KISAH yang dipaparkan minggu ini memang berlainan daripada apa yang biasa disiarkan, tetapi tujuan Hazimah menghantar e-mel kepada penulis untuk segera menghubunginya dan kemudian menghantar pengalaman pahitnya secara terperinci pada e-mel keduanya, adalah untuk menyedarkan pihak berkuasa khususnya orang ramai terutama wanita janganlah terkena seperti apa yang dilaluinya.
‘‘Saya seorang pendidik berusia awal 30-an. Mempunyai tiga orang cahaya mata. Hidup saya bahagia dan amat bersyukur kerana mempunyai suami yang boleh saya kategorikan lelaki baik dan bertanggungjawab. Kerana dia bukan seperti lelaki yang selalu diceritakan dalam ruangan DCCK ini.
‘‘Betul kata orang, kahwinlah dengan lelaki yang mencintai kita, bukan kita yang mencintainya. Kami bercinta seawal usia 18 tahun, putus dan menyambung kembali percintaan sebanyak tiga kali. Alhamdulillah berkat doa ibu saya kami hidup senang dan bahagia. Harapan saya semoga berkekalan hingga ke akhir hayat.
‘‘Hidup kami cukup sederhana. Suami saya, Badrul bekerja dengan syarikat swasta. Kami ada rumah sendiri dan kereta masing-masing. Bila cuti sekolah, kami sekeluarga pergi melancong dalam negara aja sambil menambah ilmu pengetahuan.
‘‘Waktu saya menulis ni, hati saya sedang membara. Terbayang-bayang muka gadis dan lelaki Cina yang menipu saya. Harap apa yang saya katakan ini dipandang serius oleh pihak tertentu supaya tidak ada lagi masyarakat kita yang tertipu seperti nasib yang saya lalui. Dan jangan pula pembaca kata saya tamak. Saya bersyukur dengan apa yang ada. Pendedahan ini untuk mengingatkan pembaca semua supaya lebih berhati-hati kerana mereka bijak menipu.
‘‘Ceritanya begini, kira-kira dua minggu lalu, saya ke bank Batu 11 Cheras untuk simpan duit. Lepas tu nak pergi awal ke sekolah sebab ada kerja perlu diselesaikan. Keluar dari bank saya terus ke kereta tetapi saya dikejar oleh seorang gadis Cina. Kerana bimbangkan keselamatan, saya terus masuk dalam kereta dan menguncinya. Tetapi gadis itu menghampiri dan dia ketuk tingkap kereta. Saya turunkan sedikit. Dia kata nak buat promosi kedai di Mid Valley jual komputer dan barangan elektrik. Dia suruh beli, katanya, saya tentu perlukan komputer.
‘‘Lepas tu dia bagi saya satu kad dan suruh saya buka. Promosi khas kedai, ceritanya. Bila saya buka kad tertutup itu dan dia lihat tiba-tiba dia menjerit dan melompat-lompat macam monyet katanya saya menang Perdana V6. Dia kata kerana saya dapat V6 dia juga akan dapat bonus RM2,000.
‘‘Kemudian datang kawannya seorang lelaki mengaku supervisor dan cuba menerangkan kepada saya. Saya yang kehairanan dengan penjelasan lelaki ini yang bercakap dengan begitu teruja sekali. Tersembur-sembur air liurnya memberitahu saya kononnya berjaya memenangi hadiah yang ditawarkan.
‘‘Untuk menunjukkan kebenarannya dia tunjukkan kepada saya keratan akhbar harian M…. gambar seorang lelaki Cina menang hadiah sebuah kereta Myvi bersama beberapa lagi gambar pemenang-pemenang lain. Dia kata, saya tak perlu bayar apa-apa pun kecuali road tax dan insurans. Saya tak percaya mungkin ini taktik penipuan gores dan menang. Tapi dia kata, ini lain dan dia tidak akan tipu saya.
‘‘Sebagai bukti, dia ajak saya ke pejabatnya di Jalan Kuchai Lama tengok hadiah tersebut. Kalau tak percaya saya boleh simpan kad pengenalannya. Saya pun ambil dan simpan. Lelaki ini meyakinkan bahawa saya tak perlu bayar apa-apa. Kerana saya masih ada masa, saya ikut keretanya sampai di pejabatnya. Di sana saya ingatkan dia jangan minta wang, dia kata tidak.
‘‘Tapi dia kata untuk memenangi Perdana V6 itu saya kena bayar RM2,888. Duit itu adalah untuk membayar cukai kerajaan. Kerana kad pengenalannya masih saya pegang, saya percaya kata-katanya. Memang dia pandai cakap, tak percaya cuba rujuk www.consumer.com.my. Ramai sependapat dengan saya. Mangsa mereka tak kira lelaki atau perempuan. Semua kaum. Ada yang mendakwa mereka pernah tertipu RM8,000 ada sampai RM100,000.
‘‘Kerana tak ada duit tunai, saya gunakan kad kredit. Saya diberi hadiah lain seperti air purifier, foot massager dan energy water. Katanya, energy water tu ada insurans AS$500,000. Dia tanya saya ada water filter tak? Bila saya kata ada berharga RM2,280. Lelaki tu kata dia punya lagi mahal.
‘‘Lelaki ni pun bawa keluar benda-benda bodoh tu pada saya. Saya betul-betul terpukau tapi masih berat hati dan tertanya-tanya dalam hati. Nak bertanya mulut berat nak bercakap. Lepas tu dia tengok kad saya lagi, sekali lagi dia menjerit katanya saya ada peluang menang satu lagi hadiah dari HQ. Hadiahnya lagi best. Sebuah Perdana V6, Myvi, Kancil dan motosikal. Semua tu plus slimming belt. Gerenti saya akan dapat. Saya cuma kena bayar RM1,000 lagi
.‘‘Tetapi saya masih bertermangu-mangu. Tetapi yang menyelamatkan saya had kad kredit saya tinggal RM500 saja. Katanya, saya boleh gunakan simpanan dari bank lain, tunai lebih baik. Oleh kerana saya ada kad BSN, si gadis tu nak ikut saya ke BSN untuk keluarkan duit dan beri pada dia.
‘‘Sementara itu dia bagi saya dua kad lagi bila dibuka saya menang lagi motosikal dan slimming belt. Katanya, motor itu saja berharga RM5,000. Katanya, saya boleh ambil motor tu di luar selepas bayar RM1,000. Untuk memastikannya, gadis tu ikut naik kereta saya untuk ke bank BSN.
‘‘Tetapi waktu itu trafik jam teruk dan saya pula terpaksa bergegas ke sekolah. Dia terpaksa turun dari kereta saya. Saya berjanji akan memberi RM1,000 pada hari Isnin. Selepas dia turun dan dalam perjalanan ke sekolah saya baru tersedar, apasal saya bodoh sangat ikut cakap dua orang tu.
‘‘Hati saya semakin kesal bila melihat benda-benda bodoh yang dimasukkan ke dalam kereta saya. Benda yang memang saya tak perlukan. Mengapa saya boleh ikut dan percaya semua kata-katanya. Menyesal! Menyesal sungguh saya. Tapi benda dah berlaku. Dalam tak sedar saya ikut semua kata-kata lelaki dan gadis tu. Macam-macamlah dia puji dan angkat saya. Cantiklah, masih mudalah tak seperti usia saya. Katanya saya memang jenis tak makan tua dan macam-macam lagi. Saya yang terbodoh ni melopong dan mengiakan saja cakapnya.
‘‘Sampai sekolah, saya masih lagi dalam perasaan kesal yang teramat. Saya telefon kawan orang Cina juga. Saya ceritakan apa yang berlaku ke atas saya. Bila saya kata orang yang tipu saya itu orang Cina, dia mengeluh panjang. Katanya saya dalam masalah besar. Dia tolong saya carikan beberapa nombor telefon. Saya telefon Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Shah Alam, kad kredit center dan beberapa tempat lagi untuk mendapatkan nasihat dan bantuan.
‘‘Bila saya telefon TTPM Shah Alam, mereka kata syarikat tu dah aktif semula menipu orang. Bila saya telefon bank dan kad kredit, pegawainya kata dia tak boleh buat apa-apa, transaksi dah berjaya. Saya minta dia hold sampai saya report kat TTPM, dia kata tak boleh. Saya tanya lagi ada cara lain, dia kata tak ada. Hairan juga. Kalau disuruh pergi ke pejabatnya pun saya sanggup.
‘‘Lepas tu saya telefon lelaki Cina tu saya beritahu nak pulangkan benda-benda bodoh yang dia kata saya menang, dia kata tak boleh, lagipun katanya dia tak paksa saya beli. Bila saya kata nak telefon polis dan TTPM, dia kata repotlah, tak boleh buat apa-apa kerana syarikatnya sah. Dia mempersendakan saya, kalau saya pasang lawyer buat habis duit aja, mereka tetap menang.
‘‘Namun kawan saya ni cadangkan buat report polis. Habis sekolah, saya pergi buat report di Balai Polis Batu 9, Cheras. Semacam aja polis tu tengok saya bila buat report. Pukul 9 malam baru saya dapat balik ke rumah. Suami tak tanya sebab dia fikir saya belikan kek untuk sambut hari lahirnya. Memang saya dah belikan. Tapi saya tak ceritakan peristiwa saya kena tipu tu. Saya takut reaksinya. Dan saya takut dia hilang mood pada hari lahirnya.
‘‘Lagipun dia sibuk banyak kerja kalau dia tahu cerita saya tentu kepalanya lagi berserabut. Satu sebab lagi kami sedang kumpul duit nak besarkan rumah, kalau dia tahu saya kena tipu hampir RM3,500 tentu dia kecewa. Jadi disebabkan saya yang buat salah biarlah saya yang selesaikan.
‘‘Jumaat pagi saya pergi TTPM Putrajaya buat aduan. Ahad saya guna Internet cari nama syarikat tersebut. Lepas baca barulah saya tahu sah saya kena tipu. Setiap hari ramai rakyat Malaysia juga luar negara yang buat lapuran kena tipu. Ada yang selesai luar mahkamah, ada kes tertangguh sebab syarikat tu cabut lari dan tukar nama.
‘‘Ada seorang mangsa tinggalkan nombor telefon, katanya, dia kena tipu tapi dapat balik RM1,000. Saya telefon minta nasihat. Katanya, kalau bank tak mahu tolong pergi lapor ke Bank Negara. Kalau nasib baik Bank Negara boleh hentikan transaksi tersebut.
‘‘Pagi Isnin saya ke syarikat tu serahkan laporan TTPM. Saya lihat mereka buat group discussion, berbincang agaknya bagaimana nak tipu orang lagi. Ialah mereka juga mesti cari strategi baru. Bukan senang.
‘‘Di pejabat tu kakitangan tersebut dengan selamba ambil laporan TTPM saya, cop dan tulis nama dan nombor kad pengenalannya. Tak payah suruh dan tanya, agaknya dah biasa buat kerja tu. Saya lampirkan juga akta jualan langsung 1993 yang saya print dari Internet untuk diserahkan kepada lelaki yang menipu saya tu, tetapi dia tak ada. Kakitangan syarikat itu kata dia akan serahkan kepada lelaki tersebut.
‘‘Sampai di rumah saya telefon kad kredit center lagi. Pegawai wanita yang bertugas hari itu nasihatkan saya ke bank dan isi borang kes penipuan. Kemudian fakskan kepada HQ bank. Hairan, ada pula caranya. Jumaat terdahulu bila saya tanya pegawai bertugas, dia kata tak ada cara lain.
‘‘Terima kasih kepada pegawai wanita yang prihatin dan bertanggungjawab itu. Boleh puan bayangkan tak betapa geramnya saya dengan pegawai terdahulu. Sekurang-kurangnya pegawai wanita itu bagi saya jalan. Buat report, dapat stop ke tak, belakang kira. Kalau dia cakap boleh buat report pada bank, saya dah buat. Mungkin peluang dapat balik duit itu lebih tinggi.
‘‘Kemudian saya call 1800886800 (domestic n trade comsumer), saya buat report dengan harapan pihak kementerian akan serbu dan sita syarikat itu. Tapi pegawainya cakap mereka sibuk dengan isu naik harga. Dan dia minta saya fikir sendiri supaya tidak kena tipu. Jangan tamak dan macam-macam nasihatnya yang menyakitkan telinga. Katanya lagi, adulah kat polis, polis lagi power. Aduh! Kini saya tunggu kes kat TTPM Putrajaya yang akan bersidang Ogos nanti,’’ demikian cerita Hazimah bagaimana dia kena tipu. Dia kesal tidak mendapat kerjasama pegawai yang bertanggungjawab.
Katanya, tidak ada orang suka kena tipu. Tetapi setelah jadi mangsa, mereka perlukan bantuan nasihat bagaimana untuk mendapatkan semula wang yang ditipu. Di kebanyakan tempat pegawai-pegawai bertanggungjawab gagal menjalankan tugas. Mereka memerlukan cara yang boleh mereka usahakan sendiri. Kalau gagal juga mereka mungkin tidak kesal kerana telah mencuba.
Dan kalau diperhatikan kawasan di luar bank, orang ramai banyak jadi mangsa, bukan setakat taktik penipuan jual barang tetapi juga peragut dan perompak. Malah ada anak-anak menjual ayat-ayat suci, pengutip derma dan peminta sedekah. Tindakan patut dijalankan untuk ‘pembersihan’ daripada kumpulan seumpama ini.
No comments:
Post a Comment