MASIHKAH anda ingat kisah yang dipaparkan dua minggu lalu? Kisah Awas perangkap cinta lelaki tua, luahan rasa Norziana yang berterus terang mengapa dia mencintai suami orang.
Biarpun ramai yang tidak bersetuju dengan tindakannya, rupa-rupanya masih ramai gadis seangkatan Norziana, malah melahirkan pandangan mengapa mereka juga turut mencintai suami orang.
Sudah pasti mereka mempunyai pandangan dan tindakan tersendiri.
Sebagai contoh, kisah yang saya paparkan minggu ini datangnya daripada seorang gadis yang saya namakan sebagai Asmarina. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi sila baca luahan hati Asmarina dalam e-mel yang dikirimkan kepada penulis.
Walaupun ramai yang tidak setuju dengan curahan hati Asmarina, dan mengecapnya dengan pelbagai perkataan, namun pada Asmarani, cerita Norziana amat menyentuh jiwanya.
Katanya, cuma mereka yang mengalaminya sahaja yang lebih mengetahui.
“Saya tidak pernah mengejar cinta suami orang, tetapi ia datang tanpa disedari. Semoga pengalaman pahit yang saya hadapi ini dapat melepasi lelah dan sesak di dalam hati ini. Lebih setahun lamanya saya memendam rasa, baru kini, setelah membaca cerita Norziana saya berani dan mampu bercerita meskipun dengan deraian air mata.
“Saya juga berharap semoga cerita ini akan menjadi teladan juga pengajaran kepada semua, tak kira gadis, isteri orang mahupun para suami. Jangan jadi seperti saya, jauhkan diri sebelum terkena.
“Seperti Norziana pengalaman saya bercinta dengan suami orang lebih pahit, bukan saya yang mencari pada awalnya, tetapi ia datang tanpa disedari. Bukan kerana saya desperate, jauh sekali kalau dikatakan tak laku. Alhamdulillah, saya diberi Allah dengan bentuk tubuh yang kecil atau comel meskipun usia sudah menginjak 30-an tetapi saya berani katakan saya jauh kelihatan lebih muda, mungkin kerana tubuh kecil molek ini.
“Sejak semasa menuntut di universiti, ke mana saya pergi pasti ada yang berkenan. Hingga kini masih ramai yang mudah mesra dengan saya tambahan pula setelah berhenti kerja dari eksekutif dan guru. Mereka sukakan saya kerana kemahiran saya di dapur dan menjahit.
“Tentu pembaca mendakwa kalau semua sudah ada kemahiran itu mengapa mesti bermesra atau bercinta dengan suami orang? Saya pernah bercinta dengan lelaki bujang, tetapi semuanya tidak menjadi, lebih banyak buruk daripada baiknya hinggakan saya berhati-hati.
“Dulu hati saya pernah dikhianati oleh lelaki muda kurang matang dan tidak tetap pendirian. Bukan semua, tapi kebanyakan yang saya jumpa mengecewakan. Lelaki pertama saya percayakan dia, tapi dia membohongi saya sejak hari pertama dia mengejar saya.
“Setelah sekian lama, barulah saya tahu yang dia tak pernah bercerita tentang saya kepada ibu bapanya. Sedangkan itulah permintaan saya tatkala menyambut salamnya.
“Kemudian dia buat cerita konon ibu bapanya sudah ada pilihan dan dia tak tahu mana nak pilih. Lebih dahsyat dia meletakkan diri saya di tempat ibu bapanya untuk membuat pilihan, akhirnya saya ikut nasihat emak. Dengan rela hati saya mengundur diri, biarlah dia gembira dengan pilihan ibunya.
“Selepas itu baru saya berkenalan dengan seorang lelaki seusia emak. Bermula sebagai kenalan biasa, lama-kelamaan rasa kasih mula tumbuh dan berkembang. Bukan sekadar rasa sayang sebaliknya menjadi lelaki yang amat saya hormati, sanjung dan kagumi.
“Dialah sebenarnya cinta pertama saya. Dia lelaki yang mengajar saya rasa cinta. Dia mengajar saya banyak cerita dunia. Saya banyak berkongsi segala ilmunya. Dengan kesibukannya sebagai pengarah syarikat, dia sentiasa menitip masa untuk saya. Melihat dan menilai dunia dari pelbagai cara. Dialah lelaki yang saya impikan untuk seumur hidup ini.
“Dia juga seorang profesor yang saya kira orang penting di negara ini. Biarpun tiada kemudaan lagi pada usia dan rupa, saya tetap rasa berbangga bila berjalan dengannya. Dia tidak banyak bercerita tentang keluarganya. Cuma memberitahu, dia telah berpisah dengan isterinya. Bagaimanapun dalam tidak banyak tanya, saya berjaya mengorek ceritanya.
“Dia tinggal berasingan sudah lapan tahun, sekali sekala pulang menjenguk anak-anak. Katanya, hidup mereka bermasalah, kecewa dengan isterinya, mak mentuanya dan anak-anak. Isterinya agresif, anak-anaknya yang rebellious dan mentuanya yang busybody suka mengatur hidup keluarganya.
“Tak dapat saya buktikan kata-kata itu. Yang jelas, pakaiannya dicuci oleh tukang dobi. Lebih mengharukan, saya ternampak kaki seluarnya dijahit dengan benang putih sedangkan seluarnya berwarna gelap. Saya kira mustahil tukang jahit menjahit sebegitu rupa. Mustahil seorang isteri tergamak menjahit sedemikian rupa untuk suami yang punya tempat dalam masyarakat. Mustahil, kecuali empunya seluar itu sendiri menjahitnya.
“Bukan sengaja saya menyintai suami orang. Pada mulanya saya dah menarik diri setelah tahu dia hanya berpisah tetapi tidak bercerai. Tetapi melihat keadaan hidupnya, saya tak sampai hati. Anak kucing comot di jalanan lagikan kita belai, inikan pula manusia yang saya sanjung, saya cinta dan saya sayang.
“Biarlah siapapun dia, saya bahagia bersamanya. Dia membetulkan setiap silap saya dengan penuh hikmah. Dia akan menyokong tiap usaha saya. Dia yang menunjuk jalan, dialah segala-galanya bagi saya. Dia juga my moving encyclopedia yang amat berharga. Ibarat kata Celine Dion, he lift me up when I could not reach, he touch my hand so I could touch the sky, I lost my faith he gives it back to me. He has faith in me.
“Kehidupan kami berjalan lancar untuk sekian lama sehinggalah isterinya mendapat tahu. Saya tidak seberuntung Norziana. Isterinya menelefon, menghantar sms tak henti mencaci, memaki malah mengugut dengan bahasa yang tak terduga. Bukan saya sahaja dicaci, malah suaminya pun kena sama. Ketika itu hati saya baru mengiakan ceritanya. Saya dituduh mata duitan tetapi saya yakin kekasih saya tahu saya bukan begitu.
“Sungguhpun membesar sebagai anak petani yang dihimpit kepayahan, saya diajar hidup berdikari, hidup jangan meminta. Saya bukan jenis yang suka hidup ditaja orang. Saya rasa malu untuk menerima apa-apa yang bukan hak saya. Jika perlu saya menerima, saya akan pastikan membalasnya dengan cara yang lain. Saya bukan mata duitan.
“Dengan segala caci maki dan ugutan saya tidak dapat hidup dengan aman. Saya berfikir sekali lagi. Merenung segala keadaan dan kemungkinan, segala cerita dan pengalaman, saya berasa tiada tempat yang baik untuk saya. Menimbang kesedihan hati saya dan banyak hati-hati lain, saya rasa tiada peluang untuk saya bahagia dengan kehidupan begitu.
“Selain hidup dan bekerja untuk diri sendiri, saya juga bread winner untuk keluarga. Emak dan ayah yang menginjak tua, adik-adik masih bersekolah, saya yang menanggung semuanya, tapi saya rela. Saya hidup bukan untuk memikirkan diri sendiri, saya bernafas untuk orang lain. Syukur, saya dianugerahkan Tuhan ibu yang berfikiran terbuka, memahami dan bertimbang rasa.
“Emak amat memahami dan memapah saya berdiri kala saya nekad melepaskan nyawa ini pergi. Saya tidak segagah Norziana untuk bertahan. Saya mengalah dan melepaskannya dengan harapan dia akan hidup dengan aman.
“Saya juga berharap isterinya lebih selesa tanpa saya. Saya harap anak-anaknya akan dapat menikmati hidup berkeluarga di bawah satu bumbung. Tak sampai hati saya merosakkan hati anak-anak itu, walaupun saya tak kenal mereka.
“Biar saya seorang yang kehilangan, asalkan tiada orang yang menderita kerana saya. Saya rela mengalah asalkan saya tidak berhutang dengan sesiapa, tidak merosakkan hati mereka. Tidak mengapa jika saya tidak mendapat apa-apa
“Namun apa yang saya rasa terkilan walaupun telah lama berpisah, tetapi dia tetap mengejar dan mencari saya. Dia masih memburu saya, cuma saya mendiamkan diri bukan kerana benci, tetapi kerana luka di hati masih terasa peritnya. Dan yang penting saya mahu dia bahagia bersama keluarganya. Saya tidak mahu mengganggunya lagi.
“Mungkin juga saya rasa kecil hati, namun saya harap dia lebih faham dan tahu bahawa dialah satu-satunya lelaki yang amat saya cintai. Saya berbuat semua untuk kebaikannya dan meninggalkannya untuk kebaikan isterinya.
“Tetapi hingga kini, saya masih tertanya-tanya adakah dia sudah kembali kepada isteri dan anak-anak yang bermati-matian mendakwa sayangkannya? Apakah sudah terjaga makan minumnya, pakaiannya, sakit peningnya dan lebih penting bahagiakah dia?
“Saya tidak mahu dipersalahkan lagi, saya sudah memulangkan dia kepada orang yang sepatutnya menyayanginya. Takdir Allah cuma mengizinkan kami bercinta setakat itu sahaja.
“Walaupun setahun berlalu, saya baru sedar bahawa saya bukan sekadar kehilangan cinta, tapi keyakinan diri. Saya cuba memberi peluang kepada cinta baru, tapi masih gagal seperti dia gagal dengan hidupnya sekarang.
“Kerana hingga kini dia masih memburu cintanya daripada saya. Memang hati kami hancur demi kebahagiaan orang lain, tetapi bolehkah keadaan seperti ini berlanjutan? Kekasih saya juga merana hidupnya kerana keadaan keluarganya, katanya, kalau dia bahagia, mengapa dia masih memburu saya hingga kini.
“Bila memikirkan ini semua patutkah kami terus memutuskan hati yang sudah lama terpaut cinta yang sudah diikat erat, kalau orang yang sepatutnya menerima cintanya tidak menyanjung pengorbanan suaminya. Patutkah? Jadi salahkah kalau kami menyambung semula cinta kami yang selama ini terputus?
“Kami tahu, kami tidak bahagia dengan kehidupan ini, si isteri cuba bertahan tanpa memberi kasihnya kepada si suami. Mungkin sudah terlalu lama terpisah hingga hati masing-masing kering, mati, tetapi bertahan kerana anak-anak dan tanggungjawab. Jadi patutkah kami berkorban untuk semua itu?
“Jadi jangan salahkan gadis-gadis sahaja jika bercinta dengan suami orang, kerana suami orang itu juga bermasalah. Sementara si isteri tidak tahu menilai pengorbanan suami mereka.”
Demikian cerita Asmarina tentang pengalamannya mencintai suami orang.
Sehingga kini Asmarina masih bertahan, menunggu kata hatinya patutkah dia membalas cinta suami orang yang memang sudah lama kehilangan kasih sayang daripada keluarganya sendiri. Bukan bermula daripada Asmarina, sebaliknya daripada kesilapan si isteri sendiri.