SETIAP kali saya membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam DCCK (Di Celah-Celah Kehidupan) ia membuat jiwa dan hati saya amat tersentuh. Pelbagai kisah dipaparkan, walaupun mungkin tidak satu pun sama dengan masalah yang sedang saya hadapi, tetapi hati saya terasa amat pilu dan pedih bagaikan dihiris sembilu.
‘‘Benar kata orang, cuma mereka yang tidak pernah dilambung ombak badai di lautan kehidupan sahaja yang tidak akan tahu dan dapat merasakan betapa terseksanya jiwa bila diri menjadi buah mulut dan perbicaraan ramai terutama mertua dan ipar.
‘‘Tetapi kepada wanita yang seangkatan saya setiap kisah yang dipaparkan turut menjeruk rasa dan setiap kali itu juga saya berdoa supaya masalah tidak akan terkena kepada saya yang sudah cukup teruk menanggung penderitaan,” demikian cerita Noraini dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis.
‘‘Terus terang saya katakan saya cepat terasa apabila kisah yang dipaparkan menyebut tentang hubungan anak dengan ibu atau menantu dengan mertua. Kerana masalah itu saya rasa seakan sama dengan cerita saya, walaupun ceritanya lain, tetapi saya dapat rasakan mertua saya yang turut membaca kisah ini akan mengutuk saya.
‘‘Terutama apabila saya baca kisah suami yang hidupnya bagai lembu dicucuk hidung. Dia terpaksa akur, taat, dan takut kepada isterinya. Bila membacanya saya segera muhasabah diri apakah saya seperti isteri tersebut? Kerana seingat saya, tidak pernah saya berkelakuan seperti itu kepada suami saya Zamarul.
‘‘Saya berkahwin hampir 18 tahun. Hidup kami suami isteri cukup aman bahagia, namun yang menjadi masalah besar dalam hidup saya ialah kami masih belum dikurniakan walau seorang zuriat.
‘‘Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk mendapat cahaya namun Allah masih belum memakbulkan doa dan usaha kami. Pada awal perkahwinan, bermacam-macam umpatan dan sindiran kedengaran di depan mahupun di belakang semata-mata kerana belum hamil. Kesalahan itu sudah pasti di letak di atas bahu saya. Umpama saya saja bersalah, kerana mandul.
‘‘Namun mungkin sudah menjadi perangai saya ketika itu happy go lucky dan masih belum puas bermanja dengan suami, saya biarkan apa orang lain nak umpat kami. Apa yang saya tahu Zamarul tetap sayangkan saya.
‘‘Pernah satu ketika, biras saya berkias sambil menyindir-nyindir saya depan Zamarul seolah-olah saya sudah tidak ada gunanya lagi, tak ada zuriat, maka dia menyuruh Zamarul mencari isteri baru supaya boleh segera timang anak. Apa dia fikir kalau tak dapat anak salah isteri seorang sahajakah? Isteri sahajakah yang mandul?
‘‘Namun saya tak marah atau berkecil hati kerana kami bahagia, walapun ketika itu kami sudah tiga tahun kahwin, tapi dia baru setahun kahwin sudah melahirkan anak, dia bangga kerana dapat anak. Saya tak kisah apa mereka nak kata atau sindir, saya tetap senyum walaupun saya menangis dalam hati tak siapa pun tahu.
‘‘Walaupun Zamarul bergaji kecil dan saya pula tidak bekerja, makan pun kadang kala berlaukkan ikan masin dan telur saja, tapi saya tidak pernah merungut jauh sekali menceritakan kekurangan dalam rumah tangga kami, biarpun saya dibesarkan dalam keluarga orang senang.
‘‘Abang dan kakak saya sendiri pun pernah memperlekehkan pekerjaan Zamarul apalagi kedudukan ekonomi kami yang sempit itu, namun saya tak melawan apa juga pendangan mereka. Sebaliknya saya hanya memperlihatkan kasih sayang antara kami berdua pada mereka yang saya rasa mereka ada kekurangannya.
‘‘Prinsip hidup saya apabila berkahwin, saya mahu jadi isteri solehah serta menurut perintah Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. atas apa jua yang telah diwajibkan kepada kita. Dan saya mahukan kebahagiaan, keberkatan dan kasih sayang suami serta keluarga. Semua perasaan kecil hati dan terluka, saya buang jauh-jauh, hinggalah usia perkahwinan kami menjangkau lima tahun.
‘‘Nak dijadikan cerita, selepas lima tahun, Zamarul berjaya membeli sebuah rumah teres yang agak selesa dengan harga murah. Kami amat gembira kerana dalam usia perkahwinan yang masih muda kami berjaya memiliki rumah sendiri, walaupun dengan pinjaman kerajaan.
‘‘Tetapi malangnya berita gembira tu rupa-rupanya menjadi kudis kepada ipar duai sebelah Zamarul. Sejak itu rasa kecewa dan dengki mula menular menjadi penyakit barah dalam hidup mereka. Dalam diam saya mula difitnah. Di sebabkan mak Zamarul sememangnya sejak awal lagi tidak menyukai saya berkahwin dengan Zamarul, dia mula membenci saya. Hinggakan pakaian yang saya pakai menjadi umpatannya. Mulalah apa yang saya beli dalam rumah dituduh saya cuma menghabiskan duit anaknya.
‘‘Paling sedih bila mereka mendakwa saya sentiasa berpakaian cantik dalam rumah, dan menurut mereka perbuatan saya memang hendak membebankan hidup Zamarul, sedangkan kebanyakan pakaian itu saya beli semasa belum berkahwin lagi.
‘‘Setiap kali saya cuba menerangkan yang sebenar, mereka tetap nafikan. Mereka lupa bentuk badan saya tidak pernah gemuk atau kurus, sudah pastilah pakaian lama saya masih muat pakai lagi. Bukan macam mereka sekali bersalin bentuk badan berubah, pakaian lama tak boleh pakai lagi. Terpaksa beli baru.
‘‘Kalau dihitung sejak lima tahun kami berkahwin, tak sampai 10 pasang baju yang baru Zamarul belikan untuk saya. Tetapi mereka tak percaya. Hinggakan setiap kali saya pergi ke rumah mak Zamarul mereka menyindir saya. Ada saja tak kena di mata mereka. Mereka tanya harga baju saya, tudung, kasut dan beg tangan saya. Tak sempat beritahu mereka mula mendakwa matilah Zamarul terpaksa sediakan hiasan mahal-mahal untuk saya. Mereka juga tanya berapa gaji Zamarul.
‘‘Peristiwa paling menyakitkan hati dan sukar dilupakan, satu hari raya, emak beri saya barang kemas, seutas rantai emas, gelang tangan dan subang berlian, ketika saya pakai beraya ke rumah mak Zamarul, beliau menghina saya dengan nada keras sambil menyindir saya depan tetamu, katanya saya suka berlagak macam orang kaya tapi ingatlah bila mati nanti saya cuma bawa kain kapan saja masuk kubur.
‘‘Waktu itu air mata saya mengalir macam empang pecah, tak boleh ditahan-tahan lagi. Sampai hati mereka menyindir saya. Mereka tak tahukah berapa sangat gaji Zamarul, takat mana pendidikannya sampai sanggup menyediakan segala-galanya untuk saya kalau bukan dengan bantuan ibu bapa saya sendiri.
‘‘Keluarga Zamarul bukanlah kaya harta tapi kaya mengumpat, menghina dan suka cakap kasar. Tapi saya masih beruntung kerana mendapat ayah mertua yang baik hati.
‘‘Walaupun saya sering diumpat, dihina, ayah Zamarul tetap sayangkan saya, sambil menasihatkan supaya bersabar. Saya masih ingat lagi peristiwa yang tak dapat saya lupakan hingga kini. Iaitu pada saat arwah sedang sakit tenat, kami dihubungi oleh salah seorang abang Zamarul mengatakan ayah sedang demam panas.
‘‘Tanpa berlengah kami terus ke rumah mertua untuk melihat ayah. Apabila saya menghampiri arwah, saya lihat tubuh ayah ketika itu dipenuhi semut api. Sambil membuangnya saya menangis kerana terlalu sedih. Saya keluar mencari emak Zamarul menceritakan apa yang saya lihat, tapi mertua saya buat-buat tidur.
‘‘Kerana keadaan ayah Zamarul agak tenat saya telefon doktor yang saya kenal minta beliau datang merawat ayah. Doktor menyuruh ayah segera dibawa ke hospital. Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila abang Zamarul dengan suara kasar marahkan saya kerana memandai-mandai bawa doktor datang. ‘Sebenarnya saya bukan memandai-mandai, pada siapa harus saya tanya dalam keadaan seperti itu, emaknya sedang tidur tak boleh dikejutkan, abangnya entah di mana, sementara Zamarul tak pandai bertindak dalam saat-saat cemas, dia lebih mendiamkan diri, kerana sememangnya dia seorang pendiam.
‘‘Sedangkan saya dilatih oleh ayah sejak kecil lagi bagaimana menghadapi keadaan kecemasan dan ketika melihat orang sedang nazak, walaupun kami orang bandar dan moden. Kami tak panik dan tahu bertindak segera.
‘‘Namun saya rasa saya amat bernasib baik, kerana antara mertua dan anak-anak arwah, pada saat-saat akhir hayatnya, saya seorang sahaja yang mengadap arwah, beliau sempat tinggalkan wasiat terakhirnya agar saya banyak bersabar dan menjaga Zamarul dengan baik jangan bercerai walau apa pun terjadi.
‘‘Tetapi tidak seorang pun anak-anaknya sempat berjumpa arwah, walaupun mereka tinggal berdekatan begitu juga mertua saya. Semenjak ayah Zamarul meninggal dunia, tinggallah ibunya sendirian. Saya suruh Zamarul membawanya tinggal bersama kami. Hajat saya biarlah dia terhibur dan tidak kesunyian.
‘‘Malangnya dia masih tidak buang perangai buruknya yang suka mengumpat dan menghina saya yang masih belum dapat zuriat lagi dengan jiran tetangga yang sempat ditemuinya. Pada beliau, saya langsung tidak berguna kerana tidak ada zuriat. Katanya apa guna ada rumah tak ada anak? Sampai bila saya mesti bersabar?
‘‘Kerana saya juga manusia, kesabaran mula terhakis, rasanya tidak ada guna beliau tinggal dengan kami kalau hatinya masih belum puas kerana saya tak ada zuriat. Jadi biarlah dia tinggal dengan anak-anak cucunya tentu dia gembira.
‘‘Niat saya menghantar emak Zamarul ke rumah anak-anak yang lain rupanya membawa masalah besar. Kami diserang pada malam itu juga kerana meletakkan ibu di rumah mereka. Kami diserang bertubi-tubi dengan panggilan telefon. Zaharul dituduh anak derhaka.
‘‘Apa patut kami buat, ibunya tak suka duduk di rumah kami, mahu ke rumah anak-anak lain, sedangkan anak-anak tidak menyukainya. Saya tak mahu Zamarul dituduh anak derhaka lagi, kerana tidak menjaga ibunya. Saya pernah suruh Zamarul kahwin lagi, mungkin boleh dapat anak, tetapi Zamarul marahkan saya.
‘‘Saya sedih sepatutnya ibu mertua paling sesuai menjaga, menasihati dan membimbing anak-anaknya bertukar sikap sebaliknya dia jadi penghasut, pendengki. Malah menjadi racun berbisa dalam hidup anak-
anak cucunya. Walaupun saya tiada zuriat tapi saya ada maruah. Hidup saya bukan bergantung pada kelahiran seorang anak tetapi pada keredaan Allah s.w.t.’’ demikian cerita Noraini tentang masalahnya yang tidak mempunyai zuriat walaupun sudah lama berkahwin.
Kadang-kadang kita lupa bahawa jodoh pertemuan, rezeki dan hidup mati kita adalah ketentuan Allah. Namun sebagai manusia kita seharusnya berusaha. Jumpa doktor pakar yang ada menyediakan khidmat atau klinik kesuburan. Habis usaha barulah kita bertawakal kepadaNya. Kepada Noraini jangan biarkan hidup jadi bahan cacian dan umpatan orang. Kerana ia boleh mencarikkan hubungan suami isteri.
No comments:
Post a Comment