Sunday, July 8, 2007

08/07/2007: Kahwin lari kerana ibu, ayah

KISAH minggu lalu berjudul ‘‘Tertipu pada siapa pengguna mengadu’’ mendapat banyak panggilan telefon daripada pembaca. Ramai mendakwa, mereka juga tertipu, ada yang mendakwa dapat melepaskan diri dari buruan budak-budak syarikat kumpulan penipuan tersebut dan salah seorang daripada mereka memberitahu bagaimana dia berjaya mendapatkan semula wangnya.


Menurut Anuar, hanya mereka yang pernah tertipu sahaja yang tahu bagaimana rasanya diburu dan ditipu dalam keadaan yang mungkin separuh sedar. Tetapi kalau kita ceritakan pada orang lain, mereka tentu tidak percaya apa yang kita lalui.



Cerita saya begini. Satu petang datang dua orang anggota kumpulan sindiket ini ke rumah saya. Saya memang tak percaya cerita mereka. Dalam usaha meminta mereka keluar, rasa kasihan timbul apabila mereka meminta air minuman. Kata mereka haus. Lepas tu nak buang air. Dalam pada itu seorang daripada mereka terus bercerita tentang perniagaan itu dan mendakwa saya memenangi hadiah bertuah yang diberi.


Ketika itulah tanpa saya sedari saya ikut cakap mereka. Dia ajak ke pejabatnya di Klang pun, saya ikut. Saya tertipu RM6,000 setelah memasukkan barangan hadiah yang tak seberapa itu ke dalam kereta. Barulah saya tersedar bahawa saya sudah tertipu dan terpedaya dengan pembohongan mereka.


‘‘Malam itu saya tak boleh tidur kerana tak percaya boleh ditipu. Esoknya saya terus layari Internet dan mencari bagaimana saya boleh dapatkan wang saya semula. Saya masuk ke http://welleywatch.heritage/tech.net/wijaya-marketing-information/.


‘‘Dengan bantuan seorang kawan saya pergi ke pejabat syarikat tersebut dan minta wang saya dikembalikan. Dengan mengemukakan hujah dan pelbagai cara yang saya dapati dari laman web tersebut, saya berjaya mendapat wang itu semula.


‘‘Saya sedar apa yang Hazimah lalui memang menyulitkan, sama seperti apa yang saya lalui. Pihak berkuasa tak membantu, sedangkan mereka ada laporan lengkap cara penipuan yang dijalankan oleh budak-budak pekerja syarikat tersebut.


‘‘Saya jumpa pegawai di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPH). Mereka juga kata sibuk dan ada bertimbun laporan penipuan seperti kami. Masalahnya kalau ada banyak laporan mengapa tak ambil tindakan. Nak tunggu banyak lagi rakyat Malaysia tertipu, atau tunggu paper dan TV buat laporan baru bertindak. Mahu publisiti!


‘‘Sebenarnya ramai orang kita tertipu, mereka tak cari orang tak berduit dan tak bekerja, mereka cari orang berkelulusan dan berjawatan. Sedihnya ramai kalangan orang kita tidak bertindak menuntut wang mereka semula, setelah sedar tertipu beribu-ribu ringgit. Ramai mendiamkan diri.


‘‘Saya berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertindak ke atas syarikat ini. Dah ada laporan nak tunggu apa lagi? Memang syarikat ni sah, tetapi cara mereka menipu itu yang salah. Sama seperti syarikat gores dan menang. Syarikat seperti ini bukan satu, banyak. Mereka berlegar di seluruh negara mencari mangsa,’’ demikian cerita Anuar yang berjaya mendapatkan wangnya semula.


Minggu ini saya bentangkan penderitaan yang ditanggung oleh Puan Norazah apabila permintaannya untuk berkahwin dengan jejaka pilihannya tidak direstui keluarganya. Setelah bernikah, dia didakwa telah melakukan zina oleh ibu bapanya dan meminta mereka dipisahkan.


Norazah dalam e-melnya kepada penulis menceritakan masalah yang ditanggungnya. Kini setelah lebih lima tahun mereka bernikah secara sah, ibu bapanya memaksa keluarga suaminya merisiknya dan berhasrat untuk mengadakan majlis kenduri kahwin serta bersanding secara besar-besaran.



Ketika kami berbual di telefon, Norazah berkata, dia tak tahu apa lagi harus dilakukan kerana mereka sudah pun sah sebagai suami isteri, cuma ayah dan ibunya sahaja yang tidak mengaku perkahwinan mereka itu sah dan minta dinikahkan semula.


‘‘Saya ingin meluahkan apa yang terpendam di hati saya selama ini berkaitan dengan tindakan ibu bapa saya tidak mengakui pernikahan kami sah, semata-mata kerana mereka tidak sukakan dengan Shahril calon suami saya.


‘‘Selama hampir dua tahun, mereka cuba memutuskan perhubungan kami. Saya disuruh berhenti kerja 24 jam. Ketika itu ekonomi negara tengah gawat, bukan senang nak dapat kerja, tetapi saya dipaksa berhenti kerja. Shahril bukan calon menantu yang mereka suka. Tidak mengikut taraf piawaian yang mereka tetapkan.


‘‘Kerana bencikan Shahril masih berkawan dengan saya, mereka bertindak merampas tiga handphone saya. Bukan itu sahaja, nombor telefon rumah kami pun ditukar. Nasib baik rumah kami tu sudah dibeli, kalau tidak mungkin kami berpindah ke rumah lain. Begitulah kuatnya usaha mereka memisahkan kami.


‘‘Lebih teruk lagi saya diubat dan dijampi serapah oleh ramai bomoh. Ada juga menggunakan ilmu hitam dengan tujuan supaya hubungan kami terputus. Atau saya tak berminat nak kahwin dengan Shahril. Malangnya hubungan kami semakin kuat.


‘‘Tidak keterlaluan kalau saya katakan, ibu dan ayah tak sukakan Shahril sebab saya lulusan U sementara Shahril tak sampai U atau kolej pun. Kerana tak tahan dengan pelbagai cara memisahkan kami, saya lari dan bekerja di KL.


‘‘Dalam waktu yang sama, saya memohon mendapatkan wali hakim supaya kami boleh segera nikah. Malangnya pergerakan saya berjaya dikesan dan saya ditangkap oleh ayah saya dan dibawa balik ke rumah.


‘‘Bila balik, sekali lagi saya diubatkan oleh ramai bomoh, tujuannya supaya saya melupakan Shahril. Tetapi semuanya tak menjadi, hubungan kami lebih erat. Kerana tidak mahu dipaksa dan diubat, saya bertindak melarikan diri ke selatan Thai bersama keluarga Shahril dengan tujuan supaya saya dapat nikah. Kejadian ini berlaku lebih lima tahun lalu.


‘‘Bagaimanapun sebelum saya lari nikah ke Selatan Thai, saya minta nasihat kadi dan pegawai agama dulu. Dengan bantuan mereka, kami terus ke pejabat Agama Islam Thai di mana pernikahan dan sijil nikah kami sah diterima oleh kerajaan Malaysia. Jadi kami tak lari sesuka hati, kami mendapat nasihat dulu.



‘‘Kerana tindakan saya kahwin lari, selama tiga tahun saya tak balik ke rumah. Hanya panggilan telefon yang menjadi penghubung. Perbuatan saya kahwin lari telah membuatkan hubungan saya dan keluarga juga adik-beradik dingin.


‘‘Sebenarnya Shahril meminta saya hubungi keluarga di rumah. Dia tak mahu memecahkan-belahkan hubungan dengan ibu bapa saya. Tetapi tindakan keluarga saya agak berbeza. Oleh kerana saya kerap menghubungi mereka, mereka suruh saya balik ke rumah seorang diri. Tak boleh bawa Shahril ikut sama.


‘‘Awal tahun lepas, keluarga saya meminta supaya keluarga suami saya datang ke rumah. Alasannya, mereka mahu mengadakan majlis perkahwinan kami. Kerana ingin menjernihkan keadaan, keluarga Shahril datang berjumpa kedua ibu bapa saya. Saya ikut sama. Fikir saya tentu mereka dah berubah dan menerima saya kembali.


‘‘Malangnya perjumpaan tersebut bertukar jadi taufan. Keluarga saya salahkan keluarga Shahril kerana melarikan saya hingga ke Siam tanpa terlebih dahulu merisik dan meminang. Sedangkan mereka sendiri tidak mahu berjumpa dengan keluarga Shahril, ketika mereka meminta untuk datang meminang.


‘‘Perubahan itu tentulah menimbulkan perbalahan. Lebih teruk lagi ayah saya mendakwa nikah kami tak sah, dan saya telah berzina kerana nikah tanpa wali iaitu ayah saya sendiri. Waktu itu saya dah tak larat nak menangis lagi, kerana saya tahu keluarga saya sendiri tidak bersetuju saya berkahwin dengan Shahril.


‘‘Dulu pejabat agama pernah menjemput ibu bapa saya supaya hadir ke pejabat untuk berbincang mengenai permohonan saya mendapatkan wali hakim. Kerana ayah tak mahu datang, saya terpaksa kahwin lari ke Thai. Apakah saya dan keluarga Shahril mahu dipersalahkan lagi?


‘‘Memang saya sedih apabila mereka kata saya berzina dan pernikahan kami tak sah. Saya bukan bodoh. Sebelum kahwin lari ke Selatan Thai saya telah mendapat banyak nasihat kadi dan pegawai agama. Dan sekembali saya ke Malaysia, kami daftarkan perkahwinan saya dan sijil pernikahan saya sah pada hukum syarak.


‘‘Bagaimanapun sebagai anak, kita kena buat baik, dan Shahril ajak saya balik ke rumah ibu pada Hari Raya tahun lepas. Nampaknya ibu bapa dan adik-beradik terima saya dengan baik. Di belakang kami, itu urusan mereka dengan Allah.


‘‘Malangnya awal tahun ini, luka lama kami terguris kembali bila ibu dan ayah saya bangkitkan isu sijil nikah kami tak sah. Atas permintaan ayah, saya ke pejabat agama untuk pengesahan sijil nikah. Alhamdulillah, pejabat agama mengesahkan pernikahan kami. Tetapi ayah mempunyai agenda lain.



‘‘Kali ini ayah mahu kami dinikahkan semula. Untuk memenuhi hasratnya, saya setuju tetapi mestilah pernikahan kami berlaku di pejabat agama atau di ruang tertutup untuk keluarga sahaja. Tetamu lain tak boleh hadir.


‘‘Tetapi niat mereka lain, mereka mahu buat kenduri besar-besaran di dewan bertujuan memberitahu semua keluarga dan jiran-jiran bahawa saya sudah berkahwin. Tapi kami sudah lima tahun berkahwin mengapa baru sekarang nak dilangsungkan? Lagi menyulitkan, saya telahpun mempunyai seorang anak berusia dua tahun.


‘‘Masalahnya apa kata tetamu bila melihat anak kami itu. Tentu mereka berfikir itu anak zina. Jadi daripada berbuat sesuatu yang menimbulkan fitnah lebih baik tak payah buat. Kalau betul mereka mahu meraikan perkahwinan kami, mengapa baru sekarang, setelah lima tahun kami bernikah? Kenapa dulu mereka sibuk mencari bomoh memisahkan kami, tak mahu saya nikah dengan Shahril dan menaburkan pelbagai fitnah bertujuan memisahkan kami? Tapi jodoh kami kuat.


‘‘Perbuatan atau niat baik mereka itu membuatkan saya terfikir dan tertanya-tanya apakah lagi motif mereka. Apakah ada udang sebalik batu untuk memburukkan dan memalukan kami lagi. Sehingga kini saya tak tahu apa nak jawab.


‘‘Lagi pun masih terasa sakit hati saya apabila ibu sendiri mengatakan bahawa saya tidak mempunyai zuriat kerana berkahwin dengan Shahril yang tidak mendapat restu keluarga. Pedih hati saya.


‘‘Saya ingatkan hubungan kami dah pulih. Tak sangka ribut taufan masih melanda jua. Apakah mereka ada dendam? Tetapi saya tidak pernah berdendam dengan ibu bapa saya. Cuma saya sedikit kecil hati kerana pelbagai fitnah mereka taburkan, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Saya tetap menyayangi kasih ibu dan bapa saya. Percayalah ibu dan ayah,’’ demikian Norazah menceritakan masalah yang dihadapinya iaitu bernikah secara sah, tetapi masih tidak diakui.


Kadang-kadang saya juga sering tertanya-tanya apakah kebahagiaan, kesenangan hidup dan kekayaan akan dapat dikecapi jika anak-anak mempunyai ijazah universiti sahaja?


Tanpa ijazah hidup akan susah dan merana. Bukankah rezeki, ajal maut dan jodoh pertemuan ditentukan oleh Allah. Di manakah letaknya, usaha, keazaman, jati diri dan keazaman seseorang itu mengatasi segalanya?

No comments: