Sunday, January 8, 2006

08/01/2006 : Rebut suami orang kerana nak hidup senang

BANYAK pandangan diterima mengenai kisah Trend baru suami cintai isteri orang yang disiarkan minggu lepas. Rata-rata ramai menasihatkan Junaida supaya meninggalkan suami buat sementara kerana biasanya orang tengah mabuk bercinta tidak boleh berfikir dengan baik.


Ros dari KB simpati dengan nasib Junaida. Katanya: “Memang betul suami tak nak ceraikan Junaida kerana dia banyak bergantung padanya. Jadi cadangan saya, supaya Junaida tinggalkan dia sementara.



“Bukan untuk menghancurkan rumah tangga anda, tetapi demi kebaikan, sebab suami bila bercinta tidak sedar diri. Memanglah mulanya kekok, tapi bila dah biasa tinggal seorang kita lebih selesa. Suami memang ego sehinggalah dia ada masalah


“Bagaimanapun kalau ikhtiar ini tidak menjadi anda boleh terus hidup sendiri. Tidak ada gunanya ada suami seperti ini. Madu kita bagi, hempedu jadam dia balas. Buktikan kita boleh hidup selesa tanpanya,” demikian nasihat Ros dalam e-melnya.


Che Ani pula memberi contoh ibu saudaranya yang mengambil anak angkat, bukan kerana mereka mandul, tetapi gagal mendapat anak. Kata suaminya hidupnya bahagia walaupun tidak ada anak, tetapi setelah si isteri berusia 47 tahun, suaminya kahwin lagi untuk membuktikan dia tidak mandul dan kerana mahu zuriat sendiri.


“Dengan izin Allah dia dapat anak, dan tinggallah si isteri menderita. Sejak itu suami langsung tak pulang ke rumah. Jadi nasihat saya, undur diri sementara muda, jangan ditinggalkan setelah tua. Apa gunanya suami yang pentingkan diri,’’ kata Che Ani.



Namun Encik Muz pula mendakwa mungkin Junaida ada silapnya. Dan sebagai isteri yang baik izinkan dia kahwin semoga Junaida mendapat rahmat-Nya. Sementara Acik meminta Junaida bersabar, satu hari nanti pasti suaminya, akan sedar diri kerana yang dikejar tak sebaik yang ditinggalkan.


Demikian antara pro dan kontra pembaca terhadap kisah Junaida.


Namun kisah yang dipaparkan minggu ini juga tidak kurang menariknya tentang suami yang suka bercinta lagi walaupun sudah beranak-pinak, tetapi tetap mencari alasan untuk berkahwin lagi.


Azureen dalam e-melnya berkata, dia memaparkan kisah hidupnya setelah membaca kisah yang pernah dipaparkan di ruangan ini November lalu yang mengisahkan Bukan semua gadis penggoda dan peruntuh rumah tangga orang.


“Saya tidak bersetuju dengan pendapat itu, yang lebih tepat "ramai gadis penggoda dan perampas suami orang". Sebab saya dah terkena, suami saya digoda kerana ada gadis yang mahu cepat senang dan gilakan suami orang,’’ katanya.


Ketika berbual di telefon, Azureen tidak menafikan suaminya juga gatal menggoda gadis lain, tetapi gadis ini walaupun dah tahu suami orang dia tetap membalas cintanya malah lebih banyak menggoda dengan tujuan mahukan kesenangan hidup dan suami berpangkat.


“Bila gadis ini tahu suami saya, Roslan berpangkat dan berduit, dia tak lepas peluang, malah dia melebih-lebih menggoda dan menjerat Roslan. Hinggakan dia sanggup mengugut Roslan kalau tidak berkahwin dengannya dia akan....


Tetapi matlamat utamanya mahu kahwin suami berduit, mahu hidup senang.



“Kisahnya bermula kira-kira tujuh tahun lalu, budak ni, Izah namanya mula bekerja di syarikat tempat Roslan bekerja setelah habis tingkatan lima. Mulanya nak tumpang tanya, nak minta tolong, minta tunjuk ajar akhirnya dia menggoda suami kita.


“Perkahwinan saya dengan Roslan bukan kenal setahun dua, malah sejak sekolah menengah, kemudian bersambung ke universiti. Kami terus berkawan hinggalah berkahwin. Kami sama-sama memegang jawatan yang baik dan kerana sudah bekerja lama tentulah gaji, pangkat dan kedudukan kami bertambah baik. Rupa-rupanya ada yang nak tumpang kesenangan kami.


“Walaupun ada ijazah, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi saya tolak atas nasihat suami, keluarga lebih penting, saya teruskan belajar dalam negeri dan mendapat sarjana.


“Walaupun berkahwin cinta sama cinta, tetapi bukan semua mentua sukakan menantunya. Biasalah, bila mereka merasakan anak lelaki mereka bergaji dan berpangkat besar, mereka pandang kita sebelah mata, macamkan kita tidak berkelulusan dan tidak bekerja. Pada hal kelulusan dan pangkat saya lebih tinggi. Namun saya tetap melayan mentua dengan baik, kerana saya sedar tanpa dia tentulah tidak ada suami saya. Saya hormati beliau.


“Saya tak nafikan peringkat awal perkahwinan dulu terlalu banyak ranjau, terutama suami anak kesayangan ibunya dan mentua ini pula merasakan dia lebih penting dalam hidup kami dan dia wajib mencorakkan kehidupan anak kesayangannya ini. Hinggakan panggilan saya kepada suami, nak masak lauk apa, mana nak letakkan meja makan dan semua susun atur dalam rumah kami, mentua yang tentukan. Tak ikut dia naik angin mengamuk. Namun saya sabar. Walaupun setiap malam saya menangis kerana dikritik mentua.


“Hinggakan saya fobia setiap kali mentua datang ke rumah, sebab saya pasti kena marah, kena kritik dan dicebik kerana tidak tahu mengurus rumah. Namun saya terus melayan baik kerenah mereka kerana terlalu sayang dan cintakan suami.


“Sejak mula berkahwin masalah kewangan menjadi perkara utama, kerana kami baru bekerja. Masa itulah mentua kerap bertandang, menjadikan rumah kami stesen atau hotel untuk saudara-mara mereka tanpa menghiraukan bagaimana peritnya kami mengatasi pelbagai masalah hidup.


“Ketika kami semakin hampir mengecap kesenangan dan keselesaan, suami saya pula bercinta dengan budak baru lepas sekolah. Mulalah dalam rumah serba tak kena, semua menyakitkan hatinya. Mulanya saya tak sedar perubahan Roslan daripada baik kepada membenci. Saya fikirkan dia banyak kerja dan ada masalah di pejabat, rupa-rupanya dia sedang dilambung ombak asmara.


“Berbulan-bulan lamanya saya melayan kerenah suami yang serba benci dan serba tak kena pada saya. Apabila dia tengok saya masih diam dan mengalah, tidak melawan, suatu hari dia beritahu dia tak bahagia hidup bersama saya dan tidak sayangkan saya. Saya menangis minta ampun dan maaf dan bertanya di mana silap saya.



“Saya pujuk Roslan ke pejabat agama untuk kaunseling. Sampai di sana Roslan beritahu dia ingin menceraikan saya. Tetapi setelah dinasihat kaunselor agama barulah reda isu hendak bercerai, tapi dia masih teruskan aktiviti keluar malam.


“Atas nasihat kawan-kawan saya jalankan siasatan apa puncanya Roslan hendak ceraikan saya. Rupa-rupanya dia sedang bercinta dengan Izah yang baru bekerja di pejabatnya. Saya bersemuka dengan Izah. Dia minta maaf dan mengaku kesilapannya.


“Pada saya dia bukan tersilap langkah mencintai suami orang. Dia tahu Roslan dah kahwin, ramai kawan senior menasihatinya, tetapi dia tetap mahukan Roslan.


“Sejak itu timbul perasaan benci dan sakit hati dengan perangai Roslan. Dia seolah-olah sengaja mencari jalan supaya saya marah dan meminta cerai. Tetapi setelah rahsianya terbongkar dia berjanji akan berubah demi keluarga, saya buang yang keruh ambil yang jernih.


“Kerana malu pada kawan-kawan pejabat, tidak lama kemudian Izah dapat teman baru. Roslan beritahu saya jangan bimbang kerana Izah dah bertunang dan akan berkahwin.


“Walaupun hidup kami kembali normal, tetapi saya tetap risau, manalah tahu Roslan buat hal lagi. Namun semuanya lenyap beberapa tahun kemudian. Dan saya melahirkan anak yang kedua. Saya fikirkan tentulah hidup kami dah aman, rupa-rupanya tidak. Saya dapat tahu perkahwinan Izah dengan suaminya yang pertama dahulu cuma memakan masa seminggu, lepas tu mereka bercerai. Tetapi ramai tak tahu.


“Ketika rumah tangga kami dilanda krisis, hubungan saya dengan mentua tetap macam dahulu, saya tidak pernah baik pada pandangannya. Rumah tangga saya tetap serba tak kena pada matanya. Dalam pada itu pertelingkahan mentua saya dengan keluarganya, ipar-duainya, adik-beradiknya tetap sambung-menyambung, sentiasa tegang dan membuatkan saya berhati-hati bila bercakap supaya tidak menyakiti hati orang lain. Terutama mentua saya.


“Pendek kata, pertelingkahan mentua saya dengan keluarganya tidak pernah berkesudahan. Dan pastilah Roslan menanggung akibatnya, ditambah pula dengan tekanan kerja, masalah keluarga, suami melepaskan geram pada saya. Pada mulanya tidak kelihatan tanda-tanda atau sebarang perubahan dalam dirinya tapi lama-kelamaan, balik rumah lewat malam, kalau dulu ceria kini masam muka, pantang silap bicara pasti kena marah.


“Rupa-rupanya dalam diam setelah tujuh tahun berlalu sekali lagi Roslan buat hal. Dia kembali bercinta dengan Izah.



“Terbongkarlah kisah Izah bercerai seminggu selepas berkahwin kali pertama. Kemudian dia bercinta lagi dan kali kedua kahwin tak jadi, lepas tu dia bercinta lagi entah kali ke berapa dia berkahwin sekali lagi. Perkahwinan kali kedua Izah hanya selama dua tahun dan sempat melahirkan seorang anak. Lepas itu dia minta cerai.


“Rupa-rupanya ketika berkahwin ini pun dia sudah berhubung dan berbaik semula dengan Roslan. Mereka bercinta kembali. Bila dah bercinta panas bara api kemarahan dan rasa tidak puas hati terhadap saya berulang. Ketika itu kehidupan saya serba tak kena dan kepada rakan-rakannya dia beritahu dia tak bahagia hidup bersama saya. Hidupnya tawar dan dia hendak menceraikan saya lagi bagi kali kedua.


“Apa yang amat saya kesali, sebelum bercerai pun Izah dah buat hubungan sulit dengan Roslan, ketika dia masih isteri orang dan masih di peringkat kaunseling. Tapi Izah tetap dengan keputusannya mahu bercerai, sedangkan suaminya masih menasihatinya.


“Saya pernah bersemuka dengan Izah dan dia selamba memberitahu hubungan sulitnya dengan Roslan adalah takdir yang ditentukan Tuhan, dan dia dapat merasakan perkahwinan kedua itu pun tidak bahagia, selagi dia tak berkahwin dengan Roslan.


“Bayangkan jika ramai wanita yang sebegini berani, berkahwin dengan sesiapa saja yang disukai dan bercerai sesuka hati. Apa nak jadi dengan masyarakat kita? Adakah kahwin cerai ini dipersalahkan semata-mata kepada takdir Allah? Apakah kita sebagai manusia tidak mahu berusaha untuk mencegahnya? Roslan pula ketika ditanya dia masih sayangkan keluarganya tetapi membisu ketika ditanya tentang hubungannya dengan Izah.


“Akhirnya saya minta diceraikan, kerana Roslan tetap buat hubungan dengan Izah dan rela menceraikan saya. Tetapi pada kawan-kawannya dia salahkan saya kerana minta cerai. Inilah sikap ramai suami yang suka salahkan isteri. Oleh itu, ingatlah wahai wanita, kini ramai isteri orang yang idamkan suami orang, mereka mahu hidup senang tidak mahu bersusah payah. Mahu berada di puncak tanpa mendaki.''


Demikian cerita Azureen, dan apa pendapat pembaca tentang wanita yang mengidamkan suami orang?


Tahniah juga kepada Juliana (ingat kisahnya yang dipaparkan November tahun lalu) yang baru saja bernikah sempena tahun baru. Pasangannya juga peminat ruangan Di Celah-Celah Kehidupan yang saya hubungkan kerana bersimpati dengan Juliana. Demikian hidup manusia, hidup ini tidak selalu duka, akan gembira akhirnya. Kepada Azureen mungkin ada rahmatnya satu hari nanti.

No comments: