SEBAGAI pembuka kata saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ahli-ahli forum laman web dcckmona.com, kerana kebanyakan mereka merupakan penasihat-penasihat terbaik kepada golongan yang menghadapi masalah rumah tangga. Kalau ada kisah yang negatif sedikit, merekalah yang akan menghentam habis-habisan, tetapi kepada yang terdesak dan memerlukan nasihat, merekalah penasihat yang pandai memujuk dan menjadi kawan untuk menghilangkan rasa gelisah di dada. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi silalah layari laman web dcckmona.com.
Kisah minggu ini datangnya daripada Puan Norsalina yang menurutnya telah mengikuti kisah Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini lebih 20 tahun lalu, sejak zaman sekolah. Katanya, ada ketikanya terasa juga tempias kerana seakan-akan pengalaman pahit yang dilaluinya, tetapi tidak pernah terlintas di hatinya untuk memberi pandangan.
“Tapi kisah anak tiri yang dipaparkan Disember lalu membuat saya tergerak hati untuk turut serta. Tambah pula bila seorang rakan bertanyakan apakah kisah itu saya sendiri yang menulisnya, kerana kisahnya seakan-akan cerita saya.
“Usia saya belum pun 40 tahun tetapi penderitaan hidup bila rumah tangga porak-peranda kerana suami jatuh cinta lagi benar-benar mengganggu hidup saya. Namun saya padamkan api dan sekam kemarahan itu dengan menyambung belajar pengajian jarak jauh.” Demikian cerita Norsalina dalam e-melnya.
“Kami bercerai ketika anak-anak baru nak menjejakkan kaki ke sekolah, yang kecil belum boleh berlari. Tetapi saya terima hakikat itu dan hancurlah mahligai saya tak sampai lapan tahun. Setelah talak dilafazkan, dia berkahwin dengan kekasihnya seorang ibu tunggal beranak satu yang tidak bekerja. Khabarnya mereka pasangan bahagia tetapi hanya pada peringkat awal, lepas itu barulah dia tahu langit ini tinggi apabila hutang keliling pinggang, tidak ada saudara-mara dan kawan-kawan mahu menolong.
“Ketika menjanda ramai lelaki yang mengerumuni, yang bujang, suami orang mahupun duda. Tapi hati saya tak berbuka untuk berkahwin lagi. Biar saya besarkan anak-anak dulu. Sebabnya, suami cuma tahu ceraikan isteri tetapi tak tahu bagi nafkah anak-anak. Biar berapa banyak amaran oleh Mahkamah Syariah, dia anggap macam angin lalu. Tak takut langsung. Tetapi masa menceraikan kita janjinya langit dan bintang. Siapa yang pernah lalui tentu faham maksud saya.
“Jadi janda bukan mudah, terutama kalau tinggal jauh daripada ibu bapa, mana nak tanggung makan minum anak-anak, sewa rumah dan sebagainya. Lebih teruk bila lelaki memujuk menjadi isterinya. Seram sejuk tengkuk bila dengar pujukan dan temberang mereka. Saya bersyukur berjaya menepis pujukan mereka.
“Namun saya tidak terlalu gembira, bimbang juga. Jadi jalan terbaik, saya selalu berdoa setiap kali lepas sembahyang jika ditakdirkan saya berkahwin lagi jodohkan dengan lelaki beriman dan bertanggungjawab. Saya sedar jodoh, rezeki dan hidup mati kita ketentuan Allah.
“Akhirnya Allah makbulkan doa saya. Setelah lebih lima tahun menjanda, saya bertemu jodoh dengan lelaki yang 20 tahun tua daripada saya, seorang pak haji, duda anak empat kematian isteri. Tetapi saya kurang mengenalinya, jodoh kami didorong oleh kawan-kawan dan pegawai atasan saya yang bersungguh-sungguh galakkan saya berkahwin. Alasannya mereka kenal lelaki ini yang menurutnya memang baik. Dan saya pun bernikah.
“Alhamdulillah, Hassan baik orangnya menyayangi dan cukup mengambil berat kehidupan kami anak-beranak. Beliau memanjakan anak-anak saya yang selama ini kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ayahnya. Maklumlah anak-anaknya sendiri sudah besar panjang, sudah bekerja, ada yang dah berkahwin dan saya pun jadi nenek tirilah.
“Namun langit tidak selalu cerah, bak kata seorang teman, kadang-kadang Tuhan beri kita hujan setelah panas dan diberi pelangi indah berseri, tak dapat kita capai cuma untuk dipandang. Begitulah kehidupan manusia penuh cabaran.
“Tempoh perkahwinan yang manis cuma sementara. Saya menerima suami dengan segala kelebihan dan kekurangannya. Kerana saya juga bukanlah wanita sempurna. Dengan rendah hati saya minta suami menunjuk ajar dan membimbing bukan sahaja diri ini tetapi anak-anak saya. Kami bahagia juga walaupun ada sedikit cacat celanya kerana kerenah anak-anak tiri. Maklum mereka sudah dewasa, kadangkala mereka lebih sudu daripada kuah.
“Dari pengalaman, saya nasihatkan kaum wanita ibu tunggal yang nak bernikah dengan duda yang ada anak, janganlah terus pindah ke rumah suami anda. Sabar dulu, lihat keliling, apakah ada kesesuaian, apakah kita boleh meletakkan diri kita dalam keluarga mereka, dan tidak dianggap sebagai pendatang bersama anak-anak yang bakal menyusahkan hidup ayah mereka.
“Lebih teruk kalau suami kematian isteri, sudah pasti anak-anak tiri sukar menerima isteri baru ayah mereka, silap langkah kita akan menjadi lawan mereka. Setiap langkah, perbuatan, masakan, tutur kata kita akan dibandingkan kita dengan ibu kandung mereka.
“Perkara pertama menakutkan mereka, ibu tiri akan mengikis harta ayah mereka, tambah-tambah kita bukan orang senang masuk ke rumah mereka dengan anak-anak kecil, sementara rumah mereka pula jauh tersergam besar lengkap dengan perabot mewah.
“Di sinilah peranan suami amat penting, mesti berperanan sebagai ketua keluarga yang adil dan faham bahawa isterinya sedang bermadu dengan empat anak tiri. Suami bimbang kalau kurang waspada anak-anak akan memprotes kehadiran ibu tiri, jadi demi sayangkan anak-anak suami pula akan merajuk. Waktu itu apa perasaan isteri seperti saya?
“Akhirnya saya berunding dengan suami, izinkan saya kembali ke rumah saya dan dia tinggal bersama anak-anaknya. Dia boleh jumpa saya bila-bila suka. Saya buat keputusan ini untuk mengekalkan perkahwinan kami.
“Suami setuju walaupun berulang-alik antara dua buah rumah ini agak meletihkan. Tetapi apa nak buat hasrat kami tinggal sebumbung belum tercapai. Dia rela menyenangkan hati anak-anaknya. Syukur saya cukup sabar dan meneruskan hidup seperti dulu walaupun bersuami.
“Walaupun sesekali berasa sunyi tanpa kehadiran suami, tetapi cepat-cepat saya mengingatkan diri bahawa situasi suami saya lebih teruk lagi, mana nak jaga hati anak-anak, hati isteri dan hati saudara-mara yang sentiasa memerhatikan gerak-gerinya setelah beristeri baru.
“Kadangkala saya berasa jauh hati, setiap kali Hari Raya saya tak boleh bersama suami yang terpaksa bersama anak-anak cucunya. Program sentiasa diatur untuk kenduri arwah dan bertandang ke rumah saudara-mara mereka. Hinggakan ke rumah saya pun hampir terlupa. Lebih kecewa saya tidak dianggap sebagai ahli keluarga baru.
“Teringin juga hendak berkunjung ke rumah saudara-mara suami, tetapi mana mungkin muat kereta jika suami dikelilingi anak-anak cucu. Kecualilah naik bas mini. Akhirnya saya bawa anak-anak balik ke kampung sendiri. Jumpa emak ayah dan saudara tanpa suami. Kalau ada yang bertanya saya cuma tersenyum penuh bermakna, tanpa berkata-kata takut empangan air di kelopak mata pecah.
“Apa yang lebih menyedihkan, suami saya terpaksa membawa anak-anaknya ke rumah saudara-maranya di negeri lain untuk berhari raya. Jadi saya bagaimana? Namun ini semua adalah pengorbanan saya agar anak-anak tiri terbuka mata dan hati mereka supaya dapat menilai bahawa saya tidak merebut kasih sayang ayah mereka jauh sekali harta benda.
“Kepada anak-anak tiri saya, jika terbaca luahan hati saya ini, ketahuilah bahawa saya juga ada perasaan dan mereka juga bakal mempunyai rumah tangga sendiri. Fikirkanlah. Ayah kamu juga perlukan kehidupannya sendiri pada usia yang hampir bersara. Dapatkah awak semua menjaganya seperti se-
orang isteri menjaga suami apabila sakit pening? Kepada saudara-mara jangan berfikiran serong, jangan suka menghasut. Apa baiknya untuk anda?
“Pada ibu-ibu tunggal, kalau nak kahwin lagi, jangan cepat angkat beg ke rumah suami. Buktikan kita boleh berdikari, kita bukan menumpang kesenangan suami. Kita ada maruah. Peringkat awal baiklah duduk berasingan.
“Saya juga pening kerana ramai busy body bertanya mengapa tak sebumbung? Saya pekakkan telinga. Tapi saya dan anak-anak lebih selesa, boleh menonton televisyen bersama, tidur dan makan bila-bila suka dan bercuti bersama (dengan izin suami) tanpa suami. Kami aman.
“Namun bukan bermakna saya ingin bebas, tapi kekadang keadaan seperti ini perlu bagi dua keluarga yang belum begitu mesra. Cuma doa saya akhirnya kami dapat bersama, bila suami semakin tua dan kesihatannya tidak sebaik sekarang, saya harap agar Allah beri saya kesihatan yang baik dan panjangkan umur untuk menjaga kebajikan suami kelak.
“Saya tak punya banyak wang ringgit untuk meraih hati anak-anak tiri tetapi saya ada kudrat dan hati yang ikhlas. Dan biarlah tempoh ‘percubaan’ ini menjadi satu benteng untuk anak-anak tiri menilai diri saya, bahawa saya dan ayah mereka telah berkorban. Ingatlah anak-anak tiriku, kasihani ayahmu, dia ingin bahagiakan kamu, tetapi hatinya siapa yang bahagiakan?
“Tidakkah kamu simpati melihat dia letih melayani kerenah kamu semua, berhabis wang ringgit untuk mengambil hati dan membuat kerja-kerja rumah yang tak sepatutnya dilakukan semuanya kerana dia telah berkahwin baru?
“Mak cik cuma mampu jadi isteri bila dia di rumah mak cik, melayan makan minum membasuh pakaian dan menjaga kesihatannya, membawanya ke klinik. Tapi bila dia balik ke rumah kamu, kamu suruh dia buat tugas seorang isteri. Apakah kamu tidak ada perasaan?
“Buka mata dan hati kamu wahai anak tiri, berilah ruang dan peluang kepada ayah kamu membina hidup sendiri. Tak salah memantau atau ambil tahu keadaan dan kebajikan ayah dan rumah yang ditinggalkan oleh arwah ibu kamu. Bukan semua ibu tiri kaki kikis yang akan memiliki harta benda ayah kamu.
“Kepada suami pula jadilah suami yang adil dan matang, ingatlah dan fikirkan apakah tujuan asal kita berkahwin. Berterus-teranglah dengan isteri agar dia lebih memahami. Kepada anak-anak pula hormati kejujuran ibu tiri kamu. Insya-Allah semuanya berjalan lancar. Saya tidak pernah terniat mengongkong suami malah sentiasa bertolak ansur dan ikhlas. Ingat doa orang yang teraniaya tiada hijabnya ia akan terus diterima Allah.
“Lebih penting ingatlah berdosa besar memutuskan atau merobohkan masjid yang dibina oleh dua insan yang setia.” Demikian cerita Norsalina tentang pengalamannya berkahwin dengan duda kematian isteri yang mempunyai anak-anak yang dewasa.
Kepada Norsalina bersabarlah. Biasalah akan-anak tiri bimbang tidak mendapat harta pusaka peninggalan ibu mereka, manalah tahu pemiliknya bertukar nama. Ini senario biasa sekeliling kita. Tetapi mereka tidak nampak ada ibu tiri bergadai golok membantu suami demi menjaga maruahnya. Mereka juga lupa ada ibu tiri yang pendapatannya lebih tinggi. Itulah bezanya ibu tiri zaman sekarang dengan zaman dulu-dulu.