi menyerangnya di pejabatnya. Kerana mengganggu rumah tangga orang lain.


“Kata Khir, masalah ini boleh diselesaikan dengan berbincang dengannya. Khir menyuruh saya mengawal diri dan jangan terburu-buru. Sebab atas apa juga perbuatan buruk saya, boleh menjejaskan perniagaan dan hubungan baiknya dengan ramai kawan-kawan yang berkaitan rapat antara satu sama lain. Khir minta saya bersabar.


“Khir mengaku memang dia sedar sudah lama Mariya menghantar SMS cinta kepadanya, tetapi dia tidak melayannya. Dia cuma menjawab jika Mariya bercakap dengan baik atau bertanyakan pandangannya tetapi tidak melayan perasaan cinta atau duka nestapa yang dilalui Mariya. Itu urusan dia, biarlah dia uruskan. Begitu kata Khir.


“Dia juga tidak pernah berjumpa Mariya di luar kalau bukan atas urusan kerja. Kerana saya mendesak supaya dia memutuskan hubungannya dengan Mariya, akhirnya Khir berjanji akan segera menyelesaikan isu perasaan Mariya secepat mungkin. Tetapi malangnya hubungan mereka tetap berjalan macam biasa dan Mariya akan sentiasa menghantra SMS cintanya atau telefon Khir bila-bila dia suka.


“Saya rasa teraniaya, tapi saya tidak pasti siapa menganiayai saya, Mariya atau Khir. Sebelum saya jumpa bukti ini kira-kira setahun lalu, memang saya terdengar Mariya menelefon Khir ketika di rumah. Untuk apa saya tidak pasti. Selepas kisah ini terbongkar, Khir berusaha meyakinkan sayangnya kepada saya, walau selama ini memang dia sentiasa menekankan sayangnya pada saya, berlebih lagi selepas peristiwa itu.


“Bila saya mendesak Khir mengapa Mariya tak habis-habis mengacau hidup saya, Khir menekankan dia mencuba berkali-kali meminta Mariya menghentikan perbuatannya tetapi tidak berhasil. Dia tidak tahu cara apa lagi yang boleh dilakukan untuk menolak perasaan Mariya terhadapnya.



“Tidak lama dahulu untuk meyakinkan saya bahawa antara dia dengan Mariya tidak apa apa-apa hubungan, Khir menganjurkan satu majlis di rumah kami, ramai tetamu dijemput termasuklah Mariya. Khir mahu meyakinkan saya dan mahu saya membuangkan sebarang prasangka buruk dan syak-wasangka saya terhadap Mariya.


“Memang saya terkejut berjumpa Mariya. Pertama dia bukanlah seperti wanita yang saya sangkakan selama ini. Dari perwatakan dan wajahnya, tidak menggambarkan bahawa dia seorang wanita penggoda, seksi ataupun mengada-ngada. Penampilannya seperti isteri-isteri lain. Pakaiannya sopan, bertudung, tidak menampakkan auratnya, baik di pergelangan tangannya, kakinya mahupun ada rambut yang terkeluar. Tudungnya lebih labuh daripada saya. Pendek kata, pakaiannya tidak menggambarkan kelakuan dan perbuatannya selama ini.


“Saya layan dia dengan baik seperti wanita rakan-rakan dan kenalan suami saya yang lain. Bila teringatkan perbuatannya saya langsung tak terfikir dia boleh berkelakuan seperti itu. Di akhir majlis dia bersungguh-sungguh meminta maaf dengan saya. Saya tidak dapat menduga apakah beliau ikhlas. Namun saya menerima maafnya kerana tidak mahu bermasam muka apa lagi nak bergaduh. Khir beberapa kali mengingatkan perbuatan saya boleh mengganggu urusannya.


“Sehingga kini saya masih tidak boleh memadankan iras wajahnya seperti wanita baik-baik tidak seperti perlakuannya terutama kata-kata rayuannya kepada suami saya yang masih terngiang sehingga kini.


“Sungguh tak sangka Mariya berkelakuan seperti ini sedangkan dia sudah minta maaf dari saya, tapi dia tetap hubungi Khir. Kalau mereka berhubung kerana tugas, saya maafkan, tetapi tidak akan maafkan kalau lain daripada itu. Saya tidak sanggup berteka- teki lagi. Saya berserahkan kepada Allah mengembalikan Mariya ke pangkal jalan.


“Tujuan saya membentangkan pengalaman pahit saya hanya kerana satu sebab, di zaman serba moden di mana wanita bebas mengejar apa sahaja kemajuan, saya lihat semakin hari semakin hilang segala perasaaan malu dan nilai ketimuran seseorang wanita hinggakan seorang ibu dan isteri sanggup mencurah kasih sayangnya pada suami orang. Tidakkah dia sedar, syurga isteri terletak dari keredaan suami?


“Kepada wanita bekerja, janganlah jadikan kebebasan yang diberi suami untuk keluar rumah sebagai tiket berfoya-foya dan bermain perasaan mencintai lelaki lain. Kepada suami-suami, termasuk suami saya, janganlah cuba-cuba melayan walau hanya sekadar main-main, kerana jika sudah terperangkap susah untuk keluar dari jaringan perasaan wanita tersebut, sedangkan hati masih sayang kepada isteri.


“Sekiranya Mariya membaca luahan ini, saya ingin tahu apakah tujuannya bermain perasaan cinta dengan Khir? Saya kira ada juga peranan mengheret perasaan beliau sehingga memanggil suami saya sayang.


“Kalaupun anda ada masalah rumah tangga, itu bukan lesen mendekati suami saya. Cari cara lain, bukan memujuk rayu suami orang,’’ demikian cerita Allyna.



Zaman ini macam-macam perkara boleh terjadi, tidak ada peliknya lagi isteri orang mencintai suami orang, tambah-tambah lagi bila ada yang berani menggunakan kuasa dan kedudukannya. Namun kita jangan lupa setiap yang baik akan dibalas baik, demikian juga sebaliknya. Jangan menyesal kalau yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Gara-gara inginkan yang lebih baik, akhirnya dapat hampas, waktu itu menyesal dah tak berguna.


Pernah terjadi isteri meminta cerai kerana hendak kahwin dengan lelaki yang lebih kaya dan berjawatan tinggi, walaupun terpaksa bermadu. Tetapi sayangnya dah bercerai dia ditinggalkan, nak rujuk, suami tak mahu lagi. Siapa rugi?

No comments: