“SAYA meminati ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini semenjak remaja sehinggalah sekarang. Dahulu bila membaca penderitaan hidup orang lain dan masalah rumah tangga kerana suami curang, kaki pukul, kaki perempuan dan berjudi, saya bersyukur kerana suami bertanggungjawab, solat tak pernah tinggal, kacak walaupun tidak berpangkat besar. Dan kami belum dikurniakan anak lagi.
“Berumur 40-an, sudah 20 tahun berkahwin. Berjawatan pegawai kerajaan dan bahagia kerana suami sayangkan saya. Tetapi keadaan berubah selepas ibu saya meninggal dunia, suami mula tunjuk belang.’’ Demikian cerita Junaida dalam e-melnya kepada penulis.
“Mungkin semasa ibu masih hidup dia segan tapi sekarang dia bebas. Kepada siapa nak mengadu? Saya tak ada kakak kandung atau adik perempuan untuk mencurahkan perasaan. Memang ada ramai kakak ipar tapi saya tidak mudah menceritakan masalah pada mereka, apatah lagi kepada rakan-rakan sekerja.
“Suami juga kakitangan kerajaan. Dulu kami kerani biasa. Saya pilih dia jadi suami kerana dia baik dan bertanggungjawab. Walaupun ramai pegawai lain cuba mengurat saya tetapi dia tetap jadi pilihan, saya rasa selamat memilih suami tidak berjawatan tinggi.
“Kemudian kami melanjutkan pelajaran ke ITM. Saya dapat diploma tapi Muzafar kandas. Saya jadi pegawai, dia tetap kerani. Namun kami bahagia dalam kekurangan.
“Tapi saya tak pernah berhenti berusaha mendapatkan anak. Pelbagai usaha dibuat, dari perubatan tradisional hingga berubat keluar negara. Doktor membuktikan kami berdua tidak mandul, mungkin belum ada rezeki.
“Nasihat orang tua-tua cuba ambil anak angkat, mana tahu ada rezeki saya mungkin hamil. Kami ambil anak angkat. Kini dah pun remaja. Dan rezeki kami bertambah apabila Muzafar naik pangkat, walaupun dalam jangka waktu lewat. Namun saya tak kecewa.
“Malangnya kebahagiaan kami tidak sampai ke petang, ketika saya merancang kehidupan yang lebih selesa, dengan tidak diduga akhir tahun lalu saya menerima e-mel daripada seorang wanita yang mengaku mengenali saya dan tahu banyak perkara tentang saya juga kehidupan saya. Paling dahsyat dia ajak saya bermadu dengannya.
“Bagai nak runtuh dunia ini seketika selesai saya membaca e-mel tersebut. Menggigil tangan saya, terasa macam nak pitam. Gelap dunia ini seketika. Setelah tersedar kembali, saya ulang lagi membaca bagai tak percaya, apakah betul ejaannya, tak tertinggal sepatah perkataan pun saya ulang. Saya tak salah memang benar apa yang disebut.
“Rasa geram dan marah bercampur gaul. Siapa perempuan yang berani merasuk hidup saya ini. Kalau dia ada di depan saya, mahu saya tarik-tarik rambutnya, cakar mukanya tapi saya banyakkan beristighfar. Saya kuatkan hati saya bawa mengucap, ingat Tuhan. Fikirkan yang baik-baik, fikir positif. Mungkin penulisnya tersalah orang, salah hantar e-mel. Mungkin juga dari orang jahat yang sengaja nak merosakkan rumah tangga saya.
“Setelah kembali tenang saya baca e-mel tu lagi, penulisnya menamakan diri Rozy, mengaku janda dua anak, berumur belum 30 tahun. Yang menyakitkan hati tanpa rasa malu dia beritahu amat mencintai Muzafar suami saya. Katanya mereka dah lama memadu cinta, dah lama bersabar memendam rasa, kini tibalah masa hendak berkahwin. Katanya dia tak mahu lebih lama buat dosa, jadi dia hendak tamatkan hubungan sulitnya.
“Tanya punya tanya, e-mel punya e-mel dengan wanita tersebut sambil menyelidik lebih mendalam lagi, akhirnya saya terus bertanya dan menyerang Muzafar. Siapa boleh sabar, siapa boleh tenang kalau wanita itu menceritakan setiap inci hubungan dia dengan suami kita sejak sekian lama. Yang suami kita ni duduk rumah macam tok sami, baik, pijak semut tak mati. Memang kita tak sangka dia boleh buat muka selamba dengan kita.
“Memang tak patut saya memalukannya tapi puan, apalah daya saya ketika itu saya benar-benar terkejut, terasa tertipu, saya jadi tak tentu hala, semakin berfikir semakin banyak benda karut mengganggu fikiran, akhirnya saya jadi macam orang setengah gila.
“Keadaan menjadi semakin tidak keruan apabila Muzafar tidak menafikan hubungannya dengan Rozy sejak sekian lama, dia mengaku memang nak berkahwin. Perbuatannya memang sengaja hendak menyakitkan hati saya, dengan wajahnya yang mencemik, berbeza dari biasa. Membuatkan saya lebih menggila. Saya tak sangka dia betul-betul berubah.
“Selepas peristiwa itu, hidup saya sentiasa diganggu dengan kedatangan e-mel yang menyakitkan hati . Tak cukup e-mel, SMS dari Rozy membuatkan hidup saya lebih tak tenteram dan tak keruan. Fikiran saya lebih terganggu bila dia menelefon saya.
“Saya pernah membaca cerita DCCK biasanya isteri yang ganggu dan serang wanita yang hendak mengambil suaminya. Tetapi keadaan saya berbeza, sudahlah suami hendak dirampas, hidup saya diganggu dan diserang.
“Sepatutnya saya serang Rozy tetapi saya bukanlah orang yang suka menyerang. Saya fikir mungkin Muzafar bersalah, saya tak salahkan Rozy, mungkin Rozy mangsa pujuk rayu lelaki tua seperti Muzafar yang ‘diam-diam pucuk lepu, nampak diam tapi mengenyam’.
“Apa yang membuat saya benar-benar menderita kerana saya tak sangka dan tak terfikir Muzafar yang sangat saya sayang dan cintai sepenuh jiwa raga saya, yang saya amat percaya, kerana baiknya sanggup mengkhianati saya, menodai cinta saya selama ini.
“Saya terlalu percaya padanya dan yang paling mendukacitakan dia sedikit pun tidak ada tanda-tanda suami curang, kehidupan kami berjalan seperti biasa tiada kejadian aneh atau pelik, tiap-tiap malam ada di rumah. Jadi siapa sangka Kak Maimunah? Sungguh saya tak sangka Muzafar begitu licik dan pandai merahsiakan hubungan mereka selama ini.
“Saya baca juga e-mel yang Muzafar hantar kepada Rozy. Kata-kata yang diungkapkan kepada Rozy benar-benar meruntun jiwa dan perasaan. E-melnya tak lepas perkataan “I luv u. I miss u. I rindukan Yang sampai menonggeng. Kegebuan Yang tak pernah luput di ingatan. Kenangan bersama Yang suatu kenikmatan yang indah.’’ Allahuakbar apa suami saya dah buat ni, tak takutkah dia pada dosa. Sembahyang rupa-rupanya jadi alat mengaburkan mata.
“Puan macam nak pecah dada saya dan yang paling memalukan dia bercinta dengan isteri orang. Rozy belum bercerai. Ketika Rozy ada masalah dengan suaminya mungkin suami saya jadi orang tengah. Rupa-rupanya Muzafar merancang dengan Rozy menyuruh dia mengaku janda dan suruh Rozy hantar e-mel pada saya dan ajak bermadu.
“Oleh kerana hubungan mereka terlalu intim, mereka membuat pelbagai rancangan supaya Rozy diceraikan, tetapi suami Rozy tidak ceraikan dia kerana suaminya sayangkan anak-anak yang masih kecil.
“Semasa saya menerima e-mel dari Rozy, saya fikirkan tentulah dia sudah janda. Tetapi sangkaan saya meleset, sebenarnya tidak. Nak jadikan cerita satu hari saya mendapat panggilan telefon dari suami Rozy dan dia nasihatkan saya jaga Muzafar dan beritahu Muzafar telah mengganggu rumah tangga mereka kerana sering menghubungi isterinya Rozy.
“Waktu itu barulah saya tahu keadaan sebenar, sememangnya mereka belum bercerai, memang bersengketa semuanya gara-gara suami saya mengganggu isterinya, dakwanya.
“Sebenarnya saya bukan tidak mahu bermadu atau menentang poligami tapi saya tahu kemampuan Muzafar zahir dan batin. Urusan rumah tangga sayalah yang banyak mengeluarkan belanja. Tak tahulah saya di mana dia sorokkan duit gajinya setiap bulan, tetapi yang jelas dia memang boros. Suka nak bergaya duit memanjang tak ada. Perkataan yang sering diucapkannya, katanya umurnya tak panjang jadi dia tak perlu simpan duit untuk hari tua, bila bersara nanti ada pencen, cukup dia makan sorang, jadi buat apa nak simpan duit.
