Sunday, April 9, 2006

09/04/2006 : Suami berpoligami wajib berkursus

PELBAGAI pandangan diterima melalui e-mel tentang kisah yang dipaparkan minggu lalu. Sudah pasti para suami menerima tamparan hebat. Puan Jay terus terang mendakwa kegagalan kebahagiaan kehidupan berpoligami bukan kerana wanita yang didakwa bencikan poligami, tetapi kelemahan lelaki dalam banyak hal.


Sebenarnya kebanyakan suami tak tahu hidup berpoligami sebab itulah mereka gagal membina sebuah keluarga bahagia. Mereka juga tidak ada ilmu berpoligami jadi bagaimana hendak membentuk isteri-isterinya hidup berbahagia?



Macam kisah minggu lalu, apabila dua isteri hidup aman bahagia, si suami masih mencari masalah di tempat lain. Jadi jangan salahkan wanita bila mereka membantah poligami sebab wanita tahu suami lemah, tak tahu membina keluarga bahagia.


“Saya cadangkan jabatan agama atau Mahkamah Syariah adakan kursus khas dan intensif kepada kaum lelaki yang hendak berpoligami. Mereka patut diberitahu ilmu berpoligami. Bukan salahkan wanita sahaja yang membenci dan menentang suami berpoligami. Kerana suami tak tahu tanggungjawab apabila berkahwin lagi mulalah melupakan isteri pertama dan anak-anaknya.


“Zaman sekarang bukan boleh disamakan kehidupan cacing dalam batu yang boleh hidup dengan makan lumut sahaja. Anak-anak bukan setakat nak makan, mereka perlu bersekolah, pakaian dan macam-macam lagi,“ demikian kata Jay.


Puan Sal pula mendakwa lelaki khususnya suami tidak pernah ikhlas apabila mereka berkahwin lagi. Mereka berkahwin mengikut nafsu tanpa menggunakan akal fikiran dan hati ketika membuat keputusan menambah isteri. Dan sudah pasti orang yang paling terseksa dengan keputusan tersebut anak-anak dan isteri. Sebab bila dah ada isteri baru, isteri lama dilupakan.



“Tetapi kisah yang dipaparkan minggu lalu berbeza sedikit, setelah isteri-isteri yang dimadukan berbaik antara satu sama lain, boleh bertolak ansur, suami pula buat hal masih berusaha untuk berkahwin lagi. Jelas di sini menunjukkan si suami tidak tahu tanggungjawab sebagai suami yang memadukan isteri-isterinya. Dia lebih mementingkan hawa nafsu sendiri daripada memikirkan kehidupan anak-anaknya yang semakin bertambah ramai itu,“ katanya lagi.


Beliau juga mencadangkan Mahkamah Syariah mengadakan kursus khas kepada suami yang ingin berpoligami. Dan kursus wajib kepada suami yang gagal melaksanakan tanggungjawab kepada isteri-isterinya. Golongan ini mudah dikesan apabila isteri mereka membuat pengaduan.


Demikian antara pandangan pembaca yang bersimpati dengan Suraya yang kisahnya dipaparkan minggu lalu. Mereka sependapat, suami Suraya memang patut diberikan kursus khas berpoligami sebab jelas dia gagal jadi suami yang baik.


Dan minggu ini kita ikuti luahan hati Cik Norziana, yang dalam e-melnya mendakwa hatinya dicuri oleh suami orang.


“Saya memang gemar membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan Di celah-celah kehidupan (DCCK) ini, dulu saya cuma membaca kisah orang lain, tapi hari ini terdetik hati saya untuk berkongsi cerita di ruangan ini. Kisah saya mungkin klise seperti cerita-cerita gadis lain yang bercinta dengan suami orang tapi saya pasti saya mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan.


“Setiap kali cerita fasal suami orang bercinta dengan gadis-gadis seperti saya keluar pastilah kami gadis-gadis akan dihentam habis-habisan gatal, nak menumpang kesenangan orang lain, desperate, tak laku dan sebagainya. Tapi biarlah mereka dengan tanggapan mereka kerana saya cukup sedar dengan apa yang saya lakukan.


“Saya bakal mencecah 27 tahun pada hujung tahun ini, bekerja sebagai pegawai kerajaan kelas A, mempunyai sarjana dan cukup bertuah dianugerahkan Allah dengan wajah dan penampilan yang boleh dikatakan menarik juga.


“Saya tidak desperate malah jauh sekali jika dikatakan saya tidak laku. Tidak sukar untuk saya meraih perhatian lelaki dengan semua yang saya miliki tetapi ini juga menyukarkan saya kerana kebanyakannya tidak ikhlas dan ada agenda tersendiri apabila memikat saya. Keadaan ini amat merimaskan saya sementelah lagi cinta pertama yang saya pupuk selama empat tahun hancur di tengah jalan akibat perangai ex-boyfriend yang mudah naik tangan, tak bertanggungjawab, kasanova serta sikap ibunya yang kasar dan tidak beradap.


“Selepas itu keyakinan saya kepada lelaki muda musnah seperti hati saya hancur kerana kegagalan cinta pertama. Bagi saya lelaki muda tidak tahu arah hidup, kurang bersungguh-sungguh, kedekut dan kurang menghargai pasangannya. Ramai juga cuba mendekati saya tetapi ada yang baik, ada juga tidak berwawasan dan tidak mahu bekerja keras.



“Saya cuba belajar menerima namun saya tidak mampu membohongi diri sendiri. Akhirnya saya putuskan hubungan kerana tidak mahu terus hidup dalam pura-pura.


“Saya pula seorang yang bercita-cita tinggi, mahukan lelaki yang matang, caring, berwawasan, berjaya, extrovert dan a winner sebagai pasangan hidup saya.


“Ketika saya bekerja sementara sebelum tamat pengajian sarjana, saya berkenalan dengan seorang businessman bergelar datuk. Saya menyelaraskan projek yang disubkontrakkan kepada tempat saya bekerja. Pertama kali melihatnya, hati saya akui dia lelaki tua yang amat menarik seperti pujian orang lain terhadapnya.


“Dalam usianya di awal 50-an dia kelihatan amat segak dan kacak, berpendidikan tinggi, matang, very determined dengan apa yang dia mahukan, petah berbicara, extrovert maka tidak hairanlah dia amat berjaya dalam hidup. Sikapnya yang pemurah dan kuat beramal dengan membantu insan-insan yang memerlukan juga amat mengagumkan saya.


“Tetapi saya cuma admire dia di dalam hati dan tidak pernah terlintas di hati ini untuk menggodanya. Dia pun nampaknya bukan jenis yang tergesa-gesa. Kami mula berkenalan lebih rapat setelah tiga bulan berkenalan. Dia yang memulakan perkenalan. Entah bagaimana hubungan kami boleh berlanjutan tetapi saya rasa kerana kebaikan, perhatian dan dorongannya membuatkan persahabatan kami rapat.


“Dengan dia hati saya tenang. Dia jadi pendorong saya menggapai cita-cita. Dia penunjuk arah, kerana dialah self-determination dan self-esteem saya menjadi kuat. Dia menggalakkan saya memperbaiki diri, supaya saya menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan berjanji akan menanggung semua kos sekiranya susah mendapatkan biasiswa kerajaan. Dia mengenali saya daripada tiada apa-apa sehinggalah saya jadi macam hari ini.


“Dulu saya pernah bekerja dengannya dan dia banyak mendedahkan saya dunia perniagaan tetapi bila saya dapat kerja jadi pegawai kerajaan saya berhenti. Saya jadi pegawai kerajaan pun kerana usaha sendiri (tidak gunakan cable), malah sejak bekerja sendiri saya tidak pernah meminta wangnya melainkan dia sendiri yang sudi nak bagi.


“Cinta saya padanya bukan kerana wang walaupun dia tak pernah berkira dengan saya. Saya beli kereta dengan duit saya sendiri malah dia nak beli rumah untuk saya pun, saya tak izinkan kerana saya rasa saya tidak berhak, lagi pun antara kami tidak ada ikatan. Saya katakan padanya bahawa saya cuma mahukan cinta yang ikhlas bukannya cinta materialistik. Dia kelihatan amat terharu dengan kejujuran saya dan kelihatan pula cintanya makin mendalam buat saya.


“Hubungan kami bakal mencecah setahun tidak lama lagi dan semakin hari perasaan cinta ini makin bercambah untuk dirinya. Lagi saya banyak berkenalan dengan lelaki lain, lagi kuat cinta saya terhadapnya. Kami amat serasi namun saya juga menghormati dirinya kerana tidak pernah memburuk-burukkan isterinya malah amat bertanggungjawab dan menyayangi keluarganya.



“Dia menjaga mereka seperti dia menjaga saya. Isterinya juga berjawatan tinggi dan berpenampilan menarik, cantik, lemah lembut dan amat baik orangnya. Cuma kekasih saya ini jenis macam saya iaitu extrovert tetapi isterinya introvert. Jadi keseronokan dalam hidup lebih dirasai bila bersama saya yang adventurous.


“Saya menghormati hak-hak isterinya dan keluarganya. Saya menggalakkan dia berlaku adil dan saya juga menasihatkan dia agar jangan melupakan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Malah saya marah kalau bila bersama saya, dia tidak mahu menjawab panggilan isterinya. Sebab saya ada satu sifat mudah tersentuh hati. Saya tidak mahu orang lain menderita kerana saya.


“Baru-baru ini isterinya dapat tahu tentang hubungan kami namun saya amat tersentuh hati kerana isterinya tidak pernah telefon mengganggu walaupun dia tahu nombor telefon saya malah tidak pernah sekali pun menyalahkan saya apabila mendapat tahu suaminya bercinta lagi walaupun saya amat pasti dia mengetahui siapa saya. Dia cuba berubah dengan lebih mengambil berat perihal suaminya dan lebih bersikap romantik yang selama ini dia tidak berapa endahkan. Dan ada satu ucapannya pada suaminya yang menyatakan secara berkias bahawa dia mencintai suaminya sehingga ke akhir hayat amat berbekas di hati saya.


“Terasa nak mengalir air mata saya kerana melukakan hati wanita sebaik itu. Saya memberi peringatan kepada kekasih saya agar tidak mengabaikan isterinya. Kadang-kadang saya berasa amat pentingkan diri dengan terus bersamanya tetapi saya juga tidak dapat melepaskan satu-satunya lelaki yang amat saya dambakan sejak sekian lama. Saya juga tidak kisah kalau ditakdirkan bermadu asalkan ia sesuatu yang terbaik untuk diri saya.


“Bagi saya berapa lama saya dapat hidup bersamanya tidak menjadi satu persoalan asalkan saya gembira sepanjang bersamanya. Saya harus realistik juga kerana dia telah berumur walaupun masih sihat dan cergas. Dia pernah mengajak saya berkahwin dan mengikut perancangan awal tahun hadapan. Dia kelihatan bertanggungjawab malah sering memperkenalkan saya kepada rakan-rakannya dan dia juga baik dengan kawan-kawan saya serta pernah ke rumah kakak saya.


“Saya mahu berkahwin dengannya secara baik dengan restu isterinya dan juga keluarga saya. Itulah yang amat saya harap-harapkan. Saya tahu apa yang saya inginkan dalam hidup dan jika bulat tekad saya pasti tiada apa yang mampu menghalang.


“Saya sudah menjadi anak yang baik dengan sentiasa memenuhi permintaan ibu bapa dan juga adik-adik malah telah membelikan ibu kereta baru dan selepas ini impian saya cuma untuk bersama insan yang amat saya dicintai.


“Oleh itu, saya harap para isteri ataupun masyarakat jangan mudah melemparkan pandangan serong apabila gadis-gadis bercinta dengan suami orang. It takes two to tango dan jatuh cinta bukanlah satu kesalahan malah perasaan itu kurniaan Allah. Apabila terjadi kita mesti belajar memahami hakikat hidup dan pertahankan institusi perkahwinan agar tidak roboh.


“Segala syarat yang ketat untuk menyukarkan poligami bukannya banyak membantu malah menggalakkan pelbagai pembohongan dan penafian hak terus berlaku. Sebagai masyarakat yang bertamadun pemikiran kita juga harus maju ke hadapan. Satu lagi jangan marah kalau kami kahwin suami orang, kerana anda juga mempunyai anak-anak perempuan, apa kata kalau mereka juga ikut jejak kaki kami?“ Demikian cerita Norziana yang akan berkahwin dengan suami orang.



Kalau minggu lalu Suraya mendakwa dia berbaik dengan madunya, cuma suaminya yang menabur racun merosakkan mereka, minggu ini Norziana meminta jangan persalahkan dirinya kalau dia kahwin suami orang. Sudah ditakdirkan. Tetapi apakah masih ada isteri pertama yang sanggup dan menerima mereka dengan penuh simpati? Anda bolehlah memberikan pandangan atau mengikut pengalaman anda sendiri.

No comments: