>KISAH minggu lalu tentang penderitaan ibu bapa kerana anaknya dibuli mendapat sambutan daripada pembaca. Selain menceritakan pengalaman sendiri, ada juga ibu bapa ingin membantu.
Antara pandangan mereka, bukan semua yang belajar di asrama gembira dengan hidup dalam kumpulan besar. Ada yang merasakan satu penyeksaan dan lebih selesa duduk di rumah.
Namun lebih ramai yang suka sekolah berasrama. Pendek kata, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Namun kepada yang ingin memberi pandangan, nasihat dan panduan kepada Jamaliah, semua e-mel anda telah disampaikan.
Dan minggu ini sekali lagi kita mendengar keluhan hati seorang isteri yang terpaksa menemui pakar psikiatri dan menelan pil penenang setiap hari semata-mata untuk menenangkan fikiran dan emosinya akibat perbuatan suami yang kejam.
Ketika ditemui baru-baru ini di sebuah kondo milik kawan baiknya, Eliana memberitahu, beliau sungguh tidak menduga pengorbanannya untuk suami dan keluarga langsung tidak dihargai.
Episod duka bermula sejak mereka berkahwin dan ditambah bila suaminya Hafizi mempunyai teman wanita silih berganti.
“Saya berkorban menolak peluang belajar keluar negara semata-mata kerana cinta. Kata Hafizi, kalau saya tinggalkan dia bermakna saya tak cintakan dia, kerana itu saya tidak mengikut kehendak ibu bapa supaya meneruskan pelajaran sebaliknya bersedia untuk berkahwin. Niat saya, kalau ada rezeki bila-bila pun boleh belajar.
“Sayangnya saya bukan sahaja dikhianati oleh suami, malah mentua dan adik-beradiknya. Di sinilah bermulanya episod sedih kehidupan saya. Ibu Hafizi bencikan saya kerana saya orang bandar, sedangkan dia lebih sukakan gadis pilihannya sendiri.
“Dua puluh tahun lalu hantaran saya RM5,000 itu kira dah hebat, emaknya kata, Hafizi boleh dapat tiga orang isteri. Sejak itu mereka sekeluarga memulaukan saya. Bukan itu sahaja, malah mendakwa saya tak pandai masak, dan suka menghabiskan wang anaknya. Sedangkan saya juga bekerja dan saya bukan dari keluarga orang susah, walaupun bukan mewah. Ibu saya tak pernah minta duit saya setiap bulan, sebaliknya membantu kalau saya susah.
“Saya dapati punca mereka bencikan saya kerana saya bukan seketurunan dengannya, dan orang bandar. Dalam fikiran ibu dan adik-beradik mereka yang kolot itu, semua isteri bergantung dengan suami, menghabiskan duit suami dan kalau bekerja pun pendapatan isteri tak sebanyak mana, mereka mendakwa gaji anak mereka (walaupun lulusan kolej) lebih besar daripada saya, mereka tak peduli saya lulusan U.
“Kerana bencikan saya, setiap kali balik kampung, mereka akan bercakap dalam loghat yang saya tak faham dan memulaukan saya. Kalau saya cuba membantu di dapur mereka akan ke depan, kalau saya ke depan mereka ke dapur. Tetapi saya bersabar aja. Demikianlah kelakuan mereka setiap kali saya ke kampungnya.
“Bila emaknya bencikan saya, Hafizi bukan menyokong, tapi turut menyakiti hati saya. Ia bermula dengan meminta duit saya untuk diberikan kepada keluarganya yang sentiasa laparkan duit itu. Memikirkan yang baik, saya bantu, tapi kita pun susah juga.
“Nak jadikan cerita dengan bantuan kawan, saya galakkan Hafizi lanjutkan pelajaran ke luar negara. Malah saya berjanji akan membantunya. Tetapi ibunya membantah saya mengikutnya belajar keluar negara, katanya buat habiskan duit aja.
“Tapi Hafizi berkeras mengajak, tanpa saya dia tidak mungkin berjaya. Selama di negara orang, saya melakukan pelbagai kerja menambah pendapatan. Di samping membantu dia menyiapkan tugasan dan hasilnya selama empat tahun di sana, dia lulus dan saya sendiri berpeluang membuat sarjana. Saya tak kata saya pandai, tetapi itulah kelebihan saya diberikan Allah.
“Bila bekerja dengan jawatan yang lebih baik, saya fikirkan tentulah Hafizi bersyukur dan berusaha lebih baik untuk keluarganya, tetapi sebaliknya, dia lupa daratan, suami hilang arah sebaliknya wangnya banyak dihabiskan di luar dengan wanita lain.
“Sebagai isteri tentu saya kecewa dan cuba menasihatinya, tetapi sia-sia, sebaliknya saya menjadi sasaran maki hamunnya. Bila saya hubungi wanita tersebut bukannya mereka mahu memutuskan hubungan, malah mendakwa mereka akan berkahwin. Siapa tak kecewa.
“Saya tak mahu mengadu kepada ibu bapa saya, takut mereka susah hati, dengan ibu bapanya jauh sekali tentulah dia suruh Hafizi ceraikan saya, kerana saya bukan menantu pilihan. Semuanya saya pendam.
“Dalam pada itu saya terus melahirkan anak, yang tua lahir di Malaysia, dua lagi semasa kami di luar negara. Masuk anak kelima, kehidupan saya menjadi lebih tidak tenteram dan tidak terurus. Fikiran saya tambah kusut bila Hafizi menuduh anak kami yang kecil itu bukan anaknya, kerana dia memang tak suka saya beranak lagi.
“Sejak hamil, hidup saya tidak tenteram, ada saja yang tidak kena dalam hidupnya. Bukan saya mengamuk kerana dia ada kekasih lain, tetapi dia sengaja menyakiti hati, menuduh saya mengandung anak haram.
“Waktu itu baru saya tahu betapa benarnya kata orang tua-tua tentang penyakit meroyan, dan saya hampir-hampir gila kerana tuduhan dan kelakuannya yang buruk sepanjang waktu saya hamil dan setelah melahirkan anak. Itu belum masuk lagi gangguan wanita lain yang sentiasa memaki hamun saya kerana hendak berkahwin dengan Hafizi.
“Kerana tidak tertahan dengan kelakuannya dan tekanan hidup, saya rela diceraikan. Biar dia kahwin jika itu baik untuknya, saya tak tahan lagi melayan kerenahnya yang sentiasa bertukar kekasih. Lebih membebankan, dia tidak mahu bertanggungjawab kepada rumah tangga sejak balik dari luar negara.
“Saya terpaksa menyediakan makan minum sekeluarga, duit sekolah anak-anak, duit saku, buku tahunan, duit transport ke sekolah, pakaian, pendek kata, semuanya. Dia cuma bayar duit ansuran rumah, kereta hinggakan duit makan dia ke tempat kerja pun dia minta daripada saya. Alasannya dia banyak hutang kad kredit, tapi bukan untuk belanja keluarga, sebaliknya untuk dirinya sendiri berpeleseran setiap malam.
“Hafizi buat baik ketika saya dapat bonus. Hujung bulan ada saja masalahnya saya mesti bantu. Kalau tak dapat duit dia mengamuk. Kerana takut, saya terpaksa serahkan semuanya. Hinggakan barang kemas hadiah ibu saya ke pajak gadai.
“Lepas bercerai dia rujuk kembali, kerana memikirkan anak-anak, saya setuju, sedangkan saya selesa tanpa dia di sisi selama sebulan, tetapi saya termakan juga pujukannya. Malangnya hidup saya lebih menderita. Dia cuba menutup perbuatan jahatnya dengan menyeksa saya, dia jalankan taktik menyerang emosi dan psikologi.
“Kalau dia tahu saya ada meeting pagi itu dia akan keluar lambat supaya saya terlambat pergi kerja, kalau saya pergi tak beri dia duit kerana kehabisan duit dia akan suruh saya keluar dari kereta di tengah-tengah jalan suruh pergi kerja sendiri.
“Ketika itulah saya terasa nak terjun bangunan tinggi. Saya pernah berdiri di tengah jalan untuk dilanggar kereta atau lori, tetapi saya masih terselamat. Kalau pembaca melihat cuma dari masalah suami ada kekasih lain mungkin kecil, tetapi fikiran saya turut diganggu dengan sikapnya suka berhutang dan memaksa saya membayar.
“Dulu saya ada kereta sendiri, dia suruh jual untuk bantu dia selesaikan hutang kad kredit tetapi hairannya, hutang masih tak selesai, kereta saya diberi kepada adiknya dan dalam waktu yang sama saya terpaksa bayar ansuran kereta tersebut dan terpaksa menumpang dia pergi kerja setiap hari.
“Bukan sekali, tapi dua kali dia buat macam tu, habis kereta pertama, hutang kereta kedua pula saya kena bayar, dia guna taktik yang sama. Lepas tu dia suruh saya ambil pinjaman bank RM40,000 untuk selesaikan hutang kad kredit. Saya tak boleh bantah, sebab takut dia mengamuk yang berakhir dengan kena pukul.
“Setelah dibebankan dengan pelbagai hutang dia halau saya keluar rumah. Dia ceraikan saya. Saya buat pengaduan ke pejabat kadi. Mereka tak benarkan saya keluar rumah malah minta Hafizi datang membuat pengesahan, tapi dia tak pergi. Kalau saya keluar rumah memang saya tak berduit langsung. Ke mana nak bawa anak-anak? Dia suruh saya keluar dengan anak-anak sebab nak kahwin lain.
“Saya tak marah dia nak kahwin lagi tapi cerailah dengan betul, daftarkan. Lebih menekan jiwa, dalam waktu yang sama dia masih mahukan layanan seks. Dalam rumah, pinggan, mangkuk, cawan, piring boleh dikira dengan jari. Semua jadi mangsa dinding bila dia naik angin. Saya dah tak peduli nak hiaskan rumah. Semua dah hancur.
“Inilah puncanya saya hampir masuk wad psikiatri dan berakhir dengan menelan pil penenang, hingga kini lebih tiga tahun hidup saya begini. Bercerai ke tidak saya tak tahu. Namun saya bersyukur doktor dan kawan-kawan tertentu berjaya menasihati saya supaya tumpukan perhatian kepada kerja dan anak-anak, kerana tanpa kerja siapa yang akan menanggung persekolahan mereka. Saya bersyukur dalam masa tertekan ini, saya berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan dinaikkan pangkat. Tapi saya percaya semua ini tidak akan berjaya tanpa ubat penenang. Tapi sampai bila?
“Bila dia lihat saya menjawat jawatan lebih baik akhir-akhir ini, dia buat taktik baru tuduh saya layan lelaki lain. Siap pasang spy di pejabat suruh perhatikan saya jumpa jantan mana, makan dengan siapa. Hinggakan saya tak boleh bercakap dengan lelaki langsung. Sedangkan kerja saya memerlukan saya berjumpa dengan ramai orang lelaki atau perempuan.
“Kalau saya pergi out station pun dia pasang spy, siapa tunggu dan hantar saya di airport, siapa makan malam dengan saya, sedangkan tugas dan kedudukan saya, sewajarnya saya mendapat layanan semua itu. Tapi kerana takut dipukul saya menolak itu semua, saya naik teksi ke airport, dan makan dalam bilik hotel sendiri.
“Saya juga bersyukur anak-anak berjaya dalam pelajaran, mereka menyebelahi dan mengambil iktibar daripada masalah hidup saya. Saya nasihatkan mereka kalau mahu senang, belajar pandai-pandai. Mereka menyokong saya supaya jangan keluar dari rumah, kalau ayah mereka nak kahwin lagi biarlah dia yang keluar. Mereka tahu jumlah hutang saya dan mengapa saya jadi hampir setengah gila.
“Malah mereka membimbing dan menasihati adik mereka yang kecil supaya jangan peduli cakap ayah yang tidak mahu mengaku dia anaknya. Kini anak-anaklah kekuatan saya. Saya gembira mereka dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA walaupun ketika kehidupan kami berantakan. Kata mereka, itulah kekuatan mereka belajar lebih kuat lagi.” Demikian cerita Eliana tentang penderitaan hidupnya yang tidak pernah padam sejak mula berkahwin dahulu.
Dia bersyukur Allah s.w.t. masih sayangkannya lagi dan dia lebih gembira dengan kejayaan anak-anaknya. Pengorbanannya tidak sia-sia.
Daripada kawan-kawan saya dapat tahu ramai wanita yang dirawat di wad psikiatri akibat tekanan jiwa. Semoga ada usaha segera dibuat supaya wanita mendapat potongan nafkah anak-anak sebaik sahaja diceraikan.
No comments:
Post a Comment