SAMBUTAN pembaca terhadap kisah yang dipaparkan minggu lalu memang hangat. Boleh dikatakan tidak ada seorang pun yang menyokong sebaliknya menghentam Norziana habis-habisan kerana mencintai suami orang sedangkan dia berada di tempat paling istimewa mendapat cinta daripada seorang lelaki yang masih bujang.
Kata mereka, Norziana sengaja menolak cinta jejaka bujang itu semata-mata kerana turutkan kata hatinya konon mencintai lelaki lebih tua. Sebenarnya bukan cinta yang Norziana kejar sebaliknya dia gadis materialistik, tak mahu hidup susah di awalnya, sebaliknya mahu berada di puncak dalam sekelip mata. Pendek kata, mahu menumpang kesenangan orang lain.
Tasya dalam e-melnya memberi contoh, Norziana sengaja memburuk-burukkan lelaki bujang sebagai anak muda yang tak tahu arah hidup, kurang bersungguh-sungguh, kedekut, kurang menghargai pasangannya, tidak berwawasan dan tidak mahu bekerja keras sebab dia mahu hidup senang dengan suami orang yang dia lihat sudah mewah.
“Norziana juga secara berterus terang menyatakan dia mahukan lelaki matang, caring, berwawasan, berjaya, extrovert dan a winner sebagai pasangan hidup. Jelas apa yang dihajatinya itu memang tidak ada pada lelaki bujang, kecuali mereka yang sudah lama hidup yang sudah berusia lebih 45 tahun ke atas.
“Jadi bila hati dah tak mahu pada orang bujang, apa yang dilihat sudah tentu tidak akan memuaskan hatinya, lagipun dia sudah tahu kekayaan businessman bergelar Datuk tempat dia mula bekerja dahulu, sudah pastilah dia cepat terpikat.
“Norziana tidak perlu menafikan dia tidak mengejar kekayaan orang dalam mencari suami, kerana dari apa yang dilahirkan dalam Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) minggu lalu jelas dia inginkan jenis lelaki yang sudah berusia dan berada,” kata Tasya lagi.
Syikin juga sependapat dengan Tasya, katanya, Norziana mengenali businessman bergelar Datuk tersebut ketika dia menyelaraskan projek-projek perniagaan Datuk itu. Bila dia tahu jenis perniagaannya, sudah pasti dia tahu kemampuannya, dan tidak dinafikan dia akan cepat terpikat biarlah lelaki tua asalkan berharta.
“Jadi tidak hairanlah dia sentiasa memuji Datuk itu biarpun usia melebihi 50 tahun tetapi katanya, Datuk itu seorang berpendidikan tinggi, segak, kacak, matang, very determined, petah berbicara dan extrovert. Kerana itu tidak hairanlah dia cepat jatuh cinta.
“Cerita Norziana konon Datuk itu jadi pendorong dia menggapai cita-cita dan membuat self-determination dan self-esteem dia menjadi kuat, itu semua adalah pembohongan semata-mata. Sebenarnya dia cintakan kekayaan Datuk tersebut. Walaupun Norziana cuba menafikan tetapi dari tulisannya kita boleh membaca siapa dia sebenarnya, dia memang seorang gadis materialistik.” Demikian pandangan Syikin yang sudah pun berusia 30 tahun tetapi masih belum berkahwin.
Kata Syikin, Norziana memang menolak tuah. Ramai gadis mencari lelaki bujang sebagai calon suami, sebaliknya dia menolak malah mencari suami orang kerana mengejar kekayaannya.
Mengikut Syikin, dia tidak mencari lelaki kaya, sebaliknya inginkan lelaki yang jujur, setia, bertanggungjawab terhadap keluarganya dan boleh dipercayai. Tak guna kalau lelaki kaya jika tak jujur, kerana dia akan membuat kehidupan kita lebih sengsara lagi.
Sementara itu penulis turut menerima pandangan juga nasihat daripada seorang penulis novel terkenal yang saya namakan beliau sebagai Suhaila sahaja, yang ingin turut menasihati Norziana. Sama-sama kita ikuti pandangan beliau di bawah ini.
Sebenarnya ini adalah kali kedua Suhaila ingin memberikan pandangannya. Tahun lalu beliau memberikan tujuh tip untuk gadis-gadis profesional berpelajaran dan berpendapatan tinggi yang mahu mengahwini lelaki yang berstatus, berpendidikan dan berpendapatan lebih rendah daripada mereka.
Kata Suhaila, tujuh tip yang diberikannya itu banyak mendapat reaksi daripada peminat-peminat ruangan DCCK ini. Lepas itu, ramailah gadis yang mahu menghubunginya. Dia cuba membantu mereka seberapa yang terdaya, tetapi didapati ramai antara mereka yang menghadapi masalah psikologi yang kronik.
“Pada saya mereka sebenarnya memerlukan pakar jiwa. Malangnya saya cuma seorang pendidik dan penulis novel, jadi tak dapatlah saya bantu mereka.
“Hari ini entah kenapa, selepas membaca kisah Norziana dalam ruangan DCCK minggu lalu, saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan. Bukan pada Norziana sahaja, tetapi gadis-gadis lain yang seangkatannya.
“Pada pandangan saya, apabila seorang lelaki berusia lebih 50 tahun dapat memikat gadis-gadis muda separuh daripada usianya seperti Norziana, maka lelaki ini akan menjadi seorang yang besar egonya! Percayalah! Saya bukan menentang cinta sejati anda. Malah novel saya penuh dengan kisah cinta sejati juga. Tetapi cinta sejati itu bukanlah datangnya daripada lelaki separuh umur atau hampir separuh umur yang sedang menghadapi masalah kritikal dalam hidupnya, iaitu menopaus. Cinta sebegini adalah cinta materialistik namanya.
“Sebenarnya Norziana begitu kagum dengan kejayaan materialistik lelaki yang bergelar Datuk itu hingga mengaburkan semua pertimbangan. Cuba anda fikir, adakah lelaki seperti ini dapat melindungi hidup anda? Sedarlah, sebenarnya lelaki ini sedang menghadapi saat-saat kritikal dalam hidupnya. Dia tak mungkin dapat memenuhi impian yang anda bina dalam minda anda.
“Jadi, berhati-hatilah dalam menerima cinta lelaki separuh umur, tak kiralah dia bergelar Datuk ataupun cuma lelaki biasa sahaja. Kalau dia bergelar Datuk, lagilah anda patut berjaga-jaga kerana dikhuatiri nanti bukan anda seorang sahaja yang dapat memilikinya mungkin akan ada orang ketiga atau keempat dalam hidupnya selepas anda yang juga nanti akan mendakwa amat mencintainya.
“Nasihat saya carilah lelaki bujang yang tidak bermasalah yang benar-benar bersedia untuk sehidup semati dengan anda. Kerana inilah sebenarnya erti perkahwinan, iaitu mencari pasangan yang sanggup susah senang dan tua bersama-sama kita. Bukan pasangan yang akan meninggalkan kita ketika kita sangat-sangat memerlukannya. Bayangkan diri anda berada di tempat isterinya sekarang?
“Ketika anda memerlukan suami, tiba-tiba dia berpaling mencari gadis yang separuh daripada usianya. Bagaimana perasaan anda ketika itu? Sedangkan ketika dia susah, anda sentiasa menyokongnya. Adakah anda dapat menerimanya dengan fikiran yang terbuka dan mengasihani gadis yang masih muda itu?
“Ingatlah hidup ini ibarat roda. Hari ini kita muda dan nasib kita berada di aras paling atas. Esok kita akan tua dan berada di aras paling bawah. Konsepnya mudah. Kalau kita buat orang, satu hari kita juga akan menerima balasannya.
“Roda sentiasa berputar Norziana. Lagipun, bukannya bagus sangat kahwin dengan orang tua ni. Sekarang umur dia 50-an dan umur saudari 26 tahun. Anda kata, dia tak nampak macam orang tua berusia 50-an. Memanglah tak nampak tua kalau dia berpakaian jaket dan kemeja import yang berjenama dan cermin mata Ray-Ban.
“Tambah-tambah lagi memegang sejambak bunga untuk anda. Membawa anda makan-makan di hotel-hotel atau ke kelab-kelab mewah. Memang nampak macam Shah Rukh Khan dan kacak habis. Tapi cuba dia duduk melepak di rumah dengan hanya berkain pelekat dan singlet atau berlengeng (berkain tanpa baju). Masa itu bolehlah anda lihat keadaan perutnya yang gendut. Sebiji rupa bapa anda sendiri di rumah! Sanggup anda jadikan dia sebagai suami anda?
“Lagi 10 tahun, umur dia 60-an dan anda pula baru 36 tahun. Masa ini anda tidak boleh membohongi mata, hati dan perasaan anda yang terkelabu selama ini. Dan dia pun memang tak dapat menyembunyikan keadaan dirinya yang telah tua itu.
“Tambah-tambah tidak menyelerakan ketika itu pula dia diserang pelbagai jenis penyakit satu demi satu atau berpenyakit tiga serangkai, lengkap dengan penyakit darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung, ditambah lagi teruk kalau dapat semput, sakit buah pinggang dan lain-lain.
“Silap hari bulan, dia kena serangan stroke dan terbaring di katil. Sanggupkah anda membelanya untuk tempoh 10 atau 15 tahun lagi? Waktu itu katakanlah isteri pertamanya sudah diceraikan ataupun kalau bermadu dia tidak mahu menjaga suaminya, malah dia menyerahkan kepada anda. Sanggup anda menjaganya?
“Ketika itu pula tugas anda di pejabat semakin bertambah banyak. Anda telah dinaikkan pangkat dan di bawah anda banyak kakitangan dan tugas yang perlu dibereskan. Apakah anda mahu melayan kerenah suami di rumah yang diselubungi pelbagai jenis penyakit? Tambah teruk kalau dia cemburu dengan kejayaan anda.
“Oleh itu fikirlah habis-habis sebelum terperangkap mengahwini lelaki tua. Bunyi cerita anda dalam DCCK memang romantik habis, memang sedap didengar tetapi anda jangan mudah terperangkap. Fikirkan keadaannya 10 atau 15 tahun lagi apakah anda boleh, mampu dan terdaya menjaganya.
“Sebenarnya di alam nyata, lelaki yang anda puji dan puja kerana segak dan tampannya itu samalah keadaannya dengan pak cik-pak cik yang anda lihat setiap hari di keliling anda. Tak ada apa-apa kelebihannya, kecuali mungkin dia ada lebih banyak duit. Tetapi duit tak dapat membeli kesihatan dan kebahagiaan anda.
“Nasib tak baik, tak sampai lima tahun kahwin, dia pun mati. Anda mungkin akan menjadi janda muda. Masa ini umur anda sudah 30-an. Waktu itu barulah anda terkial-kial hendak memikat lelaki muda untuk dijadikan suami. Dapat yang baik kira anda bernasib baik, apa jadi kalau lelaki itu hanya hendak mengahwini anda kerana wang ringgit anda sahaja? Apa perasaan anda!
“Bukan mustahil lelaki muda ini nanti akan mencari gadis yang jauh lebih muda daripada anda untuk menjadi kekasih atau calon isterinya. Ini yang dikatakan roda kehidupan. Roda itu akan sentiasa berpusing tanpa menunggu anda sedetik pun. Jadi ingatlah jangan fikir yang senang dan mewah saja. Fikirkan masalahnya sekali.” Demikian nasihat Suhaila untuk tatapan semua gadis seangkatan Norziana.
Memang banyak perkara boleh kita perbahaskan dalam isu ini, tetapi rasa-rasanya tentu anda sendiri boleh memikirkan. Pendek kata, jangan fikirkan senangnya sahaja, ingat sekali masalah yang dibawanya bersama. Semoga anda boleh berfikir dengan lebih baik.
No comments:
Post a Comment