MINGGU ini saya paparkan pandangan dua pembaca tentang kisah minggu lalu berjudul ‘Baru setahun kahwin suami dah bosan’. Pandangan mereka baik untuk dijadikan teladan. Pertama daripada Sarimah yang tak terkejut pun dengan cerita Maisara kerana di luar sana memang ramai lelaki yang layak dipanggil jantan.
‘‘Jadi nasihat saya pada Maisara, tepuk dada tanya selera. Lepaskan diri sementara masih muda. Bukan untuk berkahwin lagi tapi ketika badan dan jiwa masih kuat untuk menjaga anak sendirian. Jangan takut kalau jadi janda, yang penting masa depan anak. Cuma sebelum bercerai anda mesti bersedia mental dan fizikal, ingatkan Allah, minta petunjuk-Nya sebelum bertindak. Anggaplah setiap musibah daripada-Nya ada hikmah pada diri satu hari nanti,’’nasihat Sarimah.
Pandangan kedua daripada Puan Fazila. Katanya, sesetengah orang malu nak cerita tentang peribadi mereka walaupun pada keluarga sendiri. Jadi DCCK adalah tempat paling tepat untuk mencurahkan isi hati dan mendapatkan pandangan pihak ketiga yang tidak tahu asal-usul mereka. Dan yang penting, tidak tahu siapa penulisnya, jadi nasihat mereka tidak berat sebelah apa lagi hasutan yang menyakitkan hati.
‘‘Ini kali pertama saya menulis kepada DCCK tapi saya selalu membacanya, bukan sebab tertentu, tetapi sekadar mengetahui kehidupan orang lain yang boleh dijadikan panduan. Walaupun kita mempunyai kehidupan yang indah, sesekali kita perlu melihat sekeliling supaya kita tidak lupa diri dan asal-usul kita, masa susah kita, supaya keinsafan sentiasa bersama kita. Jadi saya rasa bertanggungjawab memberi sedikit pandangan kepada yang memerlukan.
‘‘Saya pernah melalui kehidupan bercerai muda, tetapi semuanya saya tempuh dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Saya berkahwin muda sebab itu saya faham perasaan Maisara. Orang perempuan cepat matang berbanding lelaki. Kematangan orang lelaki kurang lima tahun dari umur mereka sebenarnya. Jadi suami yang muda selalu ingat dia orang bujang saja.
‘‘Maisara belum dapat menerima kenyataan kehilangan suami. Sebenarnya ramai wanita lain juga kurang self confident mereka. Mereka rasa tak boleh hidup tanpa suami. Jadi mereka takut bila nak bercerai. Demikian perasaan Maisara, kerana itu lengkapkan diri menghadapi dugaan ini. Bersedialah mengharungi kehidupan yang berliku, bina semangat diri (self confident) supaya sentiasa bersedia menghadapi dugaan hidup yang melanda.
‘‘Kerana ini saya nasihatkan anda balik ke rumah orang tua untuk sementara waktu jangan minta cerai. Tujuannya untuk kembalikan semangat yang telah runtuh kerana cacian dan hinaan semasa tinggal bersama mentua. Sementara itu fikirkan bagaimana hendak membesarkan anak anda dan macam mana hendak tambah pendapatan.
‘‘Jangan biarkan fikiran anda dibuai oleh fikiran yang tidak mendatangkan faedah seperti di mana suami sekarang, dia pergi mana, makan dengan siapa, bila nak balik? Semua benda itu membuang masa. Kerana itu semua menyakitkan hati saja dan boleh mematahkan semangat untuk hidup.
‘‘Kekadang suami kita ni, dia tidak tahu apa rasanya jika dia kehilangan isteri dan anak. Masa keluarga depan mata, dia buat tak kisah, tetapi bila dah tak ada, masa tu dia mula menggelabah. Saya tahu tindakan ini bukan mudah, tetapi wanita mesti cekal lengkapkan diri dengan semangat tinggi.
‘‘Apabila telah pulih semangat dan hati telah tenang, pergilah mengadu ke pejabat agama, tapi bukan minta cerai, minta bimbingan mereka. Pejabat agama akan panggil puan dan suami untuk berbincang. Di sana, anda akan tahu apa sebenarnya yang suami puan inginkan. Jangan minta cerai, lainlah kalau dia ceraikan anda. Atau bila anda balik kampung dia mungkin akan menyesal dan rasa bersalah kepada puan dan anak-anak. Ingat orang yang teraniaya tu Allah amat sayang.
‘‘Atau mungkin sebelum anda mengadu ke pejabat agama dia sudah buat aduan kerana menyesal dan ingin kembali kepada anda,’’ demikian nasihat Fazila.
Minggu ini saya paparkan kisah Puan Norima yang menghubungi penulis dan kemudian menghantar surat panjang lebar setelah terpanggil dengan kisah 15 Julai lalu berjudul ‘Isteri suka suami dicucuk hidung.’
‘‘Suami saya lebih cintakan hobi daripada keluarganya. Bertahun-tahun saya memendam rasa. Saya terkilan bila ada orang mendakwa nasihat isteri seperti mahu mengawal suami seperti lembu dicucuk hidung. Bercakap pasal hobi ini rasanya semua orang ada hobi tetapi tidaklah begitu taksub hingga membawa kepada masalah dalam rumah tangga.
“Seperti suami saya, Jaafar ini yang jadi taksub kepada benda-benda latest dalam pasaran. Kalau boleh sebelum kawan-kawannya beli barang tersebut dia mesti ada dulu. Baru ada standard.
‘‘Kegilaannya tak kiralah handphone ke, barangan game ke (ps1, ps2, ps3 dan psp). Begitu juga video, video kamera, sekarang telefon berkamera, dia mesti beli yang latest, baru boleh tayang pada kawan-kawan. Bila kita nasihatkannya semua benda itu membazir, dia warning saya “Kau nak aku gila beli barang atau gila perempuan? Kalau nak, aku boleh gila perempuan juga.’’
‘‘Sebenarnya saya tak marah kalau dia ada hobi, tetapi fikirkan mana lebih penting pelajaran anak-anak ke atau hobi. Sebabnya, kalau anak-anak minta belikan buku atau apa aja berkaitan sekolah, dia pekakkan telinga dan jawapannya selalu tak ada duit. Mulalah menyalahkan sekolah suka makan duit, cikgu makan duit, persatuan membazir, guru besar telan duit dan macam-macam lagi.
‘‘Tapi kalau pasal beli barangan hobinya dia boleh bekerja keras mendapatkan apa yang dia hajatkan. Itu semua kerana hobi dia mesti dapatkan. Kalau tak cukup duit dia sanggup tangguhkan bayar hutang rumah atau kereta. Bukan sebulan dua malah berbulan-bulan. Bila dapat surat warning dari bank saya tunjukkan dia sebab takut kereta kena tarik, tapi dia jerkah saya kerana campur urusan dia. Saya takut sebab saya tak bekerja macam mana nak tolong dia.
‘‘Pernah juga berlaku bank nak sita barang dalam rumah. Dia buat muka bodoh dan selamba. Kerana nak jaga maruah dia, saya pinjam duit emak. Bila dah selesai dia bukan nak ucapkan terima kasih. Tapi masih teruskan hobi yang membazir duit itu.
‘‘Saya ni barang kemas bekalan emak langsung tak ada kat badan, semua masuk pajak sebab anak-anak nak duit sekolah terutama bila musim persekolahan bermula. Macam biasa Jaafar buat tak tau aja. Bila minta duit jawapannya mudah tak ada duit. Hairan kan ada kerja ada OT tapi tak ada duit. Sebab semuanya dia laburkan beli benda-benda kegemarannya untuk menunjuk-nunjuk kepada kawan yang dia mampu beli semua benda tak berfaedah itu. Bab belanja sekolah dia suruh saya fikirkan.
‘‘Awal tahun ini saya hampir histeria bila terjumpa resit beli telefon baru berharga ribuan ringgit sedangkan dia langsung tak keluarkan duit untuk beli buku sekolah anak-anak, dan buku rujukan untuk anak kami yang bersekolah menengah. Alasannya duit habis. Mana tak habis kalau beli benda tak berfaedah tu. Telefon bukan satu lebih dari tiga. Tapi nak bagi saya sebuah pun tak boleh. Koleksi katanya.
‘‘Bab sembahyang tak usah ceritalah. Taksub punya pasal lima waktu wajib jadi lima alasan wajib baginya. Sembahyang subuh katanya mengantuk, zuhur letih, asar tak larat, maghrib pedih mata dan isyak mengantuk balik. Peliknya kalau pasal hobi tak kiralah, main game ke, dan tengok video dia boleh tahan mata sampai pukul 3 pagi.
‘‘Pantang larangnya jangan ganggu kalau dia sedang asyik tengok video, main game ataupun sedang berinternet. Cubalah panggil makan, dia boleh hempaskan pinggan mangkuk, kerana kacau konsentrasinya. Lagi parah kalau dia kalah. Saya sedih niat baik saya disalahertikan dan mendakwa dia macam lembu dicucuk hidung.
‘‘Benar dia bagi saya duit setiap bulan, tapi tak pernah cukup, kerana bukan untuk belanja pasar saja, di situlah juga belanja sekolah anak-anak, buku sekolah, tambang bas dan segalanya. Lagi teruk dia juga akan minta duit untuk membeli barangan keperluannya dan duit makan ketika bekerja. Mana nak cukup. Sebab itu pajak gadai jadi kawan baik saya. Emak dan adik-beradik dah tak larat nak bantu lagi.
‘‘Kalau duit habis jangan minta pada dia. Sebab itulah nak ganti coli pun tak mampu sampai dah longgar getahnya saya terpaksa pakai lagi. Saya terpaksa berjimat dalam banyak hal termasuklah makan minum. Dia kalau dah sibuk dengan hobi tak peduli pasal makan, balik rumah pun tak mau.
‘‘Lagi teruk kalau dah gila dengan game, solat yang wajib dia tak peduli lagi. Malah bila anak nak tumpang pergi solat Jumaat dia suruh anak pergi sendiri, dia tak pergi sibuk. Dia langsung tak ada perasaan malu pada anak-anak. Dia lebih pentingkan game daripada solat wajib. Kadang-kadang tu dia kira kalau minggu lepas dia solat Jumaat dua minggu lagi dia ponteng. Pernah sebulan dia tak solat Jumaat.
‘‘Sekarang saya lebih banyak berdiam diri, tak mahu bising nasihatkan dia pasal solat dan hobinya, sebab akhirnya saya kena maki hamun. Biarlah dia tak solat, itu masalah dia. Dia kata, kubur masing-masing, jawab sendiri, jangan peduli hal dia. Bila saya diam pula dia kata saya sombong.
‘‘Saya tak marah kalau dia cari satu hobi yang boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga. Hobi apa pun asalkan mendatangkan faedah. Dan saya tak kata pula main game, berinternet, ambil gambar, menonton TV itu semua tak berfaedah, tetapi mestilah ada hadnya. Waktu solat berhenti dulu, sambung kemudian. Perbelanjaan rumah dan keperluan makan minum keluarga mesti diutamakan lebih daripada hobi. Terutama belanja persekolahan anak-anak.
‘‘Kalau bab memancing jangan tanya berapa banyak joran koleksinya. Macam-macam jenis. Memancing pun perlukan duit nak ke pantai bersama kawan-kawan, sewa bot, makan minum. Semua perlukan duit. Tapi kalau untuk hobinya dia boleh cari.
‘‘Kesimpulannya bukan hobi berfaedah, kalau salah pilih ia boleh merosakkan hubungan dengan isteri. Lainlah kalau gajinya banyak, orang kaya dan berpangkat. Sebab hobi tidak mengganggu hidup keluarga. Tapi kalau gaji macam suami saya, cuma cukup makan aja macam mana nak hidup. Jaafar patut fikirkan mana lebih penting hobi atau kasih sayang kepada keluarga.
‘‘Mencari keberkatan dalam setiap perbuatan yang kita lakukan adalah sesuatu yang dituntut, bukan sahaja isteri akan kurang berleter, malah dia akan lebih menghormati hobi suami. Selain itu suami juga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga khususnya anak-anak supaya turut mempunyai hobi mereka sendiri.
‘‘Dalam pada itu suami ketika sama-sama melakukan hobi boleh mendidik anak-anak, mengingatkan mereka tentang pentingnya ilmu untuk masa depan. Pada saya kalau suami pandai mainkan peranan dia boleh membimbing anak-anak berakhlak mulia, jadi anak soleh dan rajin belajar. Itulah sebabnya saya selalu ingatkan suami jangan biarkan anak-anak sendirian ia boleh merosakkan masa depan mereka,’’ demikian cerita Norima tentang hobi suaminya.
Katanya, walaupun ada pihak memandang isu hobi ini soal remeh, tetapi kalau tidak tahu menggunakan dengan sebaiknya, hobi boleh meruntuhkan ikatan sesebuah keluarga itu. Betul juga kata Norima carilah hobi yang diminati oleh seisi keluarga, mereka juga boleh turut sama enjoy. Dan yang lebih penting suami boleh mendekatkan diri dengan anak-anak sejak kecil lagi.
No comments:
Post a Comment