KISAH NorElyna yang dipaparkan minggu lalu berjudul ‘Suami lebih berminat kepada lelaki” menarik minat ramai pembaca untuk memberikan pandangan dan nasihat dalam e-mel mereka kepada penulis antaranya datang daripada Eda.
‘‘Kita tak boleh salahkan orang lain terutama ibu bapa, para pemimpin dan sesiapa juga jika ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak baik kepada kita, sebaliknya sebagai manusia kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri kita sendiri, keluarga, masyarakat dan negara kita.
‘‘Begitu juga kepada NorElyna, jangan salahkan diri sendiri atau sesiapa, sebaliknya berusaha memperbaiki diri sendiri, kerana hanya kita sendiri yang boleh mengubah nasib dan hidup kita.
‘‘Kepada mereka yang berani menulis kepada ruangan DCCK ini terutama NorElyna, saya kagum dengan kesabaran anda semua dalam menempuhi dugaan Allah.”
Sementara itu Debu pula berpendapat, setiap orang mempunyai masaalah tersendiri, yang berbeza cuma kategorinya. Namun setiap orang merasakan masalah dialah lebih rumit daripada orang lain. Meluahkan masalah kepada umum tidak dapat selesaikan persoalan, tetapi ia boleh kurangkan tekanan perasaan. Apa yang nyata di saat kita memerlukan tempat mengadu, masih ada orang sudi mendengar.
‘‘Saya juga pernah melalui ranjau kehidupan, namun pilihan di tangan kita, apakah kita mahu hidup berduka lara sepanjang hayat, mengharapkan simpati dan salahkan diri sendiri, atau cuba pujuk hati supaya bersyukur kerana di luar sana masih ramai orang yang lebih malang hidupnya daripada kita.
‘‘Bahagia terletak di hati. Pujuklah hati untuk menyapa bahagia yang sesekali bertandang, kerana walau hebat mana derita sekalipun, terselit juga saat-saat bahagia Hanya kita terlalu sibuk menghitung duka, sehingga terlupa senyum ketawa. Luka dan duka yang datang ibaratkan ia tamu yang tak diundang dan tidak diperlukan. Katakan selamat tinggal kepada tanggisan, salam perpisahan pada kekusutan fikiran.
‘‘Kerana simpatilah jugalah, saya tekad menulis kepada DCCK, kerana sudah puas mengsia-siakan umur menangisi nasib selama ini. Saya cuba membuka mata pembaca yang senasib dengan saya supaya jangan lagi berduka. ’’Demikian Debu mengakhiri nasihat dan pesanannya kepada pembaca seangkatannya.
Namun minggu ini mari kita ikuti nasihat dan pengalaman pahit yang pernah dilalui oleh Norsalwani dalam e-melnya kepada penulis katanya; ‘‘Sebenarnya minat saya terhadap ruangan DCCK ini baru bermula awal tahun lalu. Itu pun setelah saya terbaca cebisan ruangan DCCK yang menjadi pembalut nasi lemak yang saya beli. Bermula detik itu, minat terhadap DCCK mula bertunas. Kini tunas itu telah mekar berkembang. Buktinya dalam apa juga keadaan, saya akan pastikan akhbar Mingguan Malaysia pasti saya miliki setiap minggu. Demikian juga rakan-rakan saya.
‘‘Meminati ruangan ini bukan bermakna kita teruja kepada keaiban dan konflik yang menimpa orang lain. Sebaliknya semua perkara yang terjadi memberi pengajaran yang bermakna kepada diri kita. Kalau konflik itu belum terjadi pada kita, sekurang-kurangnya kita bersyukur dan berhati-hati dalam melalui hari-hari muka. Tetapi kalau cerita yang dipaparkan serupa dengan nasib kita, pasti membuat kita menjadi tabah dan bersemangat kerana kita tahu bukan kita seorang sahaja yang diuji Allah. Sebaliknya ramai lagi insan di luar sana menerima ujian yang lebih berat daripada apa yang sedang kita lalui.
‘‘Sebenarnya saya tertarik hati dan ingin berkongsi pengalaman dengan Puan Noraini yang menghadapi masalah dengan mentuanya dan kisahnya dipaparkan 2 Disember lalu, berjudul ‘Mandul jadi kebencian
‘‘Saya faham perasaan Noraini, saya juga menghadapi masalah yang sama, tapi nasib saya baik, saya berjaya melahirkan anak setelah dua tahun berkahwin. Namun masalah saya lebih teruk kerana saya bukan menantu pilihan. Mereka sudah ada calon untuk suami saya, Suhaimi.
‘‘Calon yang pada pandangan mereka memiliki segala-galanya. Bukan macam saya tak bekerja. Walaupun Suhaimi tegas tetap mahu berkahwin dengan saya, tetapi ibu dan adik-beradiknya hingga saat-saat akhir perkahwinan kami akan dilangsungkan mereka tetap berusaha dan bekerja keras untuk menggagalkannya.
‘‘Beberapa hari di rumah mentua saya berendam air mata. Saya dituduh perempuan murahan, saya guna ilmu sihir untuk memikat Suhaimi. Tetapi sokongan suami menjadikan saya kuat dan tabah. Ketika suami tiada di rumah, saya dipulau. Pelbagai sumpah seranah dihamburkan. Antara kata-katanya paling saya ingat, kononnya saya berkahwin dengan Suhaimi kerana saya nak bolot hartanya. Entahlah apa harta yang mereka maksudkan, saya tidak tahu.
‘‘Kalau melihat keadaan hidup keluarganya saya tahu mereka orang senang. Tapi kalau dibandingkan dengan ibu bapa saya, saya rasa keluarga kami jauh lebih berada daripada mereka. Tetapi kami tak pernah menunjuk-nunjuk kesenangan kami.
‘‘Pindah di rumah sendiri pun hidup kami tak tenteram, mentua saya berselang-seli dengan ipar duai kerap datang ke rumah buat spot check. Saya dituduh habiskan duit ringgit Suhaimi. Terutama bila mereka lihat perabot dalam rumah saya. Mereka tidak tanya mana saya dapat perabot tersebut, sebaliknya tuduh saya paksa Suhaimi beli. Sedangkan perabot tersebut ayah saya hadiahkan. Sikap Suhaimi yang pendiam dan tidak suka bergaduh, semacam memberi galakan mereka menghina saya.
‘‘Ketika saya sedang hamil, mereka tetap suka menyusahkan hidup saya. Datang beramai-ramai bila-bila suka dan saya terpaksa sediakan hidangan dengan segera. Biasanya mereka datang waktu makan tengah hari dan makan malam. Suhaimi yang suka membantu di dapur mereka tuduh dia takutkan bini.
‘‘Bila kandungan semakin besar, Suhaimi buat keputusan jika keluarganya datang saya tak perlu masak, beli saja lauk di kedai. Mereka tuduh pula saya berlagak. Nak hidup macam orang kaya. Pemalas. Sakit telinga kita. Tetapi demi suami saya pekakkan telinga. Disebabkan keadaan itu saya dituduh berlagak. Nak hidup macam orang kaya semua nak beli.
‘‘Sepatutnya mereka lihat kehidupan saya, sejak kecil keluarga saya ada pembantu rumah, saya tak pernah buat kerja rumah, tetapi selepas berkahwin saya berusaha memperbaiki keadaan tetapi apa juga saya lakukan mereka tak puas hati.
‘‘Bersalin di hospital swasta pun jadi masalah besar kepada mentua saya. Mereka bising tuduh saya menghabiskan duit ringgit anaknya, sedangkan semua perbelanjaan saya bersalin ayah saya yang tanggung. Bukan duit Suhaimi.
‘‘Setelah anak berusia setahun lebih akhirnya saya minta izin Suhaimi untuk bekerja. Dengan sedikit nasihat daripada ayah, akhirnya Suhaimi izinkan saya bekerja. Dengan ijazah yang ada, memang mudah saya dapat kerja dengan syarikat swasta, walaupun gaji awalnya agak kecil. Berkat kesungguhan, dalam tempoh lima tahun, saya dinaikkan pangkat. Kini gaji saya memang tinggi.
‘‘Di sini bukan gaji yang penting dibincangkan, apa yang saya ingin sarankan kepada Noraini dan kaum wanita semua, ialah sumber kewangan. Walaupun kita selalu dengar orang mendakwa wang bukan segala-galanya, tetapi dalam banyak hal wang dapat menyelamatkan keadaan. Terutama keadaan rumah tangga kita.
‘‘Sebagai contoh keadaan diri saya benar-benar berubah setelah saya bekerja. Saya lihat rasa hormat mula terbit dalam sanubari ibu mentua dan ipar duai saya, terutama bila mereka dapat tahu saya naik pangkat dan gaji setiap tahun.
‘‘Jadi tidak hairanlah, selepas hampir 10 tahun saya berkahwin, bermula dengan kebencian yang menggunung, kini saya menjadi menantu kesayangan ibu mentua saya. Ditambah pula dengan sikap saya yang tidak lokek, menjadikan kasih sayang ibu mentua kepada saya semakin bertambah-tambah.
‘‘Kini pada pandangan mentua saya apa yang saya buat semuanya betul. Malah saya sering dipuji di hadapan anak menantu yang lain. Pernah satu ketika dahulu saya bawa mentua saya membeli-belah di sebuah butik terkenal di KLCC. Saya berminat dengan sehelai pakaian tetapi mahal berharga lebih RM1,000. Tetapi ibu mentua saya mendesak saya supaya membelinya.
‘‘Katanya apa salahnya saya beli dan pakai mahal, kerana saya penat bekerja, jadi saya berhak pakai pakaian semahal itu. Akhirnya saya beli baju itu gunakan kad kredit pemberian suami saya. Bermakna baju itu suami saya yang akan bayar.
‘‘Ketika pulang ke kampung berhari raya, tak henti-henti mentua bercerita pada ahli keluarga yang lain bahawa baju yang saya pakai itu berharga lebih RM1,000. Katanya lagi, “Biarlah dia pakai baju mahal. Dia memang ada duit. Dia pandai cari duit. Emak yang sokong dia beli baju tu.” Saya terdiam, tapi dalam diam saya terfikir, dulu ketika saya tidak bekerja, saya beli barang dan pakai baju yang dibeli oleh ibu dan ayah saya sendiri pun, mentua saya tuduh saya kikis wang suami saya.
‘‘Kini apabila saya bekerja dan ada duit, walaupun saya beli barangan mahal gunakan duit suami, mentua saya tetap kata saya beli menggunakan wang sendiri. Itulah kuasa wang orang bekerja dan itulah hukum dunia.
‘‘Namun hingga kini, saya tidak pasti apakah kasih sayang mentua saya itu benar-benar ikhlas. Namun saya, tetap sayangkan ibu mentua saya. Buktinya jika sesuatu musibah berlaku kepadanya sayalah orang yang selalunya bersengkang mata menjaganya beliau. Anak-anak menantu yang lain hilang lesap entah ke mana.
‘‘Jadi kesimpulannya, jadikan penghinaan itu sebagai semangat untuk tingkatkan taraf hidup. Sebagai contoh, kalau Noraini sudah 18 tahun berkahwin kalau dahulu dia bekerja tentu keadaan hidupnya tidak akan sentiasa dihina. Tambahan pula mentuanya tidak sukakan dia kerana dia tidak bekerja.
‘‘Noraini atau kaum wanita lain, kalaupun anda cuma ada SPM bekerjalah, jangan pilih kerja di pejabat sahaja, memadai bekerja jadi guru tadika, atau ambil upah mengasuh kanak-kanak. Bila kita ada duit kesuyian di hati dapat diubat dan yang penting kita ada kekuatan kerana ada pendapatan sendiri. Bayangkan jika kita simpan RM50 sebulan, kalau dikali jumlah tahun kita bekerja pasti lumayan. Paling penting mentua kita tidak tuduh kita menghabiskan duit ringgit anaknya sahaja.
‘‘Bagaimanapun, ini cuma satu pandangan, terutama kalau anda mempunyai mentua seperti mentua saya dan mentua Noraini. Jadi bertindak sebelum terlambat. Apa yang penting kita sendiri yang perlu mengubah nasib kita. Orang lain hanya mampu menjadi pemerhati dan mencaci sahaja. Jika kita terlalu pasrah kepada keadaan, hingga ke akhir hayat pun nasib kita tidak akan berubah.’’ Demikian cerita Norsalwani tentang pengalamannya dan nasihatnya kepada pembaca.
Kita seharusnya menari mengikut gendang yang dipalu oleh mentua kita. Biasanya mereka terlupa mereka juga wanita yang pernah ada mentua. Adakah mereka bekerja, jika tidak bekerja, adakah mereka menghabiskan duit ringgit suami. Ibu mentua seperti ini sebenarnya tamak kasih sayang dan duit ringgit anak lelaki mereka.