“Sejak dulu lagi saya sering ingatkan dia tentang masa depan, hari tua dan simpanan, tetapi dia tak kisah, dan saya tak boleh cakap banyak bila dia dah angin. Pasti cawan piring terbang melayang. Muzafar pendiam tapi baran. Sebab itu saya lebih suka mendiamkan diri daripada banyak cakap, dan kerana itu juga saudara-mara dan jiran tetangga mendakwa Muzafar baik orangnya. Cuma saya yang tahu siapa Muzafar. Dia bukan baik, tetapi saya amat penyabar melayan kerenahnya.
“Kadang-kadang tu bila saya tengok dia diam, saya cuba bertanya mengapa dia berubah dan nak kahwin lain. Dengan terus terang dia memberitahu bahawa selama ini dia tidak pernah bahagia bersama saya. Dia benci dan bosan bersama saya. Cuba puan bayangkan perasaan saya ketika itu. Padahal sebelum dia bercinta dengan Rozy dia kata hidupnya amat bahagia. Saya rasa hidup saya kini tidak bernilai lagi. Pengorbanan saya tidak berharga.
“Katanya dia nak kahwin dengan wanita lebih muda dan lebih cantik kerana tidak ada anak, sedangkan dulu dia tidak pernah membicarakan isu ini, malah dia pernah berkata, tak ada anak pun bahagia juga.
“Akhirnya saya membuat keputusan demi ‘kebahagiaan’ hidupnya dan tidak mahu menghalang dia kahwin lagi. Saya minta diceraikan. Mungkin hidupnya lebih bahagia dan bila dapat anak, tentu dia lebih bahagia.
“Tetapi dengan tegas dia mengingatkan tidak akan menceraikan saya. Dia tetap mahu saya jadi isterinya. Malangnya hati, jiwa dan perasaan saya sudah dihancurkan oleh Muzafar dan Rozy. Jadi macam mana saya boleh hidup bersama mereka? Jiwa dan perasaan saya tidak boleh terima Muzafar lagi, dia hancurkan segala-galanya. Dia leburkan kasih sayang dan kepercayaan saya.
“Kini saya nekad, tidak mahu lagi hidup dengan suami curang, memperbodohkan dan menduakan saya. Saya tahu mengapa dia tidak mahu lepaskan saya mungkin kerana dia tidak yakin dengan kehidupan barunya. Mungkin Rozy tidak tahan dengan sikap panas barannya yang bertakhta jiwanya selama ini.
“Namun ada kalanya saya rasa takut, tidak berani hidup tanpa lelaki di sisi. Saya hanya nak bahagia hingga ke akhir hayat. Saya berusaha memperbaiki diri, membolehkan Muzafar cintakan saya kembali. Saya layan dia dengan baik, tapi semuanya sia-sia.
“Saya lakukan segala-galanya sendiri, tanpa pembantu, mengurus rumah, suami dan anak di samping memandu ke tempat kerja 120km setiap hari pergi balik. Saya berkorban segala-galanya, tetapi dia tetap tak mahu berubah. Perlukah saya berkorban lagi?
“Saya inginkan pandangan dan nasihat daripada pembaca, apakah yang harus saya buat. Sehingga sekarang suami tidak mahu menceritakan perkara sebenar. Dan saya tak berani bertanya lagi, kerana dia sangat kecewa sebab gagal berkahwin dengan Rozy yang sehingga ini belum diceraikan. Hubungan mereka masih berterusan dan masih menjadi misteri.
“Tak cukup itu, Muzafar juga memberi amaran keras supaya jangan diungkit lagi cerita mengenai Rozy. Katanya hubungan dia dengan Rozy itu urusan dia, hati saya sentiasa sedih dan tidak tenteram kerana SMS yang saya terima dari Rozy memang menyakitkan hati, malah dia sering menyamar pelbagai nama untuk menyakiti hati saya.
“Pelbagai cerita buruk tentang hubungan nya yang sengaja dihantar pada saya. Memang menghiris jiwa. Tolonglah, saya masih sayangkan Muzafar, saya tak mahu kehilangannya. Tetapi setiap kali memandang wajahnya saya terlihat muka Rozy, membuatkan saya sedih. Patutkah saya bersabar atau minta dibebaskan? Saya terfikir selepas ini apa lagi rancangannya untuk menganiaya hati dan perasaan saya.’’
Demikian cerita Junaida yang mengharapkan pandangan pembaca. Dia masih tidak berani membuat keputusan takut dicerca orang keliling. Apakah jalan terbaik untuk beliau? Dan apa pandangan pembaca kepada mereka yang tidak berani membuat keputusan dan lebih memikirkan hati dan pandangan orang lain? Tentu pembaca boleh memberi pandangan terhadap sikap orang seperti Junaida ini. Hantarkan pandangan anda dalam www.dcckmona.com. Anda juga masih boleh menghantar ke dcckmona@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment